Isnin, 30 Mac 2009

Lantak kau la manzaidi...

Anonymous said...
lantak kau la manzaidi...
Baik ko g duduk selatan thailand.
ko nak harapkan pas dan pkr ke utk bela melayu.
makan taik DAP la jawabnya...
walaupun UMNO penuh masalah tapi parti lain lg bermasalah.X nampak sbb mrk tak berada d puncak.bila berada d puncak semua jd perhatian.
UMNO & BN tetap relevan untuk Melayu dan bangsa Malaysia
March 29, 2009 11:48 PM


Itu adalah komen seorang pengunjung laman blog MZ. Dia marah-marah dengan ulasan MZ bertajuk UMNO baru, jangan sokong membawa rebah.

Fanatik benar saudara/saudari tidak bernama ini terhadap UMNO. Baguslah. Jangan ada apa-apa dengan UMNO dahlah. Jangan nanti perut buncit memboyot hasil daripada duit haram. Hahahaha...

Untuk pengetahuan pengunjung tak bernama, Saya bukan anti UMNO, saya juga bukan pro PKR dan Pas. Kalau saudara/saudari baca blog ini dari A sampai Z, saudara/saudari akan dapat menyelami aliran saya.

Apapun, terima kasih banyak-banyak kepada saudara/saudari tak bernama yang mengulas pasal artikel itu. Segala yang buruk dan jahat adalah dari saya, yang baik-baik itu datang dari Allah SWT.

Saya doakan saudara/saudari yak bernama sentiasa dirahmati Allah dan semoga Allah menjauhkan saudara/saudari dari terlibat atau bersubahat dengan politik wang dalam UMNO.

Ahad, 29 Mac 2009

Macam-macam

RAMAI tertunggu-tunggu dan membuat perkiraan Dari Blog ke Blog minggu ini tentu akan mengambil tulisan blogger yang berkaitan dengan hukuman dijatuhkan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Memang benar, klik sahaja mana-mana blog, semuanya mengisahkan mengenai dua pemimpin tertinggi yang mempunyai nama agak gah dalam arena politik UMNO masa kini.

Malangnya, walaupun ada yang menjangkakan Mohd Ali dan Khairy terlibat dalam politik wang, tetapi tidak sedikit mempersoalkan kenapa hukuman mereka tidak sama? Sedangkan, kedua-duanya didapati bersalah.

Lembaga Disiplin UMNO dikatakan menerima kira-kira 1,000 laporan atau kes mengenai kegiatan itu sepanjang kempen pemimpin pemimpin di peringkat bahagian dan pusat, namun menurut blogger telokkemang.blogspot.com, apakah hanya dua tupai sahaja yang jatuh ke bumi?

Katanya dalam blog bertajuk Sepandai-pandai Tupai Melompat, itulah yang terjadi kepada dua calon utama pertandingan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hujung bulan ini.

"Mereka didapati bersalah mengamalkan rasuah dan melanggar disiplin parti. Mereka yang disabitkan kesalahan adalah Mohd Ali Rustam yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden. Kerana kesalahan itu, dia diharamkan bertanding jawatan berkenaan.

"Sementara Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin ialah calon Ketua Pemuda. Dia diberikan amaran, tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.

Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memberitahu sidang akhbar di PWTC yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan," katanya.

Dengan penyingkiran Mohd Ali, ulas penulisnya lagi, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dalam sidang akhbar itu, katanya, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 ahli parti. Seramai 10 digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.

"Soalnya, bagaimanakah di suatu pihak dia berkata, dia tidak bersalah, sedangkan di pihak yang lain dia berkata, dia menghormati keputusan Lembaga Disiplin yang mendapatinya bersalah," katanya.

Ulas beliau lagi, turut didapati bersalah mengamalkan rasuah politik wang ialah wakil Mohd Ali yang juga Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun. Saadun digantung daripada parti selama tiga tahun.

Khairy juga didapati bertanggungjawab ke atas salah laku wakil, tetapi kesalahan wakil Khairy, menurut Tengku Ahmad Raithauddeen adalah lebih ringan daripada Saadun.

BLOGGER Azlishukri pula memulakan tulisannya dengan memaparkan firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul dan juga janganlah berkhianat berkenaan dengan amanat yang diamanahkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Al-Anfal:27).

Katanya, apabila Allah mewajibkan kita memegang amanah yang telah diberikan, maka wajib bagi kita melaksanakan amanah yang telah diberikan itu.

Dalam konteks ini, sangat jelas pemimpin yang baik adalah pemimpin yang melaksanakan amanah yang telah diberikan kepadanya. Dalam menyelesaikan pelbagai kemelut dan cabaran pada masa kini, kita harus kembali kepada sikap amanah.

"Dengan hanya bersikap amanah sahajalah pelbagai masalah dan penyakit yang sedang melanda Malaysia pada waktu kini berupaya diselesaikan.

Kadangkala, kita ada ilmu dan tahu kebenaran sesuatu perkara itu, tetapi kita tidak amanah dengan ilmu dan kebenaran tersebut, lalu kita sorok perkara yang sebenar dan menyembunyikan kebenaran. Lantaran itulah, banyak perkara dan konflik tidak dapat diselesaikan secara baik dan telus.

"Dalam hal ini, melihat isu yang semakin hangat berkenaan politik wang atau rasuah politik yang semakin menjadi-jadi di dalam UMNO, saya merasakan bahawa cara terbaik bagi penyelesaiannya ialah kembali kepada sifat amanah yang dituntut oleh Islam seperti mana ayat yang saya kutip di atas," katanya melalui blog http://azlishukri.blogspot.com.

Persoalannya, bagaimanakah caranya. Dan bagaimanakah sikap amanah mampu menyelesaikan pelbagai kemelut dan fitnah yang selama ini membelit UMNO.

"Pada hemat saya, dalam konteks pemilihan kepimpinan UMNO, saya melihat jika semua perwakilan UMNO amanah membawa aspirasi dan kehendak bahagian masing-masing, maka fitnah dan kekacauan tidak akan berlaku kepada UMNO.

"Sebagai contoh, jika semua perwakilan bersikap jujur dengan mengundi pemimpin yang telah dipilih oleh bahagian masing-masing, maka UMNO akan selamat.

Tetapi, kerana sikap kita tidak amanahlah, berlaku kemenangan kepada individu yang tidak layak untuk memegang amanah bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara," katanya.

Dan akhirnya menurut Azlishukri, pemimpin tersebut gagal menjalankan amanah, lantaran beliau dipilih secara tidak amanah oleh perwakilan, sekali gus mengundang fitnah kepada UMNO dan para pemimpinnya.

Katanya, bertitik tolak daripada itu, apabila majoriti bahagian UMNO mencalonkan seseorang itu untuk memegang sesuatu jawatan, laksanakanlah amanah tersebut dan berikanlah kemenangan kepada beliau.

Jika tidak, fitnah akan pasti melanda kita semua sekiranya calon tersebut tewas, padahal pencalonan yang beliau terima daripada Bahagian UMNO di seluruh Malaysia adalah sangat tinggi.

Sudah pasti hal tersebut berlaku kerana sifat amanah yang semakin tipis dalam diri perwakilan yang seharusnya mereka memahami bahawa mereka merupakan wakil yang membawa suara majoriti bahagian masing-masing.

ULASAN seorang blogger dalam http://ops2012.blogspot.com pula menegaskan bahawa fikiran seseorang tidak terus diputar belit dan diracuni dengan istilah politik wang, namun dengan tegas hendaklah menganggap ia sangat jijik, kotor dan haram di sisi Islam kerana ianya adalah rasuah. Kenapa kita boleh tertipu dengan istilah itu?

Tulisnya, beliau berasa hairan apabila difikirkan walaupun tidak diajak untuk memikirkan perkara itu dan hairannya kenapa kalau Mohd Ali Rustam didapati bersalah dia dilarang bertanding, kenapa Khairy juga bersalah, namun hanya diberi amaran sahaja.

Demikian pula kata penulis berkenaan, hukuman pesalah yang lain semacam keputusannya sudah diatur dan terpilih sahaja. Mana lagi kes yang dilaporkan melibatkan ribuan kes dan 100 yang besar seperti dilaporkan oleh media.

"Kalau sudah bersalah dalam rasuah kenapa masih dianggap tidak bersalah mengikut undang-undang negara.

Sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat sama kepada semua yang terlibat, dari mana wang perolehan mereka. Bukankah ini tugas SPRM. UMNO bukannya 'kerajaan langit' seperti didakwa oleh Ayah Pin.

Sampai bilakah UMNO akan bersih kalau Lembaga Disiplin-nya sahaja yang menentukan seseorang pemimpin UMNO bersalah atau tidak, namun dia dianggap masih belum bersalah dengan undang-undang negara. Jijik sungguh.

Sampai bila rakyat Malaysia hendak ditipu dengan lawak bodoh ini. "Tidak mustahil yang dihukum itu akan dimaafkan dan dengan alasan sudah taubat nasuha dalam perspektif UMNO. Hukuman itu sekadar acah-acah ayam, kita tunggu dan lihat.

Tindakan dan hukuman terhadap Ali Rustam yang dikatakan Najib tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri, dia akan merayu dan masih akan hadir ke Perhimpunan Agung minggu depan adalah gambaran dia akan segera dibersihkan dalam tempoh terdekat. Mudah-mudahan jangkaan tidak meleset. Apalagi Ali Rustam yang saya faham adalah kem dari Najib.

YEOPPERAK melalui blognya bertajuk Perosak Melayu Perak secara ringkas dan padat menulis, "Kamu boleh senyum lagi ya? Mentang-mentang jawatan Pembangunan Ekonomi Tanah dan Hasil Bumi, jadi kamu ingat boleh jual tanah Perak kepada bukan Melayu sesuka hati.

Penulis melalui blognya http://yeopperak.blogspot.com berkata, "dah Perak kamu nak gadai pada si Ngah Ngeh tu boleh senyum lagi? Nasib baik le orang-orang kamu tu bijak... terus nyokong parti lawan... Kalau tidak, tergadai le negeri yeop tu...

"Kamu ni tak paham lagi ke orang dah tak suka? Balik kampung le nengok orang-orang kampung kamu tu... Kamu tahu Ngah dan Ngeh tu nak main-mainkan kamu je.

"Depa tu bukan orang Melayu... kamu pun dah tak nak jadi Melayu kot... dah nak jadi mualaf... Depa tu nak rosakkan orang Melayu, kamu ngikut je ngapa... Mana sifat-sifat kemelayuan kamu tu," katanya.

Sabtu, 28 Mac 2009

Kotornya parti politik Malaysia

MEMANG wajar kalau Tun Dr Mahathir Mohamad tidak hadir di Perhimpunan Agung UMNO yang bersidang dari 24 hingga 28 Mac lalu (kelmarin). Anaknya, Datuk Mukhriz kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pusat.

Kekalahan Mukhriz bukan kerana dia tidak ada pengaruh atau hilang sokongan, tetapi kelebihan undi kepada Khairy Jamaluddin disebabkan sikap perwakilan yang mementingkan wang.

Saya tidak kata Khairy menyogok perwakilan, tetapi Lembaga Disiplin UMNO telah membuktikan melalui hasil siasatannya bahawa Khairy didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Saya percaya, seratus peratus perwakilan yang ada di Perhimpunan Agung bukan berdasarkan pilihan oleh ahli akar umbi. Kemenangan mereka sebagai perwakilan disebab sikap kroni dan yang dipilih oleh pemimpin bertanding melalui sogokan duit.

Kalau perwakilan itu benar-benar bersih dan dia diberi tempat sebagai perwakilan kerana pilihan secara telus daripada ahli akar umbi, sudah tentu ramai pemimpin @ perasuah yang bertanding merebut jawatan tertinggi parti dan sayap parti, tidak akan menang.

Jadi, betullah tindakan Tun Mahathir tidak mahu hadir di awal perhimpunan agung, sebab dia kecewa, kaki rasuah menang. Kenapa Tun perlu hadir di tempat sekotor itu?

Saya pun, kalau diberi surat jemputan, saya tidak akan hadir. Saya tidak sanggup melihat parti Melayu didokongi pemimpin yang kotor dan merosakkan bangsa sendiri. Saya cukup benci dengan pemimpin seperti ini.

Saya sudah beritahu kepada anak-anak saya, apabila mereka sudah tahu erti politik, janganlah sekali-kali menyertai parti yang mengamalkan politik kotor. Pilihlah parti yang benar-benar berjuang untuk rakyat.

Bagi saya, di Malaysia ini tidak ada parti yang berjuang untuk rakyat, melainkan yang ada sekarang ialah parti yang menggunakan rakyat untuk kepentingan mereka.

UMNO bukan parti orang Melayu. Di dalamnya sudah ada ramai mamak mamak dan ahli kacukan. Ramai pemimpinnya dari golongan atau jenis yang perasuah. Menang sesuatu jawatan secara kotor.

Pas bukan parti memperjuangkan Islam. Di dalamnya sudah ada pemimpin yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat miskin dan miskin tegar. Mereka hanya tahu menyebut Insya-Allah, Insya-Allah dan Insya-Allah... tunainya tidak.

PKR bukan parti Melayu/Islam. Kebanyakan pemimpin di dalamnya adalah dari golongan yang sudah dibeli oleh kaum dan bangsa lain. Pemimpin PKR hanya menggunakan rakyat dan imej kemelayuan untuk mendapatkan sokongan, sedangkan perjuangannya adalah lebih kepada kepentingan diri dan bangsa lain.

Masya-Allah.

Selasa, 24 Mac 2009

Lagi komen pasal Yeop

HARI ini tiga lagi MZ (Yeop) terima SMS daripada pembaca Sinar Harian Perak. Mereka mengulas pasal pojok MZ yang dinamakan YEOP siaran Ahad 22hb Mac 2009.

1. SAYA rasa terpanggil untuk membuat sedikit komen berhubung kait dengan inti pati coretan Yeop dalam ruangan tetapnya bersama Yong di dalam akhbar ini pada keluaran 21dan 22 Mac lalu. Maaflah Yeop kalau saya andaikan Yeop seumpama ‘robot’ yang minda dan pemikiran seperti telah diprogramkan untuk UMNO sahaja.

Sepatutnya Yeop berfikir secara waras dan mengkaji secara telus dan membuat keputusan secara berhemah dan tidak hanya menghukum PR dan sebagai kesimpulan di atas kemelut politik yang masih lagi berlarutan ini, semuanya berpunca dari UMNO.

Kerakusan, ketamakan, keegoan, penyalahgunaan sistem perundangan dan kehakiman serta institusi raja-raja dipergunakan, semuanya menjadi perencah untuk menjayakan misi ‘bacul’nya di negeri Perak ini.

Rentetan dari peristiwa tadi jugalah tercatatnya peristiwa ‘sidang DUN bawah pokok’ dan pembinaan ‘plak dan tugu demokrasi’. Jadi saya nak tanya Yeop, siapakah yang memulakan lakonannya? UMNO (BN) atau PR?. - PAKJANG


2. UNTUK pengetahuan Yeop, kami yang condong pada PR pun tak pernah pergi ke tugu demokrasi itu malah tak pernah pun diajak berkumpul di situ. Tapi kami lebih takut pada pemimpin yang bercakap hal agama malangnya dari segi akhlak, aurat dan amal jauh lari dari ajaran yang sebenarnya.

Sampai ada pemimpin yang mengatakan seorang YB yang masih mengajar agama adalah salah dalam Islam. Bila masa nak buat kerja rakyat katanya. Ya Allah kenapa sampai begitu sekali kelamnya hati? - SALIKIN


3. KEPADA Yeop, kenapa nak bersedih dan menangis setiap hari. Kami rakyat Perak lagi sedih, dalam zaman yang penuh dugaan dan moden ini masih ada tangan-tangan jahat yang merampas hak kami sebagai rakyat Perak.

Baru sekarang nak cari alim ulamak? Pemimpin atasan yang tak menutup aurat tapi bercakap bab Islam, macam mana pula? Yeop pun perasankan? Tapi sengaja buat tak nampak. RAKYAT PERAK.

Ahad, 22 Mac 2009

Yeop kena marah, kena tegur

Empat SMS yang saya terima daripada pembaca Sinar Harian Edisi Perak yang mengulas mengenai pojok Yeop hari ni. Berikut SMS mereka.

1. Salam Yeop... saya tertarik dengan kata-kata saudara 'tak ada seorang pun alim ulama tampil buat kenyataan. Tak ada seorang pun yang tahu pasal agama mahu tegur sikap segelintir pemimpinnya yang agung-agungkan pokok itu.

TAHNIAH!!! Yeop seorang saja ulama kat atas muka bumi ini, mungkin pakar dalam bidang al-Quran dan hadis. Maybe pakar dalam bidang menginstinbatkan hukum-hukum daripada al-Quran dan hadis.

2. Yeop... Yeop... Yeop kena banyak belajar tentang seni dalam siasah. Wallahu'alam.

3. Siaplah Yeop hari ni. Dalam surat khabar Sinar Harian yang berpuluh-puluh muka surat itu, kolum Yeop yang satu meter itu yang mereka sibukkan. Minat gila-gila la tu.

4. Assalamualaikum Yeop! Teman tertarik dengan coretan Yeop dalam Sinar Harian hari ini. Ada pro dan kontranya yang boleh diambil dan ditolak.

Teman ni bekas UMNO, bukan nak kondem apa. Selama lebih 20 tahun Teman dalam UMNO dulu, apa yang pemimpin buat untuk menarik golongan muda-muda ke masjid dan apa lagi untuk mendekati Allah.

Kalau yeop tak percaya masuklah ke kampung-kampung tanya pemimpin-pemimpin ni.
Teman sendiri bersuara dalam hal ini akhirnya Teman dipecat dari jawatan. Itu baru kecil dugaannya.

Usahlah bangkitkan cerita-cerita pokok itu lagi. Bongkar cerita tentang masyarakat kita yang lari dari akidah dan pegangan agama. Dapat jugak pahala.

Yeop cerita hal PR dan pokok bagi orang marah saja. Pandangan yeop tu tak salah, tak jugak betul semuanya. Buatlah kerja yang tak pro pada mana-mana pihak. Terima kasih. S/U R4R.

Sabtu, 21 Mac 2009

Kebimbangan Yeop disalah erti

SEMALAM Yeop terima beberapa panggilan daripada kaum kerabat Yeop. Mereka marah-marah. Mereka kata pengetahuan agama Yeop rendah. Mereka kata, Yeop tak tau cakap pasal agama, tapi nak cakap juga. Ini semua kerana Yeop ada membangkitkan pasal perbuatan segelintir pemimpin seolah-olah menyanjung atau dengan kata lain, memuja pokok demokrasi.

Yeop cuba beri penjelasan, tapi ‘mamat’ yang hubungi Yeop ni langsung tak mahu dengar. Emosi betul ‘mamat’ ni. Nampak sangat ‘mamat’ ni bercakap bukan dengan suara hati. Dia cakap mengikut kata hati. Yeop fikir-fikir, tak perlu layanlah. Rugikan masa Yeop saja.

Dalam Yeop termenung-menung memikirkan apa yang Yeop nak buat supaya kaum kerabat Yeop faham apa maksud Yeop pasal pokok demokrasi tu, tiba-tiba Yeop teringat kata-kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bercakap mengenai Tugu Negara.

Katanya, perbuatan mana-mana individu Muslim, sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur di Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati, malah sekiranya pelaku tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh.

Bagi Yeop sama ada Tugu Negara yang menyerupai patung atau apa-apa sahaja objek seperti rumah kosong, pokok, busut, kubur, tasik, sungai, laut, bintang, langit dan matahari, kalau kita puja, hormat, sanjung dan dijadikan tempat untuk sebarang upacara atau majlis, tidak banyak, sedikit pun ada unsur ke arah sebagaimana dikatakan Dr Mohd Asri itu.

# Yeop tak salahkan pokok itu sebab ia ditanam dan hidup sejak sekian lama. Lagipun, pokok itu sama seperti pokok-pokok yang ada di sekitar rumah Yeop. Persoalannya kenapa tiba-tiba saja pokok itu menjadi perhatian sehingga dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang pasang colok, letakkan bunga dan campakkan duit.
Tidakkah itu sudah ada unsur memuja? Walaupun dilakukan oleh penganut bukan Islam, tetapi siapa yang mula dulu?

Tak cukup dengan itu, pihak berkenaan menamakan pokok itu dengan nama Pokok Demokrasi. Selepas itu mereka bina pula sebuah plak dan menamakannya Tugu Demokrasi. Tujuannya nak jadikan tempat itu sebagai kenangan atau sejarah, kononnya inilah tempat kerajaan PR bersidang. Kononnya, tak pernah ada dalam sejarah di dunia ini sebuah kerajaan bersidang di bawah pokok. Apa ke halnya ni?

Tindakan itu tak salah. Perbuatan mereka adalah baik untuk dijadikan sebagai kenangan. Yeop percaya, mungkin mereka tidak sangka dan tidak jangka tempat itu dipuja-puja, disanjungi, diingati, disebut-sebut, dikagumi dan macam-macam lagi hal yang berkaitan dengan ketaksuban. Malah Yeop dengar cerita ada golongan tertentu datang ke situ untuk minta empat nombor ekor, menyampaikan niat dan minta hajat.

Ini yang Yeop sedar berlaku pada pokok itu. Tapi malangnya dan sedihnya, tak ada seorang pun alim ulama tampil buat kenyataan. Tak ada seorang pun yang tahu pasal agama termasuklah si mamat yang marah-marahkan Yeop tu, mahu tegur sikap segelintir pemimpinnya yang agung-agungkan pokok itu.

Pada ke halnya sambut hari ulang tahun pun di bawah pokok itu. Apa ke halnya plak yang pecah dan patah dibungkus lalu dilelong. Nampak sangat kaum kerabat Yeop ni suka kepada benda-benda yang bagi Yeop tak ada makna dan faedah. Kita jangan ikut orang barat lelong itu, lelong ini.

# Yeop tak tau sejauh mana serpihan plak demokrasi yang akan dilelong hari ini telah terlelong dan berapa jumlah bidaan tertinggi serta siapa yang membelinya. Apa kegunaan plak itu pun Yeop tak tau. Apatah lagi Yeop tak nampak keistimewaannya. Lainlah kalau telur raksasa atau serpihan tulang dinasor.

Bukan niat Yeop nak memperlekehkan apa yang dilakukan kerajaan PR. Jauh sekali nak memperkecilkan mereka. Yeop tau siapa diri Yeop dan Yeop sedar siapa mereka. Cuma Yeop nak minta pada mereka, janganlah terlalu taksub sangat kepada pokok dan plak demokrasi itu. Gunalah cara lain yang lebih diplomasi dan dituntut oleh agama untuk kembali menjadi kerajaan semula.

Cukuplah jadikan pokok itu sebagai tempat kunjungan atau lokasi untuk adakan sesuatu program. Daripada mengajak rakyat berkumpul di bawah pokok, adalah lebih afdal mengajak mereka ke masjid. Ada juga pahalanya sebab sebelum majlis bermula, ada antara mereka akan menunaikan solat sunat dahulu.

Atau kalau program itu bercampur dengan pelbagai agama, adalah lebih baik diadakan di rumah. Sekurang-kurangnya rakyat kenal rumah pemimpin. Rakyat boleh tengok sebesar mana kereta mereka dan sejauh mana taraf hidup mereka.

Note: Yeop ni adalah untuk siaran Edisi Perak setiap Ahad.

Rabu, 18 Mac 2009

video

Umno dulu bersih, Umno sekarang kotor

KOMEN TETAMU:

Abg Man,
Secara ikhlas saya agak sangsi, adakah para pemimpin kita pada hari ini mempunyai niat yang ikhlas untuk memimpin tidak kira di mana sekalipun, hatta di Kelantan sendiri pun.

Sebagaimana contoh UMNO di Kelantan, sememangnya kita lihat kesepaduan tidak wujud. Bila mana, Ku Li menawarkan diri sebagai calon untuk jawatan Presiden, namun hanya Gua Musang sahaja mencalonnya sebagai Presiden. Dimana UMNO Kelantan yang lain. Ini persoalannya?

Memang diakui Ku Li pernah keluar masuk UMNO, namun 'dosa' Ku Li mengkhianati UMNO dan menubuhkan Parti S46 amat sukar diampun, malah populariti Ku Li makin berkurangan di Kelantan bila bertelagah dengan Pas, sedekad lalu.

Jika dikira, penglibatan Ku Li dalam pembangunan negara cukup besar, namun di pandang sepi, umpamanya penglibatannya selepas peristiwa 13 Mei yang membawa penggubalan DEB, penubuhan Petronas, sebagai Menteri Kewangan paling lama dan ketika itu kedudukan mata wang yang kukuh (Malaysia dan Singapore hampir sama).

Dalam hal ini, bukan bermaksud saya pro Ku Li. Malah diakui Ku Li pun mempunyai kontrovesi tersendiri. Tapi kebolehan dan kredibiliti seseorang tidak akan dipandang dalam politik Malaysia, hanya mereka lihat adalah kepentingan, wang, dia orang aku, aku orang dia.

Cuma pandang peribadi.
March 18, 2009 11:22 AM


JAWAPAN:
Untuk makluman. UMNO sekarang bukan UMNO yang ditubuhkan tahun 1946. Ingat tak Mahkamah Tinggi Persekutuan mengisytiharkan UMNO sebagai haram tidak lama dulu? Sehingga mendorong Tun Dr. Mahathir menubuhkan UMNO baru?

UMNO tahun 1946 yang dibarisi pemimpin yang seratus peratus bersih, pemimpin yang mengutamakan berjuang dari wang, mementingkan rakyat dari diri sendiri dan pemimpin yang merintih menangis apabila Melayu goyah sebenarnya sudah lama bersemadi.

Yang ada sekarang ialah pemimpin UMNO baru yang ditubuhkan selepas UMNO terdahulu diharamkan. Sebab itu, pemimpin sekarang adalah yang seratus peratus jenis penyanggak.

Pemimpin yang seratus peratus dilumuri lumpur (kotor), pemimpin yang mengutamakan wang dari perjuangan, pemimpin yang pentingkan diri sendiri daripada rakyat. Mereka ini yang menghuni dan menghiasi UMNO sekarang.

Jadi, apa yang dikatakan oleh saudara itu memang benar dan tepat sekali. Mana-mana yang dilihat bersih dan mempunyai keikhlasan untuk berjuang atau memimpin, tidak akan sekali-kali diberi tempat dalam parti.

Ini adalah syarat untuk menyertai UMNO baru. Sebab itu, kita sering kali dihidangkan dengan seribu satu kes salah laku yang melibatkan pemimpin tertinggi, pertengahan dan bawahan.

Pemimpin bertaraf tinggi, tetapi pada masa sama tidak tersohor atau tidak disukai oleh pemimpin seangkatan, akan disenaraikan sebagai pihak yang akan dijatuhkan. Sama ada jatuhnya dengan cara baik atau lebih hina, terletak kepada perancangan dan strategi pihak tertentu.

Dalam kes Ku Li. Beliau adalah antara pemimpin yang seangkatan dengan pemimpin yang bersih yang telah bersemadi. Jarang, malah langsung tidak kedengaran beliau terlibat dalam skandal itu skandal ini. Tetapi kerana dia pemimpin yang berimej bersih, maka tidak menepati syarat untuk menjadi pemimpin tertinggi UMNO baru sekarang.

Hanya pemimpin yang ada rekod peribadi seperti kaki perempuan (macam seorang pemimpin di Kelantan), pemimpin yang ada rekod menerima dan memberi rasuah paling banyak dan kaki ampu sahaja diterima masuk dalam UMNO. Ini adalah hakikat.

Berbalik kepada kes Mohd Ali Rustam dan Khairy Jamaluddin. Kedua-duanya didapati bersalah terlibat dalam politik wang. Tetapi anehnya, kenapa Mohd Ali digantung, manakala Khairy diberi amaran?

Adakah kerana Mohd Ali menggunakan banyak wang maka dia digantung daripada bertanding, dan Khairy pula hanya guna sedikit wang, dia hanya diberi amaran serta dibenarkan bertanding?

Aneh bin ajaib. UMNO mahu menampilkan dirinya sebagai parti yang adil dan saksama, tetapi secara fizikal dan praktikalnya mereka telah menunjukkan ketidakadilan yang secara jelas lagi nyata kepada rakyat.

Sejak berita Mohd Ali Rustam digantung dan Khairy diberi amaran, rakyat terus menerus mempertikaikan bentuk hukuman.

Topik utama mereka bukan lagi berkisarkan penglibatan kedua-dua pemimpin itu dalam politik wang, tetapi BAGAIMANA Khairy yang didapati bersalah HANYA diberi amaran dan dibenarkan bertanding jawatan Ketua Pemuda pada Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini.

Kita semua tahu kes Mona Fandy kan. Zuraimi tukang membunuh, manakala Mona dan Afendi tukang mengarah. Ketiga-tiganya didapati bersalah dan bersubahat lalu hukumannya ialah gantung sampai mati. Tiga sekali masuk lubang kubur. Bukan seorang atau dua orang.

Fikir-fikirkanlah...

Selasa, 17 Mac 2009

Rupanya ini muka penyangak

Setelah Lembaga Disiplin UMNO selesai menjalankan siasatan, barulah kita tahu muka-muka yang didapati bersalah mengamalkan politik wang dan muka-muka yang sebelum ini naik kerana kewangan bukan melalui perjuangan.

Wajarkah muka-muka yang disahkan bersalah itu diberi ruang dan tempat dalam parti politik? Tentulah tidak. Sebab kerana mereka dan ada lagi yang lain yang masih disiasat, menyebabkan UMNO hampir hancur.

Muka-muka ini, sebelum ini amat lantang 'mencaci' dan 'mengutuk' ahli-ahli yang mengamalkan politik wang. Tetapi hari ini baru kita tahu, mereka sebenarnya mengutuk diri sendiri.

Sebab itu, jangan sekali-kali menuding jari mencari kesalahan orang lain, kerana daripada lima jari itu, hanya satu jari ke arah orang, empat lagi ke arah diri sendiri.

Sekarang, terimalah pembalasan hasil daripada sumpah seranah diri sendiri. Dalam media, bukan main lagi membuat kenyataan, "mana-mana pemimpin yang amalkan politik wang, jangan beri tempat."

Sekarang, siapa yang amal? Orang lain atau kita?

Kalau sebelum ini, rakan kita dikenakan tindakan tatatertib dan rakan itu memberontak tidak berpuas hati dengan hukuman dikenakan, kita pula marah-marah kepada rakan itu, kita kata tak wajar rakan itu bersikap demikian. Rakan itu kena terima hakikat diri dihukum.

Sekarang, apabila sudah terkena pada diri sendiri, terimalah hakikat. Jangan memberontak sebagaimana keadaan rakan di awal hukuman dulu.

Kita harus ingat, setiap apa yang berlaku ke atas rakan, akan berlaku ke atas kita. Itu pun kalau kita tidak pernah insaf dan sedar daripada melakukan perkara buruk.

Alahai politik sekarang. Sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu, bertanya pula.

Ali kena, Khairy amaran


























Tiada siapa pun jangka Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam antara pemimpin tertinggi yang dikenakan tindakan tatatertib kerana terlibat dalam politik wang.

Sebelum ini sudah gege gegok atau gege riuh seantero Malaysia mengenai isu itu, tetapi masing-masing cuba menyembunyikan mereka yang mengamalkan politik wang. Malah, bagi mengelak dihidu daripada pengetahuan rakyat, mereka tampil dan lantang membuat kenyataan media menentang politik wang.

Rupa-rupanya... kesian Mohd Ali. Belum masuk gelanggang sudah terkena pukulan TKO daripada pengadil yang berjaya menghidu beliau terlibat dalam politik wang.

Berikutan itu, Mohd Ali yang memegang jawatan Naib Presiden dan antara tiga pemimpin yang berjaya melepasi kuota untuk merebut jawatan Timbalan Presiden dilarang bertanding pada pemilihan parti minggu hadapan kerana didapati bersalah terlibat dalam politik wang.

Lembaga Disiplin UMNO mendapati beliau melakukan kesalahan itu mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli UMNO, demikian diumumkan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

"Kesalahannya disebabkan ada sabit atau kaitan iaitu pekerja dia ke, apa saja yang buat salah, dia yang dianggap sebagai prinsipal (ketua), juga dianggap buat salah.

"Tetapi kesalahan dia tidak begitu seperti yang dilakukan oleh ejennya. Maka dia boleh diambil tindakan di bawah Perkara 10.1," katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO di Menara Onn di Kuala Lumpur.

Menurut Lembaga Disiplin, calon Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga didapati bersalah kerana melanggar perkara yang sama, tetapi hanya diberi amaran dan layak bertanding jawatan berkenaan pada 25 Mac ini.

“Seorang lagi calon Ketua Pemuda UMNO, yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut disiasat atas perkara yang sama dan didapati tidak bersalah melanggar tataetika," katanya.

Ahmad Ritahaudden berkata, Setiausaha Politik, Ketua Menteri Melaka iaitu, Saadun Basirun turut didapati bersalah termasuk ahli jawatankuasa Bahagian UMNO Bukit Katil, Rosli Hasan dan Naib Ketua Puteri UMNO Bukit Katil, Zalina Ismail.

“Saadun yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Bukit Katil, digantung keahlian selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan berkuatkuasa 12 Mac lalu," katanya.

Keahlian Mohd Ali bagaimanapun tidak digantung dan beliau masih menjadi anggota perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO pada 24 hingga 28 Mac ini.

Khamis, 12 Mac 2009

Persoalan

Assalamualaikum...
Dah lama tak jengok laman ni...kesibukan menghambat diri.

Hari ni MZ nak bangkitkan beberapa persoalan hangat dan panas mengenai politik tanah air yang MZ nampak makin gila. Nampak lebih teruk dari Iraq, dari Thailand dan dari mana-mana negara yang bergolak.

Politik Malaysia agak aneh. Lebih aneh dari wajah-wajah hantu dan setan dalam filem-filem Melayu dan barat masa kini. Betul tak tetamu dihormati?

Apahalnya dengan Karpal Singh yang begitu celupar melemparkan kata-kata yang telah menguris hati anak Melayu dengan perkataan 'CELAKA' kepada Pemuda UMNO.

Apahalnya dengan Barisan Nasional (BN) Perak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri bukan melalui pilihan raya? Selama ini mereka melaungkan demokrasi. Mereka memperjuangkan demokrasi, tetapi demokrasikah mereka apabila dengan mengambil alih kerajaan negeri secara yang berlaku itu?

Apahalnya pula dengan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak pimpinan Muhammad Nizar Jamaluddin yang dijatuhkan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar di bawah pokok sena sehingga pokok itu dijadikan tempat memuja oleh kaum-kaum tertentu termasuk orang Islam. Tidakkah kaedah yang dilakukan oleh PR itu menyebabkan berlaku keruntuhan akidah dan khurafat?

Apahalnya pula tok guru Nik Aziz berdiam diri apabila ditanya pendapatnya mengenai pembinaan tugu di bawah pokok demokrasi di Perak? Sebelum ini beliau lantang membidas kerajaan membina Tugu Negara. Katanya, berdosa menyembah Tugu Negara yang disifatkan sebagai berhala. Tetapi tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dengan perbuatan kerajaan PR membina tugu di bawah pokok demokrasi.

Di mana sifat-sifat kepimpinan Islam yang ada pada diri tok guru? Adakah kerana ia dilakukan oleh orang yang sebulu dengannya, walaupun salah, dikatakan betul atau sekurang-kurangnya mengambil sikap berdiam diri? Kata orang tua-tua, kalau diam, maknanya bersetuju.

Apahalnya dengan Husam Musa mempersoalkan dari mana kerajaan pusat dapat wang RM60 bilion untuk menyuntik modal bagi menangani krisis ekonomi? Di mana sikap dan semangat Islam yang ada dalam jiwa Husam? Tidak adakah semangat hendak membantu kerajaan menangani masalah ekonomi supaya rakyat tidak merana? Jangan hanya tahu mengkritik sahaja.

Inilah sifat ayam. Berkokok serata kampung, ekor terpalit taik. Menuding satu jari ke arah orang, empat jari lagi ke arah diri sendiri. Sepatutnya sebagai pemimpin besar dalam Pas, beliau harus tunjuk sikap kepimpinan, bukan sikap kebudak-budakan.

Apahalnya dengan kepimpinan tertinggi UMNO tidak mengambil sebarang tindakan ke atas pemimpin-pemimpinnya yang didapati dengan sah dan jelas terlibat dalam politik wang. Mustahil daripada 1,000 laporan yang dihantar kepada Lembaga Disiplin, satu kes pun tidak ada? Apa sudah jadi?

Kenapa kes yang boleh menyebabkan parti, maruah, agama dan negara tergadai itu dibuang begitu sahaja? Kenapa tidak ada usaha untuk mengheret mereka ke muka pengadilan agar dapat memberi pengajaran kepada malaun yang lain? Adakah UMNO lebih suka partinya dipenuhi dengan malaun-malaun ini?

Apahalnya apahalnya apahalnya...bersambung...

Khamis, 5 Mac 2009

Yeop

YEOP beristighfar melihat ramai manusia tidak beristiqamah. Tidak menghargai keamanan, keharmonian dan kesejahteraan yang dilimpahkan Allah kepada kita. Agaknya manusia hari ini sudah puas barang kali hidup kalau tak berpecah belah. Sedihnya Yeop tengok keadaan hari ni. Lebih sedih apabila Yeop terpaksa kurung anak-anak Yeop dalam bilik.

Yeop tak benarkan mereka tengok televisyen. Yeop tak benarkan mereka baca surat khabar. Yeop tak benarkan mereka jumpa kawan-kawan. Bukan Yeop nak dera anak Yeop, tapi Yeop tak mau fikiran anak-anak Yeop yang masih bersih dicemari oleh kekalutan politik yang berlaku.

Yeop tak rela anak Yeop mengambil tahu hal politik sekarang. Yeop lebih rela anak Yeop tengok dinding dan siling kosong dalam biliknya daripada tengok situasi politik kotor lagi menjijikkan di luar sana.

Kepada Yong, Yeop mintak sangat-sangat. Tolonglah nasihatkan pada kaum kerabat Yong tu. Hentikanlah kemelut politik tak cerdik tu. Tamatkanlah segala sandiwara tu.

Tolonglah... Yong. ‘Please lah’ Yong. Kalau Yong mintak Yeop melutut pun, Yeop rela. Janji, Perak kembali aman. Kembali pulih. Yeop mahu tengok anak-anak Yeop hidup bebas. Berlari, keluar berjalan-jalan dan mindanya tidak dicemari unsur politik kotor.

Kadang-kadang Yeop terfikir. Kenapalah mak ayah Yeop lahirkan Yeop di Perak. Kan baik kalau Yeop lahir di bumi Palestin. Ada faedahnya juga. Negara itu tak aman bukan kerana pemimpinnya berpecah belah macam di Perak, tapi kerana gangguan musuh tradisinya Israel laknatullah yang sering buat kacau.

Sekurang-kurangnya kalau Yeop mati di sana pun, Yeop mati syahid. Nama Yeop akan dijulang. Kedudukan Yeop mulia di sisi Allah. Tak macam di sini, kalau sakit atau cedera pun, malu nak cakap. Kenapa? Sebab kena pijak oleh kawan-kawan tika sertai tunjuk perasaan kat depan bangunan SUK semalam.

YEOP - Terserempak Yong bawah pokok beringin.
(Siaran 5hb Mac 2009/Khamis)

Isnin, 2 Mac 2009

Yeop 3

Ketiga, siaran 3hb Feb 09)
MULANYA Yeop rancang nak pergi tengok sidang tergempar Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ni. Dalam merancang tu tiba-tiba Yeop terima panggilan daripada Yong. Katanya, sidang DUN tu tak jadi. Yeop tanya Yong, kenapa tak jadi? Yong pulak tak bagitau. Dia putuskan perbualan begitu saja. Sakitnya hati Yeop.

Lain kali kalau nak bagitau, biarlah sampai ke penamat. Jangan sekerat jalan saja. Buat sakit hati Yeop saja. Apapun, sebagai lelaki mulia, Yeop tetap ucap terima kasih kepada Yong sebab maklumkan perkara tu. Kalau tidak penat sajalah Yeop ke sana.

Ketika Yeop belek-belek akhbar, Yeop ada terbaca kenyataan Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah nasihatkan orang ramai jangan berada di sekitar bangunan SUK sebab DUN tak jadi bersidang. Katanya, mereka yang berada di situ akan dianggap berhimpun secara haram. Dan akan ditangkap kalau ingkar.

Bagi Yeop, buat apa susah-susah berhimpun kalau pihak berkuasa tak beri izin. Baik duduk kat rumah dengan anak isteri. Kalau tak ada kerja sangat, ambillah cangkul, sodok tanah belakang rumah tu dan letakkan benih jagung atau kacang, ada juga hasilnya daripada melalak tak tentu pasal di tempat yang orang larang.

Yeop sedihlah dengan keadaan di negeri Yeop sekarang ni. Kerana nafsu besar dan sikap pentingkan diri seseorang pemimpin, rakyat macam Yeop yang jadi mangsa. Kadang-kadang ketika termenung seorang diri, Yeop terfikir-fikir juga, apakah nasib Yeop dan kaum kerabat Yeop. Dahulu bolehlah Yeop bangga jadi rakyat Malaysia sebab aman, damai dan harmoni.

Sekarang, tiba-tiba saja timbul rasa malu jadi rakyat Malaysia. Sebabnya, negara Yeop tidak lagi macam dulu. Huru hara. Kaum kerabat gaduh sama sendiri. Pemimpin sudah lupa pada tanggungjawab dan amanah mereka. Menitis air mata Yeop kenangkan nasib diri. Tapi pemimpin tak pernah fikir atau risau sebagaimana yang Yeop fikir dan risau.

Yeop: teringat lagu Bahtera Merdeka

YEOP

(Kedua, siaran 2hb Feb)
MULANYA memang Yeop terasa hati dengan Yong. Mana tidaknya, elok-elok janji nak jumpa kedai kopi Abe Ipin, tiba-tiba Yong tak datang. Jenuh Yeop menunggu. Dari jam 10 malam sampai 12.30 tengah malam. Yong tak datang-datang juga. Telefon pun tidak, hantar mesej pun tidak. Berat sangat ke tangan dan jari Yong nak bagitau Yeop yang dia tak boleh datang?

Yeop bukannya nak dating dengan Yong. Jauh sama sekali nak pikat Yong yang dah tua tu. Yeop panggil Yong nak jumpa kerana nak bincang masalah negara. Yeop nak ceritakan pada Yong mengenai isu-isu semasa yang berlaku di negeri Yeop dan Yong ni.

Perbincangan ni penting sebab Yeop tengok Yong taksub sangat pada kerajaan lama.
Macam-macam Yong tuduh pada kerajaan baru. Tak demokrasi la, tak demokratik la.
Rampas kuasa la. Kerajaan tak sah la.

Jadi, Yeop ajak Yong jumpa sebab Yeop nak tunjuk perlembagaan negeri pada Yong. Yeop nak bentangkan satu persatu peraturan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri kepada Yong supaya Yong faham dan tidak cepat melatah.

Tapi Yong dari awal lagi takut nak jumpa dengan Yeop. Beginilah perangai Yong. Suka sangat tuduh orang tanpa usul periksa. Nampak sangat Yong ni tak tahu undang-undang. Lain kali Yeop nak ingatkan Yong, kalau tak tahu peraturan, jangan cakap yang bukan-bukan. Buat malu kaum kerabat Yong saja.

Ni pun tak tau Yong hilang ke mana. Entah-entah dah lari daerah. Atau sengaja nak sembunyikan diri atau sedang cari ideal macam mana nak bedal Yeop dalam ruangannya ni. Pukullah, Yeop tak takut. Kaum kerabat Yeop adalah dari pihak yang benar. Kenapa Yeop perlu takut. Kaum kerabat Yeop jadi kerajaan pun dengan perkenan Sultan. Bukan saja-saja nak ambil alih kuasa.

Yeop: Tak suka menegak benang basah
Mulai hari ini juga saya akan paparkan tulisan pojok saya yang disiarkan dalam kolum YEOP untuk Sinar Harian Edisi Perak. Kolum ini ada dua watak iaitu YEOP dan YONG. Konon-kononnya YEOP ni tak sehaluan dengan YONG. Jadi mereka sering kata mengata (perkara sihat) yang berkaitan dengan dua kerajaan di Perak. Cuma tulisan YONG tak dapatlah YEOP siarkan sebab tertakluk pada hak cipta terpelihara. YEOP hanya akan siarkan apa yang YEOP tulis sahaja:-

(Pertama 28hb Feb)
Dah lama Yeop keseorangan. Hari ni Yeop dapat pasangan. Yong namanya. Yong mulut becok. Cakap tak berlapik. Pakai hentam kromo jer. Mentang-mentang Yeop beri peluang, habis dibedalnya.

Macam-macam Yong lemparkan tuduhan pada Yeop. Inilah perempuan. Tapi Yeop buat tak tau jer. Orang perempuan, mulutnya memang macam tu. Makin dilayan makin menjadi-jadi. Sebenarnya, Yong tak ada topik nak dibincangkan. Sampaikan Yeop dijadikan sasarannya.

Apapun, selamat datang dan salam perkenalan pada Yong. Seronok jugak dapat pasangan jenis mulut becok macam ni. Ada juga manfaatnya. Kalau tidak, sunyi dan sepi aje. Filem pun begitu jugak, kalau tak ada slot lawak, tak cerialahkan.

Pada Yong, Yeop harap Yong gunakan mulut becok Yong tu untuk beri pandangan, ulasan, kritikan, ideal dan cadangan yang baik untuk rakyat kita dan Malaysia amnya.

Memang betul Yeop bercuti dua hari. Bosan duduk kat rumah, Yeop ikut YB-YB turun padang. Sekali turun, baru Yeop tau apa yang berlaku di bawah sana. Rupanya apa yang wakil rakyat janji tika kempen pilihan raya tahun lalu hanya kosong semata-mata.

Bila menang, bila dah ada mandat, mereka lupa nak tunai. Sedihlah Yeop macam ni.
Sekarang, mereka terima balasannya. Tika mula-mula bergelar YB dulu, bukan main manis dan lembut lagi bercakap.

Selalu masuk kampung jumpa penduduk. Mengalahkan Yong yang mulut becok tu. Tapi bila dah lama pegang, mereka dah mula bosan. Mulalah lupakan tanggungjawab. Jadi tak sedar diri. Sekarang bila sudah terantuk, baru nak tengadah.
Yong patut bisik-bisik kat telinga YB-YB yang tak lagi jadi MB dan Exco tu. Bisik macam Yeop laungkan azan kat telinga anak Yeop.

Yeop: Selalu cermin diri.

7 minit

Kuatkuasa 15hb Februari lalu, ruangan Sekilas Pandang dalam akhbar Sinar Harian telah ditukar kepada 7 Minit. Berikut adalah pandangan saya dalam 7 Minit siaran 27hb Feb 2009.

Apa cerita Man?
SAYA dihubungi ramai sahabat. Majoriti daripadanya mahu tahu perkembangan semasa. Mereka kata, mereka keliru. Mereka kata, mereka tak tahu yang mana satu betul. Pakatan Rakyat (PR) atau Barisan Nasional (BN).

Saya beritahu mereka, sebenarnya saya dah bosan dan muak dengan politik sekarang. Saya juga beritahu mereka, saya dah tak ambil tahu lagi pasal isu-isu politik. Bagi saya, lagi kita ikuti, lagi bertambah-tambah sakit hati. Saya kata begitu kerana semuanya sama, baik UMNO, PKR, Pas, DAP, MCA mahupun MIC. Mereka ni dilahirkan dalam acuan sama, cuma adunannya lain.

Soal pentingkan diri? Semuanya ada. Itu yang bersarang dalam diri mereka. Tidak seperti dulu lagi. Bertelagah, bertelingkah sama sendiri, masing-masing nak tunjuk jaguh, cari kesalahan orang lain, menerima dan memberi perasuah, membeli dan menjual diri dan macam-macam lagi yang ada kaitan dengan keruntuhan moral.

Inilah senario politik abad ke-21. Wakil rakyat tidak lagi menghiraukan masalah rakyat. Mereka jarang turun padang. Rakyat terkapai-kapai tanpa pemimpin. Jalan rosak tidak dibaiki. Longkang tersumbat tidak diselenggara. Jambatan runtuh tidak diganti baru. Malah, keluarga yang tak ada lampu pun masih banyak.

Macam mana nak tumpu kepada rakyat, diri sendiri pun tidak terjaga. Tidur sekarang pun dah tak lena, makan lagilah tak kenyang, mandi pula tak pernah basah. Sibuk memikirkan... "apakah aku pernah ada skandal dengan teman lelaki atau teman wanita seperti kes Elizabeth Wong atau Chua Soi Lek."

Mahu tak takut. Sekali terbongkar kisah-kisah lama, besar malunya. Kalau muka tembok macam bekas presiden Amerika Syarikat, George Bush yang kena baling kasut tu, tak mengapalah. Ni muka Malaysian. Pergi ke mana-mana, orang kenal. Orang menyebut-nyebut dan berbicara pasal kita.

Itu yang saya kata, saya sudah bosan sebenarnya dengan dunia politik hari ini. Malah, kadang-kadang terfikir juga setiap kali beli surat khabar. Adakah aku beli ni kerana nak baca berita politik yang membosankan itu atau kerana nak baca ruangan lain yang lebih menarik seperti hiburan, sukan dan rencana agama.

Tetapi, kalau tak baca, terasa pula ruginya. Sebab berita politik ni ada kelebihan tersendiri. Setiap daripada kita, termasuk saya, perlu juga tahu sedikit sebanyak hal ehwal politik ni. Tak baca dua hari, nanti jauh ketinggalan.

Saya tak mahulah berlaku dengan segelintir warga kota, apabila pengacara rancangan Wakenabeb bertanyakan siapa nama Ketua Polis Negara, ramai yang jawab tak tahu.

Ada yang jawab, Datuk Rahim Noor kot. Dan tidak sedikit mengatakan Datuk Bakri. Kesian Datuk Hassan Musa. Penat-penat pegang jawatan itu, seorang rakyat pun tak tahu beliau adalah Ketua Polis Negara. Dalam bab ini kita nak salah siapa?

Salah wakil rakyat dan pemimpinlah kerana asyik bertelagah sampai lupa nak terapkan semangat cintakan tanah air dalam diri masyarakat atau pengundi di kawasan masing-masing. Tak mustahil satu hari nanti, rakyat sendiri lupa nama wakil rakyat mereka.

Itulah cerita saya hari ini.