Sabtu, 21 Mac 2009

Kebimbangan Yeop disalah erti

SEMALAM Yeop terima beberapa panggilan daripada kaum kerabat Yeop. Mereka marah-marah. Mereka kata pengetahuan agama Yeop rendah. Mereka kata, Yeop tak tau cakap pasal agama, tapi nak cakap juga. Ini semua kerana Yeop ada membangkitkan pasal perbuatan segelintir pemimpin seolah-olah menyanjung atau dengan kata lain, memuja pokok demokrasi.

Yeop cuba beri penjelasan, tapi ‘mamat’ yang hubungi Yeop ni langsung tak mahu dengar. Emosi betul ‘mamat’ ni. Nampak sangat ‘mamat’ ni bercakap bukan dengan suara hati. Dia cakap mengikut kata hati. Yeop fikir-fikir, tak perlu layanlah. Rugikan masa Yeop saja.

Dalam Yeop termenung-menung memikirkan apa yang Yeop nak buat supaya kaum kerabat Yeop faham apa maksud Yeop pasal pokok demokrasi tu, tiba-tiba Yeop teringat kata-kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang bercakap mengenai Tugu Negara.

Katanya, perbuatan mana-mana individu Muslim, sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur di Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati, malah sekiranya pelaku tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh.

Bagi Yeop sama ada Tugu Negara yang menyerupai patung atau apa-apa sahaja objek seperti rumah kosong, pokok, busut, kubur, tasik, sungai, laut, bintang, langit dan matahari, kalau kita puja, hormat, sanjung dan dijadikan tempat untuk sebarang upacara atau majlis, tidak banyak, sedikit pun ada unsur ke arah sebagaimana dikatakan Dr Mohd Asri itu.

# Yeop tak salahkan pokok itu sebab ia ditanam dan hidup sejak sekian lama. Lagipun, pokok itu sama seperti pokok-pokok yang ada di sekitar rumah Yeop. Persoalannya kenapa tiba-tiba saja pokok itu menjadi perhatian sehingga dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat. Ada yang pasang colok, letakkan bunga dan campakkan duit.
Tidakkah itu sudah ada unsur memuja? Walaupun dilakukan oleh penganut bukan Islam, tetapi siapa yang mula dulu?

Tak cukup dengan itu, pihak berkenaan menamakan pokok itu dengan nama Pokok Demokrasi. Selepas itu mereka bina pula sebuah plak dan menamakannya Tugu Demokrasi. Tujuannya nak jadikan tempat itu sebagai kenangan atau sejarah, kononnya inilah tempat kerajaan PR bersidang. Kononnya, tak pernah ada dalam sejarah di dunia ini sebuah kerajaan bersidang di bawah pokok. Apa ke halnya ni?

Tindakan itu tak salah. Perbuatan mereka adalah baik untuk dijadikan sebagai kenangan. Yeop percaya, mungkin mereka tidak sangka dan tidak jangka tempat itu dipuja-puja, disanjungi, diingati, disebut-sebut, dikagumi dan macam-macam lagi hal yang berkaitan dengan ketaksuban. Malah Yeop dengar cerita ada golongan tertentu datang ke situ untuk minta empat nombor ekor, menyampaikan niat dan minta hajat.

Ini yang Yeop sedar berlaku pada pokok itu. Tapi malangnya dan sedihnya, tak ada seorang pun alim ulama tampil buat kenyataan. Tak ada seorang pun yang tahu pasal agama termasuklah si mamat yang marah-marahkan Yeop tu, mahu tegur sikap segelintir pemimpinnya yang agung-agungkan pokok itu.

Pada ke halnya sambut hari ulang tahun pun di bawah pokok itu. Apa ke halnya plak yang pecah dan patah dibungkus lalu dilelong. Nampak sangat kaum kerabat Yeop ni suka kepada benda-benda yang bagi Yeop tak ada makna dan faedah. Kita jangan ikut orang barat lelong itu, lelong ini.

# Yeop tak tau sejauh mana serpihan plak demokrasi yang akan dilelong hari ini telah terlelong dan berapa jumlah bidaan tertinggi serta siapa yang membelinya. Apa kegunaan plak itu pun Yeop tak tau. Apatah lagi Yeop tak nampak keistimewaannya. Lainlah kalau telur raksasa atau serpihan tulang dinasor.

Bukan niat Yeop nak memperlekehkan apa yang dilakukan kerajaan PR. Jauh sekali nak memperkecilkan mereka. Yeop tau siapa diri Yeop dan Yeop sedar siapa mereka. Cuma Yeop nak minta pada mereka, janganlah terlalu taksub sangat kepada pokok dan plak demokrasi itu. Gunalah cara lain yang lebih diplomasi dan dituntut oleh agama untuk kembali menjadi kerajaan semula.

Cukuplah jadikan pokok itu sebagai tempat kunjungan atau lokasi untuk adakan sesuatu program. Daripada mengajak rakyat berkumpul di bawah pokok, adalah lebih afdal mengajak mereka ke masjid. Ada juga pahalanya sebab sebelum majlis bermula, ada antara mereka akan menunaikan solat sunat dahulu.

Atau kalau program itu bercampur dengan pelbagai agama, adalah lebih baik diadakan di rumah. Sekurang-kurangnya rakyat kenal rumah pemimpin. Rakyat boleh tengok sebesar mana kereta mereka dan sejauh mana taraf hidup mereka.

Note: Yeop ni adalah untuk siaran Edisi Perak setiap Ahad.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Yeop,

Lepas ni kita tanam pokok durian, sape pun tk berani dekat. Tak ada org akan bersidang bwah pokok durian... kalau ada mereng la namanya tu...