Ahad, 29 Mac 2009

Macam-macam

RAMAI tertunggu-tunggu dan membuat perkiraan Dari Blog ke Blog minggu ini tentu akan mengambil tulisan blogger yang berkaitan dengan hukuman dijatuhkan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Memang benar, klik sahaja mana-mana blog, semuanya mengisahkan mengenai dua pemimpin tertinggi yang mempunyai nama agak gah dalam arena politik UMNO masa kini.

Malangnya, walaupun ada yang menjangkakan Mohd Ali dan Khairy terlibat dalam politik wang, tetapi tidak sedikit mempersoalkan kenapa hukuman mereka tidak sama? Sedangkan, kedua-duanya didapati bersalah.

Lembaga Disiplin UMNO dikatakan menerima kira-kira 1,000 laporan atau kes mengenai kegiatan itu sepanjang kempen pemimpin pemimpin di peringkat bahagian dan pusat, namun menurut blogger telokkemang.blogspot.com, apakah hanya dua tupai sahaja yang jatuh ke bumi?

Katanya dalam blog bertajuk Sepandai-pandai Tupai Melompat, itulah yang terjadi kepada dua calon utama pertandingan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO hujung bulan ini.

"Mereka didapati bersalah mengamalkan rasuah dan melanggar disiplin parti. Mereka yang disabitkan kesalahan adalah Mohd Ali Rustam yang dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden. Kerana kesalahan itu, dia diharamkan bertanding jawatan berkenaan.

"Sementara Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin ialah calon Ketua Pemuda. Dia diberikan amaran, tetapi tidak diharamkan daripada bertanding.

Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail memberitahu sidang akhbar di PWTC yang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bebas daripada segala tuduhan," katanya.

Dengan penyingkiran Mohd Ali, ulas penulisnya lagi, pertandingan jawatan Timbalan Presiden adalah antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dalam sidang akhbar itu, katanya, Tengku Ahmad Rithauddeen mengumumkan hasil penyiasatan membabitkan 29 ahli parti. Seramai 10 digantung keahlian selama tiga tahun bermula 12 Mac dan diberikan surat amaran.

"Soalnya, bagaimanakah di suatu pihak dia berkata, dia tidak bersalah, sedangkan di pihak yang lain dia berkata, dia menghormati keputusan Lembaga Disiplin yang mendapatinya bersalah," katanya.

Ulas beliau lagi, turut didapati bersalah mengamalkan rasuah politik wang ialah wakil Mohd Ali yang juga Setiausaha Politiknya, Saadun Basirun. Saadun digantung daripada parti selama tiga tahun.

Khairy juga didapati bertanggungjawab ke atas salah laku wakil, tetapi kesalahan wakil Khairy, menurut Tengku Ahmad Raithauddeen adalah lebih ringan daripada Saadun.

BLOGGER Azlishukri pula memulakan tulisannya dengan memaparkan firman Allah, "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu berkhianat kepada Allah dan Rasul dan juga janganlah berkhianat berkenaan dengan amanat yang diamanahkan kepada kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Al-Anfal:27).

Katanya, apabila Allah mewajibkan kita memegang amanah yang telah diberikan, maka wajib bagi kita melaksanakan amanah yang telah diberikan itu.

Dalam konteks ini, sangat jelas pemimpin yang baik adalah pemimpin yang melaksanakan amanah yang telah diberikan kepadanya. Dalam menyelesaikan pelbagai kemelut dan cabaran pada masa kini, kita harus kembali kepada sikap amanah.

"Dengan hanya bersikap amanah sahajalah pelbagai masalah dan penyakit yang sedang melanda Malaysia pada waktu kini berupaya diselesaikan.

Kadangkala, kita ada ilmu dan tahu kebenaran sesuatu perkara itu, tetapi kita tidak amanah dengan ilmu dan kebenaran tersebut, lalu kita sorok perkara yang sebenar dan menyembunyikan kebenaran. Lantaran itulah, banyak perkara dan konflik tidak dapat diselesaikan secara baik dan telus.

"Dalam hal ini, melihat isu yang semakin hangat berkenaan politik wang atau rasuah politik yang semakin menjadi-jadi di dalam UMNO, saya merasakan bahawa cara terbaik bagi penyelesaiannya ialah kembali kepada sifat amanah yang dituntut oleh Islam seperti mana ayat yang saya kutip di atas," katanya melalui blog http://azlishukri.blogspot.com.

Persoalannya, bagaimanakah caranya. Dan bagaimanakah sikap amanah mampu menyelesaikan pelbagai kemelut dan fitnah yang selama ini membelit UMNO.

"Pada hemat saya, dalam konteks pemilihan kepimpinan UMNO, saya melihat jika semua perwakilan UMNO amanah membawa aspirasi dan kehendak bahagian masing-masing, maka fitnah dan kekacauan tidak akan berlaku kepada UMNO.

"Sebagai contoh, jika semua perwakilan bersikap jujur dengan mengundi pemimpin yang telah dipilih oleh bahagian masing-masing, maka UMNO akan selamat.

Tetapi, kerana sikap kita tidak amanahlah, berlaku kemenangan kepada individu yang tidak layak untuk memegang amanah bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara," katanya.

Dan akhirnya menurut Azlishukri, pemimpin tersebut gagal menjalankan amanah, lantaran beliau dipilih secara tidak amanah oleh perwakilan, sekali gus mengundang fitnah kepada UMNO dan para pemimpinnya.

Katanya, bertitik tolak daripada itu, apabila majoriti bahagian UMNO mencalonkan seseorang itu untuk memegang sesuatu jawatan, laksanakanlah amanah tersebut dan berikanlah kemenangan kepada beliau.

Jika tidak, fitnah akan pasti melanda kita semua sekiranya calon tersebut tewas, padahal pencalonan yang beliau terima daripada Bahagian UMNO di seluruh Malaysia adalah sangat tinggi.

Sudah pasti hal tersebut berlaku kerana sifat amanah yang semakin tipis dalam diri perwakilan yang seharusnya mereka memahami bahawa mereka merupakan wakil yang membawa suara majoriti bahagian masing-masing.

ULASAN seorang blogger dalam http://ops2012.blogspot.com pula menegaskan bahawa fikiran seseorang tidak terus diputar belit dan diracuni dengan istilah politik wang, namun dengan tegas hendaklah menganggap ia sangat jijik, kotor dan haram di sisi Islam kerana ianya adalah rasuah. Kenapa kita boleh tertipu dengan istilah itu?

Tulisnya, beliau berasa hairan apabila difikirkan walaupun tidak diajak untuk memikirkan perkara itu dan hairannya kenapa kalau Mohd Ali Rustam didapati bersalah dia dilarang bertanding, kenapa Khairy juga bersalah, namun hanya diberi amaran sahaja.

Demikian pula kata penulis berkenaan, hukuman pesalah yang lain semacam keputusannya sudah diatur dan terpilih sahaja. Mana lagi kes yang dilaporkan melibatkan ribuan kes dan 100 yang besar seperti dilaporkan oleh media.

"Kalau sudah bersalah dalam rasuah kenapa masih dianggap tidak bersalah mengikut undang-undang negara.

Sepatutnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menyiasat sama kepada semua yang terlibat, dari mana wang perolehan mereka. Bukankah ini tugas SPRM. UMNO bukannya 'kerajaan langit' seperti didakwa oleh Ayah Pin.

Sampai bilakah UMNO akan bersih kalau Lembaga Disiplin-nya sahaja yang menentukan seseorang pemimpin UMNO bersalah atau tidak, namun dia dianggap masih belum bersalah dengan undang-undang negara. Jijik sungguh.

Sampai bila rakyat Malaysia hendak ditipu dengan lawak bodoh ini. "Tidak mustahil yang dihukum itu akan dimaafkan dan dengan alasan sudah taubat nasuha dalam perspektif UMNO. Hukuman itu sekadar acah-acah ayam, kita tunggu dan lihat.

Tindakan dan hukuman terhadap Ali Rustam yang dikatakan Najib tidak melibatkan jawatan Ketua Menteri, dia akan merayu dan masih akan hadir ke Perhimpunan Agung minggu depan adalah gambaran dia akan segera dibersihkan dalam tempoh terdekat. Mudah-mudahan jangkaan tidak meleset. Apalagi Ali Rustam yang saya faham adalah kem dari Najib.

YEOPPERAK melalui blognya bertajuk Perosak Melayu Perak secara ringkas dan padat menulis, "Kamu boleh senyum lagi ya? Mentang-mentang jawatan Pembangunan Ekonomi Tanah dan Hasil Bumi, jadi kamu ingat boleh jual tanah Perak kepada bukan Melayu sesuka hati.

Penulis melalui blognya http://yeopperak.blogspot.com berkata, "dah Perak kamu nak gadai pada si Ngah Ngeh tu boleh senyum lagi? Nasib baik le orang-orang kamu tu bijak... terus nyokong parti lawan... Kalau tidak, tergadai le negeri yeop tu...

"Kamu ni tak paham lagi ke orang dah tak suka? Balik kampung le nengok orang-orang kampung kamu tu... Kamu tahu Ngah dan Ngeh tu nak main-mainkan kamu je.

"Depa tu bukan orang Melayu... kamu pun dah tak nak jadi Melayu kot... dah nak jadi mualaf... Depa tu nak rosakkan orang Melayu, kamu ngikut je ngapa... Mana sifat-sifat kemelayuan kamu tu," katanya.

Tiada ulasan: