PUTRAJAYA, 7 Mei: Pak Cik Jamal atau Jamal Muhamad, 75
menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 11 pagi tadi di Unit
Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.
Jamal yang juga personaliti televisyen
veteran popular dengan watak Speaker menerusi program Mini Parlimen
terbitan RTM di era 80-an mengalami sesak nafas sejak kelmarin.
Akhbar hari ini melaporkan, Jamal tenat
dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya,
semalam, selepas mengadu sesak nafas.
Jamal atau lebih mesra disapa Pak Cik
Jamal melalui program Mini Parlimen yang popular pada era 1980-an, turut
menjalani ujian khas mengesan virus Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus
Korona (MERS-CoV), berikutan beliau baru pulang daripada mengerjakan
umrah pada 30 April lalu.
Anak beliau, Sheila berkata, ayahnya
mengalami masalah pernafasan yang didakwa berpunca daripada penyakit
ankylosing spondylitis yang dihidapi sejak 14 tahun lalu, menyebabkan
tulang belakang Jamal membengkok hingga mengganggu paru-paru.
Katanya, ayahnya dikejarkan ke Hospital Putrajaya menggunakan ambulans selepas mengadu sukar bernafas, tengah hari kelmarin.
“Sejak pulang daripada mengerjakan umrah
bulan lalu, kesihatan ayah makin terganggu. ”Doktor memberitahu
paru-parunya kronik dan disyaki terkena virus MERS-CoV.
“Ayah terpaksa dikuarantin sebelum keputusan mengenai virus itu diketahui antara tiga hingga empat hari lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan