Jumaat, 25 April 2008

Saya orang perjuangan - Ibrahim


Datuk Ibrahim Ali adalah pemimpin idola saya. Walaupun orang ramai menuduhnya dengan pelbagai tuduhan yang menjijikkan, saya tetap menyanjungnya sebagai pemimpin ulung orang Melayu. Siapa yang kenal Datuk Ibrahim, tidak akan menuduhnya yang bukan-bukan.
Justeru itu, saya merupakan orang pertama yang memanjat kesyukuran di atas kemenangannya dalam PRU12 Mac lalu dan saya juga merupakan orang pertama yang berduka dan menangis dengan pemecatannya sebagai ahli UMNO pada tahun 2003.
Minggu lalu, ketika saya off day, saya ambil kesempatan untuk mewawancaranya di pejabatnya di tingkat 10 Hotel Grand Sesson. Berikut saya paparkan hasil wawancara itu.


Soalan: Selepas dipecat keanggotaan UMNO pada tahun Oktober 2003 dan kemudian kalah pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengkalan Pasir pada tahun 2005, ramai pihak menganggap karier politik Datuk sudah berakhir. Namun, pada pilihan raya umum lalu, Datuk berjaya membuktikan sebaliknya dan bagaimana situasi ini boleh berpihak?

Datuk Ibrahim: Sesetengah pihak menganggap kekalahan saya pada Pilihan Raya Kecil DUN Pengakalan Pasir atas tiket bebas sebagai titik tamat kepada kerjaya politik saya. Namun bagi saya dengan undi yang saya terima sebanyak 415 undi adalah satu jumlah yang cukup besar kerana saya berhadapan dengan dua ‘gergasi besar’ iaitu calon UMNO dan Pas.
Tetapi mereka lupa bahawa saya adalah orang perjuangan dan dari segi sejarah perjuangan saya adalah seorang manusia yang konsisten. Sebagai seorang pejuang sejati, saya tidak pernah mengalah dan tidak pernah bersara. Dalam falsafah hidup saya pula, selagi tidak mengalah suatu hari nanti kita akan berjaya. Pepatah Inggeris ada mengatakan ‘a quiter is a loser’ di mana orang yang mengaku kalah, dia akan mengalah betul. Tapi bagi seorang pejuang yang konsisten, dia tidak mempedulikan berapa kali dia jatuh dan bangun serta tidak menghiraukan kata-kata orang lain, dia tetap dengan keyakinan dirinya. Alhamdulillah, pada pilihan raya umum lalu terbukti saya mampu bangkit semula. Saya jatuh dalam politik pun bukan kerana isu-isu yang merosakkan peribadi saya seperti terlibat dengan rasuah, pecah amanah ataupun moral. Kalau ada pun kelemahan saya ialah bertukar parti dan mereka tuduh saya sebagai ‘Raja Katak’, ‘gedebe’ dan tidak boleh dibawa berunding. Saya terima semua itu kerana perjuangan saya berasaskan keyakinan dan keinginan untuk berkhidmat kepada rakyat dan saya tidak kisah dengan gelaran-gelaran itu kerana yang penting rakyat tahu siapa Ibrahim Ali!

Soalan: Jadi Datuk menganggap kerjaya politik Datuk bergantung sepenuhnya kepada rakyat dan mereka yang menentukan jatuh bangun Datuk selama ini?

Datuk Ibrahim: Kalau kita lihat dari segi politik, ada orang nak wakil rakyat yang rasuah ataupun salah guna kuasa, janji dia boleh menyumbang kepada rakyat. Kalau ada duit beli undi, buat projek, adalah juga rakyat yang sokong pemimpin kerana sebab itu. Ada pula orang nakkan pemimpin yang tak buat apa-apa pun asalkan dia bersuara untuk rakyat. Pengundi-pengundi sekarang ini berbagai latar belakang. Saya ini berada di tengah-tengah, ada sedikit sumbangan untuk rakyat mengikut kemampuan tetapi apa yang saya cukup bangga ialah waktu saya dalam dan di luar kerajaan, saya konsisten dalam membicarakan isu-isu keadilan rakyat termasuklah isu ISA, rasuah dan apa jua isu. Contohnya masa dalam UMNO, saya cium juga tangan Tun Mahathir tetapi bila saya nak kritik, saya kritik. Kalau masa Perhimpunan Agung saya tetap bersuara lantang dan menentang arus kerana saya bercakap mewakili rakyat.
Dalam UMNO pun kejatuhan saya berpunca daripada kelantangan saya bersuara bukan kerana rasuah dan pecah amanah, sedangkan orang yang korupsi dan kononnya nampak ‘bersih’ dikekalkan. Itulah yang terjadi dalam pilihan raya umum baru-baru ini bila rakyat tolak UMNO. Saya harap pemimpin tertinggi UMNO pun akan belajar dari pengalaman ini.

Soalan: Jadi maksud Datuk, sebagai seorang pejuang sejati Datuk tidak perlukan satu parti untuk dijadikan platform kukuh untuk berkhidmat kepada rakyat?

Datuk Ibrahim: Dari segi idealnya kita tidak semestinya ada parti, sebab itu ada orang tanya saya adakah satu hari nanti saya akan masuk UMNO atau Pas, saya kata buat masa sekarang ini saya tidak mahu. Sebab saya sudah serik masuk parti sebab saya tahu saya lantang. Kalau saya masuk parti kalau saya nampak tak betul, saya akan tegur pemimpin dan kalau saya lantang kritik pemimpin maka saya pula akan dipecat. Sistem berparti di negara kita lain tidak seperti negara-negara maju, di Malaysia kalau kita masuk satu parti kita kena jadi ‘pak turut’, setuju atau tidak kita kena ikut saja, kita dipantang menegur pemimpin.
Kalau tanya saya bolehkah berjuang tanpa parti, saya akui agak susah. Kalau untuk bercakap di Parlimen saya tidak perlu ada parti sebab saya sudah jadi Ahli Parlimen tetapi saya perlu juga berkhidmat kepada rakyat. Saya perlu hulurkan sedikit sebanyak kalau ada kenduri, kematian, bencana dan mereka melihat saya ini sebagai wakil rakyat dan kalau kita tidak berupaya nak bantu nanti rakyat kata kita tak mampu jadi YB. Ada sentimen rakyat yang seperti ini dan ada juga yang hanya mahu kita bercakap masalah mereka di Parlimen. Nak tak nak kalau mahu berjuang secara berkesan mesti ada parti. Tetapi buat sementara waktu ini biarlah saya berfungsi sebagai Ahli Parlimen Bebas kerana ada baiknya sebab saya boleh bercakap, mengkritik dan menegur tanpa terikat pada mana-mana parti.
Pas tahu nilai kelebihan saya!

Soalan: Apa rasionalnya Datuk bertanding pada pilihan raya umum lepas atas tiket Pas?

Datuk Ibrahim: Sistem pilihan raya di negara kita ini orang yang nak bertanding mesti atas tiket parti. Kalau di Kelantan memang sukar untuk bertanding sebagai calon bebas. Parti yang kuat dan besar pula adakah Pas dan UMNO dan ramai yang jadi ahli kedua-dua parti ini, yang tak jadi ahli berapa ramai sangat. Jadi kalau saya bertanding atas tiket bebas tentu sukar untuk menang, tetapi saya ada pengaruh di Pasir Mas. Saya tengok pengaruh saya sebagai wakil rakyat dulu dan ada juga orang tengok saya sebagai calon yang tak perlu fikir pasal parti, adalah jumlahnya dalam lima ribu orang tetapi saya tidak mungkin boleh menang. Tetapi saya sudah boleh menjadi kumpulan minoriti yang boleh menentukan parti mana yang boleh menang dalam pilihan raya. Oleh kerana saya sudah ada sokongan seumpama ini, Pas sudah melihat saya boleh memberi keuntungan kepada parti itu sebab itu mereka beri laluan kepada saya untuk bertanding atas tiket Pas. Pakatan ‘win-win situation’ ataupun untung-untung, tetapi Pas untung banyak dan saya untuk sikit saja sebab saya boleh jadi Ahli Parlimen namun bagi Pas saya membawa suara mereka bukan setakat di Pasir Mas saja tetapi di seluruh Kelantan dan juga di peringkat Parlimen.

Soalan: Namun ada tuduhan yang mengatakan Datuk telah ‘bayar’ kepada Pas untuk dipilih sebagai calon Parlimen Pasir Mas, apa reaksi Datuk?

Datuk Ibrahim: Sebenarnya tidak mudah untuk guna kaedah ‘bayar’ dengan Pas. Pertama, saya tidak ada duit dan kalau bayar pun mustahil Pas akan terima kerana Pas di Kelantan tidak sama dengan Pas di Perak, Kedah dan Terengganu sebab Pas di sini sudah jadi kerajaan negeri. Jadi mereka sudah ada keupayaan dan saya tidak perlu bayar. Cuma Pas nampak dua aspek yang ada pada saya iaitu sokongan rakyat di Pasir Mas kerana kalau orang UMNO yang menyokong saya mengundi Pas di peringkat DUN dan menang, itu beri kesan besar kepada Pas jika nak dibandingkan dengan duit. Buat apa Pas nak suruh saya bayar kerana mereka sendiri perlukan undi yang saya ada. Kedua, Pas nak saya mampu menarik orang ramai kalau saya berceramah sebab orang suka kata dengar saya bercakap.
Pas nampak saya sebagai satu aset dan inilah kesilapan UMNO yang menggugurkan saya dulu. Pucuk pimpinan UMNO terima hasutan bahawa saya jenis ‘gedebe’ dan cara itu tidak boleh bawa sokongan kepada parti. Tetapi bila saya dipecat tidak ada lagi orang ‘gedebe’ dalam UMNO, tapi dalam Pas ada Mat Sabu dan ramai lagi. Ini keuntungan kepada Pas.

Soalan: Walaupun Datuk bertanding dan menang di Pasir Mas atas tiket Pas, namun dalam sesetengah isu seperti isu cadangan penggubalan Akta Anti Lompat Parti yang dikemukakan, Datuk tidak sehaluan pendapat dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, jadi mengapa ada pertentangan seperti itu?

Datuk Ibrahim: Dalam isu tukar parti ini mahkamah pernah membuat keputusan bahawa ia melanggar hak asasi manusia. Kes Nordin Salleh iaitu ADUN Sungai Pinang yang lompat parti masuk UMNO, mahkamah putuskan tindakan itu tidak salah kerana itu hak beliau untuk tukar parti. Macam Pas bolehlah bercakap kata sokong sekarang ini tetapi sewaktu perbezaan satu kerusi di DUN baru-baru ini, kalau ada YB UMNO yang lompat masuk Pas, adakah Pas akan menolaknya?
Kelantangan jadi aset perjuangan

Soalan: Dengan kelantangan Datuk, adakah Datuk akan terus menegur sekiranya ada perkara yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan negeri dan juga pusat?

Datuk Ibrahim: Saya akan menyokong semua perkara yang dibuat sama ada kerajaan negeri dan pusat yang boleh mendapatkan kebaikan kepada rakyat, dalam apa sahaja itu. Sebaliknya juga, saya akan terus mengkritik sesiapa sahaja dan orang pun boleh kritik saya. Begitulah sikap saya di Parlimen kerana saya tidak terikat dengan mana-mana pihak. Saya hanya bercakap untuk kepentingan orang Melayu dan agama Islam. Dalam masa sama saya mendokong perpaduan kaum dan hak semua kaum akan dibela.
Selagi nasib bangsa Melayu tidak mencapai standard Dasar Ekonomi Baru iaitu sasaran 30% pencapaian dalam ekonomi, saya akan terus bercakap terutamanya hak istimewa orang Melayu yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Pada saya, sesiapa pun yang menjadi Menteri Besar ataupun Perdana Menteri yang menidakkan hak keistimewaan orang Melayu, tindakan itu melanggar undang-undang dan Perlembagaan.

Soalan: Sebagai Ahli Parlimen bebas, bagaimanakah Datuk akan membangunkan Pasir Mas dengan ketiadaan peruntukan?

Datuk Ibrahim: Sekarang ini Kelantan di bawah pemerintahan Pas dan sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk membangunkan keseluruhan kawasan di negeri itu termasuk juga Pasir Mas melalui ADUN yang dipilih oleh rakyat. Manakala Barisan Nasional di bawah pimpinan Pak Lah sudah berjanji tidak akan menganaktirikan Kelantan dan pembangunan daripada Kerajaan Pusat akan diteruskan.
Jadi tugas saya adalah untuk membawa segala masalah dan keinginan rakyat di Parlimen. Tapi kalau saya ada rezeki lebih, saya akan bagi derma dan sumbangan kepada rakyat. Tugas untuk membawa pembangunan seperti buat sekolah, buat jalan dan sebagainya bukan tugas saya. Tetapi saya akan terus bercakap mengenai isu-isu pembangunan dan masalah masyarakat di Dewan Rakyat.

Soalan: Menyentuh mengenai projek ternakan babi bernilai RM100 juta yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Selangor, apakah pandangan Datuk mengenai isu itu?

Datuk Ibrahim: Saya tengok isu babi ini sengaja diperbesarkan oleh media arus perdana. Sebenarnya isu babi di Selangor bukan isu baru kerana sebelum ini sudah timbul isu yang sama di Melaka. Tetapi bila isu ini berlaku di Melaka, publisitinya tidak besar seperti di Selangor. Babi sudah lama diternak di Malaysia dan ia adalah hak orang Cina. Kalaulah tujuan projek ini adalah untuk diselaraskan bagi memodenkannya supaya tidak busuk, bersih dan terkawal, pada saya tidak ada halangan. Tambahan pula ia untuk menampung keperluan dalam negeri, tetapi jika projek itu bertujuan untuk eksport babi, saya pun tidak setuju. Buat mengikut keperluan.
Dari sudut politik, saya melihat laporan besar-besaran yang dibuat oleh media semata-mata hanya untuk menunjukkan ‘keburukan’ kerajaan Pakatan Rakyat yang menggabungkan DAP, PKR dan Pas. Bila mendedahkan Pas sokong projek babi itu maka harapan media arus perdana mahu orang Melayu marah kepada Pas. Tetapi cara publisiti yang dibuat itu mungkin akan membuatkan orang Melayu marah kepada Pakatan Rakyat tetapi orang Cina akan suka dan ini member keuntungan besar kepada DAP dan PKR. Inilah yang dinamakan senjata makan tuan. Jika dulu isu babi heboh di Melaka namun media hanya main sedikit sahaja isu ini sedangkan babi di sana lagi teruk, bak kata orang, babi Melaka boleh ‘makan angin’ di tengah-tengah Bandaraya Melaka.
Sepatutnya bila timbul isu babi ini, semua pihak sama ada UMNO ataupun rakyat Selangor perlu menentukan adakah projek itu sesuai mengikut saiz, tapak, konsep ternakan yang mementingkan kebersihan dan alam sekitar terjaga. Kalau kesemua itu tidak mengikut standard barulah kita boleh tentang. Itu lebih rasional.

Soalan: Tiga parti utama pembangkang iaitu Pas, PKR dan DAP telah bersetuju untuk membentuk Pakatan Rakyat (PR) bagi memperkukuhkan kerjasama mereka, namun secara realitinya pakatan ini sebenarnya masih rapuh kerana masing-masing berbeza ideologi politik. Pada pandangan Datuk, sejauh manakah PR mampu menyaingi Barisan Nasional (BN)?

Datuk Ibrahim: Terlalu awal untuk saya komen kerana banyak perkara masih ‘belum diselesaikan’ oleh ketiga-tiga parti berkenaan. Sebab dalam perlembagaan Pas sudah termaktub bahawa parti itu memperjuangkan Islam berpandukan kepada al-Quran dan hadis. Manakala DAP pula cuba menubuhkan Negara Sekular dan PKR memperjuangkan hak semua kaum. Jika keadaan ini berterusan, saya tidak Nampak akan wujud satu pakatan yang kuat. Tetapi kalau masing-masing boleh memahami antara satu sama lain dan PR boleh diwujudkan maka kita menuju ke arah dua sistem parti yang sihat.
Pada pilihan raya umum lalu, saya melihat rakyat menolak BN bukan disebabkan faktor alternatif pembangkang sebagai Pakatan Rakyat sebaliknya mereka lebih cenderung memprotes pucuk pimpinan negara. Isu kenaikan harga barang cukup memberi kesan kepada rakyat terutamanya pengundi Melayu dan Cina lalu mereka menterjemahkan rasa tidak puas hati itu melalui kertas undi. Ini punca utama kekalahan teruk BN. Bila keadaan ini berlaku pengundi sudah tidak memikirkan jenis parti lagi, kalau jumpa parti payung, mereka akan pangkah payung, jumpa bulan undi bulan. Sebab di negara lain isu kenaikan barang boleh mencetuskan huru hara dan juga mogok, tapi di negara kita mereka protes melalui peti undi.
Faktor kedua yang mendorong pengundi Cina berpaling arah ialah walaupun kerajaan banyak umumkan projek-projek besar tetapi masyarakat Cina tidak merasai tempias perniagaan hasil daripada pengumuman itu. Dulu ada Dasar Ekonomoi Baru, kalau orang Melayu dapat mereka akan berkongsi dengan tauke Cina jadi mereka tetap dapat manfaatnya. Tetapi keadaan sekarang ini berlaku sebaliknya.

Tiada ulasan: