Khamis, 15 Julai 2010
Alkisah Puteri Saadong
PUTERI SAADONG BERAKHIR DI BUKIT MARAK?
Pemerintahan Puteri Saadong dikatakan berakhir menjelang kurun ke-18. Di akhir pemerintahan baginda tidak langsung disebut baik mana-mana juga buku sejarah, bahkan cerita-cerita lisan dari penduduk negeri Kelantan pun tidak didapati, puas juga saya menjelajah ke seluruh negeri Kelantan, ke Kampung-kampung yang jauh di pendalaman dan pernah juga saya menjalankan kajian di Bukit Marak yang dikatakan tempat akhir sekali Puteri Saadong bersemayam, tidak saya temui bahan-bahan yang boleh menolong mengesan lingkaran sejarahnya yang berikut.
Dengan berakhirnya pemerintahan Raja Abdul Rahim yang menggantikan pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai dan juga pemerintahan Puteri Saadong di Bukit Marak, maka muncul semula pemerintahan di Jembal iaitu pemerintahan Sultan Umar (Raja Umar). Baginda ini ialah adik kepada Raja Loyor dan pangkat bapa saudara pula kepada Puteri Saadong.
Pemerintahan baginda ini dikatakan bermula pada tahun 1675. Baginda mempunyai beberapa putera dan puteri. Putera sulung baginda bernama Raja Kecil Solong yang dirajakan di Kota Teras (di Kampung Teras dekat Kampung Mentuan), seorang lagi putera baginda bernama Raja Ngah atau dipanggil juga Raja Hudang memerintah di Tebing Tinggi Pusaran Buah (Kampung Tanjung Chat), seorang puteri Sultan Umar bernama Raja Pah telah berkahwin dengan Tuan Besar Long Bahar seorang putera raja yang datang dari Patani, Selatan Thailand.
Mengenai Tuan Besar Long Bahar pula, menurut Ringkasan Cetera Kelantan yang ditulis oleh Datuk Paduka Raja Kelantan, Nik Mahmud bin Ismail, adalah putera kepada Wan Daim atau disebut juga Datuk Pangkalan Tua, raja dari negeri Petani yang zuriatnya berasal dari keturunan anak-anak Raja Bugis bernama Paqih Ali.
Tuan Besar Long Bahar mempunyai beberapa saudara iaitu Tuan Solong Kelantan, Tuan Senik Genting dan Datuk Pasir Petani. Oleh kerana terjadinya perselisihan keluarga, maka Tuan Besar Long Bahar telah merantau ke Kelantan dengan membawa bersama seorang putera yang bernama Long Sulaiman. Di Kelantan, Long Besar berkahwin pula dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar, kemudian Tuan Besar Long Bahar berpindah membuka sebuah tempat yang diberi nama Kota Kubang Labu (dalam Wakaf Bharu, Tumpat).
Dalam tahun 1721, Sultan Umar telah mangkat dan baginda inilah juga yang disebut atau digelar Raja Udang, yang mana makamnya dalam kawasan sawah padi kira-kira dua rantai jauhnya dari Sekolah Rendah Kebangsaan Kedai Lalat. Begitu juga Raja Bahar, kekanda baginda yang memerintah Jembal mangkat pada tahun 1675 digelar Raja Ekor, makamnya di Kampung Tok Kambing, Mukim Sering, Kota Bharu.
Dengan kemangkatan Sultan Umar, putera sulung baginda, Raja Kecil Solong yang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih pemerintahan di Jembal. Dan dengan persetujuan baginda juga, diangkat adik iparnya, Tuan Besar Long Bahar menjadi raja di Jembal. Dengan itu Kota Kubang Labu, Tumpat diserahkan kepada pemerintahan putera baginda, Long Sulaiman. Putera ini ialah dari isteri baginda di Patani.
Apabila pemerintahan Jembal dan di Kota Kubang Labu terserah kepada Tuan Besar Long Bahar dan putera baginda, maka berakhirlah satu peringkat pemerintahan dari zuriat Raja Sakti yang memerintah Jembal. Pada peringkat ini pula, zuriat keturunan Tuan Besar Long Bahar yang memerintah Jembal dan Kota Kubang Labu. Keturunan Tuan Besar Long Bahar ini juga asalnya raja-raja yang memerintah Negeri Kelantan sehingga kini.
Dalam tahun 1977 hingga tahun-tahun yang kemudian, saya telah menjalankan kajian di beberapa tempat sekitar Kedai Lalat yang letaknya kira-kira 7 batu dari bandar Kota Bharu. Di kampung itu terletaknya makam Raja Loyor iaitu ayahnda Puteri Saadong. Menurut cerita penduduk kampung sekitar, suatu ketika dahulu ada beberapa orang Siam datang mengorek makam tersebut, kononnya orang Siam itu bermimpi dalam makam tersebut ada sebilah keris yang dianggap keramat atau mempunyai kuasa ghaib. Pernah satu ketika ada orang mencuri serpihan batu nisannya yang dibuat dari batu marmar, beberapa hari kemudian serpihan itu dipulangkan semula. Menurut orang yang mengambil serpihan itu, dia sering diganggu mimpi menakutkan.
Makam Raja Udang atau Sultan Umar mempunyai beberapa kepercayaan pula, makam ini terletak tidak jauh dari Masjid Kedai Lalat. Ada satu batu besar yang disebut batu hampar berdekatan makam tersebut. Penduduk kampung sekitar ada yang percaya batu sepanjang tiga kaki dan lebar kira-kira dua kaki dengan tebalnya enam inci itu mempunyai kuasa ghaib. Tidak ada sesiapa pun berani mengambil batu itu.
Sebuah lagi makam di Kampung Tok Kambing iaitu kira-kira satu batu dari Kedai Lalat, makam itu dikenali sebagai makam Raja Ekor atau Raja Bahar. Makam ini ada binaan yang dibuat dari batu pejal, sungguh menarik kerana terdapat ukiran terpahat, ukiran seekor burung (boleh jadi Burung Bangau) sangat menghairankan kerana biasanya perkuburan Islam tidak menggambarkan benda hidup seperti haiwan.
Pahat yang berbentuk burung biasanya mempunyai pengaruh dari utara terutama Negara China (meliputi negeri di Indo-China). Adakah Raja Ekor ini seorang raja yang berasal dari Indo-China ataupun boleh jadi batu makam itu sengaja ditempa di Chempa (Republik Khamer) yang waktu di zaman dulu pernah menjadi sebuah kerajaan Islam dan pengaruh Islam. Inilah perkara yang ahli penyelidik harus menjalankan kajian lebih mendalam, seelok-eloknya meninjau pula ke negeri di Indo-China untuk melihat makam Islam di zaman dulu yang banyak terdapat di negara itu. Dapat juga buat perbandingan dengan makam raja-raja Jembal yang ada di Kelantan terutama makam Raja Ekor yang masih menjadi mesteri.
PUTERI SAADONG BUNUH SUAMI KERANA CEMBURU.
Catatan Ibnu Batutah mengenai negeri yang disebut Kilu-Kerai itu kurang jelas, baik mengenai letak negeri tersebut dan juga gaya pemerintahan Raja Perempuan yang disebut Urd-uja itu.
Dengan keterangan begitu sedikit, tidaklah boleh memberi kata putus bahawa Kilu-Kerai itulah sebenarnya Kuala Kerai yang terdapat di Negeri Kelantan sekarang ini. Bagaimanapun perkara ini boleh diselesaikan jika ada pakar sejarah yang betul-betul menjalankan penyelidikan khas mengenai perkara itu.
Dari beberapa keterangan, iaitu berdasarkan hikayat lama dan juga lain-lain catatan sejarah, Negeri Kelantan telah wujud pemerintahan beraja berteraskan agama Islam pada kira-kira awal kurun ke-15. Dikatakan raja mula-mula memerintah Kelantan yang dapat dikesan ialah Maharaja K’Umar atau disebut juga Raja K’Umar. Pemerintahan baginda adalah sekitar tahun Masihi 1411, tetapi tidak diketahui di mana letaknya pusat pemerintahan baginda. Sesetengah ahli sejarah tempatan percaya pusat pemerintahan baginda terletak di Pulau Sabar, iaitu sebuah pulau yang terletak di tengah Sungai Kelantan berhampiran Kampung Laut. Pulau itu pada masa ini telah tenggelam.
Selepas pemerintahan K’Umar, muncul pula pemerintahan Sultan Iskandar. Pemerintahan baginda berakhir pada tahun 1465 Masihi kerana dibinasakan oleh angkatan perang Siam (Thai), kononnya baginda dan lebih 100,000 rakyat Kelantan telah ditawan dan dibawa ke negeri Siam. Tidaklah diketahui mengenai nasib raja itu, adakah baginda mangkat di Siam atau dihantar pulang ke Kelantan.
Kira-kira pada tahun Masihi 1477, sebuah angkatan perang dari Melaka yang diperintah oleh Sultan Mahmud menyerang dan mengalahkan Kelantan. Sultan Mansur iaitu Sultan Kelantan ditawan, begitu juga ditawan ketiga-tiga puteri baginda, Puteri Unang Kening, Cubak dan Cuban. Puteri Unang Kening yang paling jelita itu kemudian diperisterikan Sultan Mahmud Shah. Setelah Sultan Mansur Shah mengaku tunduk kepada pemerintahan Melaka, baginda diangkat semula menjadi sultan Kelantan. Sejak itu Kelantan dikira sebagai jajahan takluk Melaka.
Sultan Mansur Shah mangkat pada kira-kira tahun Masihi 1526. Putera baginda bernama Raja Gombak dilantik menjadi pemerintah Kelantan. Baginda bersemayam di Pulau Sabar. Dalam tahun 1548, Raja Gombak mangkat tanpa meninggalkan zuriat. Oleh itu, anak saudara baginda bernama Raja Ahmad dilantik menjadi pemerintah Kelantan. Baginda bergelar Sultan Ahmad. Menurut beberapa punca sejarah, Sultan Ahmad mempunyai seorang puteri yang sangat jelita bernama Puteri Cik Wan Kembang. Ketika Sultan Ahmad mangkat, puteri ini masih kecil lagi lalu dilantik seorang anak raja dari Johor bernama Raja Husain memangku raja dengan bergelar Sultan Husain.
Sultan Husain yang memerintah Kelantan itu dikatakan mangkat pada tahun 1610. Dengan itu dilantik Cik Wan Kembang menjadi pemerintah Kelantan. Raja Perempuan Kelantan ini dikatakan berpindah dari Pulau Sabar ke sebuah tempat yang sangat jauh di pendalaman iaitu Gunung Cinta Wangsa (terletak kira-kira 27 batu ke tenggara Kuala Krai).
GANJIL
Mengapa baginda berpindah begitu jauh dari tebing Sungai Kelantan adalah perkara yang sungguh ganjil. Biasanya pemerintahan raja-raja di zaman dahulu memilih tempat berhampiran sungai kerana sungai menjadi jalan dan perhubungan penting ketika itu. Harus juga pada fikiran Raja Perempuan itu, bahawa tempat tersebut lebih selamat dan tenteram dari apa juga gangguan luar terutama gangguan pemerintahan Siam yang dianggap kuasa teragung ketika itu.
Dalam jangka masa sama, di zaman pemerintahan Cik Wan Kembang atau pada pedagang bangsa Arab disebut Cik Siti (Cik Siti Wan Kembang), di Negeri Kelantan telah wujud sebuah lagi pemerintahan beraja yang berpusat di Jembal (Kedai Lalat sekarang iaitu kira-kira 6 batu dari Kota Bharu). Raja yang memerintah di situ bernama Raja Loyor iaitu putera Raja Sakti yang berasal dari Kedah.
Ada sesetengah ahli sejarah tempatan berpendapat Raja Loyor berkahwin dengan Namng Cayang iaitu seorang raja perempuan Pattani yang melarikan diri ke Kelantan. Dari perkahwinan itu, mereka beroleh seorang puteri bernama Puteri Saadong. Puteri Saadong inilah yang kemudiannya diambil oleh Cik Siti Wan Kembang menjadi anak angkatnya kerana baginda tidak mempunyai anak. Puteri Saadong pula berkahwin dengan sepupunya Raja Abdullah. Kemudian Raja Abdullah dilantik menjadi raja di tempat yang bernama Cetak (dalam jajahan Pasir Mas). Tidak lama di situ, Raja Abdullah berpindah pula bersemayam di Kota Mahligai (dalam daerah Melor sekarang).
Setelah Raja Abdullah dan Puteri Saadong berkerajaan di Kota Mahligai, maka Cik Siti Wan Kembang pun balik semula bersemayam di Gunung Ayam. Setelah itu tidak lagi didapati cerita mengenai Cik Siti Wan Kembang, adakah baginda berpindah ke tempat lain atau mangkat di tempat tersebut.
Memang perkara yang sukar untuk mengesan mengenai kedudukan tempat bersemayam Cik Siti Wan Kembang yang sebenarnya kerana di Kelantan terdapat dua gunung bernama Gunung Ayam, sebuah terletak kira-kira 17 batu ke barat Gua Musang, gunung itu setinggi 2,945 kaki terletak terlalu jauh di rimba yang sangat sukar dijalankan penyelidikan. Sebuah lagi Gunung Ayam terletak sempadan Terengganu iaitu kira-kira 15 batu ke timur laut Kuala Krai. Gunung itu setinggi 2,674 kaki dan berada jauh dalam rimba. Gunung Ayam yang mana satu menjadi tempat dan pusat pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.
Makam Cik Siti terletak berdekatan makam Tuan Tabal atau namanya Tuan Haji Abdul Samad bin Muhammad. Tuan Tabal adalah seorang tokoh pengembang agama Islam terkenal di Kelantan yang meninggal dunia pada tahun 1891 dan dimakamkan di perkuburan Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan (Pantai Cinta Berahi). Makam Cik Siti sangat cantik, dibina dengan batu pejal dan berukir. Seni ukir pada binaan makamnya menggambarkan seni ukir yang hampir persamaannya dengan makam-makam di jembal dan juga makam-makam di permakaman Diraja Langgar. Adakah ini yang sebenarnya makam Cik Siti Wan Kembang?
NISAN
Berdasarkan Tanah Perkuburan Banggol, saya yakin adalah satu tanah perkuburan yang sangat lama. Mungkin tanah perkuburan itu digunakan beratus-ratus tahun lalu. Di perkuburan Banggol itu juga akan memperlihatkan kepada kita pelbagai jenis bentuk batu nisan yang ganjil serta ada pula berukir dan bertulis ayat al-Quran yang sangat cantik dan menarik. Dengan berakhirnya pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang tidak dapat dikesan di akhir pemerintahannya, maka muncullah pemerintahan Raja Abdullah di Kota Mahligai.
Pemerintahan Raja Abdullah berakhir pada tahun 1671, iaitu apabila baginda mangkat dibunuh oleh isterinya, Puteri Saadong. Lalu Puteri Saadong melantik pula Raja Rahim, anak Raja Abdullah merajai Kota Mahligai. Tidak lama selepas Raja Rahim memerintah, baginda kemudian dibunuh pula oleh rakyatnya di tepi tasik Lelayang Mandi. Dengan kemangkatan Raja Rahim, berakhirlah pemerintahan beraja di Kota Mahligai.
Konon menurut cerita, Puteri Saadong telah lama ditawan dan di bawa ke Siam (Thailand) iaitu ketika tentera Siam datang melanggar Kelantan waktu mereka mula-mula berkahwin dan bersemayam di Kota Mahligai. Selepas beberapa tahun Puteri Saadong di Siam, baginda dihantar balik ke Kelantan. Alangkah terkejutnya Puteri Saadong bila mendapati suaminya Raja Abdullah telah berkahwin lain. Dari situ berlaku pertengkaran dan berakhir kemangkatan Raja Abdullah dengan tikaman pacak sanggul isterinya.
Sumber: N A Halim (Muzium Negara)
Petikan: Mingguan Malaysia 28 Oktober 1979
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
1 ulasan:
Kematian Raja Abdullah telah dirancang supaya takhta raja tersebut dapat dirampas.
Puteri Saadong tidak menikam suaminya dengan menggunakan cucuk sanggul kerana beliau seorang yang mempunyai pegangan agama dan berperibadi baik, mana mungkin dia sanggup membunuh suaminya. Jadi, kematian Raja Abdullah tiada kaitan dengan Puteri Saadong. Puteri Saadong tidak diketahui lagi selepas kali terakhir dia didakwa berpindah dari Bukit Marak ke Gunung Ayam yang terletak berhampiran Sungai Nenggiri, Ulu Kelantan. Puteri Saadong meninggalkan sumpahan 420 tahun lalu dengan kata-kata:
Kutinggalkan rakyat, kutinggalkan negeri, kutinggalkan harta, kutinggalkan segala. Merajuk diriku sehelai sepinggang, lalu berlabuh di tempat asalku, di mana bumi ku pijak, di situ langit kujunjung, aku bersumpah tak lagi ku injak negeri Kelantan sehingga cukup tujuh keturunan.
Puteri Saadong semasa membawa diri, pergi bersama pengasuh dan pengawalnya. Beliau tidak mempunyai waris. Ramai yang muncul mengaku pula sebagai keturunan beliau. Sudahlah tidak cantik malah tidak menitik beratkan soal agama di mana kesemuanya tidak menutup aurat dengan baik.
Catat Ulasan