Jumaat, 30 Januari 2015

MH370 Diisytihar Kemalangan, 239 Orang Dalam Pesawat Dianggap Terkorban

KUALA LUMPUR – Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang, hari ini secara rasmi diisytiharkan sebagai kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa dan kesemua 239 penumpang dan anak kapal pesawat malang itu dianggap telah terkorban.
 
Ketika membuat pengumuman itu, kerajaan Malaysia menegaskan bahawa misi mencari pesawat Boeing 777 itu tetap menjadi keutamaan. 

Kerajaan komited meneruskan usaha untuk merungkai tragedi malang itu dengan kerjasama dan bantuan berterusan daripada kerajaan China dan Australia, kata Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman. 

Ketika membuat pengumuman itu menerusi televisyen yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM, beliau berkata: "Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan Penerbangan MH370 Malaysia Airlines sebagai satu kemalangan … dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban."

"Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian dari setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam), namun usaha pencarian itu malangnya masih belum menemukan lokasi pesawat yang hilang itu," katanya.

Azharuddin berkata, kerajaan Malaysia mengakui pengisytiharan mengenai kemalangan MH370 itu amatlah sukar bagi keluarga dan orang tersayang 227 penumpang dan 12 anak kapal untuk pertimbangan, apatah lagi menerimanya.

Beliau berkata, 13 negara juga kehilangan warganya terdiri daripada lelaki dan perempuan dalam tragedi ini, tetapi bagaimanapun adalah penting bagi anggota keluarga cuba untuk meneruskan kehidupan biasa atau kehidupan seperti biasa sebaik mungkin selepas kehilangan mengejut ini.

"Tanpa niat langsung untuk meredakan perasaan anggota keluarga, adalah diharapkan pengisytiharan ini membolehkan keluarga mendapatkan bantuan yang diperlukan, terutama menerusi proses pampasan," kata Azharuddin.

Pesawat Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan ke Beijing, China setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Azharuddin memberitahu negara dan penonton antarabangsa bahawa pengisytiharan MH370 adalah satu kemalangan dibuat mengikut Piawaian Lampiran 12 dan 13 Konvensyen Penerbangan Awam Antarabangsa (biasanya dikenali sebagai Konvensyen Chicago).

Azharuddin berkata, Bab 1 Lampiran 13 konvensyen menyatakan bahawa definisi "kemalangan" termasuk "pesawat hilang".

Ia juga menyatakan bahawa "pesawat dianggap hilang apabila pencarian secara rasmi telah dihentikan dan bangkai pesawat tidak ditemukan".

Lampiran 12 konvensyen seterusnya menyatakan bahawa istilah "mencari" merujuk kepada operasi untuk mencari orang yang berada dalam kesukaran.

Azharuddin berkata, fasa mencari dan menyelamat dijalankan pada hari pesawat hilang sehingga 28 April 2014 dengan kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Andaman dan selatan Lautan Hindi.

Beliau menegaskan, operasi pencarian di bawah permukaan air masih berterusan pada masa ini dan operasi itu dijalankan oleh empat buah kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro Supporter. 

Pencarian telah meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi sehingga semalam.

Tiada ulasan:

Penubuhan Pasukan Khas siasatan kes 1MDB

YAB Perdana Menteri telah bersetuju untuk membentuk satu Pasukan Khas Siasatan 1MDB bagi menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes 1MD...