Khamis, 24 Ogos 2017

Park kental hidup bersama mayat sejak 30 tahun lalu

MELAKA - Makan, minum dan tidur bersama mayat mungkin perkara menyeramkan bagi kebanyakan orang, namun ia perkara biasa bagi Park Kyung Ah, 50, yang juga Pengurus Pameran The Discovery Of The Body, sejak 30 tahun lalu.

Meskipun seorang wanita, Park langsung tidak gentar atau berasa seram setiap kali mengendalikan mayat berkenaan yang dipamerkan kepada orang ramai di seluruh dunia.

Katanya, bagi sesetengah orang pameran itu dianggap menyeramkan berikutan mempamerkan tubuh, otot, tulang dan organ manusia yang sebenar, walaupun diawet dan dikeringkan bagi tujuan pameran.

"Sebenarnya, pameran ini bertujuan mendidik orang ramai terutama orang muda dan anak kecil mengenai kepentingan menyayangi tubuh badan yang sukar untuk pulih kembali jika sudah dijangkiti penyakit.

"Mayat dipamerkan membabitkan individu yang sudah meninggal dunia akibat penyakit kanser dan masalah kesihatan lain termasuk disebabkan tabiat buruk merokok," katanya ketika ditemui di Muzium Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Banda Hilir, semalam.

Park berkata, mayat dipamerkan bermula dari janin, bayi sehinggalah kepada lelaki dan wanita dewasa membabitkan si mati berasal dari Jerman, China dan Eropah.

Malah katanya, sebahagian besar daripada si mati mewasiatkan untuk mendermakan jasad masing-masing untuk diawet dan dipamerkan bagi tujuan memupuk rasa sayangkan tubuh badan.

"Pengunjung boleh melihat sistem saraf, arteri, lapisan otot dan tulang yang membentuk rangka manusia. Semua yang dipamerkan boleh dilihat secara terperinci kerana kami melakukan keratan retas pada bahagian berkenaan.

"Orang ramai boleh bandingkan antara organ manusia meninggal dunia akibat penyakit atau masalah kesihatan dengan tubuh yang sihat.

"Lebih 200 bahagian organ yang diawet dipamerkan dan ia pasti menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan kepada pengunjung," katanya.

Menurutnya, semua mayat dan organ dipamerkan itu dibedah sebelum menjalani proses pengawetan di Heidelberg Institute for Plastination, Jerman.

Menurutnya, setakat ini mayat berkenaan dipamerkan di Korea Selatan, Australia, Filipina, Jepun dan kini buat pertama kali berlangsung di Musim DMDI Malaysia.

"Walaupun tujuan kami untuk mendidik, namun tidak semua negara membenarkan pameran seperti ini kerana mengambil kira sensitiviti budaya tempatan yang melarang perkara seumpama itu.

"Namun, setakat ini kami tidak berdepan sebarang masalah besar dengan setiap pameran dianjurkan mendapat sambutan menggalakkan dan maklum balas positif daripada pengunjung," katanya.

Menceritakan mengenai cara penjagaan pula, Park berkata, mayat dipamerkan perlu dibersihkan daripada habuk dengan menggunakan berus supaya kelihatan menarik.

Mayat dipamerkan diletakkan dalam keadaan berdiri, digayakan seperti mansia sedang berfikir dengan menampakkan seluruh organ penting dalaman dan sistem saraf. - Petikan Metro

Tiada ulasan: