Selasa, 7 Ogos 2018

BN tewas kerana mainan ‘hukum’, ‘fatwa’ Pas?

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam masih gagal menembusi kubu kuat Pakatan Harapan (PH), walaupun mereka terpalit dengan pelbagai isu dan masalah seperti gagal menunaikan 10 janji yang dikemukakan dalam tempoh 100 hari.
Ternyata, isu dan masalah itu tidak memberi kesan kepada pengundi dalam DUN Sungai Kandis, apabila kekal untuk memberi kemenangan kepada PKR.
Namun, jumlah undi yang diperolehi oleh Mohd Zawawi sebanyak 15,427 undi dan Lokman sebanyak 9,585 undi serta calon Bebas, K Murthy 97 undi telah menimbulkan beberapa tanda tanya.
Antaranya, kenapa lebih 26,000 iaitu lebih separuh daripada 51,217 pengundi berdaftar dalam DUN itu tidak keluar mengundi? Sedangkan pada PRU14, hanya kurang 8,000 orang sahaja.
Mohd Zawawi sendiri gagal mendapat kesemua 23,998 undi yang diperolehi oleh penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafiei pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Lokman juga gagal mendapat kembali jumlah undi yang diperolehi Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi pada PRU14.
Cuma tanda tanya timbul bagi pihak Lokman ialah, adakah ahli dan penyokong Pas yang memberi undi kepada calonnya, Mohd Yusof Abdullah pada PRU14 lalu seramai 7,573 orang tidak keluar mengundi?
Ini kerana, jika semua mereka keluar memberi sokongan kepada BN sebagaimana disarankan pucuk pimpinan Pas, sudah tentu kemenangan berpihak kepada Lokman dengan perolehan 17,158 undi dengan majoriti 1,731 undi.
Bagaimanapun, UMNO dan BN tidak boleh menyalahkan ahli serta penyokong Pas tidak keluar mengundi, kerana ahli dan penyokong UMNO sendiri juga tidak berbuat demikian, berdasarkan kekurangan undi kepada Lokman sebanyak 1,933 undi lagi.
PKR pun berdepan dengan masalah sama seperti Lokman apabila jumlah undi yang dimenangi Mohd Zawawi menunjukkan beliau juga kehilangan sebanyak 8,571 undi daripada ahli PKR dan penyokong PH.
Dengan mudah kata, jawapan yang perlu dicari oleh kedua-dua parti bertanding, jika mahu dilakukan pos mortem ialah kenapa peratusan keluar mengundi hanya 49.4 peratus, bukan 80 peratus sebagaimana disasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini.
Sedangkan cuaca sepanjang hari mengundi semalam dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang adalah baik, walaupun mendung dan redup pada sebelah pagi dan tengah hari.
Kekangan kerja tidak boleh dijadikan alasan, kerana hari mengundi diadakan pada hari Sabtu, yang mana kebanyakan kakitangan awam cuti, dan yang bekerja di sektor swasta diberi cuti oleh majikan masing-masing.
Ini bermakna, ada sesuatu ‘masalah’ yang tersimpan dalam hati kira-kira 26,000 pengundi berdaftar, yang mendorong mereka untuk tidak keluar mengundi.
Satu daripada masalah yang penulis jumpa ialah ada dalam kalangan pengundi tidak tahu pun di kawasan mereka berlaku pilihan raya kecil. Ini berdasarkan cakap-cakap di kedai kopi pada hari pengundian semalam.
Faktor atau masalah lain, mungkin sebahagian daripada mereka merasa selesa dengan kemenangan PKR selama tiga penggal dari PRU12, PRU13 dan PRU14, lalu membuat tanggapan, jika tidak keluar mengundi pun PKR boleh menang.
Memang betul mereka tidak keluar mengundi PKR boleh menang, tetapi pada perkiraan politik, tindakan mereka itu bahaya, tidak boleh dijadikan amalan setiap kali berlaku PRU mahupun pilihan raya kecil.
Dan faktor lain, pada perkiraan penulis, mungkin disebabkan ada dalam kalangan pengundi PKR dan PH melakukan mogok dalam diam-diam untuk tidak keluar mengundi, kerana kecewa dengan kerajaan mereka (PH) gagal menunaikan janji dalam 100 hari.
Bagi mereka yang berpegang pada janji, jika pemimpin memungkirinya, mereka akan membalasnya dengan tidak lagi memberi undi kepada pemimpin atau partinya pada musim pemilihan (pilihan raya) akan datang.
Berbalik kepada ahli dan penyokong Pas yang tidak memberi sokongan kepada BN, walhal pemimpinnya telah ‘berfatwa’ boleh mengundi BN, kesalahan ini harus diletakkan kepada pemimpin mereka sendiri, bukan kepada pengundi.
Selama ini, mereka dimomokkan oleh pucuk pimpinan kononnya UMNO adalah parti sekular, kalau memberi undi kepada UMNO, BN samalah seperti menyokong orang kafir.
Kata-kata itu, atau ‘fatwa’ itu yang termakan dan tersimpan kemas dalam diri setiap ahli dan penyokong Pas, tetapi tiba-tiba bila parti dalam keadaan terdesak, dibolehkan pula mengundi UMNO, BN.
Ini soal ‘hukum’. Kalau hukum Islam mengatakan haram, maka haramlah. Kalau hukum Islam membenarkan, maka mereka boleh menerimanya. Tambahan pula, umum tahu, Pas memperjuangkan Islam, dan setiap ‘fatwa’ dari pemimpin tertingginya, dianggap sebagai ‘hukum’.
Mengikut al Quran dan Hadis, setiap hukum dalam Islam tidak boleh diubah. Ia kekal sehingga kiamat.
Jadi, disebabkan ‘fatwa’ dan ‘hukum’ itu, makanya UMNO, BN menerima padah pada pilihan raya kecil Sungai Kandis. – MalaysiaGazette (Siaran 05 Ogos 2018)

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran