Sabtu, 22 Disember 2018

Bila orang cakap tak serupa bikin bercakap

DULU, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah, parti-parti komponen pembangkang seperti DAP, PKR dan Pas selalu menganjurkan perhimpunan haram.
Bagi mereka, kononnya itulah cara nak menyatakan rasa tidak puas hati pentadbiran kerajaan terhadap mereka dan rakyat.
Bagi pihak kerajaan pula, kalau pembangkang hendak mengadakan perhimpunan, macam-macam peringatan dikeluarkan, termasuk mengatakan berdemonstrasi bukan budaya rakyat Malaysia.
Kalau nak zahirkan rasa tidak puas hati, ikutlah saluran yang betul. Berbincang dan berunding, bukan menjerit, berteriak di tepi-tepi jalan raya.
Pihak berkuasa seperti polis pun selalu mengingatkan parti-parti yang nak berdemonstrasi, sila laporkan lebih awal kepada polis tarikh perhimpunan dan patuhilah peraturan yang ditetapkan. Jangan sekali-kali ganggu kacau ketenteraman awam atau merosakkan harta benda awam.
Tahu sajalah pembangkang waktu itu. Berilah apa nasihat dan pandangan sekali pun, mereka akan buat pekak badak. Mereka tetap berdemonstrasi. Tak boleh di Dataran Merdeka, mereka berhimpun di pekarangan pusat beli belah Sogo. Paling tidak pun di Padang Merbok.
Selalu yang terlibat dalam demonstrasi haram ini pemimpin kanan pembangkang. Mereka pakai baju yang tertulis macam-macam perkataan dan ayat yang berbaur kemarahan kepada kerajaan.
Ada yang baring, ada yang duduk, ada yang berdiri. Mereka tunjukkan protes. Mereka mengajak rakyat keluar beramai-ramai di ibu kota. Kononnya, inilah masa dan ketikanya nak tunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan.
Macam-macam nama perhimpunan diadakan. Dari Bersih kepada Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan Bersih 4.0. Semuanya atas alasan demokrasi.
Kerajaan pula terpaksa akur dengan perbuatan itu walaupun ia tidak elok pada kaca mata umum kerana boleh memberi kesan kepada ekonomi negara dan pelancong asing yang ada di ibu kota.
Sekarang, pembangkang sudah menjadi kerajaan dan yang belah kerajaan dulu sudah bertukar tempat duduk jadi pembangkang.
Pas yang tidak pernah jadi kerajaan Persekutuan, kekal sebagai pembangkang. Masa dalam Pakatan Rakyat dulu pun Pas pembangkang, dah bertukar kerusi pun Pas masih pembangkang. Pembangkang selama-lamanya.
Ingatkan, bila pembangkang sudah jadi kerajaan, tidak ada lagilah cerita-cerita berhimpun secara haram. Sebab ketika BN jadi kerajaan dulu mereka tahu demonstrasi itu tidak baik, dan Pakatan Harapan bila sudah jadi kerajaan, tidak ada sebab lagi mereka nak berhimpun secara haram.
Tapi, semua itu cakap tak serupa bikin belaka. Kerajaan yang jadi pembangkang pula anjurkan perhimpunan haram dan pembangkang yang jadi kerajaan melarangnya.
Dunia sudah terbalik. Semua yang dicakapkan oleh kedua-dua pihak selama ini tidak boleh dipakai. Tak boleh dipercayai. Mereka hanya berpolitik siang malam.
Antara Pakatan Harapan dengan BN masing-masing dua kali lima. Masa Pakatan Harapan jadi pembangkang, mereka tahu undang-undang dan peraturan, tetapi sengaja dilanggarnya. Begitu juga dengan BN, mempertahankan habis-habisan undang-undang yang ada.
Apabila roda memusingkan Pakatan Harapan di atas, BN di bawah, BN pula melanggar undang-undang dan peraturan, manakala Pakatan harapan bermati-matian mempertahankan undang-undang yang kononnya dijunjung.
Mereka hanya langgar apabila bergelar pembangkang. Selepas jadi kerajaan, mereka pertahankan kedaulatan undang-undang. Macam mana mereka nak rakyat jadi insan yang baik, kalau mereka sendiri menunjukkan sikap tidak baik.
Umpama ketam mengajar anak berjalan lurus. Diri sendiri berjalan tidak betul. Mana-mana parti yang jadi pembangkang tidak perlu nak tuduh kerajaan tidak betul, kerajaan tidak adil kerana diri sendiri pun begitu juga dulu.
Kerajaan juga sama. Tidak perlu mengatakan pembangkang tidak matang, pembangkang tidak ada semangat cintakan negara, mereka sendiri pun tidak pernah berfikiran matang sebelum ini.
Saya tertarik dengan “cakap tak serupa bikin” dalam episod drama jadian dalam kerajaan Selangor. Speakernya, Ng Suee Lim baru-baru ini menegur seorang wakil rakyat dari Parti Amanah Nasional (PAN), saudara Sany Hamzan.
Masa sidang DUN itu, Sany memakai baju Melayu lengkap bersongkok dan bersampin. Melihat keadaan itu, Suee Lim menegur cara wakil rakyat itu berpakaian, kononnya telah mencemarkan dewan yang mulia.
Ketika inilah saya nak ketawa. Nak ketawa sebab sebaik diangkat sebagai Speaker, baharu dia tahu, penting dan perlunya semua wakil rakyat mematui peraturan persidangan.
Masa dia jadi pembangkang dulu, geng-geng dia tidak pernah hormati Dewan Rakyat. Ketika pemimpin lain memakai baju adat istiadat, beliau dan rakan-rakan tidak berbuat demikian.
Tidak ada pun rasa hormat walaupun dia dan rakan-rakan pembangkang tahu cara berpakaian mereka lebih teruk dari yang dipakai oleh Sany.
Ini yang dikatakan cakap tak serupa bikin. Bila kena batang hidung sendiri baharu tahu langit itu tinggi atau rendah. Selama ini, merekalah yang selalu langgar undang-undang, dan hanya sekarang kononnya mahu menegakkan undang-undang. – MalaysiaGazette
Siaran 30hb November 2018

Tiada ulasan: