Ahad, 3 Mac 2024

Makin meluat kisah artis dengan ipar

PAK DEE rasa meluatlah dengan kisah seorang artis ni. Dulu bising berebut harta peninggalan arwah ahli keluarga sampai menafikan hak ipar. Lepas tu berlaku tuduh menuduh, sindir menyindir, kata mengata, perli memerli hingga saman menyaman. Surat khabar pula tak henti-henti siar sebar kisah artis dengan ipar ini. Sekejap lapor begini, sekejap lapor begitu hinggakan pembaca pening yang mana satu benar, yang mana satu bohong. Memang macam inikah kehidupan artis? Benda kecil diperbesar-besarkan, benda yang tak ada sebenarnya pun diuli, diulas sampai jadi isu besar, mengalahkan isu Israel-Palestin. Padahal, dalam kes artis dan ipar ni asalnya tak ada apa pun. Normal macam rumah tangga orang lain juga. Tapi entah kenapa, dalam kes ni ia jadi besar. Heboh satu dunia kisah rumah tangga. Langsung tak ada rasa malu, rasa hormat antara satu sama lain. Demi nak raih publisiti murahan sebenarnya. Pak Dee ambil contoh isu artis ni – sebenarnya belum layak lagi bergelar artis, tapi tak apalah Pak Dee bagi penghormatan - dengan iparnya ini. Kisahnya bermula dengan iparnya kehilangan suami, yang meninggal dunia. Kebetulan mereka dikurniakan seorang anak dan ada sedikit wang simpanan yang ditabung bersama ketika suami masih ada kudrat mencari rezeki. Mengikut logik akal, kalau suaminya sudah meninggal dunia, wang tabungan itu adalah milik si isteri, bukan milik ibu atau milik adik beradik si arwah. Dengan tabungan itulah, si isteri atau si balu nak gunakan untuk tampung makan minum anak kecil. Nak harapkan mertua atau ipar, mereka pun ada komitmen masing-masing. Mungkin kerana tak mahu keluarga arwah terbeban menanggung dirinya dan anak kecil, maka dia buat keputusan keluar dari rumah itu. Pulang ke kampung untuk teruskan kehidupan bersama ahli keluarga kandung. Tapi, tindakan itu kurang disenangi ahli keluarga si arwah. Dituduhnya macam-macam. Padahal ribu-ribu saja duit tabungan yang dibawanya bersama, tapi dijadikan isu seolah dia bawa lari jutaan. Pak Dee ingat, bila ipar kehilangan suami, maka adik beradik ipar nak pakat bantu, pakat tolong. Rupanya tidak. Dihenyak dan dimalukan di khalayak. Apa jenis manusia ni. Lepas tu, bila orang saman dan kita kalah, mula la meroyan tak tentu hala. Mula la tagih simpati orang ramai kerana kena jual harta benda nak selesaikan hutang saman ipar. Sebenarnya, kalau jual kebun, jual cincin, jual rantai emas anak sekalipun orang tak akan simpati. Sebab orang ramai tahu perangai dan punca awal kejadian. Pak Dee sendiri pun walau bekerjaya wartawan, tak ada selera nak stori kisah ni. Menjijikkan. Lebih lagi bab nak bayar hutang saman. Bab ni pun masih lagi nak berdrama. Tak tahu bila akan ending. Kalau Pak Dee lah, nak bayar hutang kawan atau nak bayar hutang ahli keluarga. Pak Dee just call saja maklum nak bayar hutang. Habis cerita. Kenapa Pak Dee perlu pergi ke rumah pemiutang, lepas tu bawa beberapa kawan untuk rakam video, kononnya untuk rekod dan bukti hutang telah dibayar. Tak perlu semua tu. Dan, memang patut serta wajarlah kalau si pemiutang tak mahu terima wang tunai yang dibawa si berhutang sebab cara datang dan cara nak bayar tu sudah tak Ikhlas. Ada udang sebalik batu. Apapun, Pak Dee harap kisah ini habis cepat-cepat. Jangan jadi macam filem hindi, dah nazak pun masih banyak cakap. – NasionalDaily

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran