Sabtu, 17 Februari 2024

Beras Madani beban rakyat marhaen

ITU yang Pak Dee rasa pelik. Ribut tidak, hujan tidak, tiba-tiba diumumkan beras Madani akan ganti beras putih tempatan bermula 19 Februari ini. Awalnya bila dengar beras Madani, terbayang oleh Pak Dee pasal harganya. Tentulah Pak Dee fikir murah sikit berbanding beras putih biasa. Tapi, bila Pengerusi NACCOL, Syed Abu Hussin Hafiz kata beras Madani akan dijual pada harga RM30 bagi 10 kilogram, Pak Dee mula was-was dan ragu-ragu. Was-was dan ragu-ragu sebab ketika rakyat terutama B40 berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, tiba-tiba NACCOL bagi pihak kerajaan mengumumkan harga beras yang lebih mahal dari yang rakyat nikmati. Apa motif pak syeikh paksa rakyat beli beras mahal? Tak terfikirkah oleh pak syeikh yang rakyat ni telah dibebankan dengan kenaikan harga barang keperluan harian seperti telur, minyak masak, sayur-sayuran, makanan dan minuman di restoran? Kemudian lepas ni rakyat akan berdepan pula dengan kenaikan tarif air dan letrik. Dahlah kos penyelenggaraan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dinaikkan sekali ganda, ni pak syeikh nak rakyat beli beras harga mahal pula. Baik pak syeikh jangan guna nama Madani pada beras tu, sebab bila sebut nama Madani, rakyat ingatkan kerajaan prihatin dengan nasib mereka. Rupanya Madani ni tak lebih dari cogankata yang sedap disebut, tapi pahit dimanfaatkan. Dalam hal ini, Pak Dee nak ucapkan tahniah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. Abang Mat dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kerajaan belum membuat sebarang ketetapan atas cadangan NACCOL nak perkenalkan beras Madani. Jadi, selama ini pak syeikh buat keputusan sendirilah ya nak perkenalkan beras Madani dan pada masa sama nak hapuskan beras putih tempatan yang jauh lebih murah dari beras Madani? Sejak bila pak syeikh langgar peraturan? Iaitu segala hal berkaitan dasar dan kepentingan rakyat perlu diangkat kepada Kabinet untuk dapat kelulusan? Atau pak syeikh ingat keputusan pak syeikh mewakili keputusan Kabinet? Memang patutlah tauke Mydin melenting bila ada arahan mahu hapuskan beras putih tempatan untuk digantikan beras Madani. Mulanya Pak Dee kata dalam hati, berani tauke Mydin bantah keputusan kerajaan. Tak takut ke? Rupanya tauke Mydin tahu arahan beras Madani mulai dijual di pasaran Isnin ni bukan dari Kabinet, tapi dari sedap rasa hati pak syeikh. Memang tak patut. Dahlah berpaling tadah dari Bersatu, bila sokong kerajaan dan diberi jawatan, pak syeikh naik hantu buat keputusan sendiri pula. Apapun, Pak Dee harap dengan kenyataan abang Mat Sabu tadi, dapat membuka mata kerajaan supaya buat kajian semula pasal kenaikan harga beras Madani. Nak jenama semula boleh, tapi kekalkan harga bawah RM30 untuk 10 kilogram. Kalau semua nak dinaikkan harga, ketika semua barang keperluan dah berharga tinggi, jelaslah kerajaan Madani kerajaan tak prihatin. Layari portal wwww.nasionaldaily.com

Tiada ulasan: