Jumaat, 26 Januari 2018

Agihan kerusi Pakatan Harapan, DAP yang untung

SEBAIK sahaja ditubuhkan pada September 2015, isu utama yang berbangkit dalam Pakatan Harapan dan tidak selesai hingga kini ialah soal agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandingi oleh calon-calon daripada parti yang bergabung.
Antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Nasional (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum menemui kesepakatan akan siapa akan bertanding di mana.
Cuma yang betul-betuk pasti dalam soal agihan kerusi dalam pakatan yang baru setahun jagung ini ialah DAP.
Kalau dilihat pada kedudukan sekarang, DAP tidak akan berkompromi untuk menyerahkan walaupun satu kerusi DUN atau Parlimen miliknya kini kepada parti lain.
Malah parti cauvanis Cina itu mungkin akan menuntut kerusi tambahan dengan alasan kedudukan mereka lebih mantap dan keupayaan mereka untuk mendapatkan undi daripada pengundi-pengundi Cina.
Tetapi bagi PKR, PAN dan PPBM mereka terpaksa bertelagah, bertegang leher dan bersingsing lengan untuk mendapatkan kawasan-kawasan yang mereka akan tandingi.
Memang Pakatan Harapan akan meletakkan calon di semua kawasan yang ditandingi oleh Barisan Nasional (BN), tapi soalnya calon daripada parti mana?
Kalau di kawasan yang sudah menjadi tradisi ditandingi oleh DAP memang tidak ada masalah sebab itu sudah jadi hak mutlak DAP.
Dengan prestasi parti cauvanis itu pada pilihan raya umum lalu, rasa rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan tidak akan berani menuntut untuk bertanding di kawasan tradisi DAP.
Dalam hal ini DAP mungkin boleh mendapatkan dua tiga kawasan tambahan yang mana ini akan mengukuhkan lagi penguasaan mereka dalam pakatan berkenaan.
Di Selangor misalnya, perbincangan mengenai agihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan hingga kini belum selesai.
Pilihan Raya Umum 14 (PRU14) tinggal beberapa bulan sahaja lagi, tapi Pakatan Harapan yang kononnya menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat masih lagi bercelaru.
Perkara-perkara asas seperti siapa yang akan bertanding di mana pun masih tidak dapat diselesaikan.
Lebih-lebih lagi di peringkat negeri dan bahagian ada pula kenyataan hina menghina seperti `parti awak masih baharu, kenapa mahu banyak kerusi’ atau `parti awak ni kecil tidak ada sokongan, tidak ada kekuatan jadi tak perlu bertanding di banyak kerusi’.
Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad sendiri mengakui akan isu agihan kerusi yang masih belum ada penghujung ini, terutama di Selangor.
Katanya, untuk mana-mana parti menyerahkan kerusi kepada parti yang lain bukan sesuatu yang mudah.
Berdasarkan senario ini, maka tidak mustahil calon-calon Pakatan Harapan akan bertembung antara satu sama lain pada PRU14.
Apa pun yang selamat dan yang paling untung adalah DAP kerana dengan `taring’ yang mereka miliki sekarang rasanya tidak ada siapa yang berani menuntut kerusi yang ditandingi mereka..
Sebagai `abang besar’ dalam Pakatan Harapan, Kemungkinan besar juga DAP akan bertanding lebih banyak kerusi kali ini berbanding pada pilihan raya umum lalu. – theRakyat (Siaran 5 Januari 2018)

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran