Isnin, 28 Januari 2008

Apabila ramai calon daripada pengundi


Siaran 27hb Januari 2008-Sinar Harian
MANZAIDI MOHD AMIN
KALAU pemimpin yang mewakili parti-parti politik di negeri ini rancak mengeluarkan kenyataan bersifat mendabik dada kononnya mereka sudah bersedia dan pada masa sama memperlekehkan pihak lawan, itu petanda pilihan raya umum sudah hampir.
Ketika ini, nampaknya mereka tidak sabar-sabar lagi menunggu tarikh pembubaran Dewan Negara atau Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membolehkan mereka turun ke bawah meraih sokongan pengundi dan mencalonkan dirinya sebagai calon.
Agak ketara sekali apabila ada antara mereka - yang mengangkat dirinya sebagai calon - berebut-rebut turun padang bertemu rakyat. Tidak cukup dengan itu, mereka berlumba-lumba menyampaikan bantuan kepada golongan miskin daripada sekecil beg sekolah kepada beras seberat 10 kilogram, dan tidak kurang pula melobi pihak tertentu supaya menjemput mereka merasmikan perjumpaan itu perjumpaan ini, majlis itu majlis ini.
Inilah senario yang berlaku ketika ini. Masing-masing mula menghabiskan banyak masa di kawasan. Pintu pagar besi yang sudah naik karat kerana tidak pernah dibuka selama ini telah mula ‘dibuka’ hingga ada antaranya dibuka sehingga 24 jam, kononnya untuk memudahkan rakyat bertemu atau datang mengadu masalah.
Kereta-kereta mewah seperti BMW, Mercedes, Jaguar dan yang sejenis dengannya yang selama ini menjadi lambang kemewahannya mula dihantar berperingkat-peringkat ke Kuala Lumpur. Kereta-kereta yang ada, yang mewarnai laman banglo ialah jenis buatan Malaysia iaitu Proton Wira dan paling sederhana mewah pun Proton Perdana.
Apa boleh buat. Itulah lawak dan lakonan orang politik (dituju khusus kepada yang mengangkat dirinya sebagai calon) yang boleh kita lihat setiap empat tahun sekali. Semua ini adalah hipokrit. Mereka masih lagi menggunakan taktik lama untuk mengeliru dan memperdayakan rakyat.
Bagaimanapun, rakyat alaf baru sekarang sudah bijak pandai. Mereka bukan lagi mudah diperkotak-katikkan atau berfikiran jumud seperti zaman datuk nenek mereka di era 50-an. Mereka kini merupakan generasi maju yang mampu membuat penilaian sendiri tanpa terkeliru oleh lakonan calon-calon parti.
Tidak dinafikan, bahang Pilihan Raya Umum Ke-12 sebenarnya sudah lama dirasai. Kalau tidak silap kita, ianya bermula sejak Ramadan tahun lalu lagi. Ketika itu sudah muncul ‘pemimpin-pemimpin’ politik majoritinya muka baru berada di kawasan.
Mereka dilihat seperti tidak menang tangan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa atau makan colek dengan para penyokong ketika itu sehingga ada yang mendakwa kepulangan mereka ke kawasan itu adalah atas ‘arahan’ atau ‘perintah’ oleh pucuk kepimpinan parti.
Maksud kepada kepulangan itu memberi erti bahawa merekalah kononnya yang bakal menjadi calon atau dengan kata lain yang lebih tepat ialah ‘calon’ paling layak atau sesuai di kawasan itu, walaupun sebelum ini mereka amat jarang menjejakkan kaki di kampung itu.
Sekarang ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa calon seperti ini adalah daripada golongan kurang cerdik. Mereka fikirkan taktik itu dapat memperdaya rakyat, tetapi rupanya mereka yang diperbodohkan oleh rakyat. Ini menunjukkan rakyat telah matang dan bakal menentukan undi kepada calon sebenar pada pilihan raya umum bulan depan.
Kita tidak nafikan wakil rakyat dari kedua-dua parti yang ada sekarang semuanya bagus dan telah memberi perkhidmatan baik, tetapi pada masa sama kita juga tidak menafikan, tidak sedikit di kalangan mereka harus dipertimbangkan untuk disingkirkan daripada terus bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana gagal menjadi Yang Berhormat (YB) seperti diamanahkan oleh parti.
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa harus mengambil kira rekod YB-YB berkenaan terutama ketika mengikuti sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
YB-YB yang suka mengeluarkan kata-kata kesat dan menuduh pihak lawan dengan tuduhan tidak berasas serta YB-YB yang tidak menjawab dengan tepat soalan dibangkitkan pihak lawan tidak seharusnya dikekalkan pada musim akan datang kerana tingkah laku YB-YB seperti ini boleh menjejaskan imej parti.
Kalau rakyat yang diwakili YB berkenaan tahu tingkah lakunya, tentu mereka malu untuk mengakui YB itu adalah YB mereka. Atau sekurang-kurangnya rakyat terpaksa membohongi kononnya mereka bukan rakyat YB berkenaan. Ini semua perlu diambil kira oleh panglima parti.
Kita mahu wakil rakyat bersih. Wakil rakyat berimejkan jiwa rakyat. Berkhidmat kepada rakyat dari hari pertama dia menang sehingga hari akhir pembubaran dewan. Inilah wakil rakyat sebenar dikehendaki rakyat. Bukan wakil rakyat yang menghabiskan masa tiga tahun di Kuala Lumpur, kemudian menghabiskan baki setahun lagi di kawasan.
Sebab itu muncul ramai muka baru yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan sokongan rakyat. Apabila sudah yakin dengan ‘sokongan’ itu, mereka balik ke Kuala Lumpur untuk melobi pucuk kepimpinan parti kononnya mereka yang layak menjadi calon, bukan wakil rakyat sedia ada.

Jumaat, 18 Januari 2008

Minta Maaf...Ada Hal Sikit


Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada tetamu. Saya minta maaf la sebab lama tak aktifkan laman ini. Bukan apa la, kebetulan saya agak sibuk sikit la.. Harap maaf deh.
Ini gambarnya. Silalah tatap dan teka siapa gerangan pengantin lelaki yang hensem dan gagah perkasa ini.