Guna remaja kutip derma
Ketika melewati deretan kaki lima bangunan di pusat bandar raya Shah Alam, Selangor, kelihatan dua tiga orang anak muda dalam beberapa kelompok berdiri di hadapan pintu keluar masuk institusi kewangan, restoran dan pusat beli belah.
Mereka bukan pengawal keselamatan atau pekerja di premis berkenaan, juga bukan saja-saja melepak di situ. Mereka adalah anak muda yang dipilih pihak tertentu menjalankan kerja mengutip derma. Tidak kira bagaimana cara dan apa sekali pun, mereka mesti mengumpulkan sejumlah wang seperti ditetapkan.
Derma yang dikumpulkan itu bukan untuk kegunaan membiayai kebajikan anak-anak yatim, ibu tunggal, keluarga miskin atau pembinaan surau, sebaliknya bagi menampung perbelanjaan pengajian pelajar kita di Mesir.
Mulanya saya tidak percaya, tetapi setelah diamat-amati perkataan "Bantuan untuk membiayai pengajian rakyat Malaysia di Mesir" sebagaimana terlekat pada bakul derma itu, timbul seribu satu persoalan.
Apakah selama ini, perbelanjaan pelajar kita di sana hasil daripada kutipan derma orang ramai? Kalau ya, berapa sangat yang mereka dapat, kerana dalam satu hari rasanya tidak sampai pun lima ratus ringgit dikumpulkan adik-adik ini. Kalau dapat pun cukup untuk seorang penuntut.
Kalau tidak, siapakah mereka (yang belajar di sana). Berapa ramai yang menyambung pengajian di sana. Mereka pergi dengan kelulusan apa. Siapa membiayai tambang penerbangan, yuran pengajian serta menampung kos sara hidup sepanjang menuntut ilmu di Mesir?
Ini yang menimbulkan keraguan munasabah (prima facie) berhubung tujuan kutipan derma oleh anak-anak muda kita di sepanjang deretan bangunan yang menjadi tumpuan orang ramai itu.
Ini menggambarkan betapa daifnya kerajaan sehingga terpaksa menubuh jawatankuasa khas mengutip derma bagi menampung kos sara hidup dan pengajian pelajar kita di seberang laut.
Kalau penuntut kita pulang ke tanah air dan melihat apa yang dilakukan 'adik-adik' mereka di sini dengan berjemur panas, berdiri dari pagi sampai petang, minum air dibungkus dalam plastik dan makan nasi dalam polisterin, sudah tentu mereka menangis hiba tidak tahan melihatnya.
Jika kutipan derma itu tiada kaitan dengan pelajar yang ditaja oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran atau atas pembiayaian sendiri, siapakah mereka yang menuntut di sana? Adakah mereka ini lulusan Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah Agama Negeri (SAN).
Apa pula peranan dan tanggungjawab kerajaan negeri dalam hal ini? Kalau tidak mampu, kenapa tidak serahkan sahaja SAR dan SAN kepada Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Pelajaran.
Jangan kerana mementingkan diri sendiri, anak negeri menjadi mangsa. Tambahan pula, kerja mengutip derma ini boleh mengganggu pembelajaran remaja berkenaan. Banyak masa dihabiskan dengan menunggu orang ramai mencampakkan duit dalam bakul derma.
Sedangkan, masa yang ada itu boleh digunakan untuk menimbal ilmu atau mengulangkaji pelajaran. Penulis harap ada pihak tertentu turun menyiasat kes ini. Jangan biarkan pihak tertentu menggunakan anak-anak muda atau pelajar mereka untuk mendapatkan sumber kewangan.
Bukan tugas kita mendidik remaja mengutip derma. Siaran 8hb April 2010
Khamis, 8 April 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan