Oleh A Kadir Jassin
SEJAK dulu lagi, saya berpegang kepada pendapat bahawa Pas adalah parti politik. Dan hal ini saya nyatakan berulang kali dan tulisan dan kenyataan lisan saya.
Berbeza daripada pergerakan Islam yang berkecuali dan non-partisan, Pas, awal dan akhir, adalah perjuangan politik partisan.
Justeru itu, Presidennya, Abdul Hadi Awang dan Ketua Dewan Ulamanya, Nik Abdul Aziz Nik Mat, adalah ahli politik.
Hakikat bahawa mereka ulama adalah kebetulan dan bukan hal pokok. Kerjaya harian mereka ada sebagai ahli politik.
Di Malaysia, bukan mereka sahaja ulama. Ada ramai lagi ulama, tetapi mereka tidak terkenal dan tidak menjadi idola kontemporari kerana kegiatan harian mereka tidak banyak mendapat pendedahan media.
Hari ini, ahli politik bukan sekadar pemimpin masyarakat, tetapi juga selebriti. Mereka sama naik dengan bintang filem dan dikenali bukan semata-mata kerana mereka berwibawa, tetapi tidak kurang pula kerana mereka popular.
Kalau diikut pengertian lama dan semantik asal, seseorang atau sesuatu yang popular tidak semestinya berwibawa dan bermutu. Politik dulu kala membezakan antara pemimpin popular dengan yang berwibawa.
Jadi saya tidak melihat keputusan pemilihan pucuk pimpinan Pas bagi tempoh 2011-2013 sebagai luar dugaan. Namun saya tidak menolak pemilihan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden sebagai perkembangan menarik.
Hakikat beliau mengalahkan penyandang, Nasharuddin Md Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man adalah penting. ” Dalam sistem pemberian nama (nomenclature) Pas, Nasharuddin dan Tuan Ibrahim adalah “ustaz” manakala Mohamad Sabu hanya “haji” biasa.
Nasharuddin dan Tuan Ibrahim dilihat oleh kawan dan lawan sebagai berwibawa, tetapi Mohamad Sabu tidak syak lagi seorang yang popular. Dalam litar ceramah politik, beliau adalah selebriti – pemidato hebat yang boleh membuat khalayak gelak terbahak-bahak sampai senak perut dengan kelucuannya. Berikanlah apa pun tajuk, beliau boleh memintalnya menjadi parodi.
Mungkin gabungan Abdul Hadi, seorang “tuan guru” mengikut “nomenclature” Pas, Mohamad Sabu seorang “haji” biasa dan Nik Abdul Aziz Nik Mat seorang “tok guru” di tangga tertinggi kepemimpinan parti itu menjadinya lebih “lengkap” berbanding kepemimpinan di mana semua jawatan tertinggi dipegang oleh “ustaz”.
Mungkin benar kata Mohamad Sabu selepas kemenangannya bahawa kepemimpinan baru Pas berharap dapat membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan menjinakkan lagi orang bukan Islam terhadap Pas.
Namun begitu, adalah kurang tepat melabelkan golongan bukan ulama ini sebagai “Erdogan”. Malah bercanggah langsung dengan Perdana Menteri Turkey, Recep Tayyib Erdogan. Dalam politik sekular Turkey yang menyekat kebebasan Islam, Erdogan ada reformis Islam. Dia mencabar dasar sekular dan mahu Islam memainkan peranan lebih penting.
Rasa-rasanya, pendirian Erdogan lebih mirip kepada para ulama Pas, sedangkan Mohamad Sabu dan tiga naib presidennya – Salahuddin Ayub, Husan Musa dan Mahfuz Omar – adalah “reformis” yang cuba menonjolkan imej moden, terbuka dan bertoleransi.
Soalnya, sejauh manakah pemilihan Mohamad Sabu dan kekalahan Nasharuddin serta penyertaan lebih ramai pemuka muda aliran bukan agama akan mempengaruhi dasar dan pendekatan Pas?
Dasar pokok Pas daripada aspek deklarasi seperti Islam, Syariah, Hudud dan Negara Islam tidak akan berubah. Ini adalah lambang yang memberikan legitimasi kepada kelangsungan Pas sebagai parti Islam.
Tetapi pendekatannya telah dan akan terus berubah. Pas akan mengekalkan slogan Negara lslam tetapi akan berdolak-dalik mengenainya bergantung kepada suasana politik, tempat dan masa. Di permulaan muktamar yang baru berakhir, Abdul Hadi berkata masanya belum tiba bagi melaksanakan Negara Islam.
Justeru itu, apa yang lebih menonjol daripada keputusan pemilihan Pas ialah bagaimana barisan baru itu melaksanakan rancangan dan pendekatan jangka pendek dan sederhana, khasnya bagi menghadapi pilihan raya umum.
Imej liberal Pas boleh membantu parti itu berdialog dan seterusnya bekerjasama dengan DAP tanpa terlalu bergantung kepada peranan PKR sebagai orang tengah. Jika ini menjadi kenyataan, ia akan memberi kesan besar kepada bila PRU akan datang diadakan dan bagaimana parti-parti yang mengambil bahagian akan mengatur strategi masing-masing.
Tiada siapa boleh menafikan yang “pembebasan” kepemimpinan Pas daripada monopoli golongan ulama telah dan akan terus mengubah persepsi umum terhadap parti itu. Malah sudah terdengar cakap-cakap bahawa Pas sudah hampir menyerupai Umno dan kaukus Melayu PKR.
Ini akan memberi kesan langsung kepada parti-parti yang bergantung kepada undi Islam/Melayu dan kepada kerjasama antara parti dalam kerangka politik pelbagai kaum Malaysia.
Kelebihan kepemimpinan bukan ulama Pas ialah mereka mempunyai sistem dan keupayaan “out-reach” yang lebih luas. Dengan itu, mesej mereka boleh sampai kepada audiens yang lebih besar dan pelbagai. Itulah peluang mereka dan itulah juga cabaran kepada lawan-lawan mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan