Saya ketawa besar apabila melihat kenyataan akhbar Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mengenai pinjaman Bank Dunia.
Hairan, bagaimana la PKR boleh mempunyai seorang pengarah strategik yang bodoh, lagi bengap kerana gagal membuat kajian yang terperinci dan memahami konteks Krisis Mata Wang pada tahun 1998.
Andaian saya satu sahaja, pada waktu itu Rafizi baru berumur 21 tahun, masih belajar dan tidak berada di Malaysia untuk benar-benar memahami apa yang berlaku.
Biarlah kita jelaskan kepada Rafizi bahlol ni, pertamanya - Malaysia telah menerima bantuan teknikal dan pinjaman-pinjaman untuk sektor sosial dan pendidikan dari Bank Dunia sejak tahun 1970-an lagi kerana pada waktu itu Bank Dunia memberi pinjaman bernilai tinggi kepada negara-negara yang sedang membangun.
Pada tahun 1999, Malaysia masih menerima bantuan teknikal yang sama dan juga pinjaman yang sama dari World Bank, tanpa sebarang syarat yang boleh menyebabkan negara tergadai.
Apabila berlaku Krisis Mata Wang Asia pada tahun 1997, IMF mengumpul dana dari pelbagai sumber rasmi termasuk dari IMF sendiri, Bank Dunia dan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan sebagainya dan menawarkan bantuan kewangan ini dengan syarat-syarat yang 'menggadaikan negara' - ini yang dimaksudkan sebagai menjadikan 'negara terjajah semula secara ekonomi'.
Tawaran ini dikenali juga sebagai 'Rescue Package' ataupun Pakej Penyelamat yang ditaja oleh IMF.
Ketika negara-negara jiran sudah mula menerima tawaran IMF ini kerana tidak mampu bertahan dengan serangan spekulator mata wang asing, Malaysia di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohammad masih bertahan kerana tidak mahu menggadaikan negara ke tangan kapitalis dunia, walaupun diberitakan Menteri Kewangan ketika itu (Anwar Ibrahim) berulang kali mencadangkannya dan memuji-muji tawaran IMF ini.
Sebaliknya Tun Dr Mahathir mengambil langkah yang berbeza, iaitu;
1. Memperkenalkan 'currency pegging' yang menambat nilai mata wang Ringgit Malaysia kepada nilai tertentu agar kegiatan spekulasi mata wang dapat dihalang.
2. Memperkenalkan kawalan modal.
3. Menurunkan kadar faedah bank ketika itu yang menyebabkan begitu banyak syarikat milik warga Malaysia bankrap dan berada dalam keadaan tenat.
4. Melaksanakan langkah-langkah susulan untuk meningkatkan semula pertumbuhan bidang ekonomi yang indikator utama ekonomi negara ketika itu.
Semua ini dilakukan dalam keadaan penuh kepayahan kerana Malaysia menolak paksaan kapitalis dunia yang mahu menjajah negara menggunakan senjata ekonomi dan globalisasi yang masih belum difahami ketika itu.
Jangan kita sekali-kali lupa pada tahun 1997, apabila ringgit Malaysia diserang oleh penyangak mata wang sehingga ia jatuh menjunam dan memiskinkan semua pihak di dalam negara, pada 21 Ogos 1997 Standard and Poor's menurunkan rating hutang Malaysia.
Seminggu kemudian, agensi rating tersebut menurunkan rating Maybank, bank terbesar Malaysia. Pada hari yang sama, Bursa Saham Kuala Lumpur jatuh 856 mata, titik terendahnya semenjak 1993.
Pada 1998, pengeluaran di pelbagai sektor menurun iaitu sektor pembinaan menyusut sebanyak 23.5 peratus, pengeluaran menyusut 9 peratus dan pertanian 5.9 peratus.
Keseluruhan GDP negara menurun sebanyak 6.2 peratus pada tahun 1998. Tetapi Malaysia masih merupakan negara terpantas pulih daripada krisis ini dengan menolak bantuan IMF.
Semua ini hasil kebijaksanaan Tun Dr Mahathir dan keberanian beliau menggunakan kaedah un-orthodox bagi menyelamatkan negara.
Anwar Ibrahim? Kenyataan dan tindakan ketika itu menyebabkan ramai yang menganggapnya tidak lebih dari boneka pihak tertentu.
(Baca artikel ini untuk menghayati kebijaksanaan Tun Dr Mahathir.)
Bagaimana saya tahu semua ini? Berbeza dengan Rafizi yang masih belajar di luar negara, ketika itu saya sudah bekerja dan dapat melihat sendiri kesan terhadap ekonomi dan perniagaan di dalam negara, termasuk syarikat tempat saya bekerja, sebelum dan selepas Tun Dr Mahathir mengambil alih portfolio Menteri Kewangan dari seorang Menteri yang tidak kompeten dan mahukan preskripsi IMF digunakan.
Di mana kegagalan Rafizi?
1. Tun Dr Mahathir tidak pernah menyatakan bahawa Malaysia tidak pernah menerima pinjaman Bank Dunia, tetapi pinjaman yang secara tradisinya telah diterima sejak tahun 1970-an tanpa syarat-syarat yang boleh menyebabkan negara terjajah semula.
2. Rafizi gagal membezakan di antara 'pinjaman tanpa syarat yang menekan' dan Rescue Package IMF/Bank Dunia/negara maju dengan pelbagai syarat yang boleh menggadaikan negara.
3. Tun Dr Mahathir tidak pernah menulis surat memohon dan menerima Rescue Package, seperti yang dilakukan oleh sejumlah Presiden dan Perdana Menteri negara-negara Asia ketika itu. Jika surat sedemikian ada - SILA MINTA Anwar Ibrahim tunjukkan kerana sebagai penasihat kepada Bank Dunia sudah pasti Anwar boleh mendapatkannya dengan mudah!
Rasanya lebih mudah mencari surat itu, berbanding mencari JAM OMEGAnya yang hilang baru-baru ini.
IMF BENTANG LAPAN SYARAT UNTUK KOREA
Oleh Martin Feldstein (Profesor Ekonomi di Universiti Harvard dan Presiden Biro Kajian Ekonomi Nasional)
SITUASI di Korea berbeza dengan empat negara Asean dan lebih penting lagi kerana ia adalah ekonomi ke-11 terbesar di dunia.
Masalah Korea bukannya kerana nilai mata wangnya terlalu tinggi atau defisit akaun semasa yang terlalu besar.
Nilai won Korea tidak ditetapkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini tetapi diselaraskan secara beransur-ansur untuk mengekalkan daya saing Korea.
Kejatuhan pasaran bagi semikonduktor, eksport utama Korea, menyebabkan defisit akaun semasa Korea meningkat daripada 1.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1995 kepada 4.7 peratus daripada KDNK 1996.
Tetapi menjelang pertengahan 1997, kadar itu telah menurun kembali kepada 2.5 peratus dan terus menurun.
Prestasi ekonomi Korea amat baik sebelum ini: KDNK sebenar meningkat pada kadar lapan peratus setahun pada tahun 1990-an, sebagaimana yang dicatat pada 1980-an, inflasi berada di bawah kadar lima peratus dan kadar pengangguran berada di bawah tiga peratus.
Meskipun ada konglomerat perniagaan kecil dan bank perdagangan yang muflis baru-baru ini, Korea jelas adalah sebuah ekonomi yang diinginkan oleh negara lain.
Korea mula mengalami masalah pada pertengahan 1997 kerana syarikat perniagaan dan institusi kewangannya telah memiliki beban hutang asing jangka pendek yang jauh melebihi aset tukaran asing Korea.
Menjelang Oktober, bank komersil Amerika Syarikat menganggarkan bahawa hutang jangka pendek Korea berjumlah AS$110 bilion - tiga kali lebih banyak daripada rizab tukaran asing Korea.
Dengan pelabur semakin gentar terhadap keadaan keseluruhan ekonomi negara membangun khususnya di Asia, tidak hairanlah won Korea menghadapi serangan.
Memandangkan jumlah keseluruhan hutang Korea hanya kira-kira 30 peratus daripada KDNK (antara yang terendah di kalangan negara-negara membangun), masalah di negara itu hanyalah disebabkan ketidakcairan sementara dan bukannya ketidakupayaan membayar hutang yang asas.
Tambahan pula, memandangkan defisit akaun semasa yang sangat kecil dan terus mengecil dengan pantas, dasar tradisi IMF supaya perbelanjaan kerajaan dikurangkan, cukai dinaikkan dan kredit dikekang tidak perlu dilaksanakan.
Begitupun, usaha perlu dilakukan untuk menghentikan kerugian tukaran asing dan mengekalkan pinjaman bank kepada Korea dan syarikat-syarikatnya yang sememangnya sihat.
Oleh kerana ia memiliki liabiliti jangka pendek asing yang berlebihan, setiap bank asing yang bertindak dan tidak mempunyai insentif untuk menjadualkan semula pinjamannya.
Khuatir terhadap pengaliran keluar rizab Korea dan won yang semakin tertekan, pelabur terdorong untuk menjual won serta merta.
Tetapi apa yang diperlukan Korea hanya untuk bank-bank peminjam menyelaraskan tindakan mereka menstruktur semula hutang jangka pendek mereka dan memanjangkan tempoh matang dan memperuntukkan kredit tambahan sementara untuk membolehkan ia memenuhi tuntutan pembayaran kadar faedahnya.
Piutang sepatutnya bertindak demikian daripada membiarkan peminjam gagal untuk memenuhi tanggungjawab membayar hutang mereka, sebagaimana yang dilakukan oleh piutang 15 tahun lalu dalam perbincangan dengan peminjam-peminjam Amerika Latin.
Kadar faedah yang diperlukan untuk menarik pinjaman asing jangka panjang seperti itu secara sukarela - dan sekali gus mengelakkan penarikan semula pinjaman persendirian yang diberikan kepada lain-lain negara baru muncul - hanya kira-kira empat mata peratus melebihi kadar faedah Bon Perbendaharaan Amerika Syarikat. Kadar ini adalah dalam lingkungan keupayaan Korea untuk membiayainya menerusi hasil eksportnya.
Menjelang November, kadar faedah ke atas bon AS$10 yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Korea adalah di antara dua mata peratus kepada empat peratus melebihi bon perbendaharan Amerika Syarikat.
Malah, premium empat mata peratus ke atas hutang asing Korea yang sudah distruktur semula sepenuhnya hanya menyamai satu mata peratus daripada KDNK Korea dan kira-kira empat peratus daripada jumlah eksportnya.
IMF seharusnya boleh membantu memperuntukkan pinjaman penyambung sementara dan kemudian menyelenggara bank menjadi kumpulan perunding. (Sebenarnya, IMF melakukan perkara itu pada penghujung Disember dengan dibantu bank pusat nasional setelah pelan asalnya menemui kegagalan).
Sebaliknya, IMF mengumpul wang sebanyak AS$57 bilion daripada sumber rasmi - IMF, Bank Dunia, Amerika Syarikat dan Jepun dan lain-lain kerajaan - untuk meminjamkan kepada Korea supaya peminjam korporat swastanya boleh memenuhi obligasi mata wang asing kepada bank AS, Jepun dan Eropah.
Sebagai tukaran kepada dana itu, IMF menuntut supaya asas ekonomi Korea di perbaiki semula dan melaksanakan dasar makroekonomi menguncup bagi meningkatkan cukai, mengurangkan perbelanjaan dan mengenakan kadar faedah yang tinggi.
Program IMF menekankan lapan masalah struktur ekonomi Korea yang dikatakan perlu diubah.
Pelabur asing tidak boleh memiliki perniagaan Korea dengan membeli saham mereka atau memiliki saham majoriti dalam perniagaan Korea.
Pasaran Kewangan Domestik Korea tidak sepenuhnya dibuka kepada bank atau syarikat insuran asing.
Import sesetengah produk industri masih lagi dihadkan, terutamanya kereta Jepun.
Bank Korea tidak mengamalkan standard perbankan Barat yang baik bagi penilaian kredit tetapi mencontohi apa yang dikatakan model Jepun, di mana kerajaan meminta bank meminjamkan wang kepada industri yang disukai sebagai ganti kepada jaminan yang diberi kepada pinjaman itu.
Bank of Korea tidak bebas dan kestabilan harga bukan satu-satunya matlamatnya. Struktur korporatnya membabitkan konglomerat yang besar (Chaebols) terlibat dengan pelbagai aktiviti serta mengamalkan sistem akaun kewangan tidak telus.
Firma Korea biasanya mempunyai nisbah hutang kepada modal yang tinggi yang menjadi mereka golongan berhutang yang berisiko bagi piutang domestik dan asing.
Undang-undang buruh Korea pula menetapkan syarat amat ketat untuk mengurangkan pekerja dan menjadi penghalang yang kuat bagi penghijrahan pekerja di kalangan syarikat-syarikat.
IMF menegaskan bahawa ia akan memperuntukkan kredit hanya setelah Korea mengubahsuai ciri-ciri utama ekonominya itu. Ia menjangka pertumbuhan ekonomi pada 1998 hanya separuh daripada tahap yang dicapai pada 1997 dan kadar pengangguran akan bertambah dua kali ganda. Keadaan ini akan diburukkan lagi dengan tuntutan IMF bagi mengenakan kadar faedah yang tinggi dan dasar fiskal yang lebih ketat bagi mengurangkan defisit belanjawan di antara 1997 dan 1998.
Ramai pemerhati persendirian menganggap kesan buruk terhadap pengeluaran dan pengangguran akan bertambah teruk.
DR. MAHATHIR - PENYELAMAT NEGARA
Oleh Nor Mohamed Yakcop
Dalam artikel ini, saya ingin menghuraikan serba sedikit mengenai satu keputusan yang begitu bermakna, berani dan bijaksana yang telah diambil oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1 September 1998.
Pada tarikh tersebut, Dr. Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, dengan penuh keyakinan, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan rejim kawalan pertukaran asing terpilih (selective exchange control regime).
Peluang yang terbuka ekoran langkah-langkah 1 September 1998 bukan sahaja memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus mengharungi krisis ekonomi yang melanda negara, malah Malaysia muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mantap.
Adalah tidak sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan.
Pada masa itu, saya berjumpa dengan Dr. Mahathir Mohamad hampir setiap hari dan setiap kali pertemuan saya dengan beliau, raut wajah dan perwatakkan beliau menampakkan keresahan kerana memikirkan situasi ekonomi yang tidak menentu.
Ini adalah disebabkan beliau berasa hairan kerana pada waktu itu asas-asas ekonomi negara begitu kukuh sekali. Beliau sedar bahawa krisis luar biasa itu adalah berpunca daripada konspirasi penyangak-penyangak matawang, dengan sokongan bank-bank antarabangsa, yang telah lama membuat perancangan yang begitu rapi untuk meruntuhkan ekonomi Malaysia.
Kesedaran itulah yang mendorong Dr Mahathir Mohamad mengerah segala usaha dan keringatnya untuk mencari jalan terbaik bagi menghentikan kegiatan manipulasi dan serangan spekulasi matawang asing yang begitu kompleks serta mencabar.
Beliau juga sedar bahawa tindak balas yang tidak tepat akan hanya menjerumuskan Malaysia ke dalam kitaran ganas kemiskinan. Bak kata pepatah, tersilap langkah, antan patah lesung hilang.
Dalam keadaan yang begitu genting, saya sering melihat Dr. Mahathir Mohamad, walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang sihat, seperti demam dan batuk-batuk, begitu tabah dan terus berusaha siang dan malam, tanpa mengenal erti jemu, untuk mencari formula demi menyelamatkan ekonomi negara.
Selepas pelan tindakan dilaksanakan pada 1 September 1998, Dr Mahathir Mohamad tidak berehat. Sebaliknya, beliau terus mempengerusikan mesyuarat Exco Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) setiap hari bagi membincangkan, menghalusi dan memantau keadaan ekonomi serta menyusun langkah-langkah ke arah mengukuhkan ekonomi.
Petunjuk dan data-data ekonomi penting seperti pelaburan, perbelanjaan, eksport dan import serta banyak lagi data-data dianalisis pada setiap hari. Tidak ada pemimpin di negara membangun mahupun sedang membangun yang pernah melakukan tindakan seperti ini.
Ini membuktikan kelebihan Dr. Mahathir. Hakikatnya, Dr. Mahathir menyelamatkan Malaysia, bukan sahaja melalui keberanian beliau melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998, tetapi juga melalui kerajinan dan kecekapan beliau dalam memantau situasi ekonomi setiap hari, supaya tindakan segera dapat diambil untuk menangkis sebarang ancaman dan memperbaiki keadaan, jika perlu.
Sekiranya Malaysia tidak melaksanakan langkah-langkah unorthodox pada bulan September 1998, sebahagian besar syarikat perniagaan akan menjadi muflis. Kadar faedah yang tinggi akan meningkatkan tanggungan hutang mereka.
Apabila mereka jatuh seperti domino, bank-bank dan institusi kewangan akan runtuh kerana hutang tidak berbayar (NPL) yang terlalu besar. Apabila bank-bank runtuh, kekangan kredit akan menjadi lebih parah, menyebabkan syarikat-syarikat yang sedia maju tidak mendapat pinjaman.
Perniagaan mereka akan menguncup dan akhirnya mereka juga akan terjejas teruk. Seterusnya Kerajaan pula tidak akan dapat memungut hasil yang mencukupi untuk membiayai perbelanjaan.
Akibat kegagalan bank dan korporat, kadar pengangguran akan meningkat dengan ketara dan seterusnya satu lagi kitaran kegagalan syarikat dan bank akan menyebabkan satu lagi pusingan pengangguran.
Inilah apa yang dikatakan kitaran ganas. Apabila jumlah pengangguran meningkat, jalinan sosial di Malaysia akan terungkai dan seterusnya menyebabkan kegawatan sosial dan politik. Ini akan menyebabkan dana dari luar tidak masuk ke Malaysia, kerana pelabur asing tidak akan masuk ke dalam negara yang tidak menentu kestabilan sistem politiknya.
Dalam tahun 1997 dan 1998, senario ini adalah satu bencana yang menunggu masa untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana kebijaksanaan Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada 1 September 1998.
Negara-negara jiran kita juga kembali pulih kerana Malaysia melaksanakan kawalan pertukaran asing terpilih. Beberapa bulan sebelum 1 September 1998, pengurus hedge funds telah merancang untuk melemahkan kadar ringgit kepada RM5 bagi setiap AS$1, dan mengambil tindakan yang sama terhadap mata wang Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.
Mereka telahpun mula melaksanakan rancangan ini sedikit demi sedikit. Apabila Malaysia secara mengejut melaksanakan pelan tindakannya pada 1 September 1998, mereka panik dan bukan sahaja membeli semula ringgit, tetapi juga mata wang negara-negara rantau ini. Paling penting, mereka terpaksa membatalkan rancangan serangan tersebut dan tidak berani membuat serangan sedemikian sehingga sekarang.
Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa langkah Dr. Mahathir melaksanakan pelan tindakan unorthodox pada bulan September 1998 bukan sahaja telah menyelamatkan Malaysia tetapi juga negara-negara di rantau ini.
Satu lagi kesan positif kepada Korea Selatan, Thailand dan Indonesia berikutan langkah-langkah kawalan pertukaran asing yang dilaksanakan Malaysia ialah sikap IMF dan negara-negara Barat.
Atas sebab-sebab yang telah kita ketahui, IMF dan lain-lain negara Barat tidak mahu kawalan mata wang asing Malaysia berjaya kerana kejayaan langkah berkenaan akan menjejaskan kredibiliti dasar globalisasi dan pasaran bebas yang mereka perjuangkan.
Oleh itu, bagi IMF adalah penting untuk memastikan Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, yang tidak melaksanakan kawalan pertukaran asing dan sebaliknya menerima bantuan IMF, menghasilkan kejayaan yang jauh lebih baik daripada Malaysia.
Ini dilakukan, bukan kerana IMF benar-benar mahu negara-negara tersebut berjaya, tetapi hanya untuk menunjukkan bahawa cara yang dipilih oleh Malaysia adalah salah.
Bagi Malaysia, lebih banyak bantuan yang diberikan oleh IMF kepada negara-negara ini adalah lebih baik. Ini bukan sahaja dari segi kemanusiaannya, iaitu ingin melihat jiran kita makmur, tetapi juga dari segi kepentingan Malaysia sendiri, kerana kemakmuran jiran-jiran kita akan meningkatkan perdagangan serantau dan kestabilan politik serantau yang akan menguntungkan Malaysia.
Kemenangan Malaysia
It was the worst of times. It was the best of times. Ungkapan ini mungkin diucapkan oleh penyair untuk menggambarkan tempoh dua tahun yang diharungi negara mulai Julai 1997, apabila krisis kewangan di Asia mula menunjukkan belangnya. Ia adalah satu tempoh yang paling perit berikutan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia semasa melalui tempoh ini.
Ia juga adalah satu tempoh yang paling menarik kerana ia menampakkan beberapa kualiti terbaik Dr. Mahathir Mohamad khasnya dan rakyat Malaysia amnya untuk membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia adalah satu jalinan masyarakat yang kukuh yang mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk menerima gegaran serta kejutan, bahkan tabah menghadapinya.
Dr. Mahathir Mohamad telah beberapa kali menegaskan bahawa satu pengajaran dari krisis 1997 - 1998 ialah kita perlu mempersiapkan dan memperlengkapkan diri supaya kita mempunyai daya ketahanan yang cukup kuat untuk menangkis dan menangani krisis-krisis kewangan dan serangan ekonomi yang berlaku pada masa hadapan.
Kita perlu sedar bahawa kebanyakan krisis kewangan dan krisis ekonomi adalah di luar kawalan kita. Ia muncul dengan tiba-tiba dalam bentuk dan pola yang sukar diramalkan. Apa yang mustahak, mengikut pendapat Dr. Mahathir, ialah jika berlaku krisis, kita mesti mempunyai keyakinan yang kuat untuk melakukan sesuatu yang dianggap mustahil, dengan syarat ia dilakukan untuk kepentingan rakyat keseluruhannya.
Kita akan berjaya sekiranya kita bijaksana, berakhlak dan berani sepertimana yang ditegaskan oleh filasuf Kung Fu Tze: Yang bijaksana tidak keliru, yang berakhlak tidak gundah gulana, yang berani tidak gentar.
Kita tidak harus mengharapkan apa-apa pujian daripada negara-negara barat atau media-media mereka kerana kita melakukannya bukan untuk mendapat pujian atau untuk memuaskan hati mereka. Kita melakukannya kerana kita tahu bahawa apa yang kita lakukan adalah langkah yang tepat demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat keseluruhannya.
Dalam melaksanakan pelan unorthodox pada bulan September 1998, Dr Mahathir telah membuktikan bahawa sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh secara teratur, berpasukan, berstrategi dan terancang, adalah tidak mustahil untuk menentang lawan kita yang jauh lebih gagah dan perkasa daripada kita dengan cara kita sendiri.
Satu lagi pengajaran, khasnya daripada krisis kewangan 1997 - 1998, yang selalu ditekankan oleh Dr. Mahathir Mohamad, ialah proses globalisasi tidak semestinya membawa kemakmuran kepada kesemua negara di dunia ini. Di peringkat awal, pelonggaran halangan perdagangan, dasar perniagaan mata wang yang bersifat antarabangsa dan aliran modal jangka pendek yang tidak terbatas dianggap satu perkara yang membawa manfaat kepada negara maju dan negara membangun. Namun apa yang dianggap baik kepada negara maju tidak semestinya baik untuk negara membangun.
Krisis kewangan, yang hanya membabitkan negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, membuktikan tesis ini dengan jelas. Ini bermakna proses globalisasi yang dicanangkan oleh Barat perlu diselidiki serta dikaji secara halus dan bijaksana sebelum kita menerimanya bulat-bulat.
Sungguhpun kita telah berjaya memulihkan ekonomi negara, Dr. Mahathir Mohamad telah menyedarkan kita bahawa kita tidak boleh berlapang dada dan merasa lega. Perjalanan kita masih jauh. Tugas kita masih banyak lagi. Kita perlu memakmurkan kembali Malaysia agar ia dapat mencapai taraf negara maju, membasmi kemiskinan hingga ke akar umbi, dan menjana satu budaya bangsa yang murni, sanggup bekerja keras dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hidup untuk semua lapisan rakyat Malaysia.
Kejayaan kita dalam pertembungan antara globalisasi dan kawalan modal adalah satu pencapaian yang boleh kita banggakan, kerana kita, melalui kepimpinan dan kebijaksanaan Dr. Mahathir Mohamad, dapat mengelak daripada menjadi negara penerima Dana IMF. Tetapi kita harus bersedia setiap masa dan sentiasa beringat setiap waktu supaya krisis yang sama, sekiranya datang kembali, boleh ditangani dengan pendekatan dan langkah-langkah yang matang, kreatif dan bijaksana.
Kesimpulan
Dalam kehidupan setiap pemimpin, ada beberapa ketika yang merupakan saat-saat penuh genting, bererti dan bermisteri. Saat-saat di mana seseorang pemimpin membuat keputusan penting yang akan mencorakkan kehidupan bangsanya di kemudian hari.
Dr Mahathir Mohamad sudah tentunya telah melalui banyak saat-saat seperti ini dalam masa 22 tahun beliau memimpin negara tercinta. Antara saat-saat seperti ini, 1 September 1998 merupakan saat yang penuh rahmat untuk bangsa Malaysia.
Pada tarikh tersebut Dr Mahathir Mohamad, sebagai pemimpin Malaysia, telah mengambil keputusan berani untuk melaksanakan pelan tindakan unorthodox dan sekaligus menyelamatkan Malaysia.
KRISIS EKONOMI KOREA DAN IMF
(Hamidon Khalid, Sarjana Pengurusan, UM) Rencana ditulis pada 1998
Di Asia telah muncul beberapa negara perindustrian baru (NIC) yang dikenali sebagai Harimau Asia (Asian Tigers). Negara tersebut adalah Korea Selatan, Taiwan, Hongkong dan Singapura. Jepun sudahpun dikenali sebagai negara maju. Negara-negara lain cuba memajukan negara sendiri supaya rakyat dapat menikmati kemajuan.
Pada pertengahan tahun 1997 telah muncul satu suasana yang tidak diduga iaitu krisis ekonomi yang telah melanda banyak negara di Asia. Krisis ini sama seperti yang telah dialami oleh Mexico pada 1995. Negara Korea telah mengalami krisis mata wang yang teruk yang disebabkan oleh defisit kerajaan yang melebihi 22 bilion yang tidak terbayar olehnya. Keadaan ini ditambah oleh kegagalan Cheabols (konglemerat) seperti Hyundai, Halla (6 bilion) , Kia Motor (6 bilion) dan Hanba (5 bilion) dan lain-lain lagi yang mengalami kerugian berbilion dolar dan tidak terbayar.
Syarikat-syarikat gergasi ini tidak diurus dengan betul dan telah membuat pelaburan yang sangat besar dengan pinjaman bank-bank tempatan dan luar negara. Kesemua hutang ini dibuat oleh pemodal yang tidak mengambil kira keadaan masa hadapan tetapi lebih kepada peningkatan pelaburan semata-mata. Keadaan ini telah ditambah oleh penurunan nilai mata wang Korea (Won) berbanding dengan nilai dolar Amerika.
Pada Julai 1997 nilai Won ialah 890 berbanding I dolar Amerika dan pada Disember 1997 1700 Won berbanding dengan 1dolar Amerika di mana penurunan adalah hampir 50 peratus. Penurunan yang besar ini telah memberikan kesan yang kuat pada ekonomi kerajaan Korea terutamanya pada syarikat-syarikat dan rakyat seterusnya.
Sebagai ekonomi yang kesebelas terbesar di dunia, Korea Selatan yang sebelum ini dilaporkan selama 10 hari berkeras untuk tidak menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) akhirnya tunduk kepada tekanan antarabangsa selepas rundingan selama 14 jam.
Dalam satu sidang berita, Menteri Kewangan Korea Selatan, Lim Chang-Yeul berkata, "Memandangkan kepentingan Korea dalam ekonomi dunia, saya akan meminta lembaga pengarah IMF supaya menyokong program bantuan sebanyak AS$21 bilion." Pakej penyelamat itu turut melibatkan Amerika Syarikat yang menyumbang sebanyak AS$5 bilion, Jepun AS$10 bilion, Bank Dunia AS$10 bilion, Bank Pembangunan Asia AS$4 bilion dan selebihnya diberikan oleh Australia, Britain, Jerman, Kanada dan Peranchis.
Akhbar berbahasa Inggeris di Korea Selatan, Korea Times memberikan gambaran suram mengaitkan dengan era bermulanya penjajahan ekonomi dan cuba memberikan semangat kepada rakyat supaya berhemat dan berjimat cermat untuk membantu kerajaan membayar pinjaman secepat mungkin. Persoalan yang begitu dibimbangi oleh rakyat Korea terutamanya oleh kesatuan buruh yang aktif dengan tradisi mogok dan bersuara lantang ialah syarat yang dipersetujui oleh kerajaan mereka untuk menerima IMF.
Ini adalah disebabkan syarat-syarat IMF tidak diumumkan secara terbuka kerana ia merupakan sebahagian daripada agenda rahsia IMF dan biasanya dilakukan di Indonesia dan Thailand dengan penutupan institusi perbankan dan kewangan. Menurut International Herald Tribune atau ringkasnya IHT (5 Disember 1997) agenda utama daripada syarat IMF ialah pengurangan kadar pertumbuhan kepada suatu kadar yang dibenarkan iaitu pada 3 peratus.
Penurunan kadar pertumbuhan ke atas sebuah negara yang mengalami pertumbuhan biasa sebanyak 8 peratus setahun sejak perang Korea akan membawa kepada pembuangan kerja secara besar-besaran dan kerugian kepada banyak korporat. IHT juga memetik pandangan Kim Fung Sang, pengurus cawangan Morgan Stanley yang mengatakan Amerika Syarikat adalah perunding sebenar, bukannya IMF dan bertanggungjawab kepada syarat-syarat ketat yang mana Seoul harus membuka pasarannya dan menutup bank-bank dan institusi kewangan yang terlalu banyak hutang. Laporan Korea Times juga mengatakan meskipun pengumumam rasmi telah dibuat antara kerajaan dan IMF, beberapa berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya telah tersebar di sekitar Seoul.
Antaranya ialah Korea Selatan diminta supaya mengurangkan perbelanjaan dalam pertahanannya. Tetapi pegawai kerajaan berkata disebabkan oleh penurunan nilai mata wang, belanjawan pertahanan akan dikurangkan sebanyak 5,000 bilion won secara automatik menjelang 1998. Pemotongan belanjawan akan dilakukan dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan, pertanian dan perikanan.
Tersebar juga berita yang mengatakan bahawa presiden yang menang dalam pilihanraya baru-baru ini mahu merundingi semula dengan pihak IMF supaya tidak terlalu keras dengan syarat-syarat yang dikenakan itu atau batalkan sahaja kesemuanya atau sebahagian daripada program pengstrukturan semula ekonomi. Tetapi ramai pemerhati politik beranggapan ia adalah angan-angan kosong kerana IMF tidak akan bertolak ansur.
Selain itu, ada juga yang mendakwa dana Multilateral (IMF) itu telah meminta supaya Bank Korean First dan Seoul Bank diisytiharkan bankrap kerana ia adalah syarikat-syarikat kewangan yang tidak lagi berdaya maju. Walaupun banyak berita yang tidak dapat disahkan kesahihannya itu dan tersebar sebagai khabar angin, terdapat juga kebenarannya.
Sehingga kini banyak bank-bank dan syarikat-syarikat besar di Korea telah diisytiharkan bankrap. Salah satu syarikat tersebut ialah Kumpulan Halla di mana pengerusinya adalah adik kepada Chung Ju Yung, pengasas dan Pengerusi Hyundai, syarikat terbesar di Korea Selatan dari segi asetnya dan yang kedua terbesar dari segi jualannya. Kumpulan Halla dikatakan pada awalnya dapat bertahan kerana mendapat bantuan Hyundai.
Selain daripada Halla, Kumpulan Ssangyong, Chaebol keenam terbesar dikatakan mengalami kerugian berbilion dolar berikutan pembabitannya dalan industri automobil. Laporan Reuters menyatakan syarat lain IMF termasuklah gesaan agar Seoul memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dengan ketara, memotong perbelanjaan kerajaan, merapatkan defisit akaun semasa , membuka pasaran kewangannya dengan luas dan menamatkan sekatan dagangan.
Apakah kegawatan ekonomi dan masalah demi masalah yang melanda di Korea Selatan ini akan dialami oleh negara kita? Berdasarkan laporan media asing ke atas Korea Selatan, Malaysia seharusnya sudah menyiapkan master plan untuk menyelamatkan negara daripada bantuan IMF.
Buruh Dalam Pertumbuhan Asia
* Peranan buruh dalam mempertahankan pertumbuhan ekonomi di Asia Timur - Buruh memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Asian kerana tidak ada sumber semulajadi dan faktor utama adalah sumber manusia. Pertumbuhan bermula dengan industri intensif buruh ke industri intensif kemahiran dan industri teknologi tinggi.
* Tenaga buruh di Asia Timur - Tenaga buruh di Asia Timur telah mendapat manfaat daripada pertumbuhan misalnya agihan pendapatan yang lebih baik. Di samping itu, struktur guna tenaga telah dipertingkatkan iaitu dari sektor pertanian kepada sektor yang produktif. Perkembangan yang berterusan dalam bidang guna tenaga telah menyebabkan buruh asing diambil untuk mengatasi kekurangan tenaga buruh di "empat harimau ekonomi "iaitu Hong Kong, Korea, Taiwan dan Singapura. Di samping itu, produktiviti buruh yang terus meningkat telah memperbaiki kadar upah benar yang seterusnya melahirkan kumpulan kelas pertengahan yang kuat. Keadaan ini bukan sahaja telah mewujudkan pasaran yang luas untuk kestabilan ekonomi malahan memperkukuhkan kestabilan sosial.
* Perkembangan institusi buruh di pertumbuhan Asia - Perkembangan institusi buruh di “empat harimau ekonomi” adalah berbeza. Antaranya dari segi polisi buruh, penentuan upah dan upah minimum, kuasa pasaran merupakan faktor utama. Campurtangan kerajaan dalam hal ini adalah minimum. Dari segi undang-undang untuk melindungi pekerja khasnya “Labor Standard Law’ tidak dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat awal. Peruntukan keselamatan sosial juga berbeza di antara kempat-empat negara ini dan setiap negara mempunyai program masing-masing. Akhir sekali dari segi kesatuan, pergerakan kesatuan memperjuangkan hak pekerja dan sebagainya.Dicadangkan juga perlunya dialog antara 3 pihak iaitu kerajaan, peniaga dan pekerja untuk menangani krisis ekonomi ketika ini.
* Pembangunan sumber manusia di pertumbuhan Asia - Kempat-empat negara itu melabur dengan banyak dalam sumber manusia misalnya dalam bidang pendidikan, dari sekolah rendah ke vokasional dan pengajian tinggi. Sektor swasta juga memainkan peranannya dalam membantu memajukan bidang pendidikan untuk melahirkan pekerja yang berkemahiran.
Krisis Mata Wang Di Malaysia Dan Kemelesetan Ekonomi
Penyebaran berita dan analisis ekonomi yang tidak tepat oleh spekulator dan manipulator mengenai rantau Asia Tenggara bukan sahaja mengkucar-kacirkan ekonomi Indonesia dan Thailand malah Malaysia juga turut merasai kehangatannya.Spekulasi ekonomi yang tidak berasas ini menyebabkan BSKL turut terjejas. Sehingga 15 Disember 1997 BSKL mengalami kerugian sebanyak RM432 bilion atau 54 peratus. Semua sektor lain turut terjejas dengan kuasa membeli mula merosot dan memperlahankan ekonomi negara hingga timbul istilah bahawa BSKL bukan lagi lombong emas sebagaimana tahun-tahun sebelum ini.
Menteri Kewangan kita Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan strategi memperkukuhkan kestabilan ekonomi dan kewangan negara supaya keadaan mata wang serta bursa saham dan kedudukan institusi perbankan negara akan sentiasa kukuh. Langkah ini tentulah bagi mengelakkan krisis mata wang dan ekonomi menjunam lebih teruk lagi dan tidak mahu meminta sebarang bantuan kewangan dari IMF. Tetapi sehingga kini penurunan nilai ringgit terus merosot ke paras terendah iaitu RM 4.50 disisi AS$1. Jika sesuatu tidak dilakukan oleh kerajaan dan rakyat, kita mungkin menghadapi senario yang sama seperti Korea Selatan!
Belanjawan mini yang diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 5 Disember 1997 mengejutkan banyak pihak. Tiada siapa menyangka kerajaan akan mengambil langkah yang drastik dan tegas. Langkah-langkah berani itu adalah penawar yang diperlukan untuk mengubati penyakit ekonomi yang kita hadapi sekarang. Krisis kewangan yang serius ini memerlukan pengorbanan yang besar dari kerajaan dan rakyat. Sebelum ini kerajaan cuba menafikan krisis yang dihadapi dengan menyalahkan pihak lain.
Kerajaan berulangkali mengatakan ekonomi kita masih kukuh sedangkan kita tahu kedudukan ringgit saban hari merosot dan pasaran saham terus jatuh. Kerajaan mengumumkan satu belanjawan negara yang `lembut` bagi mengatasi krisis kewangan pada Oktober 1997 bagi mengembalikan keyakinan pelabur. Ternyata strategi kerajaaan ini memakan diri dan akhirnya terpaksa tunduk kepada keadaan. Kerajaan akhirnya menerima realiti bahawa keadaan semakin teruk dan ini diakui sendiri oleh Anwar Ibrahim pada 5 Disember yang lalu. Keadaan ekonomi serantau yang semakin parah mengejutkan kita yang sedang menikmati arus kemewahan. Korea Selatan yang terkenal gah dengan kemajuan ekonominya tiba-tiba tersungkur hingga terpaksa 'diselamatkan' oleh IMF, Sanyo Securities dan Yamaichi Securities, dua firma broker saham terkemuka Jepun diisytihar muflis. Ini membangkitkan kita supaya mengambil langkah segera dan tegas bagi mengelakkan negara kita turut mengalami nasib seperti Thailand, Indonesia dan Korea Selatan.
Antara Kesan Kejatuhan Nilai Ringgit
* Kegawatan ekonomi serantau menyebabkan pasaran saham lengang dan BSKL seolah-olah 'mati'. Harga-harga saham berada pada paras yang sangat rendah. Golongan yang bertindak melawan arus tidak melepaskan peluang membeli saham pada waktu ini. Tetapi bagi golongan mengikut arus, termasuk para pelabur dan institusi kewangan enggan memasuki pasaran saham bukan kerana takut harga saham terus jatuh tetapi kerana kekurangan modal.
* Sektor swasta dan kilang-kilang banyak yang telah memberhentikan operasi kerana kekurangan wang untuk membayar gaji pekerja. Ini menyebabkan ramai pekerja-pekerja yang terpaksa diberhentikan dan bertambahnya kadar penggangguran di negara kita. Kerja lebih masa juga dibekukan bagi setengah-setengah sektor swasta.
* Semua sektor lain seperti pembuatan, perindustrian dan pembinaan akan terjejas disebabkan kuasa membeli merosot.
* Sistem perbankan juga mengalami keperitan kerana tidak cukup modal untuk beroperasi dan membekukan pinjaman ke atas projek yang tidak produktif seperti hartanah.
* Pemaju kini tidak boleh lagi sesuka hati membina rumah dan kondominium mewah tetapi digalakkan membina rumah-rumah kos rendah dan sederhana.
* Kos import barang-barang luar negara meningkat dan menyebabkan harga barang import ini semakin tinggi.
* Kegawatan ekonomi juga merebak kepada peniaga-peniaga kecil dan pasaraya yang menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan harian seperti gula, tepung, minyak dan sayur-sayuran. Kesan ini semakin terasa dengan kedatangan serentak dua perayaan utama iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Keadaan panik oleh sesetengan golongan tentang kenaikan harga ini menimbulkan masalah lain di mana mereka membeli barang-barang keperluan tersebut pada kadar yang banyak iaitu melebihi biasa sehingga seluruh negara mengalami kekurangan stok barangan tersebut. Dan kini bahang inflasi mula dirasakan.
Langkah-langkah mengatasi krisis ekonomi di Malaysia
Bagi mengatasi masalah ekonomi yang kita hadapi ini, tiga kuasa utama pasaran iaitu kerajaan, pihak swasta dan pengguna (rakyat), mesti berganding bahu dan menjalankan tanggungjawab masing-masing secara bersepadu.
Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan;
* Pihak kerajaan mengkaji semula pertumbuhan ekonomi dengan memperlahankannya pada paras 6.7 peratus daripada 8 peratus yang dijangkakan dalam belanjawan 1998 pada Oktober 1997.
* Kerajaan memotong perbelanjaan sebanyak 18 peratus berbanding 2 peratus sebelumnya. Semua import barangan lumpy seperti kapal terbang, kapal laut dan lain-lain barang yang mahal dijadualkan semula.
* Projek-projek mega yang sedang berjalan tetapi tidak strategik bagi pembangunan ekonomi ditangguhkan. Walau bagaimanapun projek infrastruktur seperti LRT masih diteruskan.
* Pelaburan luar negara dihentikan terutamanya projek-projek yang memerlukan pembiayaan pinjaman yang besar. Pada tahun 1997 sahaja sebanyak RM7 bilion telah dilaburkan oleh para pelabur Malaysia di negara-negara lain.
* Penghantaran pelajar-pelajar ke luar negara ditangguhkan dan mereka ini ditempatkan di universiti-universiti tempatan.
* Bank-bank akan bertindak tegas ke atas pinjaman-pinjaman yang tidak dibayar. Kerajaan tidak akan menyelamatkan mana-mana individu atau syarikat yang menghadapi masalah pembayaran pinjaman bank.
* Semua aktiviti-aktiviti korporat yang melibatkan penyenaraian saham-saham baru, penerbitan saham terbitan hak dan penyusunan semula syarikat dibekukan. Tindakan ini adalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur terutama pelabur asing kerana ia menunjukkan ketegasan kerajaan mengawal penyalahgunaan atau penyelewengan dan menjaga kepentingan pemegang saham minoriti. Walaupun ia pahit untuk diterima, tetapi kita terpaksa melakukannya bagi mengelakkan keadaan bertambah teruk. Kita tidak mahu projek-projek hartanah terbengkalai. Kepentingan rakyat, pengguna, pendeposit dan pemegang saham mesti dilindungi.
* Kerajaan juga memutuskan tidak akan melanjutkan Pas Laksana Kerja Sementara (PLKS) kepada kira-kira 150,000 pekerja asing dalam pelbagai sektor perkhidmatan selepas pertengahan Ogos 1998. Sebaliknya mereka diberi pilihan sama ada untuk bekerja di sektor perladangan dan perkilangan atau dihantar pulang. Sebelum ini kerajaan mengumumkan untuk menghantar pulang kira-kira sejuta pekerja asing di sektor tertentu ke negara asal mereka bagi mengatasi masalah ekonomi.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tajol Rosli Ghazali, kerajaan akan mempertimbangkan lanjutan pas kerja pekerja asing di sektor pembinaan, jika majikan dapat membuktikan mereka mempunyai kontrak pembinaan yang perlu disudahkan. Selain itu KDN akan mendapatkan nasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sama ada perlu melanjutkan pekerja asing sesuatu syarikat atau tidak. Jika dipersetujui dilanjutkan, KDN akan lanjutkan sehingga enam tahun dan yang gagal diberi pilihan dihantar pulang atau berpindah ke syarikat lain. Kerajaan masih membenarkan lanjutan pas kerja pekerja asing di sektor perhotelan asalkan mereka tidak bekerja di bahagian hadapan atau sebagai penyambut tetamu. Menurut Datuk Tajol Rosli, pekerja asing di sektor kebun sayur dan ternakan akan dilanjutkan pas kerana industri berkenaan dapat mengurangkan pergantungan negara kepada bahan makanan yang diimport.
* Sekatan import barang barang mewah - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mahu supaya import barangan mewah seperti pakaian, kenderaan pacuan empat roda, perabot dan tembakau terus disekat walaupun ada permintaan. Selain itu, import produk makanan seperti keju, emping jagung, epal, anggur, brokoli, wain dan air mineral perlu dihentikan segera kerana banyak produk tempatan yang mampu menggantikannya. Menurut presidennya Prof. Mohd. Hamdan Adnan, "Apabila barang berkenaan 'hilang' dari pasaran, pengguna akan lebih menghargai barangan tempatan".
Mengenai kempen 'Cintai Malaysia' dan 'Belilah barangan buatan Malaysia', beliau menyarankan pihak berkuasa dan pemimpin lebih ikhlas dan telus dalam melaksanakannya.
* Pemotongan gaji menteri sebanyak 10 peratus diikuti dengan pegawai-pegawai kerajaan peringkat Jusa yang seramai 38 orang. Manakala pegawai-pegawai kumpulan A dan B tidak dibenarkan kenaikan gaji tahunan serta pemotongan elaun keraian dan elaun khidmat awam.
* Mengawal harga barangan keperluan harian seperti minyak masak, tepung, susu, gula dan lain-lain. Ini adalah kerana barang-barang kegunaan harian walaupun buatan Malaysia tetapi komponenya adalah barangan import.
* Memberi pinjaman kepada pengusaha yang mengeluarkan barangan untuk dieksport dan barangan untuk digunakan dalam negeri yang boleh menggantikan barangan import.
* Tidak digalakkan pelaburan di dalam hakmilik dan melancong ke luar negara bagi mengelakkan aliran ringgit keluar dari Malaysia.
* Menggalakkan gabungan bagi institusi-institusi kewangan, syarikat-syarikat sekuriti seperti bon dan saham dan gabungan syarikat-syarikat gergasi di Malaysia.
* Membuat kawalan terhadap penukaran wang asing
* Menggalakkan orang ramai membeli saham supaya harga saham akan naik di pasaran.
Antara langkah-langkah yang perlu di ambil oleh rakyat
* Berjimat cermat dan menabung di institusi kewangan dan bank-bank supaya wang itu dapat dilaburkan oleh kerajaan untuk mendapatkan lebih banyak wang. Inflasi tidak akan berlaku jika jumlah bekalan wang di pasaran seimbang dengan jumlah barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan.
* Menyahut seruan kerajaan supaya membeli barangan buatan Malaysia, tidak melancong ke luar negara, bercucuk tanam, membeli saham-saham tempatan dan mengurangkan perbelanjaan pada barang-barang yang kurang perlu seperti pakaian baru berjenama dan perabot-perabot.
* Para pengimport boleh membantu menstabilkan kenaikan harga barang-barang import dengan menyerap sedikit kenaikan kos melalui pengurangan keuntungan.
* Peningkatan produktiviti juga boleh menyumbangkan ke arah meredakan tekanan terhadap kemelesetan ekonomi. Untuk meningkatkan produktiviti bermakna kita bekerja dengan lebih rajin dan lebih cekap bagi menghasilkan jumlah barangan yang lebih banyak dengan kos yang sama atau kurang. Dengan ini harga barang dapat dikurangkan.
* Bagi golongan yang mempunyai aset di luar negara seperti rumah dan hartanah, mereka digalakkan menjualkannya supaya dapat mengembalikan ringgit Malaysia.
Antara langkah-langkah yang perlu di ambil oleh pihak swasta dan majikan
* Pihak swasta terutama pengeluar perlu menjimatkan perbelanjaan untuk mengurangkan kos pengeluaran dengan niat untuk menurunkan harga dan bukannya untuk menggandakan keuntungan.
* Memotong gaji dan elaun pegawai eksekutif atasan dan pertengahan seperti yang disarankan oleh kerajaan dan mengurangkan bonus.
* Mencari bahan mentah dari sumber yang murah.
* Memberhentikan khidmat pekerja asing dan mengambil pekerja-pekerja tempatan. Apa yang perlu dilakukan ialah mencari jalan bagaimana untuk menarik pekerja tempatan. Ini mungkin boleh dilakukan melalui struktur ganjaran yang setimpal atau jaminan faedah sampingan yang berpatutan.
Liberalisasi Pasaran Perkhidmatan Insuran Di Malaysia
Berikutan dengan masalah krisis nilai mata wang, Malaysia juga menghadapi masalah liberalisasi pasaran perkhidmatan insuran. Sebagai negara membangun, kita juga perlu membina kekuatan dan daya saing dalam setiap bidang termasuk sektor insuran yang menjadi pertikaian Amerika terhadap negara kita sekarang. Insuran adalah sebahagian dari sektor perkhidmatan kewangan yang menjadi nadi pembangunan ekonomi mana-mana negara. Jika ia telah dikuasai atau dikawal oleh pihak asing, bercelarulah jadinya struktur pertumbuhan negara itu. Inilah yang kita bimbangkan jika ia terjadi di Malaysia.
Amerika menutup tirai 1997 dengan memberi amaran akan mengenakan diskriminasi atau sekatan ekonomi ke atas Malaysia. Ancaman daripada wakil perdagangan Amerika, Charlene Barshefsky ini dibuat berikutan Kuala Lumpur bertegas tidak mahu menggugurkan dasar supaya syarikat insuran asing di Malaysia mengurangkan ekuiti 100 peratus kepada 51 peratus. Nampaknya Amerika Syarikat mahu membolot 100 peratus ekuiti walaupun kuasa 51 peratus itu sudah memadai bagi menentukan sebarang keputusan. Amerika masih tidak berpuas hati dengan keputusan Malaysia, walaupun persidangan Pertubuhan Perdagangan (WTO) telah bersetuju dengan syarat pembukaan ekuiti asing Malaysia sebanyak 51 peratus. Di bawah perjanjian WTO, Malaysia menawarkan 51 peratus pemilikan asing dalan syarikat insuran yang diperbadankan di Malaysia berbanding dengan 30 peratus pada masa kini. Amerika International Group (AIG) ialah sebuah korporat insuran terbesar Amerika yang berpusat di New York memiliki 100 peratus dalam American International Assurance (AIA) sejak 50 tahun lalu. Ia kini enggan menjual ekuitinya sebanyak 49 peratus kepada pihak tempatan dan enggan menggugurkan dasar pengurangan ekuiti asing. Keengganan AIG ini telah mempengaruhi kerajaan Clinton mengenakan tekanan ke atas Malaysia supaya menggugurkan sahaja cadangan penjualan ekuiti sebanyak 51 peratus itu.
Jika diteliti daripada tindakan yang diambil oleh Amerika itu, dapatlah dilihat betapa kuatnya pengaruh AIG dalam rundingan sektor perkhidmatan kewangan yang berada di bawah naungan WTO di Geneva yang tamat pada 13 Disember 1997. Malah AIG merupakan faktor utama yang memainkan peranan dalam liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan seperti insuran. Financial Times menyebut bahawa AIG telah meningkatkan dana prasarananya kepada AS$1.5 bilion untuk melabur di Asia sebagai usaha bantuan ekonomi Asia. Sementara GIC Infrastructure sebuah syarikat pelaburan gabungan dengan kerajaan Singapura merupakan pelabur utamanya.
Di Malaysia AIA adalah satu-satunya syarikat milik Amerika yang tidak digabungkan dengan ekuiti tempatan. Sebab itulah apabila kerajaan kita mengumumkan pengurangan dalam pemilikan ekuiti oleh syarikat asing, AIG membantah kerana ia merasakan keuntungannya akan berkurangan. AIG juga bimbang tindakan Malaysia akan diikuti dan dicontohi oleh negara-negara lain di Asia pula.
Rumusan
Tidak ada golongan yang boleh disebut pakar ekonomi kerana seperti pakar kaji cuaca, pakar ekonomi boleh menafsir dan meramal, namun tafsiran-tafsiran dan ramalan mereka bergantung kepada andaian masing-masing. Dalam kebayakan keadaan, andaian ini dikatakan tidak betul sehingga menjadikan tafsiran dan ramalan ahli ekonomi sebagai satu mitos.
Padah daripada kesan kemelesetan ekonomi jelas dirasai oleh kerajaan dan rakyat terutamanya negara-negara Thailand, Indonesia dan Korea Selatan. Di Malaysia, kehangatan ini dirasai juga walaupun dikatakan belum menyeluruh. Nilai ringgit jatuh lebih daripada 40 peratus berbanding dolar Amerika yang menjadi benchmark mata wang kebanyakan negara di dunia. Ini menjadikan taraf hidup penduduk secara relatifnya juga turun sebanyak 40 peratus. Dianggarkan jika pasaran hartanah menurun sebanyak 30 peratus sektor perbankan akan mengalami tahap kemelesetan serius. Kadar non-forming loans akan naik sehinggga 15 peratus dan ini akan menjadikan suasana panik yang mungkin boleh terjadi hampir sama seriusnya dengan situasi di Indonesia dan Thailand. Bagaimanapun asas kedudukan ekonomi itu diheret oleh kehilangan keyakinan terhadap ekonomi Malaysia disebabkan perubahan sikap penganalisis ekonomi terhadap dasar dan asas pentadbiran ekonomi negara ini. Keyakinan ekonomi menjadi penentu pelaburan asing khususnya dalam pasaran saham kita BSKL. Kebanyakan dana pelaburan yang dulunya dilaburkan dalam pasaran saham tempatan keluar dan pergi ke pasaran yang dianggap selamat. Inilah faktor yang menyebabkan pasaran saham kita secara mendadak mengalami kejatuhan besar. Kebanyakan dana pelaburan tersebut adalah dana pelaburan jangka pendek daripada pemain spekulatif dalam pasaran saham antarabangsa. Bank dan firma kewangan akan menghadapi krisis besar jika krisis keyakinan itu tidak dibendung dengan cepat.
IMF perlu mengkaji semula strategi dan syarat-syaratnya. Datuk Seri Dr. Mahathir berkata pemimpin ASEAN yang hadir pada sidang kemuncak tidak rasmi kedua Asia berpendapat beberapa syarat yang dikenakan IMF adalah sukar untuk dilaksanakan dengan berkesan. IMF hanya melihat dari sudut ekonomi makro dan tidak kepada kesan (daripada peraturan dan syarat dikenakan) ke atas negara penerima. Menaikkan cukai dan kadar faedah bulanan mengakibatkan syarikat, malah syarikat berwibawa turut muflis. Situasi ini hanya akan lebih memburukkan keadaan. Bantuan IMF kepada beberapa negara Asia hanyalah untuk mengembalikan keyakinan pelabur, bukan bagi mengatasi kerugian besar mereka akibat krisis kewangan yang melanda di rantau ini.
Walaupun banyak kesan negatif yang telah dibincangkan akibat krisis mata wang dan kemelesetan ekonomi di rantau Asia, tetapi juga kesan-kesan positif yang dapat dibuat ikhtibar dari peristiwa ini. Salah satu kesan positif daripada krisis ekonomi yang melanda rantau Asia ialah peningkatan perasaan keserantauan dengan masing-masing negara menurunkan sebarang sentimen keangkuhan. Setiap kerajaan di rantau Asia seolah-olah merasakan bahawa bagaimana kuat pun kemajuan ekonomi negara, mereka tidak akan terlepas daripada sebarang kesan buruk daripada kejatuhan nilai mata wang. Dua negara utama dalam rantau Asia Timur iaitu China dan Jepun menunjukkan tanda-tanda rendah diri dan keihklasan untuk bekerjasama dengan negara-negara lain di rantau ini bagi mencari jalan supaya dapat melepaskan rantau ini daripada cengkaman kegawatan ekonomi. Kedua-dua negara ini menunjukkan perkembangan positif untuk membantu ASEAN menangani krisis ekonominya apabila kesediaan mereka memberikan pelbagai insentif pinjaman kepada negara serantau. Kenyataan ini diakui sendiri oleh Perdana Menteri kita, Datuk Seri Dr. Mahathir.
Begitu juga bagi pihak masyarakat Malaysia, kita rasa bersyukur kerana keadaan ini menyedarkan kita bahawa kemewahan bukanlah untuk selama-lamanya. Sebelum kita ditenggelami oleh arus kemewahan, kita disedarkan agar menjalani kehidupan secara sederhana dan menghindarkan kita dari bersifat tamak dan angkuh dengan kejayaan kita. Yang kaya dan mewah dilindungi dari tenggelam terus dengan kemewahan dan kesombongan mereka. Justeru itu, hubungan antara masyarakat kembali erat dan faham memahami keadaan masing-masing. Ia menuntut supaya langkah berjaga-jaga diambil bagi sebarang kemungkinan. Keadaan di Malaysia tidak terlalu buruk kerana kestabilan politik masih boleh dipertahankan. Mungkin kita dapat berbangga kerana konsep permuafakatan antara parti di dalam satu parti masih dapat bertahan dan berperanan, dan dengan itu penguasaan majoriti di dalam Parlimen terus kukuh.
Rujukan
1. Berita Harian, 16 Dis 1997. IMF perlu kaji semula strategi
2. Berita Harian, 17 Dis 1997. Analisis kemelesetan ekonomi daripada perspektif kewangan
3. Berita Harian, 9 Jan 1998. Niaga guna mata wang serantau
4. Berita Harian, 9 Jan 1998. Sekat import barang mewah
5. Berita Harian, 9 Jan 1998. PLKS 150,000 pekerja asing tidak dilanjutkan
6. Berita Harian, 10 Jan 1998. Wawancara bersama Perdana Menteri - Bersama gembleng tenaga pulihkan ekonomi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan