Rabu, 26 Julai 2017

Tentera Israel tembak Imam Masjid Al-Aqsa










BAITULMAQDIS – Imam Besar Masjid Al-Aqsa, Sheikh Ikrima Sabri dilaporkan cedera selepas ditembak rejim Zionis ketika menunaikan solat di luar pintu pagar masjid berkenaan.

Penyelaras Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi berkata, serangan itu dilakukan tentera Israel menggunakan peluru getah bagi menghalang kemasukan orang awam ke masjid suci itu untuk menunaikan solat.



Insiden berlaku ketika ribuan rakyat Palestin berkumpul di kawasan itu sehingga menyebabkan 14 yang lain turut cedera.

“Warga Palestin berkumpul di kawasan itu untuk mendesak Israel supaya membuka kembali masjid suci berkenaan kepada umat Islam.

“Berlaku provokasi antara kedua-dua pihak sebelum tentera zionis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru getah. Insiden ini berlaku di pintu Bab Al Asbatt iaitu pintu utama untuk masuk ke masjid Al-Aqsa,” katanya.

Ketegangan tercetus selepas dua anggota keselamatan Israel mati dibunuh di kawasan berkenaan minggu lalu.

Israel bertindak menutup masjid itu pada Jumaat lalu sebelum membuka semula tetapi mengenakan langkah ke­selamatan baharu yang dibantah umat Islam. Bantahan turut dibuat dengan menunaikan solat Jumaat di perkarangan masjid Al-Aqsa. – Ismaweb

Tiada ulasan: