Sabtu, 16 September 2017

Tragedi Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah


Kejadian: Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah, Keramat Ujung
Tarikh kejadian: 14 September 2017 / Khamis
Waktu kejadian: 5.45 pagi


20 maut, 3 kritikal, 2 separa kritikal
LEBIH 20 terkorban, tiga kritikal dan dua separa kritikal dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, di ibu kota awal pagi Khamis. Mereka dipercayai terperangkap dalam kejadian pada jam 5. 45 pagi itu.

 
Api menjulang ketika azan subuh
SEKURANG-kurangnya 20 pelajar tahfiz sempat terjun menyelamatkan diri dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat. Mereka dikatakan terjun melalui tingkap dari tingkat 2 bangunan berkenaan. Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat Malaysia, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada 5.45 pagi.
Bagaimanapun, katanya, api dipercayai bermula dari tingkat atas pusat tahfiz berkenaan antara 5.15 dan 5.20 pagi. Katanya, kebakaran berlaku di mana tempat sebahagian pelajar dan ustaz sedang tidur.
Pada masa ini mayat semua mangsa masih berada di lokasi kejadian. 
Unit Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kebakaran.
Sementara itu, beberapa klip video mengenai kejadian berkenaan mula tular di media sosial yang memaparkan kebakaran ketika azan subuh amat jelas berkumandang.

 
Ya Allah, 24 semuanya terkorban
DUA puluh dua pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, disahkan terkorban. Berita sedih itu disampaikan kepada media oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

 
'Tolong bang...tolong bang'
SAKSI kejadian menceritakan dia terdengar jeritan orang minta tolong ketika dikejutkan oleh kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat. Penduduk yang juga saksi kejadian, Shahirman Shahril, 39, berkata, dia dikejutkan dalam jam 5 pagi. Ia terdengar teriakan orang menjerit, terbakar.
“Jadi, ramai kawan usaha bantu. Suasana masih gelap. Api marak. Kami usaha bantu. “Ada dua atau tiga pelajar tahfiz yang kami minta supaya terjun. Tapi, yang terjun semua melecur. Kami tak dapat bantu banyak kerana api marak.
“Ada beberapa kawan jiran nak naik tingkat atas. Tapi, sampai tingkat aje sebab api terlalu marak. Ketika itu, kami difahamkan ramai yang terperangkap.
“Ada menangis, menjerit, kepanasan, tolong abang, tolong abang.”
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata berdasarkan laporan awal Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelan kedudukan pusat tahfiz itu belum lulus kerana tidak ikut spesifikasi keselamatan.
“Saya dimaklumkan 22 pelajar dan dua warden maut dalam kejadian ini. Ketika meninjau lokasi kejadian, saya nampak mayat kanak- kanak itu dalam keadaan berhimpit dua penjuru asrama.
"Mereka dipercayai gagal keluar berikutan api sudah marah dan hanya satu pintu manakala semua gril tingkap pula dikunci, " katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, forensik bomba dan polis akan segerakan semua urusan untuk permudahkan pengebumian.

 
Nekad turun dengan tujuh rakan
SEORANG pelajar yang terselamat, Mohd Danial Borhan, 15, sedang tidur dan terjaga apabila terhidu bau asap dan terdengar jeritan memaklumkan berlaku kebakaran. Dia yang baru sebulan menuntut di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah segera mencari jalan keluar tetapi laluan pintu depan sudah terhalang berikutan api semakin marak.
"Saya nekad keluar mengikut tingkap dengan berpaut pada batang paip untuk turun dan berjaya menyelamatkan diri bersama tujuh rakan lain," katanya.
Menurutnya, terdapat kira-kira 30 pelajar berada di tingkat dua bangunan terbabit.Dalam pada itu, penduduk yang cuba naik untuk membantu membawa keluar pelajar terbabit, mereka hanya sampai ke pintu masuk asrama disebabkan bahang yang amat kuat daripada api yang sedang marak. Seorang pemandu, Baharuddin Sudin, 48, berkata, dia menyedari kebakaran itu pada jam 5.15 pagi.
"Ketika itu saya mendengar bunyi jeritan meminta tolong daripada pelajar yang berada di tingkat tiga dan memang sedang marak.
"Ada di antara mereka yang cuba memecahkan cermin tingkap dan memanjat keluar menggunakan saluran paip di bahagian tepi bangunan. Saya cuba naik hingga ke tingkat satu untuk membantu membawa mereka keluar namun gagal," katanya.
Menurutnya, dalam beberapa minit selepas itu, bunyi jeritan meminta tolong itu tiba-tiba senyap selepas asap hitam keluar.
Seorang kontraktor, Shahirman Shahril, 39, berkata, dia dan beberapa lagi penduduk berhampiran menjerit kepada pelajar yang terperangkap supaya melompat turun ke bawah.
"Ada tiga hingga empat pelajar yang melompat daripada bangunan. Saya dan penduduk cuba menyambut mereka di bawah, namun disebabkan ketinggian tingkat berkenaan, dukar untuk kami sambut mereka.
"Apa yang saya lihat mereka mengalami kelecuran yang agak teruk.Masih terngiang-ngiang bunyi jeritan meminta tolong mereka, saya berasa sungguh sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan, 14 pelajar dan empat guru pusat tahfiz yang terbakar pagi tadi berjaya menyelamatkan diri.

 
'Mahu tolong ibu ayah ke syurga Firdaus'
SEORANG pelajar tahfiz yang terkorban dalam kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, hari ini sempat memberi ibunya surat, semalam.
Norhayati Khalid,42, berkata, anaknya Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11, memberi surat itu kepadanya ketika menemuinya di pusat tahfiz itu.
"Saya bawakan makanan kegemaran dia, nasi goreng Pataya. Sebelum balik, dia beri saya surat,"
"Antara kandungan surat itu, dia mahu menolong masukkan saya ke syurga dan minta maaf, jika ada salah dan silap," katanya.
"Ibu dan ayah Amiel minta maaf kalau ada buat salah apa-apa.
"Ibu ayah Amiel sayangkan ibu dan ayah. Terima kasih ibu dan ayah kerana menjaga Amiel selama ini.
"Amiel tak tahu macam nak balas jasa budi ayah dan ibu hanya ini saja yang Amiel mampu masuk ke tahfiz untuk menolong ibu dan ayah untuk masuk ke syurga Firdaus."
Menurut Norhayati, dia mendapat panggilan pada 6 pagi tadi sebelum ke lokasi kejadian.
"Bomba memaklumkan mungkin Amiel adalah seorang daripada mangsa kerana dia berada di katil tengah bilik yang terbakar," katanya.
Seramai 22 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat, disahkan terkorban.
   
'Tujuh sahaja sempat turun'
"Saya orang pertama buka ‘grill’ (pintu pagar) dan turun dari bilik asrama yang sedang terbakar tetapi hanya tujuh sahaja yang sempat turun."
Itu kata Muhammad Danial Amri Al-Haz Ali, 16, seorang daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian kebakaran di Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat , hari ini.
Muhammad Danial berkata, kira-kira jam 5.30 pagi, dia terdengar guru menjerit untuk mengejutkan pelajar supaya menyelamatkan diri kerana bangunan tiga tingkat asrama tahfiz itu terbakar.
"Saya berlari mencari lorong yang boleh keluar dari bilik asrama kami (tingkat tiga), saya sempat berlari membuka pintu pagar dan turun. "Semua dalam bilik asrama ada 35 orang, tetapi yang sempat turun bersama saya tujuh orang sahaja. Yang lain tak sempat," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, selepas berjaya keluar daripada bangunan itu, dia meminta bantuan daripada penduduk setempat.
"Saya lihat api sudah marak di pintu asrama dan ketika itu ada rakan-rakan yang melompat untuk menyelamatkan diri," katanya.
Sementara itu, seorang guru di pusat tahfiz berkenaan, Mohd Arif Mawardy, 24 berkata, dia terkejut apabila mendengar bunyi seakan-akan ribut di luar bangunan berkenaan.
"Saya terjaga dan melihat keluar tingkap namun tidak berlaku sebarang ribut tetapi melihat kepulan asap di tingkat tiga banguna berkenaan.
"Semua penghuni asrama ketika itu sedang nyenyak tidur dan saya menjerit mengarahkan pelajar keluar dari asrama," katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan di Hospital Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Arif berkata, dia ketika itu berada di tingkat dua bangunan berkenaan bersama tiga lagi guru cuba menyelamatkan pelajar di asrama yang terletak di tingkat tiga.
"Namun ada beberapa orang sahaja yang berjaya melompat keluar, selebihnya terperangkap di asrama berkenaan.
"Saya kemudian meminta tolong daripada penduduk setempat untuk membantu memadamkan kebakaran namun api yang sangat marak menyukarkan mereka.
"Saya terkilan kerana tidak menyedari kejadian kebakaran berlaku kerana menyangkakan ia adalah bunyi ribut,"katanya.

 
Litar pintas dipercayai punca kebakaran
KEBAKARAN di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, hari ini dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad hari ini berkata, litar pintas itu dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.
Beliau berkata, perkara itu berkemungkinan berlaku kerana mayat-mayat pelajar dan guru tahfiz ditemukan di bahagian kiri dan kanan bilik asrama tingkat tersebut.
"Mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dari kawasan kebakaran di tengah bilik dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap.
"Bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar, tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, semua 24 mayat yang ditemui di tingkat paling atas pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dalam keadaan rentung dan bertindih antara sama lain.
Amar Singh berkata, mayat ditemui​​​​​ di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar di bangunan tiga tingkat itu.
"Siasatan mendapati keadaan 24 mayat rentung dan bertindih antara satu sama lain akibat kebakaran itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.
Amar Singh juga berkata, pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.
Keadaan tingkap di madrasah berkenaan juga tidak mempunyai aspek keselamatan yang membolehkan ia digunakan untuk kecemasan.
Kebakaran dipercayai bermula di bahagian pintu masuk tersebut.
Amar Singh berkata, 14 pelajar dan empat guru yang sama menghuni di pusat berkenaan terselamat dalam kejadian itu.
Kesemua pelajar lelaki itu berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Katanya daripada 14 yang diselamatkan, enam mengalami kecederaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.
Semua mayat akan dihantar ke Institut Perubatan Forensik Negara untuk tujuan pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.
Katanya polis juga sedang menyiasat dakwaan pusat tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.
Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan.
Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, 5.15 pagi tadi.

 
MAIWP bantu urus jenazah
MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan membantu menguruskan jenazah serta menyediakan dana untuk pengurusan pengebumian semua mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat, Kuala Lumpur, pagi hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau sudah menghubungi MAIWP bagi tujuan itu dan pada masa sama berharap semua ahli keluarga mangsa kebakaran itu dapat bersabar.
Menurutnya, kerajaan akan melihat secara terperinci semua aspek khususnya berkaitan keselamatan dalam tragedi mengorbankan lebih 20 pelajar tahfiz dan warden berkenaan.
"Apa yang berlaku adalah di luar pengurusan manusia, namun kerajaan akan melihat secara keseluruhan berhubung tragedi itu untuk diperbetulkan, terutama berkaitan aspek keselamatan. "Saya berasa dukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga pelajar serta warden yang terbabit," katanya mengulas mengenai tragedi itu selepas merasmikan Dialog Antara Penganut Agama di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, hari ini.
Jamil Khir berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai kejadian itu khususnya berkaitan aspek keselamatan kerana perlu mendapatkan gambaran lebih jelas dan akan melawat ke lokasi kejadian, hari ini.
"Harapan kita, ujian ini melihat balik apa yang perlu diperbetulkan.
"Maksud saya dalam aspek keselamatan di samping melihat ujian ini sebagai ketentuannya," katanya.
Sementara itu, dilaporkan beliau bergegas pulang ke ibu negara sebaik majlis berakhir untuk meninjau lokasi kebakaran dan bertemu ahli keluarga mangsa.

 
Gerak hati bapa
"SEJAK dua hari lalu memang hati saya rasa tak sedap, macam ada sesuatu nak berlaku dan saya ambil keputusan untuk melawat anak setiap hari.
"Semalam, saya datang ke tahfiz (Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah) untuk melihat anak, saya tengok anak ada ruam di tangan dan ambil keputusan untuk bawa pulang."
Itu luahan Azman Indan, 40, bapa kepada Muhammad Ashraff, 11, yang terselamat daripada tragedi kebakaran di pusat tahfiz berkenaan pagi tadi.
Azman berkata, selepas melihat ruam di tangan anaknya, dia pergi berjumpa dengan warden iaitu Allahyarham Ustaz Yusof dan membenarkan anaknya pulang untuk mendapat rawatan. "Saya hanya menyedari kejadian pagi tadi apabila ada ibu bapa yang menghantar mesej di WhatsApp.
"Kemudian, saya bergegas ke pusat tahfiz dan mendapati api sedang marak. Mujur juga hati saya terdetik untuk menjenguk anak sejak dua hari ini," katanya.
Menurutnya, anaknya itu mula belajar di pusat tahfiz itu sejak 1 Julai lalu dan ini memang hasratnya untuk menyediakan ilmu agama kepadanya.

 
Doakan anak saya
"ANAK saya terpaksa memecahkan cermin, melompat keluar dari tingkat tiga dan terus ke awning di tingkat satu untuk menyelamatkan diri.”
Demikian menurut Datuk Dr Sharifuddin Musa, 45, bapa kepada Mohd Shahir, 11, ketika menceritakan detik-detik anaknya terselamat dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di ibu negara, hari ini.
Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika sedang membuat persiapan untuk solat Subuh sebelum bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kebakaran itu telah merebak pantas di tingkat tiga.
"Anak saya menyelamatkan diri bersama-sama rakannya dengan memecahkan cermin, melompat dan memecahkan awning dibantu orang ramai yang berada di bawah," katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur hari ini.
Sharifuddin, yang juga Anggota Jawatankuasa Surau Ittifaqah, surau berdekatan pusat tahfiz itu berkata, Mohd Shahir, anak ketiga daripada empat beradik, kini menerima rawatan di HKL selepas melecur di bahagian belakang badan. Menurutnya, bangunan pusat tahfiz itu baru setahun didiami dan dibina atas sumbangan surau.
Sementara itu, seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Maryani, 38, berkata, anaknya, Indera Kurniawan turut terselamat dalam kejadian yang tidak diingini itu.
Beliau yang ditemui di perkarangan hospital berkata kejadian telah pun berlaku dan hanya mahukan doa daripada orang ramai agar anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan parah.
"Anak saya ditemui dalam keadaan muka hitam dan tidak sedarkan diri. Harap semuanya selamat," kata pekerja pembersihan dengan ringkas.
Polis memaklumkan, kejadian itu meragut 24 nyawa terdiri daripada 22 pelajar tahfiz dan dua guru pusat tahfiz.

 
Suami baru dinikahi juga terkorban

TIADA lebih memilukan buat Noor Fatihah Osman, 23, apabila suami yang baru empat bulan dinikahinya, pergi buat selamanya selepas maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpu, hari ini. Suaminya Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, adalah guru yang juga warden di pusat tahfiz berkenaan.
Ibu saudara Noor Fatihah, Asmah Yaakob, 50, berkata setiap hari Allahyarham menghubungi Noor Fatihah yang sedang mengikuti pengajian hadis di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan, setiap hari.
"Namun hari ini beliau tidak membuat sebarang panggilan kepada Noor Fatihah. Isterinya yang tidak sedap hati cuba beberapa kali menghubungi suaminya, namun panggilan itu tidak dijawab," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Wartawan bagaimanapun, gagal mendapatkan respons daripada Noor Fatihah berhubung tragedi itu.
Difahamkan, Noor Fatihah menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 6 pagi, sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Mohd Amirul dan Noor Fatihah berkahwin Mei lalu, dan majlis perkahwinan mereka diadakan selepas Aidiladha lalu.
Insiden yang berlaku di bangunan tiga tingkat itu meragut nyawa 22 pelajar dan dua guru di pusat tahfiz terbabit.
Asmah berkata, pemergian Allahyarham amat memberi kesan kepada keluarganya.
“Kami sekeluarga amat rapat dengan arwah. Pemergiannya amat kami rasai. Kali terakhir saya bertemu Amirul ketika majlis perkahwinannya di Kelantan,” katanya.
Menurut Asmah, Mohd Amirul Nizam peramah dan sentiasa mengambil berat orang lain, akan membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.

 
Gurauan terakhir di Facebook
TINDAKAN Noor Fatihah Osman menukar gambar profil Facebook bersama suaminya Ustaz Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25, petang semalam mengundang perasaan pilu netizen seolah-olah tahu suaminya itu akan pergi selamanya.
Ustaz Mohd Amirul Nizam dilaporkan antara 23 maut dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, awal pagi tadi.
Noor Fatihah yang baru saja bernikah Mei lalu memuat naik gambar kahwin mereka dan sempat berbalas komen serta gurauan mesra di Facebook sekaligus tidak menyangka itu adalah gurauan terakhir bersama arwah.
Dalam kejadian pagi tadi, 23 maut pelajar tahfiz lain apabila terperangkap ditingkat atas pusat tahfiz berkenaan sekali gus mengundang pilu insan yang mengenali arwah dan seluruh keluarga mangsa.




Tiada ulasan: