Rabu, 20 September 2017

'Saya dah maafkan suspek, tapi saya tidak mahu jumpa mereka'

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood menegaskan, beliau tidak ada hasrat untuk bertemu dengan tujuh suspek atau keluarga mereka yang didakwa menjadi punca kebakaran pusat tahfiz yang mengorbankan 21 pelajar dan dua wardennya.

“Saya tidak mahu jumpa suspek. Tak perlu untuk berjumpa mereka atau keluarga mereka.

“Tak perlulah jumpa mereka. Bukan berdendam. Saya maafkan mereka semua seperti saya sentiasa memaafkan pelajar saya.

“Kita manusia harus saling memaafkan. Saya tak nak fikir panjang benda yang sudah jadi.

“Apa yang penting sekarang untuk pulihkan semuanya semangat anak-anak pelajar ini dan bagaimana kita nak bergerak ke depan. Saya maafkan mereka,” katanya.

Jelas Mohd Zahid, apa dilakukan oleh suspek iaitu remaja berusia antara 11 tahun dan 18 tahun itu sudah ‘tertulis’.

“Mereka hanya penyebab berlakunya perkara ini kerana jika boleh diputarkan waktu, saya yakin mereka (suspek) juga tidak mahu perkara ini terjadi... saya sendiri juga tidak mahu perkara sebegini berlaku.

“Tetapi perkara ini sudah ‘tertulis’.. saya anggap ini adalah ujian Allah kepada saya serta ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan pusat tahfiz berkenaan, semalam.

Menurut Mohd Zahid yang mengakui tidak menerima kunjungan daripada keluarga suspek, ujian ini amat berat untuk dihadapinya, namun beliau percaya Allah menurunkan ujian kepada hamba-Nya yang mampu menghadapinya. 

“Kejadian ini memberi kesan amat besar kepada saya sendiri. Ada ketika pada awal kejadian, saya sampai berasa seperti tidak mahu lagi menguruskan pusat tahfiz. Tetapi, inilah ujian Allah. Saya perlu kuatkan diri.

“Tumpuan saya sekarang adalah melihat ke depan...semangat semua, terutama anak-anak di sini perlu dipulihkan,” katanya sambil menambah pusat tahfiz itu tidak mengenakan sebarang yuran atau bayaran kepada pelajarnya.

Tambah beliau lagi, di sebalik kedukaan yang dilalui semua pihak termasuk orang ramai yang turut bersimpati dengan tragedi itu, ia mempunyai hikmahnya sendiri. 

“Ia seperti ‘lilin membakar diri’. Satu kejadian yang insya-Allah memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Kejadian ini membuka mata ramai pihak mengenai kebajikan pusat tahfiz di negara ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM30 juta bagi mengemas kini maahad tahfiz secara fizikal. 

Selain itu, khidmat pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian secara percuma kepada pusat tahfiz seluruh negara juga akan dijalankan melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). - Berita Harian Online


Ibu sudah jangka akan hilang insan tersayang selepas mimpi nampak kanak-kanak rentung dua hari sebelum kejadian

"Saya tenang kerana saya tahu dia sudah selamat di syurga Allah. Saya bangga dengan dia".

Itulah ungkapan ibu kepada pelajar tahfiz, Muhammad Daniel Md. Amin, 14, yang maut dalam insiden kebakaran pusat tahfiz awal pagi Khamis lalu. 

Jenazah Allahyarham Muhammad Daniel antara 21 pelajar tahfiz yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves.

Surianty Mohamed, 39, kelihatan tenang bercerita mengenai anak sulungnya itu ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Payong, Kota Bharu. 

Ujarnya, dia yang mengharapkan anaknya itu menjadi pembimbing keluarga tidak merasa ralat dengan kehilangan Muhammad Daniel kerana tahu darjat anaknya sudah diangkat Allah SWT.

Malah, Surianty gembira apabila anaknya itu sempat menyampaikan khabar kepadanya bahawa dia sudah menghafal 6 juzuk al-Quran walaupun arwah tidak sempat memperdengar bacaan ayat itu kepadanya.

"Kelazimannya, apabila dia pulang ke sini (Kota Bharu) dia akan minta saya dengar bacaan al-Quran yang sudah dihafaznya dan dalam panggilan telefon terakhir kami sebelum kejadian itu berlaku, dia ada beritahu saya sudah dapat menghafaz juzuk keenam.

"Suaranya seperti biasa, gembira beritahu sudah dapat menghafaz selain berkata: "Umi nanti abang balik, umi dengar bacaan abang dan betulkan jika ada salah.

"Malangnya, saya tidak sempat dengar bacaan itu. Saya reda dan tidak ada apa yang saya ralatkan lagi kerana dia sudah selamat di sisi Allah SWT. Alhamdulillah, malah sebelum dia dikebumikan, saya sempat mengucup wajahnya sebanyak tiga kali," katanya.

Surianty ketika mengimbas tragedi itu berkata, dia sudah dapat mengagak akan kehilangan insan yang disayanginya apabila mendapat mimpi akan melakukan kenduri besar-besaran kira-kira dua minggu sebelum kejadian.

Kemudian, dua hari sebelum kejadian, dia turut mendapat mimpi melihat mayat kanak-kanak rentung, selain terbaring di depannya.

"Saya memang kerap dapat petanda dalam mimpi seperti mimpi kenduri besar-besaran itu, selalunya membawa kepada kematian dalam kalangan keluarga atau orang terdekat.

"Dua minggu sebelum itu, saya alami mimpi sama begitu selama tiga kali. Kemudian mimpi terakhir adalah melihat mayat kanak-kanak rentung terbaring di hadapan saya pada malam Selasa.

"Pada 9 pagi Khamis, kakak angkat yang tinggal di Kuala Lumpur menelefon minta tengok berita di televisyen mengenai pusat tahfiz arwah yang terbakar. Ketika itu hati saya sudah terdetik, anak saya meninggal dunia walaupun belum dimaklumkan statusnya.

"Saya sudah mengagaknya kerana rasa tidak sedap hati dan mimpi-mimpi berkenaan," katanya yang berhajat melakukan kenduri tahlil untuk arwah di tiga pusat tahfiz di Kota Bharu dalam masa terdekat.

Pusat Tahfiz Quran Itttifaqiyah terbakar pada awal Khamis lalu dipercayai akibat perbuatan khianat menyebabkan 23 orang maut termasuk dua guru.

Muhammad Daniel dan 10 orang lagi mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Batu Caves, manakala sembilan lagi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Taman Kosas, Dato Keramat, Taman Medan, Jalan Klang Lama, Bukit Kuari, Cheras dan Puchong.

Tiga jenazah lagi masing-masing dikebumikan di Negeri Sembilan, Kelantan dan Perak. - myMetro


Tidak tolak kemungkinan untuk dakwa ibu bapa suspek - Polis

Berikutan insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifqqiyah yang mengorbankan 23 nyawa pada awal pagi Khamis lalu, polis tidak menolak kemungkinan untuk mendakwa ibu bapa suspek yang dipercayai terlibat menyebabkan kebakaran di pusat tahfiz itu.

Bagaimanapun, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, perkara itu hanya akan diputuskan oleh pejabat Peguam Negara.

"Saya tidak boleh komen sebab (masih) terlalu awal untuk komen. Kita melihat dari semua sudut. Apa yang saya boleh kata awak (wartawan) tunggu dan lihat kerana ketika ini keutamaan kita adalah melengkapkan kertas siasatan dan menghantar laporan kepada pihak berkaitan.

"Ia juga bergantung kepada cadangan kami kelak. Kita akan melakukan yang sewajar. Pada masa sama, perkara ini perlu dibincang dengan pejabat Peguam Negara.


"Pegawai kami juga bekerja keras untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat ini," 
katanya ketika ditemui media.

Beliau memberi penjelasan demikian ketika diminta mengulas sama ada ibu bapa kepada tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden terbabit boleh didakwa bagi memberi pengajaran kepada orang ramai.

Ketika ditanya sama ada semua suspek berkenaan akan terus didakwa atau disambung reman, ujar Mohamad Fuzi, ia bergantung kepada keperluan pihak polis.

"Ketika ini, laporan dari beberapa pihak termasuk Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa laporan lain yang perlu dilengkapkan dalam masa terdekat.

"Ini kerana kita perlu menghantar laporan kepada pihak berkenaan secepat mungkin," 
katanya. - Harian Metro


"Ibu mereka kini hanya berkurung sebab malu dan tertekan selepas anaknya ditahan" - Waris suspek bakar Tahfiz mohon maaf

"Minta maaf..." hanya itu yang mampu diungkapkan oleh waris kepada empat remaja yang ditahan polis selepas dipercayai membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, awal pagi Khamis lalu, lapor Harian Metro.

Lelaki berkenaan adalah sepupu kepada ibu suspek berusia 15 dan 16 tahun itu meluahkan permohonan maaf kepada semua keluarga mangsa, pelajar dan tenaga pengajar terhadap kejadian yang menimpa.

Menurut lelaki berumur 55 tahun itu, dia tidak menyangka kedua-dua anak sepupunya itu terlibat dalam kejadian kebakaran yang meragut 23 nyawa pelajar termasuk dua guru tahfiz berhampiran rumah mereka itu.

Menceritakan mengenai dua beradik anak sepupunya itu, mereka berdua memang nakal, namun sifat itu mungkin disebabkan mahu perhatian kerana ibu dan bapanya sudah berpisah.

"Bagaimanapun, dua beradik itu tetap rajin membantu ibunya berniaga di pasar malam untuk menampung kehidupan mereka yang turut tinggal bersama dua adik perempuan mereka.


"Keluarga kami tidak sangka kenakalan dua beradik itu sehingga ke tahap itu,"
 katanya ketika ditemui di Kampung Datuk Keramat, hari ini.

Menurut beliau, berikutan penahanan mereka berdua itu, ibu suspek kini hidup dalam keadaan tertekan, di mana dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa setakat ini.

"Sejak dua beradik itu ditahan, ibunya hanya berkurung di rumah kerana tertekan dan tidak mampu berdepan dengan jiran serta penduduk sekitar kawasan ini.

"Jangan terlalu salahkan keluarga. Ibu mana yang mahukan anaknya berbuat jahat. Namun sekiranya siasatan mendapati mereka terbabit, kami bagi pihak keluarga reda sekiranya mereka dijatuhi hukuman.


"Bagaimanapun, biarlah polis menjalankan siasatan terlebih dahulu,"
 katanya yang enggan namanya disiarkan.

Sementara itu, seorang lagi lelaki yang juga datuk kepada suspek berumur 11 tahun, turut meminta maaf kepada keluarga dan waris mangsa yang terbabit dalam kebakaran itu.

Beliau yang juga berumur 55 tahun yang turut merupakan bapa angkat kepada seorang suspek yang berumur 15 tahum berkata, dia faham perasaan sedih yang ditanggung oleh keluarga mangsa, tetapi tiada apa boleh beliau lakukan selain mengungkap perkataan maaf.

"Saya minta maaf kepada keluarga mangsa atas kekejaman dilakukan anak angkat saya yang saya jaga sejak usia dua hari dan juga cucu saya yang baru berusia 11 tahun.

"Tiada ibu bapa atau ahli keluarga yang mahukan anak atau cucu berkelakuan sedemikian, saya juga sedih terbayang mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan menyayat hati,"katanya.

Beliau yang bekerja sebagai penjaga tandas awam berkata, cucu dan anak angkatnya itu merupakan inasan yang penyayang, namun mereka capat terpengaruh dengan rakan kerana lurus bendul.

"Dua hari selepas kejadian, anak saya ada datang tempat saya bekerja di taman tasik ini dan minta sebotol air kerana haus.


"Tiada sebarang kelakuan pelik ditunjukkan, dia ceria seperti biasa dan mengajak saya pulang ke rumah kerana katanya polis memenuhi pekarangan rumah."


"Sebaik tiba di rumah, polis mengambil gambar anak angkat dan cucu saya sebelum membawa mereka pergi dan dia mengetahui pembabitan jenayah yang dua remaja itu lakukan,'
' cerita beliau. 

Tiada ulasan:

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...