Ahad, 17 Mac 2019

MB Johor elak jawab soalan kenapa pergi Batam

PASIR GUDANG – Ketika keadaan tidak menentu selepas ribuan penduduk dan ratusan pelajar terhidu gas beracun, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian boleh meneruskan lawatannya ke Batam, Indonesia.
Pemergiannya ke Batam dikecam ramai pihak termasuk Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri tertanya-tanya kenapa Menteri Besar Johor boleh tinggalkan negeri ketika rakyatnya dalam keadaan bertarung nyawa.
Bagaimanapun, selepas Osman pulang ke tanah air semalam, ketika melawat mangsa gas beracun, beliau cuba mengelak daripada menjawab soalan wartawan berhubung lawatannya ke Batam.
Beliau ketika ditemui pemberita ketika melakukan kunjungan melawat mangsa di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang malam ini dilihat kurang senang dengan soalan yang diajukan.

“Itu bukan cerita pada hari ini. Kita lebih serius dalam soal ini, ok terima kasih banyak,” katanya ringkas.
Terdahulu, Osman dilapor melawat ke Batam Indonesia bagi mempromosi Tahun Melawat Johor 2020.
Lawatannya dikritik orang ramai kerana disifatkan tidak peka ketika negeri itu berdepan krisis kesihatan serius di Pasir Gudang.
Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberikan reaksi terhadap perkara itu dengan beliau sendiri tidak tahu mengenainya.
Reaksi itu jelas menunjukkan beliau tidak tahu langsung bahawa Osman pergi ke Batam untuk tujuan pelancongan semasa Johor berdepan krisis pencemaran Sungai Kim Kim sejak minggu lalu. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: