Khamis, 8 Disember 2022

Ini formulanya kalau Pas nak menang besar PRU15

By Manzaidi Mohd Amin - 27 August 2022
SEPERTI yang Bawah Kolong (BK) janji dalam pojok BK bertarikh 22 Ogos 2022, tajuk: Nak tawan Pahang? Jadikan Kelantan negeri contoh dulu. Dalam tulisan itu, BK janji akan bagi formula terbaik kepada Pas sekiranya benar-banar nak menang dan bentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Formula ini mula tercetus dalam minda BK sebaik Pas dan UMNO memeterai kesepakatan atau kerjasama politik melalui Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019. Tidak dinafikanlah, menitis juga air mata jantan BK tengok pertautan dua parti Melayu dan Islam yang begitu lama bermusuh ini. Mereka bermusuh bukan bermusuh anak-anak. Mereka bermusuh sampai kafir mengkafir. Sampai tahap itu permusuhan mereka, benci mereka, dendam mereka antara satu sama lain. Selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah pada PRU-14 dan Pas pun tidak banyak menang di peringkat Parlimen, tiba-tiba terzahir niat kedua mereka untuk berbaik. Ini yang buatkan BK terharu. Mana tidak, dua musuh besar parti Melayu dan Islam yang tak boleh bersua apatah lagi bersentuhan pun, nak bertaut. Bagai mimpi indah di malam hari. Dengan termeterainya permuafakatan dua parti itu, maka muncullah pelbagai andaian dan ramalan masa depan dalam minda BK. Antara ramalan paling acap datang dalam mimpi BK ialah, inilah kerajaan masa depan yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat. Gabungan antara yang lebih 60 tahun menjadi kerajaan dengan parti yang lebih 60 tahun berangan-angan nak jadi kerajaan, boleh menghasilkan pentadbiran yang jauh lebih baik daripada sebelum ini. Itulah andaian BK. Manakala formula BK pula, UMNO/BN dan Pas boleh membentuk kerajaan pada PRU-15 sekiranya permuafakatan itu berpanjangan sehingga PRU15 dan melayari kapal baharu bersama-sama di lautan luas. BK boleh beri jaminan UMNO-Pas boleh bentuk Kerajaan MN berdasarkan undi penyokong Pas kepada UMNO di tempat UMNO bertanding dan undi penyokong UMNO kepada Pas di tempat Pas bertanding. Kedua-dua penyokong ini tidak segan silu, tidak berat tangan, tidak banyak cakap akan keluar mengundi dan tanpa fikir panjang akan beri undi mereka kepada calon BN dan calon Pas. Penyokong Pas tidak akan beri undi kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan juga kepada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebab mereka tidak biasa dengan parti-parti yang pernah membohongi mereka sepanjang penggal PRU-14. BK buat andaian, Khalid Samad akan tewas di Parlimen Shah Alam, Rafizi juga akan kalah di mana-mana kerusi Parlimen yang dia akan bertanding. Begitu juga ramai lagi calon dari PH dan PPBM termasuk DAP pun akan terima nasib sama. Andaian ini akan menjadi kenyataan, kalaulah Pas tampil dengan UMNO dalam MN tanpa penglibatan mana-mana parti serpihan dari UMNO (PPBM) mahupun serpihan dari Pas (Parti Amanah Negara). Instinct BK kuat mengatakan inilah formulanya sekiranya UMNO dan Pas mahu membentuk kerajaan pada PRU-15. Pas bergabung dengan PPBM dalam Perikatan Nasional (PN) tidak akan mencapai impian untuk menjadi kerajaan sebab majoriti penyokong Pas belum dapat menerima kehadiran PPBM dalam hidup mereka. Penyokong Pas lebih sayang UMNO, penyokong UMNO lebih sayang Pas. Sebab itu kalau MN terus kekal sehingga hari ini, tidak mustahil segala impian untuk melihat kedua parti ini menjadi kerajaan, menjadi kenyataan yang nyata di depan mata. Malangnya, Pas telah buat keputusan untuk kekal bersama PPBM walaupun tidak semua pemimpin Pas bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinannya itu. Kini, Khalid Samad, Rafizi dan semua penyandang serta muka baru dari PH boleh bernafas lega, sebab apa yang mereka takut sejak MN ditubuhkan, tidak menjadi kenyataan dan jumlah undi yang bakal mereka peroleh pada PRU15 tetap memenangkan mereka. Maka, (BK harap Pas pegang dan simpan ramalan BK ini), Pas akan kembali semula menjadi pembangkang seperti asal jadinya parti itu. Walaupun ada kerusi Parlimen dimenangi Pas tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk mencapai majoriti dua pertiga bersama kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PPBM. Melainkan, mereka sokong parti yang menang dan dapat pegang beberapa jawatan tak penting dalam Kabinet. UMNO/BN kini berada di tempat selesa. Mereka kekal bertanding secara solo bersama komponennya MIC dan MCA, tanpa perlu membahagikan jumlah 222 kerusi Parlimen kepada Pas. Pas pula kena bahagi dua dengan PPBM. Maknanya setiap mereka akan dapat 111 kerusi. Namun, sudah tentu PPBM tidak setuju bahagi sama adil dengan Pas. Mereka kalau boleh nak lebih jumlah kerusi dari Pas. Sebab PPBM tahu, kalau bahagi sama rata, tidak semestinya semua 111 kerusi itu dimenanginya. Begitu juga Pas. Dapat 20 kerusi pun sudah kira bernasib baik. Pegangan mereka dan pegangan mana-mana parti sekali pun, dalam politik mana boleh berlaku adil dengan rakan gabungan. Cakap di mulut, ya, cakap dalam hati, tidak. Maka akan berlakulah ‘perbalahan’ dalam perebutan kerusi. Masing-masing nak kuota yang banyak dari rakan kongsi. Dalam parti tidak ada istilah pembahagian 50-50. Dalam parti mesti 60-40 atau 65-35 atau 70-30. Dalam hal ini sudah tentu tidak akan ada kompromi. Masing-masing akan ada alasan tersendiri kenapa mereka mahu lebih dan kenapa rakan gabungan perlu dapat kurang daripadanya. Inilah yang BK ramalkan berlaku dalam perkongsian hidup antara Pas dengan PPBM. Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya Pas bersama UMNO dalam MN. Inilah formula BK untuk disampaikan kepada Pas. Wallahu’alam. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran