Rabu, 12 Jun 2024

Jemaah haji, umrah terkandas, salah siapa?

MASIH ada lagi laporan berita dan media, para jemaah haji atau umrah kena tipu agen syarikat tours and travel yang menawarkan pakej menarik untuk menunaikan haji dan umrah. Walaupun berbuih mulut bagi nasihat, teguran, peringatan jangan terpengaruh dengan janji-janji menarik syarikat palsu, ada juga yang abaikan peringatan itu dengan merelakan diri mereka ditipu apabila menerima tawaran ‘menarik’ yang tidak ada pada agensi berdaftar. Akhirnya, apabila tiba masa nak berangkat, mereka terkandas di lapangan terbang. sebab visa tak lulus, tiket penerbangan tak sah. Duit habis beribu-ribu, agen pula lari dan macam-macam lagi. Kalau terkandas di KLIA tak apa lagi, boleh terus balik ke rumah dengan menumpang sanak saudara yang turut sama menghantar, tetapi bagaimana kalau terkandas di tanah suci? Nak terbang balik tiket tak ada, visa atau pasport dalam simpanan agen. Tika ni mulalah cari pihak Tabung Haji minta bantu mereka selesaikan masalah. Sebelum ni, sebut Tabung Haji, mereka sinis. Tak yakin dengan syarikat-syarikat yang disahkan oleh Tabung Haji. Nak cari juga syarikat palsu kerana janjinya manis. Memang dalam tawaran syarikat palsu, harga murah, hotel penginapan depan Kaabah, makan minum taraf lima bintang, layanan VVIP. Hakikatnya, bila sudah daftar dan bayar, agen atau syarikat terus menghilangkan diri tanpa pengetahuan kita. Kita pula sudah heboh memuji syarikat ni bagus, syarikat ni boleh dipercayai, sedangkan syarikat yang dipuji dan dipercayai itu sudah telan duit mereka dan nama mereka tidak didaftarkan pun untuk visa dan tiket penerbangan. Sebab itu, bila Pak Dee baca berita mengenai bakal jemaah haji atau umrah terkandas, Pak Dee dah sampai ke tahap tak terkejut dah, apatah lagi nak simpati. Bukan Pak Dee tak ada perasaan, tapi Pak Dee sedih dan kecewa dengan kedegilan mereka. Selama ini pun, bukan mereka tak pernah baca berita atau tak sampai ke pengetahuan mereka nasihat dari menteri, pegawai Tabung Haji dan jiran-jiran agar jangan sekali-kali menggunakan syarikat tours and travel yang tidak berdaftar kalau nak buat umrah atau haji. Bukan mereka tak tahu, mereka tahu. Tapi masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Mereka tertarik dengan pelbagai pakej yang ditawarkan, pakej yang tidak ada dalam mana-mana syarikat yang berdaftar. Mereka tertarik dengan tawaran harga murah, jauh lebih murah berbanding ditawarkan syarikat tours and travel yang berdaftar dengan kerajaan. Sebab itu, mereka melanggan dengan syarikat palsu. Jadi, bila ada kes terkandas, Pak Dee tak tau nak bersimpati atau nak kata apa. Iklan-iklan dari syarikat yang tidak dikenali pun berleluasa di media sosial. Tak termampu nak ditangani oleh pihak berkuasa. Hanya nasihat dan peringatan sahaja dapat dilakukan, supaya rakyat Malaysia atau umat Islam tidak terpengaruh dengan tawaran itu. Tetapi, ibarat kata, dalam setandan kelapa sawit, tidak semua elok. Yang elok tu eloklah, yang tak elok tu selalunya tak boleh dipakai. Begitu juga manusia. Lebih lagi yang terlalu impikan untuk ke tanah suci. Rasa simpanan dah banyak, cari syarikat palsu. Kononnya, lebih murah dan lebih menjimatkan. Padahal, mereka sudah masuk perangkap syarikat menipu. – NasionalDaily Siaran 30 Mei 2024

Tiada ulasan: