Selasa, 16 Julai 2024

Kenapa parti suka umum calon di saat akhir?

SEBENARNYA banyak soalan nak ditanya kepada pemimpin parti politik, tetapi hari ni Pak Dee hanya nak tanya satu soalan sahaja. Walaupun Pak Dee tahu jawapannya nanti tak logik, tak masuk akal, tapi Pak Dee nak lontarkan juga soalan ni supaya semua rakyat tahu. Soalannya, kenapa parti politik tak mahu atau nampak macam takut nak umumkan nama calon untuk bertanding pada satu-satu pilihan raya, sama ada pilihan raya umum, pilihan raya negeri ataupun pilihan raya kecil, lebih awal? Kenapa, bila esok hari penamaan calon, malam ini baru parti umumkan calonnya yang akan bertanding? Tidakkah, kalau umum lebih awal, memudahkan calon berkenaan masuk kampung-kampung jumpa pengundi? Tidakkah, masa berkempen dua minggu yang diperuntukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak cukup untuk calon turun berkempen, memperkenalkan diri dan menjanjikan itu ini kepada pengundi? Kenapa, semua parti nampak macam selaras dalam bab dan hal mengumumkan calon lebih awal? Takut ada sabotaj dari dalam parti sendiri? Mustahil. Kalau bab sabotaj, umum pada malam penamaan calon boleh boleh sabotaj. Dalam hal sabotaj ni sama macam kerja meroboh. Tak perlu ambil masa lama untuk menjatuhkan seseorang calon atau meruntuhkan sesebuah rumah atau bangunan. Dalam tempoh seminggu berkempen pun calon itu boleh dijatuhkan, kalau betul takut disabotaj. Pada Pak Dee, kalau parti umum awal nama calon, yang nak sabotaj pun boleh diperbetulkan semula sebab calon dan jentera parti ada masa cukup untuk tangkis dakyah kotor si pensabotaj dan perbetulkan semula persepsi pengundi terhadap parti dan calon. Inilah antara persoalan yang bermain dalam minda Pak Dee setiap kali berlaku pilihan raya umum atau pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil. Ingat kan, bila umum saat-saat akhir, calonnya seorang yang gah dan hebat, tapi rupanya, orang biasa saja. Jadi, kalau calonnya orang biasa, yang sudah dikenali umum, kenapa perlu diumumkan pada hari terakhir penamaan calon? Kan menyusahkan pengundi dan parti itu sendiri. Kenapa Pak Dee kata menyusahkan parti? Sebab kalau dekat dengan tempoh pilihan raya, akan ada pemimpin yang syok sendiri turun ke kampung-kampung jumpa penduduk. Adakan kenduri, adakan perjumpaan, anjur sukaneka dan sebagainya. Mereka turun padang seolah merekalah calon, dan memaklumkan kepada penduduk, parti akan pilihan mereka sebagai calon nanti. Tetapi, bila tiba masa, parti umum orang lain sebagai calon di kawasan itu, dah tentu akan merosakkan nama baik parti. Sebabnya, pemimpin yang dari awal lagi turun padang berkempen untuk dirinya, akan memesong pemikiran penduduk supaya tidak memberi undi kepada calon lain, selain beliau. Tidakkah ini merosakkan parti? Dan ini selalu berlaku, hatta di depan mata Pak Dee. Ia bukan kes terpencil, ia adalah perkara biasa yang berlaku di hampir semua kawasan Parlimen mahupun DUN. Yang merasakan dirinya layak jadi calon, akan turun berkempen untuk dirinya. Hinggakan penduduk sudah mula rasa kasih dan sayang kepada pemimpin itu. Tapi, bila orang lain dicalonkan, secara automatik penduduk merasa kecewa dan merosakkan undi. Pada Pak Dee, benda maca mini (umum calon lebih awal) perkara mudah saja. Mudah untuk dapatkan sokongan pengundi, mudah untuk calon memujuk pengundi atas pagar dan sebagainya. Namun, pemikiran Pak Dee jauh berbeza dengan pemikiran pemimpin politik. Mereka sengaja mahu pikul benda yang susah daripada melaksanakan benda yang mudah lagi senang. Jadi, memang betullah ramai orang berkata, politik itu berbelit-belit. Politik itu mudah bagi yang berpandangan positif dan sudah bagi yang bersifat negatif. Mereka suka kepada benda yang tergesa-gesa dan bertindak di akhir tarikh penutup. – NasionalDaily Siaran 13 Julai 2024 Telegram: https://t.me/nasionaldaily TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1 Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Tiada ulasan: