Isnin, 26 November 2007

Hussein Abu Hassan kembali ke rahmatullah


PELAKON Studio Merdeka yang cukup terkenal Hussein Abu Hassan meninggal dunia awal Subuh tadi (26hb November 2007/Isnin) di Wad Nefrologi, Hospital Besar, Kuala Lumpur.

Pelakon lelaki yang sinonim dengan watak jahat dalam filem Melayu ini menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira jam 5 pagi tadi akibat komplikasi buah pinggang yang dialaminya sejak sekian lama.

Allahyarham dilahirkan di Alor Gajah, Melaka pada 5 Mei 1937 dan mula menceburi bidang lakonan sebagai watak sambilan dalam filem Sri Mersing pada 1960.

Ini diikuti dengan filem Tun Teja, Fajar Menyingsing, Air Mata Duyung, Siti Payung, Panglima Besi, Amok Tok Nading, Laksamana Do Re Mi dan Loceng Maut.

Beliau juga sering ditawarkan watak dalam filem luar negara seperti Muah (Hong Kong), International Trades, Crazy Pikoy Goes To Malaysia (Filipina) dan Bailey Big Deal (Australia). Lakonannya dalam filem arahan P. Ramlee menerusi Laksamana Do Re Mi terserlah menerusi watak Laksamana Pasola.

Pada tahun 1975, beliau menjadi pengarah melalui filem pertamanya, Bunga Padi Berdaun Lalang diikuti Panglima Badul, Senja Merah, Gila-Gila Remaja, Kanta Serigala dan Bujang Selamat.

Tahun lalu, Hussein menerima Anugerah Seniman Veteran pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005.

Menurut anak saudara Allahyarham, pelakon terkenal Rosyam Nor ketika dihubungi pagi tadi, ayah saudaranya sudah sekian lama menderita penyakit buah pinggang.

Anaknya Faizal Hussien, Fairuz, Dilla dan anak saudaranya Rosyam Noor mengikut jejak langkah Allahyarham dalam bidang seni

“Jenazah Allahyarham telah dibawa ke rumahnya untuk dimandi dan dikapankan di Taman Gombak Setia awal pagi tadi. Allahyarham adalah seorang ayah yang penyayang. Dia sentiasa menitikberatkan hubungan kekeluargaan.

“Walau macam mana sibuk, dia mahu semua anak-anaknya berkumpul di rumahnya,” jelas Rosyam yang sibuk menguruskan jenazah Allahyarham ketika panggilan dibuat.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, seniwati Mahyon Ismail, 65, tiga anak, Dilla, 44, (penulis skrip); Fairuz, 42, (penyanyi); dan Faizal, 40, (pelakon), dan empat cucu hasil perkahwinan ketiga-tiga anak mereka - Natrah (Ayang), 24; Marlissa (12); dan Syarifudin (11) dan Fazryn, dua tahun.

Allahyarham turut mempunyai kenangan berlakon dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Kesemua anak-anak Allahyarham menceburi bidang seni tetapi dalam cabang berbeza. Faizal memilih bidang lakonan, Fairuz mempelopori muzik R&B di Malaysia manakala Dilla, 43, novelis dan juga penulis skrip.

Keadaan Allahyarham semakin uzur sejak dimasukkan ke hospital pada 20 Ogos lalu. Menurut Rosyam, sepanjang Ramadan lalu anak-anak sentiasa berkumpul di rumah. Mereka bimbang dan begitu mengambil berat keadaan ayah mereka.

“Allahyarham mahu semua anak-anak sentiasa berada di sisinya. Saya pernah diberitahu yang terjadi satu peristiwa di mana kesemua sepupu dan mak saudara saya sibuk di lokasi. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan berita Allahyarham jatuh sakit.

“Kesemua mereka bergegas pulang dan ketika sampai mereka lihat pagar pintu depan terbuka dan lampu terang benderang. Allahyarham sengaja berbuat begitu kerana mahu pintu sentiasa dibuka bagi menunggu anak-anaknya balik,” jelas Rosyam.

Rosyam sendiri kalau sesibuk mana akan menjenguk dan bertanya khabar mengenai keadaan kesihatan ayah saudara yang banyak memberi dorongan kepadanya untuk bertapak dalam industri perfileman ini. Rosyam telah diberi peluang memegang watak sampingan dalam filem ‘Gila-gila Remaja' - pada tahun 1984.

Jenazah Allahyarham telah dibawa pulang ke rumah mereka di Taman Gombak Setia untuk dimandi dan dikapankan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota, Setapak selepas Zuhur tadi.

Al-Fatihah

Tiada ulasan: