Hari ini (23hb November 2007 / Jumaat) saya menerima sekurang-kurangnya 30 panggilan. Semuanya daripada peminat kolum Suara Orang Kita (yang kini ditukar kepada Kita Kutir di muka surat K20). Saya minta maaf kepada pembaca semua. Kolum itu ditiadakan pada saat-saat akhir setelah pihak pengurusan mendapati tulisannya agak 'keras'. Saya akur dan saya minta maaf kepada pengurusan Sinar Harian. Apapun untuk pembaca, saya lampirkan tulisan Kita Kutir itu dalam ruangan blog saya.
Berikut adalah tulisan kolum saya yang sepatutnya disiarkan hari ini:-
Musuh UMNO ialah UMNO bukan Pas
Rata-rata tempat, termasuk kedai-kedai kopi kalau kita berada di situ, antara topik perbualan hangat daripada ‘ahli mesyuarat tingkap’ itu ialah mengenai pilihan raya umum. Mendengar setiap patah perkataan daripada perbualan atau perbincangan tidak formal itu seolah-olah mereka yang menentukan bila tarikh pilihan raya. Seolah-olah mereka yang menentukan siapa layak menjadi calon dan siapa tidak layak.
Budaya ini tidak pernah lupus daripada rencah kehidupan orang Melayu kita sejak negara bergelar Malaysia ini melaksanakan pilihan raya pertama pada tahun 1955. Tidak cukup secawan kopi, secawan kopi tongkat ali ditambah lagi bagi merancakkan sesi perbualan yang kemudian bertukar menjadi perbahasan.
Dalam perbahasan itu berlakulah perselisihan pendapat sehingga membawa kepada bermasam muka dan tidak lagi tegur menegur. Kemesraan mula hilang, persahabatan menjadi permusuhan, jiran tetangga tidak lagi dikunjungi dan wujudlah unsur tuduh menuduh, kafir mengkafirkan.
Ini bukan perkara baru. Ia akan tercetus setiap kali tiba musim pilihan raya sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya kecil. Calon sama calon duduk semeja bergurau senda, rakyat sama rakyat bergaduh sesama sendiri di kampung. Wakil rakyat sama wakil rakyat berjabat tangan sambil berpeluk-pelukan, pengundi sama pengundi memutuskan silaturahim.
Sampai bila budaya ini akan terus terpapar dalam adat masyarakat Melayu? Adakah ia akan berakhir sekiranya ditakdirkan UMNO dan Pas bersatu? Tidak mungkin. Walaupun UMNO dan Pas bersatu sekali pun budaya berpecah sesama sendiri tidak dapat diselamatkan.
Ia seolah-olah menjadi darah daging bagi orang Melayu kita terutama masyarakat kampung dan mula diikuti oleh masyarakat desa serta bandar. Pada kita selagi ada warung kopi, selagi mereka berkumpul dan membicarakan isu politik, selagi itulah bibit perpecahan akan wujud.
Untuk membuktikan kata-kata ini, kita tidak perlu pergi jauh, tidak perlu menjadikan Israel-Palestin sebagai contoh, cukuplah dengan mengambil kisah-kisah yang berlaku dalam UMNO dan Pas, hatta mana-mana parti yang ada di negara ini sekalipun.
Contoh ketara ialah perpaduan dalam UMNO. Selain parti itu mempunyai musuh tradisi seperti Pas, Dap dan Parti Keadilan, UMNO juga mempunyai musuh yang besar iaitu sesama sendiri. Musuh ini lebih hebat dalam mencipta fitnah dan strategi untuk menjatuhkan kawan.
Sejarah politik Kelantan sendiri membuktikan, musuh dalaman akan melakukan apa sahaja untuk melihat rakan mereka kecundang. Mereka tidak mahu rakyat suka kepada rakannya. Mereka cuba memasukkan unsur hasutan supaya rakyat membenci rakan berkenaan.
Lebih-lebih lagi kalau mereka nampak rakan ini mempunyai peluang untuk menang sama ada dalam pertandingan peringkat bahagian (parti) atau pilihan raya. Mereka memperhebatkan propaganda supaya rakan ini jatuh tersungkur. Pada mereka lebih baik sama-sama jatuh (kalah) daripada memakan hati melihat rakan itu naik.
Senario ini yang berlaku hebat sekarang, yang mana ada bekas pemimpin peringkat bahagian dikatakan iri hati atau cemburu dengan kejayaan yang dilakukan rakannya. Dia tidak boleh naik dalam politik. Dia tidak boleh dibiarkan terus memimpin UMNO Bahagian itu kerana mempunyai kes yang boleh merosakkan imej parti. Sebab itu pucuk kepemimpinan menggugurkannya daripada bahagian pada akhir tahun 2003.
Dia kemudian diambil oleh pimpinan baru UMNO Kelantan untuk membantu pengurusan dan jentera parti. Dia dipungut bukan kerana pengaruh atau jasanya terhadap parti, tetapi diambil atas dasar belas kasihan semata-mata.
Tetapi bekas pemimpin ini ibarat seperti melepaskan anjing tersepit. Kalau dia tidak menggigit orang yang membantunya, dia akan mengganggu ketenteraman jiran. Jiran yang kita maksudkan ialah pemimpin-pemimpin yang diberi amanah untuk menjaga DUN masing-masing sehingga menjelangnya pilihan raya umum.
Itulah yang berlaku kepada seorang pemimpin DUN di sini. Pemimpin itu bertungkus lumus sejak tahun 2004 lagi untuk memantapkan jentera parti dengan merencana dan merangka pelbagai program serta aktiviti bagi memastikan rakyat memberi sokongan kepada BN. Tidak sedikit wang ringgit dihabiskan.
Malangnya, apabila kedudukan pemimpin itu dilihat sudah solid (kuat) dan ketika para pengundi luar mula berikrar mahu memberi sokongan kepada pemimpin berkenaan pada pilihan raya umum akan datang, tiba-tiba tercetus isu mendakwa pemimpin berkenaan giat mencuri pengundi luar.
Siapa yang memulakan isu itu? Ternyata ia bukan dicetuskan oleh Pas, Parti Keadilan mahupun DAP, tetapi daripada kalangan ahli UMNO itu sendiri.
Kenapa jadi begitu? Kerana dia masih berpegang kepada prinsipnya yang dulu-dulu bahawa UMNO dan BN Kelantan tidak boleh menang dalam pilihan raya umum.
Tanpa memikirkan penat lelah pucuk pimpinan UMNO Kelantan bekerja keras menyusun dan menguatkan parti untuk menumbangkan Pas, golongan parasit ini pula berusaha secara senyap-senyap untuk menggagalkannya. Kita tidak mahu menyalahkan parasit ini kerana memang tugasnya begitu, tetapi kita tertanya-tanya kenapa pucuk pimpinan boleh berminat mengambil parasit ini berada dalam pengurusan parti.
Mustahil pucuk pimpinan tidak mengenali ‘feel’ perangai bekas pemimpin berkenaan kerana rekod salah lakunya sentiasa ada dalam simpanan dan boleh dikaji pada bila-bila.
Ingatlah, selagi golongan parasit ini tidak dihapuskan dalam UMNO, jangan menaruh harapan tinggi untuk BN Kelantan menumbangkan Pas dan membentuk kerajaan pada tahun 2008.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
LAHAD DATU : Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata 22 daripada keseluruhan 28 mayat pengganas yang dibawa keluar dari kawasan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan