Jumaat, 17 April 2009

Buang parasit dalam parti dan kerajaan - 7 Minit

APA dah jadi. Tersentak dan tersedak dibuatnya. Berita sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di Terengganu tidak mahu menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) menghiasi media cetak dan elektronik serta menjadi bualan sinis pelbagai pihak.

Peristiwa ini hampir menyamai kejadian sidang DUN tergempar di Perak awal Mac lalu. Bezanya, di Perak melibatkan pembangkang dengan kerajaan. Tetapi di Terengganu, kerajaan dengan kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN) dengan BN. Bukan BN dengan Pakatan Rakyat (PR).

Golongan mencetuskan isu yang meletakkan rakyat semakin benci dan bertambah muak lagi dengan UMNO ialah mereka yang duduk sebumbung dalam satu parti. Golongan dipilih oleh rakyat dengan harapan dapat membela nasib mereka, tetapi lain pula jadinya. Mereka menjadi pemimpin semata-mata untuk mencetuskan kontroversi dan membuka pekung di dada.

Pekung, mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga ialah sejenis penyakit kulit yang berbau busuk atau mendedahkan keburukan diri atau sengaja mencari malu (kesusahan). Pada saya, sama ada di Terengganu atau di mana-mana sahaja negeri yang ada pergolakan sesama sendiri, perumpamaan ini paling tepat untuk mereka.

Golongan ini langsung tidak menghormati pucuk kepimpinan yang baru. Entah apa lagi yang mereka mahu. Sudah diberi kaki, mahunya betis. Sudah diberi betis, mahu lagi paha. Malah paha pun sudah diberi, namun, hati tetap mahu lagi, mahu lagi dan mahu lagi.

Seorang kawan tanpa segan silu memberitahu saya, kalaulah dia ditakdirkan menjadi perdana menteri (sebenarnya tak mungkin pun), dia tidak akan teragak-agak memecat pemimpin yang membuat onar dalam parti dan kerajaan. Katanya, untuk apa dia menyimpan atau membiarkan pemimpin seperti itu berada dalam parti.

Baginya, selagi dibiarkan, selagi itu keharmonian parti tidak akan tenteram. Malah mungkin akan lebih teruk cederanya sehingga sukar dipulihkan lagi. Sebelum terlambat, reformasi di semua peringkat perlu dilakukan.

Apa yang dia lakukan kalau jadi perdana menteri? Katanya, dia akan meletakkan dirinya sebagai seorang peneroka yang tekad hendak memulakan hidup baru di kawasan tanah hutan dan memastikan masa depan keluarga serta seluruh generasinya terjamin.

Katanya, dia hendak meneroka kawasan hutan itu. Dia akan lakukan reformasi besar-besaran di kawasan itu. Dia akan buang semua semak samun menjalar, tebang tebas pokok tidak berguna. Ratakan tanah berlubang, hapuskan semua jenis parasit yang ada tanpa belas kasihan lagi.

Untuk apa dia perlu simpati atau berasa rugi membuang semuanya kerana tempat-tempat kosong dan lapang itu digantikan dengan pokok serta tanaman dari jenis baka baik.

Walaupun mengambil masa untuk tumbesaran dan mengeluarkan buah, tetapi jika dijaga dan dibaja, semua itu menjanjikan pulangan yang baik. Dia pun berasa selesa kerana semuanya bebas daripada parasit.

Begitu juga dalam konteks parti dan kerajaan, kenapa perdana menteri perlu takut untuk memecat mana-mana pemimpin yang tidak ada lagi jiwa memimpin. Yang suka membuat onar sehingga parti dilihat sentiasa bertelagah dan menjatuhkan imej UMNO. Buang sajalah mereka ini. Simpan pun tidak ada gunanya. Ramai lagi generasi baru lebih berwibawa boleh menggantikan tempat parasit ini.

Datuk Seri Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin serta barisan kepimpinan baru perlu duduk semeja merancang dan merangka, sebelum mencapai kata sepakat, wajarkah mulai sekarang parti menyediakan muka baru sebagai pelapis atau simpanan untuk menggantikan tempat parasit yang selalu membuat onar. Siaran Khamis 16hb April 2009

Tiada ulasan: