Isu tanah: 30 Orang Asli berdemo di Gombak
Sekumpulan 30 Orang Asli menyertai perhimpunan di depan Hospital Orang Asli Gombak tengah hari ini kerana membantah apa yang mereka dakwa salah guna kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), melibatkan layanan hospital seliaan jabatan itu.
Dalam satu petisyen berkaitan perkara itu, hospital di bawah seliaan jabatan berkenaan didakwa melakukan penganiayaan kepada masyarakat berkenaan.
Perhimpunan itu diketuai Sokyen Man, 40, yang mendakwa mewakili penduduk kampung tersebut. Mereka sebelum itu mengutip tandatangan penduduk kawasan penempatan Orang Asli di situ bagi menyokong petisyen tersebut.
Mereka turut membawa poster yang antaranya berbunyi “Akta 134 kami dicabul,” “Mana ubat kami di kampung?,” dan “Kami orang miskin di bumi sendiri tapi kami ada maruah dan bukan bodoh.”
Kumpulan itu juga turut melaungkan slogan “Jangan rampas hak kami” dan juga “Bunuh kami dulu jika mahu tanah kami” ketika berdemonstrasi di hadapan hospital seliaan bahagian kesihatan dan perubatan JHEOA.
Menurut Sokyen, petisyen itu akan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan juga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ia juga akan dihantar kepada Pesuruhjaya Hak Asasi Orang Asli di Geneva, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Dalam petisyen yang ditandatangani lebih 90 orang itu, mereka mendakwa berlaku penganiayaan terhadap kakitangan Orang Asli yang berkhidmat dengan jabatan tersebut.
Sokyen berkata, mereka membuat petisyen itu berdasarkan enam laporan polis yang dibuat sebelum ini oleh penduduk kampung terlibat.
Menurutnya, dua laporan polis yang dibuat pada Mac 2009 itu melibatkan kematian dua pesakit yang menerima rawatan di hospital Orang Asli di Gombak.
Selain itu, katanya, dua laporan lagi ialah mengenai dakwaan berlakunya ugutan terhadap pesakit yang membuat laporan polis mengenai kematian tersebut.
Turut ditimbulkan dalam petisyen berkenaan berhubung penjawatan oleh Orang Asli dalam JHEOA di bahagian kesihatan dan perubatan.
“Satu ketika dulu jawatan Orang Asli di bahagian kesihatan hampir 80 peratus, kini didominasi orang Melayu iaitu sebanyak 90 peratus, manakala Orang Asli hanya (tinggal) 10 peratus sahaja.
“Banyak syarat yang dikenakan untuk Orang Asli diterima masuk,” petisyen setebal enam halaman itu dipetik.
Petisyen itu turut mempertikaikan tindakan hospital itu memberi “layanan lebih baik” kepada masyarakat lain, sedangkan hospital itu dibina khas untuk keperluan Orang Asli.
“Walaupun Klinik 1Malaysia wujud, tetapi masyarakat bukan Orang Asli masih ramai yang datang dengan alasan senang letak kereta, selesa serta murah.
“Ada di antara kami yang terpaksa tinggal (ditempatkan) di hospital kerajaan lain (kerana) menerima cemuhan daripada kakitangan hospital (yang dikhaskan kepada Orang Asli). Ada yang memanggil kami ‘asli’, ‘hitam’, ‘busuk’, ‘kotor’, semasa di wad hospital.
“Ada yang seolah jijik memegang kami sewaktu mengambil suhu badan atau tekanan darah. Kami berasa asing di tanah bumi sendiri,” menurut petisyen itu lagi.
Menurut Sokyen, kira-kira 2,000 Orang Asli mendiami kawasan sekitar Gombak. Masyarakat tersebut, tambahnya, bergantung kepada hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan.
Bercakap kepada media, Sokyen turut menimbulkan pemilikan tanah mereka - tanah kategori saka dan rayau - yang dikatakan tidak akan diberi milik kepada mereka selepas ini.
“Kami dapat maklumat ada dasar tanah baru yang akan digubal di parlimen. Dasar ini digubal dengan tidak mengambil kira Orang Asli dan dibantah oleh Orang Asli pada keseluruhannya.
“Apabila ia dikuatkuasakan kami akan hilang hak ke atas tanah saka dan juga tanah rayau kami,” tambahnya. - MALAYSIAKINI
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan