Isnin, 18 Oktober 2010

SIHIR - Berani tak bertempat akan jadi mangsa














“AKU tahu perbuatan ini dosa besar. Tapi aku tak kisah nak santau dia sampai mati pun. Aku sanggup tanggung segala dosa!” Demikian ungkapan kesumat seorang wanita Melayu yang nekad mensantau bekas teman lelakinya.

“Aku dengar-dengar, lelaki itu sudah pun mati,” cerita Suhaila.

Sihir atau ilmu hitam bukan perkara baru. Menurut sejarahwan, amalan melakukan sesuatu menerusi bantuan makhluk halus seperti jin dan syaitan telah berakar umbi sejak sekitar 5,000 tahun Sebelum Masihi.

Dalam tamadun Mesopotamia, pengaruh ilmu sihir begitu kuat dan mereka yang mahir dalam bidang ini digelar asipu. Dalam tamadun Rom dan Yunani, ahli-ahli sihir mereka mampu melumpuhkan seseorang dengan bacaan mantera manakala dalam tamadun Mesir, ahli-ahli sihir yang hebat digaji menjadi pengawal peribadi.

Di Malaysia kini, cabang-cabang sihir didapati pada amalan santau, pukau, tuju-tuju, ubat guna-guna dan sebagainya.

Seorang lelaki dari Pulau Pinang, Salman (bukan nama sebenar) berusia 40 tahun menderita penyakit misteri selama setahun. Berat badannya susut secara mendadak daripada 80 kilogram (kg) menjadi 40 kg dalam tempoh yang agak singkat.

Setiap kali menjelang Maghrib, dia tidak boleh mengangkat kakinya untuk berjalan sehingga perlu berpaut pada tembok dinding di rumah. Dia mendakwa doktor tidak mempunyai penjelasan tentang penyakitnya.

“Setelah doktor sendiri hairan dengan penyakit saya, saya berjumpa bomoh. Bomoh menyuruh saya membasuh muka kemudian dia memberikan saya cermin.

“Saya lihat ada benang, duri, serpihan kaca dan sekam menempel pada muka. Saya menyentuhnya dan memang terasa ia ada di situ.

Santau
“Bomoh itu memberitahu, saya telah disantau. Katanya, mujur saya berjumpanya cepat kerana jika tidak, dalam tempoh sebulan lagi, saya mungkin akan menemui ajal,” kata Salman kepada Jurnal.

Ceritanya, daripada gambaran rupa yang diberikan bomoh itu, orang yang berniat menyantaunya ialah seorang kawannya. Salman kini sudah pulih. Mangsa santau tidak mengenal usia. Seorang remaja berusia 14 tahun turut terkena santau. Abangnya, Mohd. Sharul Nizam Sharuddin, 29, berkongsi cerita.

“Sangat menyayat hati melihat keadaan adik saya pada masa itu. Dah macam mayat hidup. Dah jumpa doktor dan lakukan imbasan sinar X, doktor kata ada tompok-tompok hitam mungkin tibi. Tapi keadaan adik masih tidak baik.

“Kami akhirnya jumpa seorang bomoh di Perak. Selepas dirawat, adik saya muntahkan serpihan kaca, dawai besi dan rambut. Bomoh beritahu, adik saya telah disantau. Tetapi siapa yang santau kami sendiri tidak pasti,” katanya.

Namun, jauh di sudut hati Sharul Nizam, dia bersyukur kerana adiknya dapat disembuhkan, tidak seperti seorang rakannya yang mati kerana santau.

“Kawan saya itu disantau dengan teruk sampai segala organ dalam badannya hampir hilang. Dikatakan ia penangan santau Orang Asli. Difahamkan, dia disantau oleh kawan baiknya yang sukakan isterinya,” katanya.

Justeru, apa yang membezakan perbuatan sihir ini dengan perbuatan mencederakan atau membunuh mangsa menggunakan pisau atau senjata lain? Sebenarnya, jika dihalusi kedua-duanya adalah perbuatan jenayah iaitu membunuh atau mendatangkan kecederaan.

Cuma, sihir senjatanya ialah makhluk halus dan kerana itu ‘penjenayah’ sering terlepas. Mahkamah lazimnya tidak mengambil kira hal-hal berbaur metafizik dan di luar logik akal.

Jenayah
Namun, keadaan ini mungkin akan berubah. Baru-baru ini, seorang pensyarah universiti mengusulkan supaya kerajaan mewujdkan Akta Jenayah Sihir bagi mengekang amalan itu daripada terus berleluasa dan membawa penjenayah sihir ke muka pengadilan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Institut Kemajuan Iktisas Pahang (IKIP), Dr. Mahyuddin Ismail menggambarkan jenayah sihir adalah sesuatu yang bersifat realistik dan bukan retorik.

Beliau cuba mengetengahkan satu formula yang mampu membawa persamaan antara jenayah sihir dan jenayah biasa.

“Banyak perkara jenayah di negara ini yang turut dikaitkan dengan perbuatan sihir.
Jenayah membabitkan sihir boleh berlaku dalam kes bunuh, mendatangkan kecederaan, rogol, penipuan, kecurian, kes orang hilang, kes cerai dan poligami.

“Daripada kajian saya juga terdapat 13 kes di mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang membabitkan jenayah ini termasuk kes Mona Fandey. Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan hanya 55 peratus kes orang hilang diketahui puncanya sedangkan bakinya tidak diketahui.

“Terdapat juga kekerapan mangsa santau yang kembali mendapat santau selepas beberapa bulan dirawat. Semua ini mendorong kita untuk segera membanteras masalah ini,” katanya yang turut mempunyai pengalaman merawat gangguan makhluk halus.

Mahyuddin menjelaskan undang-undang berkenaan sihir juga bukan perkara baru. Ia pernah wujud di England dan Australia. Ia juga masih wujud di negara-negara Afrika, India, China dan Arab Saudi.

Namun, kebanyakannya hanya bertumpu pada aspek tertentu misalnya, di China, peruntukan undang-undang jenayah yang diluluskan pada tahun 1979 berkisar tentang mendapatkan wang dengan helah sihir.

Di Arab Saudi pula penjenayah sihir dikenakan hukuman pancung. April lalu, seorang lelaki Lebanon dijatuhi hukuman pancung di Arab Saudi atas dakwaan mengamalkan ilmu sihir.

Cedera atau kecederaan parah yang terjadi akibat sihir juga tidak bercanggah dengan maksud cedera yang terdapat dalam Seksyen 319, Kanun Keseksaan. Ini bermakna sihir yang menyebabkan kecederaan atau kesakitan termasuk lumpuh, tuli, buta, bisu dan sebagainya dianggap satu jenayah.

Bagaimana hendak membuktikan perkara yang dianggap ghaib ini? Mahyuddin menjelaskan, walaupun dianggap perkara ghaib namun hal-hal sihir biasanya hanya akan berlaku menerusi peralatan dan alat-alat itu boleh menjadi bahan bukti di mahkamah.

“Sihir berlaku kerana perjanjian antara manusia dengan makhluk halus dan perjanjian itu biasanya menghendaki manusia melakukan pemujaan dan menyediakan bahan-bahan sihir.

“Secara asasnya terdapat dua kategori bahan iaitu bahan luaran (bahan yang bukan berasal dari tubuh mangsa atau orang yang menyihirnya) atau bahan dalaman (bahan yang berasal dari diri mangsa dan penyihirnya).

Bukti
“Antara contoh bahan luaran yang biasa digunakan ialah darah, najis, tengkorak, abu mayat, simpulan kain, air lipan bara, katak puru bertanduk, hati kura-kura, kaca, paku, ranting bunga kertas, benang, tanduk kerbau, tanah liat, lilin atau jerami yang dibentuk menjadi patung.

“Bahan dalaman pula seperti apa-apa yang menjadi identiti mangsa atau orang yang hendak melakukan sihir seperti pakaian, pakaian dalam, kuku, rambut, bulu roma dan tuala,” katanya.

Elemen penting dalam penentuan terdapat jenayah atau tidak seperti mens rea (niat) dan actus rea (tindakan) juga boleh dikenal pasti.

“Tukang sihir juga boleh dianggap sebagai pembunuh upahan atau penceroboh seperti dalam kes jenayah biasa. Pengamal sihir akan didakwa bersama-sama kerana bersubahat dalam jenayah.

“Bahan bukti juga boleh menyatakan niat mereka yang menyantau sama ada untuk membunuh atau sekadar mencederakan. Misalnya, jika jarum dicucuk pada otak atau jantung patung itu menandakan tujuan bunuh dan jika dicucuk pada anggota lain seperti tangan dan kaki, ia mungkin sekadar mahu mencederakan,” ujarnya.

Jelasnya, dalam hal penyiasatan, satu badan perlu diwujudkan, misalnya menubuhkan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir. Siasatan turut dilakukan dengan kerjasama antara pakar forensik dan pakar rawatan sihir yang terbukti kredibilitinya dan boleh dipercayai.

“Akta Jenayah Sihir perlu ada. Selama ini orang mungkin memilih kaedah sihir untuk membunuh atau mencederakan kerana fikir ia tidak meninggalkan bahan bukti lalu mereka terlepas.

“Mereka hanya menyerahkan kepada makhluk halus untuk ‘mengerjakan’ mangsa. Sedangkan apa yang dilakukan juga jenayah dan patut dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya sambil memetik kata-kata sarjana Barat, Emmet V. Mittlebeeler:

“Kalau undang-undang jenayah itu digubal bertujuan menjaga kepentingan awam, maka jenayah sihir ialah jenayah paling utama yang perlu dibanteras.” - KOSMO

Tiada ulasan: