Isnin, 2 Mei 2011

Alahai jambatan kedua Kota Bharu-Tumpat

MZ:
Dua tahun lalu, dalam ruangan Sekilas Pandang Sinar Harian, aku ada mempersoalkan kerja kerja menyiapkan jambatan kedua, Jambatan Sultan Yahya Petra yang menghubungkan Kota Bharu-Tumpat.

Selepas artikel itu tersiar, aku menerima teguran daripada pemimpin UMNO Kelantan, yang mengecapkan aku sebagai salah seorang penyokong pembangkang dan sengaja menggunakan surat khabar tempat aku bekerja untuk menjatuh dan merendah-rendahkan reputasi UMNO Kelantan.

Aku beristigfar, sambil mengeluh dan mengeleng kepala memikirkan ketidak cerdikan pemimpin UMNO Kelantan yang sesedap hati mengecapkan aku ni penyokong pembangkang, hanya kerana aku menulis mengenai kelemahan Kerajaan Persekutuan menyiapkan jambatan kedua itu yang diberi jaminan oleh (bekas) Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan (bekas) Menteri Kerja Raya, Samy Vellu bahawa jambatan itu akan siap dalam tempoh hampir dua tahun dari ia dilancarkan.

Namun, kini kerja kerjanya sudah berlarutan hampir empat tahun. Maknanya lebih dua tahun prosesnya mengalami kelewatan. Ia adalah suatu jangkamasa yang cukup panjang dan lama bagi rakyat Kelantan.

Aku mahu buat perbandingan antara projek pembinaan jambatan kedua Kota Bharu-Tumpat itu dengan projek pembinaan Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA).

Ketika aku mula menjejakkan kaki ke Shah Alam Februari 2008, kerja-kerja awal menyoyok laluan sedang dijalankan. Hampir dua tahun aku berulang alik dari rumah sewa ke pejabat di Seksyen 15 dalam keadaan berdebu, kesesakan trafik dan serba kepayahan kerana kesan daripada kerja membina LKSA.

Setiap bulan dari Februari 2008 hingga April 2011, ada luang cuti saja, aku balik ke Pasir Mas. Di sana, aku sempat melawat atau meninjau perkembangan pembinaan jambatan kedua itu dengan pembinaan lebuh raya LKSA.

Tahun 2009, sepatutnya jambatan kedua itu sudah cecah 60 atau 70 peratus siap, tetapi malangnya, keadaan masih belum nampak ada tanda tanda kerja dilakukan, melainkan kesan cerucuk yang sudah berkarat dimamah usia.

Tahun 2009 juga di Shah Alam, LKSA sudah 50 peratus siap. Debu dan lumpur tidak lagi kelihatan kerana kerja kerja mencuci dilakukan serentak dengan proses lain.

Tahun 2010, pun kesan pembinaan jambatan kedua masih tidak berubah, walaupun sudah ada proses pnyambungan kerja. Namun, peratusan siap jauh mendukacitakan. Ia tidak sebagaimana digambarkan oleh pihak berkenaan. Menghampakan. Rakyat Kelantan masih lagi menempuh kesesakan lalu lintas setiap kali melalui jambatan itu.

Pertengahan 2010, LKSA sepanjang hampir enam kilometer dan mempunyai tiga jambatan, termasuk satu jambatan bulat sudah siap sepenuhnya. Perasmiannya dilakukan oleh Menteri Kerja Raya yang baru. Yang menggantikan Samy Vellu. Sekarang, pihak konsesi Lebuh Raya sedang memungut hasil daripada tol tol yang dikenakan.

Tetapi, yang terbaru aku balik ke Kelantan pada pertengahan April lalu, aku masih melakukan tinjauan sendirian ke tapak projek jambatan kedua itu. Keadaannya masih mendukacitakan dan aku sendiri tidak dapat membuat andaian bila jambatan itu akan siap, sehinggalah aku baca berita hari ini (2hb Mei 2011), Tok Pa kata jambatan kedua itu akan siap pertengahan tahun depan.

Alasannya, ada masalah teknikal iaitu proses pengambilan tanah sepanjang 1.3 kilometer yang terbantut.

Persoalannya, kenapa selepas tiga tahun pihak berkenaan menghadapi masalah pengambilan tanah? Kenapa ia tidak berlaku ketika mula-mula pihak berkenaan merancang hendak membina jambatan itu?

Lagi pun, alasan pertama yang diberikan ketika saya mengkritik dalam artikel 2009 itu, tidak dinyata pun masalah pengambilan tanah, melainkan ada masalah dengan kontraktor pertama.

Apapun, rakyat Kelantan sedang membuat penilaian antara janji kerajaan UMNO dengan kerajaan Pas Kelantan.

-----------------------------BERITA JAMBATAN KEDUA --------------------------------

KOTA BARU: Pembinaan jambatan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra sepanjang 800 meter bernilai RM157 juta, yang menghubungkan Kota Baharu dan Wakaf Baharu, Tumpat dijangka siap pertengahan tahun depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri (MTPN) Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pembinaan jambatan, yang dimulakan pada Jun 2007 sepatutnya siap pada Disember 2009, dan kemudian dilanjutkan kepada Ogos tahun ini akan hanya dapat disiapkan tahun depan berikutan beberapa masalah teknikal.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata akibat masalah teknikal itu, pihak pengurusan projek meminta tambahan masa bagi menyiapkan projek dan kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh projek itu, yang kini baru 63 peratus siap.

Antara masalah utama adalah masalah pengambilan tanah seluas 1.3 kilometer persegi di sini yang masih belum selesai hingga melewatkan permulaan projek dan pemasangan paip air, paip Tenaga Nasional Berhad dan Telekom pada jambatan.

Selain itu, masalah ketinggian tiang yang dipacak di dalam sungai didapati tidak mencukupi paras ketinggian yang diperlukan, katanya kepada kepada pemberita selepas melawat tapak projek jambatan itu, di sini Isnin.

Mustapa turut diberi taklimat oleh pihak pengurus projek, Syarikat Konsortium Is-Ris Resources Sdn Bhd, Jabatan Kerja Raya dan kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.

"Kita memandang berat kelewatan ini yang sering dibangkitkan dalam mesyuarat MTPN dan juga rungutan rakyat Kelantan yang menggunakan jambatan itu. Kita harap rakyat bersabar," katanya.

Mustapa berkata pembinaan jambatan itu, bagaimanapun, lebih efisien berbanding projek kerajaan negeri pimpinan PAS yang ingin membina sebuah jambatan baru bagi menyambungkan Kampung Cina di Kota Baharu dan Palekbang, Tumpat, dengan peletakan batu asasnya dilakukan 10 tahun lalu namun sehingga kini belum dilaksanakan.- BERNAMA

Tiada ulasan: