Khamis, 12 Mei 2011

Anwar terhutang budi kepada Abdul Hadi, Nik Aziz

Selepas ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah selesai menyempurnakan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur pada 29 April lalu, timbul pula cabaran daripada seorang Pas memintanya menjalani ujian poligraf bagi membuktikan bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bercakap benar.

Cabaran yang dibuat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Husam Musa itu disahut tanpa berbelah bahagi oleh Eskay, yang turut meminta Anwar menjalani ujian itu bersamanya dengan televisyen menyiarkannya secara langsung bagi menunjukkan kepada dunia siapa yang benar dan berbohong.

“Saya menyambut cabaran pimpinan Pas supaya mengambil ujian poligraf bagi memastikan saya tidak bercakap bohong. Saya juga mahu Anwar turut menjalani ujian itu. Saya mahu prosedur itu disiarkan secara langsung di televisyen.

“Saya mahu dunia lihat siapa yang benar dan berbohong,” kata Eskay pada Selalu lalu sebagai reaksi kepada kenyataan Husam yang mahukan trio Datuk T itu menjalani ujian bagi membuktikan mereka bercakap benar.

Cabaran Husam itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat terutama beragama Islam. Mereka menganggap pemimpin dalam parti yang memperjuangkan Islam itu lebih mempercayai mesin buatan manusia berbanding kitab suci al-Quran.

Eskay telah melafazkan sumpah laknat dengan menyebut Wallahi Wabillahi Watallahi sambil memegang senaskhah al-Quran bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pelaku dalam rakaman video seks itu adalah Ketua Pembangkang.

Beliau bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim pada 21 Mac lalu, mendedahkan kepada sekumpulan wartawan rakaman video kontroversi yang pelakunya mirip Anwar sedang melakukan hubungan seks dengan pelacur dari China.

Husam yang dipetik dari sebuah akhbar berkata, Datuk T perlu menjalani ujian berkenaan bagi membuktikan bahawa mereka tidak melakukan pendedahan semata-mata untuk kepentingan politik murahan mereka.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Husam, Shazryl Eskay berkata, itu membuktikan bahawa pemimpin Pas sedia menerima bukti secara saintifik.

"Itu menunjukkan mereka sanggup menerima rakaman video itu sebagai bukti. Mereka juga perlu terima bukti DNA dan kaedah saintifik bagi mengenal pasti lelaki dalam video itu," ujarnya.

Walaupun trio Datuk T menunjukkan bukti klik video dan Eskay mengakui berada dalam bilik tempat pelakunya mirip Anwar melakukan hubungan seks, di samping turut memegang jam tangan Omega yang didakwa milik Ketua Pembangkang itu, namun Anwar lebih selesa membuat penafian secara lisan, bukan imbal balas secara sumpah laknat.

Anwar yang dilihat tidak langsung mempedulikan tuduhan itu turut mendapat sokongan kuat daripada rakan gabungan dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Kedua-dua pemimpin tertinggi Pas ini tetap menafikan Anwar terlibat dalam tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan melanggan pelacur China sebagaimana terkandung dalam klik video seks yang didedahkan trio Datuk T bulan lalu.

Abdul Hadi berkata, agenda Pas ketika ini ialah bersama PR untuk menawan Malaysia daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 ini, manakala Nik Abdul aziz pula menganggap video seks itu sebagai meragukan.

Sungguhpun kedua-duanya belum melihat rakaman klik video seks itu, mereka tetap dengan pendirian mengatakan pelakunya bukan Anwar.

“Sebelum ini saya dengar ada pemimpin PR ketika berceramah menjelaskan video itu bukan Anwar. Kalau betul nak kenakan Anwar, kena fokus pada muka, bukan pada tubuh, itu caranya,” kata Nik Abdul Aziz ketika berceramah di Kampung Parang Putting, Kota Bharu, Kelantan, Sabtu malam.

Anwar turut bersama Menteri Besar Kelantan pada ceramah itu, tetapi kedua-duanya tidak mengulas tindakan bersumpah laknat yang dibuat oleh Eskay. Mungkin bimbang kejadian sama berulang sebagaimana dialami Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika turun berkempen di satu kawasan pedalaman di Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini.

Ketua kampung itu bertanyakan Anwar mengenai jam tangan Omega. Tidak semena-mena Anwar melenting dan marah-marah sehingga meninggalkan majlis beliau bersama penduduk di situ. Mungkin takut hal yang sama berulang, beliau dan Nik Abdul Aziz tidak mahu menyentuh isu itu.

Bukan perkara pelik jika pemimpin Pas memberi seribu satu alasan dalam usahanya membela Anwar kerana mereka tahu hanya Ketua Pembangkang itu yang mempunyai potensi untuk menarik sokongan rakyat memberi kemenangan kepada PR, sekali gus mencapaikan angan-angan Mat Jenin untuk menakluk Putrajaya.

Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz tahu, pengaruh mereka berdua tidak sekuat Anwar. Justeru, demi untuk mencapai cita-cita peribadi, mereka terpaksa juga memberi sokongan kepada Anwar dengan harapan isu video seks dan kes tuduhan liwat Ketua Pembangkang yang hangat ketika ini sekurang-kurangnya menarik simpati rakyat untuk memberi sokongan kepada mereka.

Benarkah rakyat makin simpati kepada PR? Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, bekas bossnya itu sememangnya pakar untuk mengalihkan sebarang tuduhan dan isu yang dihadapinya bagi meraih simpati rakyat.

Katanya, beliau lama mengenali pemimpin itu yang sememangnya akan berdiam diri apabila menghadapi sebarang tuduhan mellibatkan dirinya. “Paling tidak pun, beliau akan mengalih perhatian umum dengan memainkan isu lain hingga rakyat terlupa tuduhan yang dihadapi beliau,” kata Anuar.

Belum reda dengan isu rakaman video seks, Eskay pada Selasa tampil dengan kenyataan baru yang dijangka bertambah kelam masa depan Anwar kerana satu lagi pendedahan menggemparkan negara akan dilakukannya.

Menurut Shazryl Eskay, pendedahan itu kelak, mempunyai implikasi yang jauh lebih besar berbanding rakaman video seks yang wajah pelakunya mirip Anwar kerana ia dikatakan melibatkan soal negara.

“Apa yang saya boleh beritahu ia pendedahan yang cukup besar. Implikasinya jauh lebih besar berbanding rakaman video seks Anwar. Perkara ini melibatkan kepentingan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Apakah bentuk salah laku Ketua Pembangkang itu, sama-sama kita tunggu episode akan datang.

Tiada ulasan: