BENARKAH dunia hiburan penuh dengan hipokrasi? Bekas pelawak, Bob Lokman, beberapa hari lalu telah memberikan sebab mengapa beliau keluar dari dunia hiburan. Katanya, beliau sudah insaf dan tidak mahu bergelumang dengan dunia hiburan yang hipokrit. Sebab itulah beliau masuk parti politik yang gunakan lambang Islam.
Wah! Betul ke dunia hiburan begitu? Saya jadi risau, sekalipun bagi saya Bob bukanlah nama besar, tapi jika benarlah apa yang dikata itu, bermakna dunia hiburan itu tidak membawa kebaikan juga kepada artis-artis yang berada di dalamnya.
Lalu, saya tanyakan soalan ini kepada seniman yang sudah berkecimpung lebih 35 tahun di dalamnya, Jamal Abdillah.
Apa lagi, Jamal bukan main berang dengan kenyataan Bob itu yang katanya adalah 'cakap-cakap dari seseorang yang kehabisan modal.'
'Kita ini tak bolehlah cakap ikut suka. Soal hipokrasi ada di mana-mana, dalam apa jua bidang. Dalam dunia politik itu sendiri yang disertai oleh Bob hari ini, apakah tidak ada hipokrasi?' tanya Jamal.
Mungkin ada yang keliru dan masih terpinga-pinga apa sebenarnya yang berlaku.
Untuk pengetahuan anda, Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, 47 tahun, baru-baru ini telah mengumumkan keluar dari dunia hiburan untuk menjadi ahli parti PAS.
Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, kata bekas pelawak itu, beliau tidak mahu hidup dalam kepura-puraan dunia hiburan. Beliau sekarang ini bergerak dengan parti tersebut mengadakan ceramah di sana-sini.
Dalam satu temubual yang dibuat oleh sebuah laman portal minggu ini, Bob memberitahu beliau keluar atas sebab-sebab itu - dunia hiburan yang hipokrasi dan beliau sudah insaf. Beliau turut menyalahkan sistem yang tidak betul.
Menyalahkan dunia hiburan 100 peratus tentulah mengundang reaksi yang tidak menyenangkan.
Lebih-lebih lagi dunia hiburan telah memberikan nafas dan kehidupan serta rezeki yang tidak putus-putus bagi sebilangan besar artis.
Kerana itu, Jamal, 52 tahun, tidak berpuas hati dengan komen Bob yang mahu bekas pelawak itu melihat dengan lebih rasional dan matang, bukan menyalahkan industri.
'Lazimnya orang yang salahkan orang lain, sebenarnya mahu lari daripada menyalahkan dirinya sendiri. Kerana, orang yang menyalahkan orang lain hanya untuk menutupi kelemahan kerana diri sendiri ada kekurangan.
'Jika kita sudah tidak mampu bersaing dengan orang lain, janganlah salahkan industri. Bagi saya, beliau sudah tidak ada apa untuk ditawarkan kepada industri' kata Jamal.
Lalu, tambahnya, soal hipokrit tidak timbul kerana terpulang pada manusia itu sendiri untuk hidup secara pura-pura atau tidak.
'Hipokrit itu sendiri sebenarnya apa? Ia adalah orang yang melakukan dosa tapi berlagak baik dan dalam dunia yang dimasuki oleh Bob sekarang ini, perkara begitu banyak berlaku dengan jelas.
'Hari ini, ada orang cakap soal agama, soal hadis, tetapi hakikatnya, dialah orang yang paling tidak boleh dipercayai.
'Ini memang ada dalam dunia politik sedangkan dalam dunia hiburan, kita menghasilkan lagu atau karya yang mengajak pada keamanan, kecintaan dan sayang menyayangi. Di dalamnya ada perpaduan, ada seruan untuk hidup harmoni.
'Dan semua ini kita nyanyikan untuk didengari dan dihayati oleh setiap masyarakat, tidak kira apa anutan politiknya,' terang Jamal yang kesal dengan kenyataan Bob.
'Saya ingin bertanya, apakah dalam bidang yang dia ceburi hari ini, dia tidak terhindar dari memburuk-burukkan orang dan menanamkan sifat-sifat benci serta memecah-belahkan ummah, adakah itu betul?
'Saya ini orang yang melalui banyak suka duka, tapi saya tidak salahkan industri tempat saya cari makan selama ini. Kita salahkan diri sendiri. Ini yang saya belajar di Rumah Pengasih, tempat saya tinggal sehingga kini, bahawa bila kita sudah tidak ada apa, kita akan salahkan orang lain,' kata Jamal.
Itu baru komen Jamal, belum lagi Datuk Siti Nurhaliza atau seniman-seniman veteran lain yang masih aktif dalam dunia hiburan sehingga kini. Saya percaya orang seperti Datuk Ahmad Jais, Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusuf Haslam dan ramai lagi yang masih berkecimpung dalam industri ini sudah ada jawaban tersendiri pada komen Bob ini.
Cuma saya ingin bertanya, apakah jaminan yang dunia baru Bob hari ini tidak terlepas dari hipokrasi? Jangan terlepas dari mulut harimau, masuk ke mulut naga.-BHS (AGENDADAILY)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan