Rabu, 3 Ogos 2011

PERBICARAAN KES SOSILAWATI: Saksi dengar wanita menjerit malam Sosilawati dibunuh

SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N. Pathmanabahan memberitahu bahawa, dia mendengar suara wanita menjerit pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakanya dilaporkan dibunuh di sebuah ladang, tahun lalu.

Siti Hamidah Karnax, 18, menambah, jeritan tersebut didengar pada pukul 9 malam, 30 Ogos lalu, semasa dia sedang mengisar tepung untuk dibuat tosai di salah sebuah rumah yang terdapat di Ladang Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

"Saya mendengar bunyi perempuan teriak sebanyak dua kali yang berselang antara satu dan dua saat," katanya semasa memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-33 di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani apa reaksi saksi apabila mendengar jeritan itu, saksi menjawab, dia hanya 'buat seperti biasa' manakala individu lain yang berada di dalam rumah sama menonton televisyen.

Siti Hamidah yang berasal dari Sunda, Indonesia adalah bekas pembantu rumah kepada bekas peguam, N.Pathmanabhan, 42, dan R.Kathavarayan, 31, yang sedang dibicarakan bersama T.Thilaiyalagan, 20, dan R. Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47.

Semua tertuduh juga didakwa membunuh pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44, dalam kejadian yang berlaku antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Kesalahan itu didakwa berlaku di ladang Lot 2001, Ladang Tanjung Layang, Banting.

Pada keterangan lain, saksi yang diletakkan di bawah program perlindungan saksi memberitahu, Kathavarayan atau lebih dikenali sebagai Ravi memintanya untuk mengambil dua bilah parang dan sebilah pisau yang diletakkan ke dalam kereta jenis Isuzu D-Max.

Mengimbas kejadian itu lagi, Siti Hamidah berkata, dia melihat Pathmanabhan yang dipanggil sebagai 'Datuk Pathma' datang ke ladang dan keluar semula dengan menaiki kereta bersama Ravi dalam keadaan cemas.

Tidak lama selepas itu, tambah saksi, isteri kepada Ravi, Jacintha mendapat panggilan telefon dan dalam keadaan cemas telah mengarahkan semua orang yang ada di ladang itu untuk masuk ke dalam rumah, dan tingkap serta pintu rumah ditutup.

"Kira-kira pukul 7 malam, saya nampak seorang wanita dan tiga lelaki. Saya tidak biasa melihat mereka. Saya lihat dari arah belakang semasa saya intai menerusi tingkap," tambahnya.

Wanita bertubuh kecil molek itu seterusnya menambah, Jacintha sekali lagi mendapat panggilan telefon dan mengarahkan dia untuk menyediakan baldi, baju, seluar sukan, syampu, tuala, kunyit dan bedak untuk ditinggalkan di belakang pintu rumah.

Pada tengah malamnya pula, Siti Hamidah menambah, dia melihat api besar sebesar pokok kelapa sawit di bahagian belakang ladang berhampiran dengan rumah Thilaiyalagan.

Idham: Itu kali pertama kamu melihat api seperti itu?

Siti Hamidah: Tidak.

Idham: Sebelum ini, kamu pernah lihat api?

Siti Hamidah: Ya, saya pernah lihat waktu ada orang bernama Raja dari India datang. Jika datang, dia akan tinggal di rumah Datuk Pathma. Waktu itu, api tidak sebesar itu.

Idham: Kali kedua?

Siti Hamidah: Kali kedua waktu saya nampak waktu Shafik. Dia kawan Ravi, selalu datang bersarapan...

Saksi bagaimanapun tidak dapat meneruskan jawapannya kerana dipotong oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mengatakan perkara tersebut tidak berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan.

Idham membalas dengan mengatakan jawapan saksi adalah kesinambungan daripada soalan yang diajukan, namun Hakim Datuk Akhtar Tahir mengingatkan bahawa pihak pendakwaan seharusnya mengawal saksi.

Selain itu, Siti Hamidah juga memberitahu bahawa dia ada melihat sebuah lori dengan muatan kayu yang banyak telah datang ke ladang itu pada petang 29 Ogos 2010, iaitu sehari sebelum kehadiran wanita dan lelaki-lelaki berkenaan.

Pada keterangan lain, saksi memberitahu dia mula bekerja dengan Pathmanabhan selepas diperkenalkan oleh seorang lelaki bernama 'Tengku' yang membawanya ke Kuala Lumpur, selepas dia melarikan diri dari majikan lama di Kelantan.

Saksi menambah, dia datang ke Malaysia pada Mac 2008 dan mula bekerja dengan Pathmanabhan pada Mac 2009 selama sembilan bulan sebelum dihantar ke ladang pada akhir Disember 2009.

"Bila saya mula bekerja, saya diberi arahan untuk tidak memandang muka orang yang datang dan jika hantar air juga perlu tunduk. Saya juga perlu beri salam pada Pahthmanabhan, jika tidak kena hentam," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Manjeet, saksi menafikan bahawa dia dihantar ke ladang kerana ditangkap telah membenarkan seorang lelaki Indonesia masuk ke rumah.

"Itu semua fitnah, saya difitnah," katanya tegas, tetapi mengakui bahawa telah berbohong usianya 23 tahun semasa membuat permohonan untuk bekerja di Malaysia.

Dia menambah, telah dipukul oleh majikan lama menyebabkan dia melarikan diri dan juga mendakwa dirinya dipukul oleh isteri Pathmanabhan, Ravi dan Jacintha.

"Isteri Pathmanabhan memukul saya di ladang dengan menggunakan pelepah kelapa sawit di bahagian kepala. Ravi pukul guna rotan, tangan, pelepah dan ada juga tumbuk. Jacintha pukul guna rotan dan tangan," katanya.

Walaupun dipukul, Siti Hamidah memberitahu, dia sayang akan Jacintha dan hormat kepada Ravi serta tidak berani untuk melarikan diri kerana dimaklumkan bahawa sesiapa yang melarikan diri akan dipukul dengan teruk jika ditangkap.

Peguam Ravi Nekoo pula mencadangkan bahawa Ravi sentiasa mengamalkan mandi air kunyit, yang dinafikan oleh saksi.

"Kalau ada kebakaran, dia akan mandi kunyit," tambahnya.

Dia juga menafikan bahawa dia mempunyai motif untuk memberi keterangan di mahkamah dan juga tidak bersetuju bahawa telah dilatih dan diajar cara-cara untuk memberi keterangan di mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung Khamis.

Tiada ulasan: