Sejak tersiarnya sebuah artikel tulisan Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim bertajuk: SKANDAL SEKS PEMIMPIN PAKATAN dalam akhbar SINAR HARIAN tidak lama dulu, berduyun-duyunlah, berlumba-lumbalah, berebut-rebutlah para blogger propembangkang yang jenis wa ampu sana, wa ampu sini membuat ulasan masing-masing.
Ada yang mengkritik keras tulisan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana itu. Tidak sedikit mengecam, mencaci, memaki hamun dan membalas balik jawapannya dalam bentuk lucah, porno dan sebutan-sebutan yang terlalu sukar untuk penulis paparkan atau gambarkan di sini, yang gambarannya sebiji macam imej para blogger berkenaan.
Penulis tidak hairan dengan tulisan buruk para blogger propembangkang ini. Penulis tahu kalau mereka menulis dalam bentuk menjawab balik isu yang ada kaitan dengan pemimpin mereka, tulisannya mestilah sama seperti: “ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi”.
Menghasilkan tulisan yang buruk, berbaur fitnah, mengutuk dan macam-macam lagi hal-hal yang sewaktu dengannya adalah pekerjaan yang menjadi darah daging mereka. Umpama: “kalau ketuanya borek, anak buahnya mestilah rintik”.
Begitu juga kalau dalam sehari tidak dapat mengutuk, tidak dapat melemparkan fitnah, tentunya mereka ini tidak boleh duduk diam. Tidur tak lena, makan tak kenyang. Nak tengok anak bini pun tak ada selera.
Kesian dengan mereka ini. Tetapi apa boleh buat. Biarkanlah mereka dengan labu-labunya. Itu hak mereka untuk menulis. Kalau tidak, macam mana mereka nak tunjukkan ‘kesetiaan’ atau nak bodek ketua mereka, yang mereka ini adalah pembela yang ‘setia’.
Cuma penulis lebih kesian kepada para blogger upahan ini, cara mereka menjawab balik isu yang dibangkitkan Datuk Dr Mashitah itu. Memang diakui, mereka ada membacanya, tetapi diakui juga meeka tidak faham apa yang mereka baca. Kemudian terus mengarang, menjawab balik ‘tuduhan’ sehingga dilihat tulisan mereka seperti babi buta (membabi buta).
Ada juga kenyataan balas daripada para blogger propembangkang ini yang penulis sifatkan, tidak membaca artikel SKANDAL SEKS PEMIMPIN PAKATAN itu sampai habis. Kalau baca pun mungkin tidak habis ke penghujung. Kalau habis ke penghujung pun, mungkin mereka tidak faham maksud atau isi kandungan artikel itu. Ini dikatakan seperti orang buta yang tuli (menulis secara buta tuli).
Mereka ini boleh disamakan seperti membaca artikel bahasa Inggeris, tetapi tidak tahu makna dalam Bahasa Melayu. Atau kalau tahu pun, mereka tidak pandai hendak membuat ulasan. Akhirnya artikel - SKANDAL SEKS PEMIMPIN PAKATAN - yang mereka baca itu, yang ditulis dalam Bahasa Melayu yang mudah lagi jelas, telah diulas dan dijawab secara melulu, dengan niat entah apa-apa.
Jadi, tidak mustahil, ada pihak yang cetek fikiran apabila membaca artikel itu terus melenting dan membuat kenyataan balas menggugut mahu saman Dr Mashitah dengan alasan laporan itu tidak benar, fitnah dan memalukan pemimpin mereka.
Penulis petik kenyataan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Shamsuri Ahmad yang dilaporkan berkata, pihaknya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan bersesuaian berhubung tulisan Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang memfitnah presidennya.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan nasihat peguam sebelum satu langkah diambil berhubung tulisan itu. “Kita sedang meneliti perkara tersebut da kini sedang dalam rangka mendapatkan nasihat peguam sebelum tindakan susulan diambil, sama ada mengambil tindakan undang-undang, atau sebagainya. Itulah kenyataan pegawai politik presiden PAS yang disiarkan dalam portal Harakahdaily.
Penulis juga memetik satu para artikel berkaitan Hadi Awang yang ditulis Dr Mashitah:
Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah dikaitkan dengan skandal membabitkan anak dara kira-kira 10 tahun lalu. Beliau dikatakan mengambil pelajar uiversiti di Terengganu itu untuk dijadikan isteri ketiganya. Beliau menafikan.
Itulah yang dilaporkan Dr Mashitah mengenai Hadi Awang. Dalam laporan itu, Dr Mashitah mengatakan pernah dikaitkan… dan Beliau (Hadi) menafikan. Ini bukan berbentuk tuduhan. Ini berbentuk pernyataan yang mengatakan pernah dikaitkan.
Kalau tuduhan atau fitnah, sudah tentu ayatnya akan berbunyi begini: Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ada skandal dengan anak dara blab la bla…
Tetapi Dr Mashitah tak tulis begitu. Tulisannya kalau berkaitan dengan pembangkang, cukup berhati-hati. Pastinya tidak berbaur fitnah atau sengaja ditulis untuk memalukan pemimpin pembangkang, sebagaimana pemimpin pembangkang memfitnah dan memalukan pemimpin UMNO.
Kita tengok, tuduhan yang dilemparkan pembangkang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang dituduh membunuh Altantuya. Ada kedengaran PM dan isterinya nak saman pembangkang? Sedangkan tuduhan itu amat berat?
Begitu juga tuduhan isteri PM berbelanja besar di luar negara, membeli sebentuk cincin bernilai puluhan juta dan menantu PM kaki samseng? Ada PM nak saman mereka?
Setakat ini belum ada lagi. Malah pembangkang terus menyerang peribadi PM, isteri dan keluarganya tanpa rasa takut kepada Allah dan dua malaikat yang mencatat dosa pahala di bahu kiri dan kanan mereka.
Bahkan, pembangkang dan para bloggernya semakin seronok memfitnah, membuat fitnah dan mencipta fitnah terhadap pemimpin UMNO. Lagak dan kelakuan mereka ini salin tak tumpah seperti lampam bawah jamban, menunggu dengan lahap apa saja objek yang dicampakkan ketua mereka untuk dimakan.
Contohnya, Hadi Awang mengeluarkan sebuah amanat yang mengatakan orang UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC adalah kafir. Nik Aziz Nik Mat pula menuduh orang UMNO yang menolak hudud bermakna menolak hukum Allah. Menuduh Tun Dr Mahathir melihat video lucah dengan cucunya dan bermacam-macam tuduhan lagi. Tidak ada pun orang UMNO atau Tun Dr Mahathir kemukakan saman.
Walhal, tuduhan yang dilemparkan oleh pemimpin pembangkang dan ditulis serta diolah pula oleh para blogger upahannya dengan bermacam-macam gaya, adalah lebih berat berbanding mengatakan Hadi Awang pernah dikaitkan skandal dengan anak dara.
Kalaulah penulis dikaitkan dengan anak dara, alangkah bertuahnya badan. Apa tidaknya, diri yang dah tua ini dikatakan kahwin dengan anak dapat anak dara.
Tidakkah itu suatu yang boleh dibanggakan? Walaupun penulis menafikannya. Sesiapa sahaja kalau dikaitkan dengan anak dara, yang lemah tiba-tiba jadi kuat. Yang sakit demam tiba-tiba sihat segar dan bugar.
Kalau Hadi Awang nak saman Dr Mashitah, bagaimana pula dengan empat orang pemimpin pembangkang lagi? Yang disebut-sebut dalam artikel itu seperti Dr Badrolamin yang ditangkap khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Kuantan?
Mat Sabu yang ditangkap berkhalwat dengan isteri kawannya sendiri di sebuah hotel di Kota Bharu? Wan Ismail berkahwin dengan anak dara dari Kemboja kemudian diceraikan, dan bekas seorang ADUN dari Pasir Puteh kena tumbuk oleh seorang lelaki di stesen keretapi kerana disyaki berzina dengan isteri lelaki itu? Adakah mereka-mereka ini juga mahu saman Dr Mashitah kerana memfitnah?
Apa yang dinyatakan dalam artikel SKANDAL SEKS PEMIMPIN PAKATAN itu adalah suatu kenyataan yang dipaparkan selepas mendapat publisiti meluas, yang disiarkan dalam media, lidah rasmi parti politik dan meniti dari mulut ke mulut setiap manusia di negara ini. Mereka yang dikaitkan juga sudah menafikannya. Dan kenyataan penafiannya turut dipaparkan. Fitnahkah itu?
Peringatan penulis kepada pemimpin pembangkang, pegawai politiknya dan para blogger upahannya, “kalau kita mudah terasa dengan apa yang orang lain kata mengenai kita, lain lagi kita kena muhasabah diri… cermin diri… Jangan mudah mengata (memfitnah) orang lain.
“Kalau kita mudah terasa, orang lain pun mudah terasa juga. Begitu juga, kalau kita sensitif dan berasa malu. Orang lain pun sensitif dan berasa malu juga. Jangan hanya anggap kita seorang saja ada urat saraf, ada maruah, ada kemaluan. Orang lain pun ada juga. Kita kan manusia ciptaan Allah Taala.
Sepatutnya para blogger propembangkang kena nasihatkan perkara ini kepada ketua mereka, kepada pemimpin mereka. Jangan jadi minyak tanah yang menyimbah api. Nanti sama-sama dibakar api di neraka jahanam. Wallahualam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan