Isnin, 17 September 2012

Aktres Innocence of Muslims telan pil tidur

AKTRES filem mencetuskan amarah masyarakat Islam dunia, terpaksa menelan pil tidur apabila merasa dikecam dan tidak selamat selepas protes dan pembunuhan berlaku berikutan tersiarnya klip video Innocence of Muslims di YouTube sejak seminggu lalu. Anna Gurji, 21, mendakwa melakonkan watak isteri muda kepada seorang lelaki bernama George, tetapi pengarahnya Nakoula Basseley atau dikenali sebagai Sam Bacile, bertindak menukarnya kepada Muhammad. "Saya tidak tahu George ditukar kepada Muhammad. Kini saya hanya berkurung di rumah. Saya bimbang masyarakat dunia memusuhi saya kerana filem itu. "Saya penganut Kristian Katolik, jadi mereka terfikir saya juga menentang Islam.Saya berasa dikhianati Bacile. Saya telah dikenali seluruh dunia dan jujur saya akui berasa malu apabila menonton watak itu," katanya kepadaThe Mail Online. Gurji berkata, selain beliau barisan pelakon filem itu turut diperbodohkan Bacile yang kononnya tajuk filem berkenaan adalah Desert Warrior atau Innocence of Bin Laden selain langsung tidak berkaitan dengan isu keagamaan. "Saya diberi watak sebagai Hilary. Menurut Bacile, filem itu mengisahkan sebuah komet jatuh di kawasan Timur Tengah, dan perebutan komet berlaku sehingga cetus peperangan untuk merebutnya. "Filem itu sepatutnya mempunyai banyak kesan khas kerana kami berlakon di hadapan layar hijau. Kos penggambaran rendah, saya hanya dibayar $75 (RM227.73) sehari. "Saya tidak tahu bagaimana Bacile boleh menukar jalan cerita itu. Mungkin saya bodoh tetapi tiada sesiapa menceritakan hal sebenar. Tiada seorang pun daripada barisan pelakon terfikir filem ini mempunyai agenda rahsia," katanya mengakui filem itu dirakamkan di California. Bahana Innocence of Muslims Rusuhan dan protes yang tercetus sejak 11 September lalu dilihat sebagai pengulangan memori insiden serangan di Menara Berkembar di New York, Amerika Syarikat (AS) sekali gus mengilhamkan pengikut anti-Islam dengan menuduh Islam adalah ganas dan jahat. Jika filem Innocence of Muslims tidak disiarkan, pastinya bangunan Kedutaan AS di Libya tidak dibakar sehingga meragut empat nyawa. Rentetan itu, pastinya lebih 20 Kedutaan AS di seluruh dunia tidak diserang masyarakat Islam yang berang dengan tindakan Bacile. Seterusnya, Presiden AS, Barack Obama tentu tidak akan menghantar tenteranya ke Libya dengan satu tujuan iaitu untuk membalas dendam ke atas kematian rakyatnya. Namun, Obama menggunakan alasan mahu bekerjasama bagi menangkap pembunuh dutanya, Christopher Stevens. Jelas sekali, filem berkenaan telah mencetuskan protes secara besar-besaran dari Maghribi sehingga ke Malaysia. Setakat ini, tujuh terbunuh, ribuan cedera dan rusuhan menular ke Sydney, Australia, semalam. Semalam, AS terpaksa memanggil balik dutanya di Sudan dan Tunisia selepas mendapat amaran, Al-Qaeda bakal menyerang kerajaan Obama di Arab dan Barat. Si penghina Nabi disiasat Masuk hari kelima, protes filem pendek Innocence of Muslims, lelaki Kristian Koptik, Bacile yang berperanan sebagai penerbit dan pengarah filem itu menyerah diri untuk disoal siasat pegawai persekutuan di balai polis Cerritos, Los Angeles, kelmarin. Bagaimanapun, Bacile, 55, hanya disoal siasat mengenai penglibatan jenayah kewangan yang berpotensi untuk dipenjarakan semula selepas menjalani hukuman penjara selama 21 bulan kerana kesalahan penipuan bank pada tahun 2010. Jurucakap polis memberitahu, pihak berkuasa tidak melakukan siasatan ke atas projek filem berkenaan dan jika sekalipun ia pencetus keganasan kerana AS tidak mengiktirafnya sebagai jenayah berikutan ia termasuk di dalam akta kebebasan bersuara.

Tiada ulasan: