Zambry: Kenyataan Ngeh mengenai 'Innocence of Muslims' satu provokatif
IPOH - Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dalam laman twitternya mengenai filem antiIslam "Innocence of Muslims" sebagai satu provokatif.
Beliau berkata walaupun kenyataan pengerusi DAP Perak itu meletakkan tanda soal, namun ia mendukacitakan seluruh umat Islam.
"Koo Ham harus berhati-hati keluarkan kenyataan. Saya tahu dia akan balas balik bahawa dia bukan membuat kenyataan tetapi pertanyaan namun pertanyaan itu adalah sangat provokatif," katanya kepada pemberita selepas Hari Bertemu Pelanggan di sini hari ini.
Ngeh menerusi laman twitternya mengeluarkan kenyataan, "Khairy wants muslim protest against Sam Bacile. For Islam or for his political gains? Are muslims wasting too much time and energy on this?. (Khairy (Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin) mahu umat Islam mengadakan bantahan terhadap Sam Bacile. Untuk Islam atau untuk kepentingan politik beliau? Adakah umat Islam menghabiskan terlalu banyak masa dan tenaga ke atas perkara ini?)
Filem antiIslam 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam, arahan Sam Bacile, 52, dari California yang disiarkan dalam laman YouTube, telah mencetuskan kemarahan orang Islam di seluruh dunia.
Sementara itu, Gerakan Belia 4B Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Ngeh di Balai Polis Sungai Senam di sini pada kira-kira pukul 3.30 petang.
Exconya, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berkata perkataan yang digunakan pemimpin DAP itu jelas menggambarkan sokongannya terhadap filem tersebut selain memperlekehkan perjuangan umat Islam seluruh dunia yang mempertahankan maruah Nabi Muhammad SAW.
"Mempertahankan maruah Nabi Muhammad SAW adalah sebahagian daripada kewajipan setiap umat Islam dan perbuatannya (Ngeh) mengeluarkan ayat-ayat seperti itu yang begitu celupar jelas menunjukkan dia tidak mempunyai sensitiviti terhadap orang Islam," katanya.
Ngeh: 'Jangan jadikan saya seolah anti-Islam'
IPOH – “Jangan jadikan saya seolah-olah anti-Islam." Demikian penjelasan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung kenyataannya di Twitter yang dikatakan tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam.
Koo Ham ketika dihubungi Sinar Harian berkata, kenyataan yang turut dipaparkan di Facebook itu tidak menjurus kepada penghinaan terhadap perjuangan umat Islam di negara ini yang menentang penyebaran filem Innocence of Muslims.
Sebaliknya menurut beliau, ia hanya sebuah mesej yang mahu orang ramai berfikir sama ada masa dan tenaga yang digunakan untuk bantahan berkenaan memadai atau tidak.
“Secara jujurnya saya sendiri mengecam keras penyebaran video ini, cuma apa yang saya mahu nyatakan, adakah reaksi dan bantahan yang ditunjukkan di seluruh dunia suatu reaksi yang seimbang bagi menentang seorang lelaki.
“Ia hanya suatu pertanyaan kerana bagi saya, masa dan tenaga yang ‘terhimpun’ seluruh dunia ini sebenarnya boleh digunakan untuk perkara lain yang bermanfaat,” katanya yang merujuk kepada kesan kecaman termasuk kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Christopher Stevens yang terbunuh di Benghazi akibat ditembak, baru-baru ini.
Mengulas mengenai cadangan penyertaan Pas bersama Umno dalam bantahan aman di Kedutaan AS di Malaysia, Jumaat ini, Koo Ham berkata, pihaknya menghormati tindakan berkenaan.
“Jika mereka merasakan ia satu keperluan, kita hormati tindakan itu, saya tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya mereka berhasrat untuk bergabung demi Islam,” kata Ahli Parlimen Beruas ini.
Menteri Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam reaksinya kenyataan itu sebagai satu provokasi yang tidak sensitif terhadap perasaan umat Islam yang marah dan terhina dengan filem yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
“Sepatutnya dia (Koo Ham) berkongsi bersama apa yang ditanggung, bukan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Dia mungkin akan kata dia hanya bertanya, tetapi soalan dia amat provokatif sekali,” katanya.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sitiawan itu tidak sepatutnya mempersoalkan tindakan orang Islam kerana apa yang dilakukan adalah tindak balas semula jadi.
“Dia seharusnya berhati-hati jika hendak buat kenyataan, jangan sampai menyinggung perasaan umat Islam,” katanya.
Khairy: DAP tak hormat perasaan umat Islam
SHAH ALAM - "Kami Pemuda Umno dah biasa dengan sikap DAP yang tidak menghormati perasaan umat Islam."
Demikian reaksi Ketua Pemuda Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin mengulas mesej Twitter Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dari DAP kelmarin mengenai perhimpunan yang bakal diadakan Jumaat ini.
Kata Khairy, "Jelas tweet Ngeh menunjukkan bahawa beliau dan DAP keseluruhannya amat tidak sensitif dengan perasaan umat Islam dan membuktikan bahawa mereka tidak memahami langusung perasaan umat dan juga kedudukan Nabi (Muhammad) SAW dalam Islam."
Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, perkara tersebut amat malang sekali memandangkan beliau seorang rakyat Malaysia tetapi masih tidak mempunyai pengetahuan asas tentang Islam dan juga sensitiviti Muslim.
"Saya harap Pas sebagai rakan kongsi DAP dapat mengecam kenyataan Ngeh sebab apa yang dia kata itu dituju juga kepada Pas dan takkan Pas nak terima penghinaan seperti itu," kata beliau lagi.
Mesej Koo Ham antara lain berbunyi, "Khairy mahu Muslim protes membantah Sam Bacile. Bagi Islam atau bagi kepentingan politik? Adakah Muslim membuang masa dan tenaga dalam berhubung perkara ini?"
Kelmarin, Khairy memberi kenyataan bahawa Pemuda Umno sedang merancang mengadakan demonstrasi membantah filem Innocence of Muslims Jumaat ini.
Pergerakan itu turut mempelawa Pemuda Pas agar sertai bersama.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan