Jumaat, 8 November 2013

Ratu cantik Malaysia pakai baju renang

Meskipun penyertaan wanita bukan Islam dalam pertandingan ratu cantik tidak mendapat halangan daripada pihak autoriti agama Islam di negara ini, namun sewajarnya ia tidak harus disertai kerana tidak membawa sebarang manfaat.
 
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan berpendirian program seumpama itu hanya mengeksploitasi wanita sekaligus menjatuhkan martabat kaum tersebut lantaran hanya menjadi objek penarik demi keuntungan pihak tertentu. 
 
"Program-program yang tidak mendatangkan manfaat seperti mengeksploitasi kecantikan wanita ini adalah merendahkan martabat wanita. Jadi saya cadangkan supaya menganjurkan aktiviti yang lebih bermanfaat untuk negara, rakyat dan masyarakat dan mendatangkan perkara yang berfaedah.
 
"Kalau mereka (wanita bukan Islam) mahu meneruskan juga, maka itu hak mereka. Terpulanglah," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penyertaan wanita bukan Islam yang mewakili negara ke pertandingan ratu cantik di peringkat antarabangsa. 
 
Ketika ditanya mengenai pendirian PAS dalam soal ini sekiranya berjaya menawan Putrajaya, beliau berkata soalan itu lebih sesuai dijawab oleh presiden parti. 
 
Pertandingan ratu cantik Miss Universe yang sedang berlangsung di Las Vegas turut disertai peserta dari Malaysia.
 
Dalam beberapa gambar di laman Yahoo Malaysia, kelihatan Carey Ng memperagakan pakaian renang dalam pusingan awal yang berlangsung 5 November lalu di Crocus City Hall. 
 
Walaupun pada dasarnya ia tidak menyalahi undang-undang, namun timbul sedikit persoalan di minda bahawa wajarkah Malaysia yang mendokong Islam sebagai agama persekutuan membenarkan rakyatnya menyertai pertandingan sedemikian, dan apakah pula pandangan negara Islam lain terhadap Malaysia.

Tiada ulasan: