Ahad, 15 Oktober 2017

Pesawat terhempas di Sungai Rambai tiada kebenaran terbang

AYER KEROH - Pesawat ringan GT500 yang terhempas dalam sungai di Sungai Rambai, Melaka pagi semalam, tidak mendapat kebenaran terbang dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Perkara itu disahkan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata, pihak DCA tidak menerima apa-apa maklumat berkenaan sesi penerbangan pesawat ringan pada pagi kejadian dilakukan oleh juruterbang yang terbunuh, Yen Yoon Fah, 53, dan jurulatih penerbangan, Shahrul Shafiri, 35, yang cedera.

Katanya, punca kejadian sedang disiasat pihak DCA.

"Kena memaklumkan kepada pihak DCA dalam apa juga aktiviti penerbangan mereka, baik pelepasannya di Batu Berendam atau mana-mana lapangan terbang yang dibenarkan.

"Kita dapat tahu pihak DCA telah menjalankan siasatan kerana tiada permohonan apa-apa dalam menerbangkan pesawat ringan tersebut.

"Kita juga akan membantu polis Tangkak dalam menjalankan siasatan bagaimana kapal terbang ringan ini terhempas di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan hari sukan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya akan terus berhubung dan bekerjasama dengan Ibu Pejabat Daerah Tangkak bagi menyiasat punca insiden tersebut.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi Sabtu itu, seorang juruterbang maut selepas pesawat terbabit terhempas.

Difahamkan pesawat terbabit terhempas kira-kira 200 meter dari hujung landasan aerodrome Sungai Rambai, Jasin.

Terdahulu pada program tersebut, lebih 700 anggota kanan, pegawai dan anggota polis termasuk Badan Bukan Kerajaan (NGO) menyertai aktiviti berbasikal sejauh 10 kilometer dan berjalan 10 ribu langkah. 

Tiada ulasan: