Ahad, 18 Januari 2009

Pas menang, UMNO kalah. Syukur Alhamdulillah...

Ketika sedang menikmati makan petang dengan seorang editor tadi, kami tidak lekang berbual mengenai kekalahan calon BN kepada Pas di kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Editor itu sempat bertanyakan saya, apa komen saya dengan keputusan itu. Saya hanya menjawab: "Alhamdulillah, syukur..."

Nampak reaksi kurang senang pada wajahnya apabila saya mengucapkan kata-kata syukur dengan kemenangan Mohd Abdul Wahid Endut.

Saya selamba je melihat reaksi dia dan bersedia menunggu soal balasnya dengan kenyataan itu.

"Kenapa tiba-tiba awak sokong Pas? Dahulu bukan main lagi fanatik dengan UMNO?

Saya jawab: "Dari dulu, kini dan selama-lamanya saya tak pernah sokong UMNO. Saya hanya sokong pemimpin yang buat baik pada rakyat. Tidak ada karenah. Tidak ego, tidak sombong, tidak hipokrit dan tidak pandai menipu rakyat, menipu kawan dan rakan.

Agak panjang juga saya membebel pada editor itu berhubung kenapa saya amat benci, amat marah dan amat bosan dengan segelintir pemimpin UMNO.

Bagi saya, kerana ada pemimpin jenis ini dalam UMNO, menyebabkan parti itu dibenci sebenci-bencinya oleh hampir separuh lapisan masyarakat termasuk ahli UMNO sendiri yang mendiami bumi Malaysia. Ini yang tidak disedari oleh pucuk kepimpinan.

Editor itu diam. Mungkin dia sudah tawar untuk merapatkan persahabatan dengan saya kerana 'perubahan' sikap saya terhadap parti dan politik.

Saya berkawan dengan semua pemimpin. Baik UMNO, Pas, Keadilan, MCA, MIC, PPP ataupun DAP. Mereka yang tidak menipu, tidak ego, tidak hipokrit dan tidak suka memutar belit janji, semuanya adalah kawan saya.

Saya tidak akan berkawan dengan pemimpin yang mempunyai sifat, sikap dan perangai sedemikian, walaupun mereka adalah pemimpin Pas, Keadilan, DAP, PPP mahupun MIC dan MCA.

Itu adalah saya.

Sebelum ini saya baik dengan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, kerana dia banyak kali merayu saya agar membantunya untuk menaikkan dia dalam arena politik. Dia banyak labur duit untuk rakyat. Itu yang mendorong saya suka kepada pemimpin jenis ini.

Tetapi, apabila dia sudah naik dalam politik. Dia mula lupa diri. Dia mula memutar belitkan janjinya kepada rakyat dan ahli. Dia mula ego, hipokrit dan sombong, maka saya tinggallah dia. Kenapa saya perlu bersengkokol dengan pemimpin yang pastinya di dalam perutnya penuh dengan makanan haram dan yang tidak dihalalkan oleh rakyat.

Jadi, pada saya pemimpin jenis ini tidak wajar diberi tempat. Sebab dia adalah virus, api dalam sekam dan gunting dalam lipatan. Pemimpin yang hati dan matanya hanya nampak duit duit dan duit.

Apabila pemimpin jenis ini diberi tempat dalam parti, mereka akan abaikan rakyat. Mereka akan menyebabkan rakyat dan ahli UMNO benci kepada parti mereka sendiri dan beralih kepada parti lain.

Itulah jawapan saya kepada editor berkenaan dan juga kepada seorang penyokong BN yang membuat kenyataan akhbar, dia hairan kenapa remaja sokong Pas.

Pada saya, apa nak dihairankan. Adalah sebab yang penyokong BN itu tidak tahu kenapa remaja menyokong Pas. Mereka sokong bukan kerana Pas itu Islam. Tidak. UMNO pun Islam, Keadilan pun Islam, hatta dalam DAP, MIC, MCA dan PPP pun ada Islam.

Penyokong itu harus pejam mata seketika... kosongkan minda. Pejam betul-betul. Kosongkan minda betul-betul. Kemudian buka mata. Lapangkan minda. Tarik nafas panjang-panjang dan lepaskan perlahan-lahan.

Kemudian penyokong itu harus duduk dan membuat kajian dari awal hingga akhir dengan mencari punca KENAPA REMAJA, DEWASA DAN VETERAN MENYOKONG PAS BUKAN BN.

Cuba nilai satu persatu feel perangai pemimpin UMNO. Kaji betul-betul tindakan UMNO terhadap rakyat. Kemudian nilai satu persatu feel perangai pemimpin Pas. Kaji betul-betul tindakan Pas terhadap rakyat.

Cuba perhatikan air muka pemimpin Pas dengan pemimpin UMNO. Kalau hati kita ikhlas, tidak menyebelahi mana-mana, kita akan nampak kejernihan muka mereka.

dari awal lagi, apabila surat khabar melagakan wajah Mohd Abdul Wahid Endut dengan wajah Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh...kejernihan itu nampak jelas pada wajah Mohd Abdul Wahid Endut. Kenapa? Tepuk dada, tanya selera.

Persoalan yang sehingga kini membelenggu dalam pemikiran saya mengenai calon BN ialah kenapa sampai Pak Lah datang ke Terengganu dan membuat kenyataan menyatakan Datuk Wan Ahmad Farid bukan sombong?

Tentulah Pak Lah menerima laporan daripada orang ramai dan ahli mengenai kesombongan pemimpin UMNO. Inilah yang saya perkatakan diawal topik ini. Hahahaha...

4 ulasan:

Mr Priceless berkata...

Secara jujurnya saya lebih menyolong dan gembira atas kemenangan PAS, ini kerana saya telah jelik dengan meluat dengan cara BN berkempen.

Bagi saya UMNO perlu berubah secara total bukan membuat perubahan kosmetik, sekira tidak UMNO akan tidak relevan..

manzaidi berkata...

Saya setuju dgn saudara. Cuma sedihnya pucuk pimpinan UMNO tidak mahu dengar luahan, pendapat, pandangan dan keluhan org seperti kita. Walaupun mereka tahu pinggan itu dah retak seribu, tapi mereka tetap mengatakan pinggan mereka tak retak, elok dan cantik. Inilah trend pucuk pimpinan. So, tidak hairanlah kalau seorang demi seorang calon BN tersembam ke bumi. Saya setuju dengan komen mantan PM, Tun Dr. Mahathir.

Tanpa Nama berkata...

Saye ingat ianya petanda bahawa dap sebenarnya mula menerima hudud PAS..

manzaidi berkata...

terima kasih. selalu2lah kunjungi.