Jumaat, 26 November 2010

Berbuat baik kepada ibu bapa

Berbuat baik kepada ibu bapa setelah mereka meninggal dunia
* Mengurus Jenazah
* Melunaskan Hutang
* Melaksanakan Rancangan Atau Janji
* Melakukan Kebaikan
* Meneruskan Yang Baik dan Menghentikan Yang Buruk
* Mendoakan
* Berhubung Dengan Yang Dicintai

Mengurus Jenazah Ibu bapa.
Apabila salah seorang atau kedua-dua ibu bapa kita meninggal dunia hendaklah kita sebagai anak memastikan jenazah mereka diuruskan secepat mungkin. Pengurusan jenazah terdiri daripada: Memandikan, Mengkafankan, Mensolatkan dan Mengebumikan.

Sekalipun proses pengurusan jenazah dilakukan oleh orang-orang yang terlatih, adalah utama jika kita dapat turut serta. Jika tidak tahu apa dan bagaimana caranya untuk turut serta, sekarang adalah masa yang tepat untuk mula mencari ilmu mengenai pengurusan jenazah.

Setiap daripada proses pengurusan jenazah mempunyai petunjuk dari al-Quran dan al-Sunnah yang sahih sehingga memerlukan buku berasingan untuk menerangkannya. Dapatkan buku Ahkam al-Jana’iz wa Bid’iha oleh Muhammad Nashr al-Din al-Albani rahimahullah.[1]

Melunaskan Hutang Ibu bapa.
Apabila ibu bapa meninggal dunia hendaklah kita menyemak sama ada mereka mempunyai hutang yang belum dilunaskan. Hutang itu terbahagi kepada dua jenis:
Hutang Harta Benda: - Hutang seperti ini akan menawan ibu bapa yang meninggal dunia sehingga ia dilunaskan. Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saad ibn al-Atswal ra yang baru kematian saudaranya: "Saudara kamu tertahan disebabkan hutangnya, oleh itu pergilah engkau melunasinya." [2]
Jika kita tidak mampu membayarnya, maka menjadi tanggungjawab negara. Jika negara enggan melaksanakan tanggungjawab itu, maka hendaklah umat Islam saling membantu untuk melunasinya. Pilihan lain ialah berjumpa dengan pihak yang dihutang dan berbincang dengan mereka, mudah-mudahan mereka memansuhkan hutang tersebut atau memberi jalan lain yang lebih mudah.
Mengenai hutang dan harta, janganlah kita merasa berat untuk melaksanakannya. Janganlah hal ini dipandang sebagai “membayar hutang orang lain”, tetapi pandanglah ia sebagai “membuat pelaburan dengan Allah”.

Hutang Ibadah:- Jika ibu bapa ada hajat untuk melaksanakan sesuatu ibadah lalu mereka tidak sempat kerana meninggal dunia, kita boleh melaksanakan ibadah itu. Abd Allah ibn Abbas ra menerangkan: "Bahawa seorang wanita daripada Juhainah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk melaksanakan haji akan tetapi dia tidak sempat melaksanakan haji tersebut sehingga dia meninggal dunia. Apakah boleh aku melaksanakan haji tersebut untuknya?”
Rasulullah SAW menjawab: “Ya, hajikanlah dia. Apa pandangan kamu jika ibu kamu memiliki hutang, adakah kamu juga akan melunasinya? Lunaskanlah untuk Allah kerana (hutang kepada) Allah adalah lebih berhak untuk dilunasi.” [3]

Melaksanakan Rancangan Atau Janji Ibu bapa:-
Jika ibu bapa mempunyai rancangan tertentu dan mereka tidak sempat melaksanakannya, kita sebagai anak boleh melaksanakannya dan ganjaran kebaikan akan mengalir kepada ibu bapa dan juga kita. Jabir bin Abd Allah ra menerangkan: "Nabi SAW pernah berkata: “Apabila datang harta dari Bahrain nescaya aku akan memberi engkau sekian-sekian.” Namun harta dari Bahrain tidak datang sehinggalah Nabi SAW wafat.

Ketika harta dari Bahrain sampai, Abu Bakar ra memerintahkan seseorang menyeru:
“Sesiapa yang memiliki janji atau hutang dengan Nabi SAW datanglah kepada kami.”

Maka aku datang dan berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW berjanji kepada aku sekian-sekian.” Maka dia memberi aku satu genggaman dan aku menghitungnya, ternyata jumlahnya lima ratus (dirham). Dia berkata: “Ambillah lagi seumpamanya.”[4]

Dalam hadis di atas, janji Rasulullah SAW kepada Jabir dilaksanakan oleh Abu Bakar ra sebagai pemerintah pada saat itu. Dalam kes ibu bapa, janji atau rancangan mereka boleh dilaksanakan oleh anak-anaknya.

Melakukan Kebaikan Yang Disyariatkan:-
Allah SWT berfirman: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. [al-Najm 53:39]
Seorang anak adalah hasil usaha ibu bapanya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesungguhnya sebaik-baik apa yang dimakan oleh seseorang ialah daripada hasil usahanya sendiri dan anaknya termasuk daripada hasil usahanya.[5]

Justeru apa jua kebaikan yang selari dengan syariat yang dilakukan oleh kita sebagai seorang anak seperti beribadah, bersedekah, amar maaruf dan nahi mungkar dan selainnya, maka ibu bapa akan memperoleh ganjaran. Ganjaran tersebut akan diperoleh oleh ibu bapa sama ada kita meniatkan atau tidak kebaikan yang dilakukan itu kepada mereka.

Antara contoh kebaikan yang memberi manfaat kepada ibu bapa ialah apabila kita mengambil al-Quran sebagaimana hadis berikut daripada Buraidah ra: "Aku duduk di sisi Nabi SAW lalu aku mendengar Baginda bersabda: “Pelajarilah surah al-Baqarah kerana mengambilnya merupakan keberkatan, meninggalkannya merupakan kerugian dan orang yang suka membuat kebatilan tidak akan mampu mengilmuinya.”

Kemudian Baginda diam sesaat, lalu bersabda: “Pelajarilah surah al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-duanya adalah al-Zahrawan yang menaungi orang yang memilikinya pada Hari Kiamat, seakan-akan dua gumpalan awan atau dua barisan burung. Sesungguhnya
al-Quran akan menemui pemiliknya pada Hari Kiamat ketika dia dibangkitkan daripada kuburnya seperti seseorang yang berkulit kuning, lalu dikatakan kepadanya:
“Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Dikatakan (lagi) kepadanya: “Adakah kamu mengenal aku?”
Dia menjawab: “Aku tidak mengenal engkau.”
Lalu dikatakan: “Aku adalah sahabat kamu: al-Qur’an, yang telah membuat kamu kehausan pada siang hari dan menyebabkan kamu tidak tidur pada malam hari.
Sesungguhnya setiap pedagang berada di belakang barang dagangannya sedangkan kamu pada hari ini berada di belakang semua barang dagangan.” [6]

Lalu dia diberi kerajaan dari arah kanannya, diberi keabdian dari sebelah kirinya, diletakkan di atas kepalanya mahkota kebesaran dan ibu bapanya dikenakan pakaian yang membuatkan seluruh penduduk dunia berdiri menghormati mereka berdua. Maka mereka berdua bertanya: “Dengan apakah menyebabkan kami menerima semua ini?”
Dijawab: “Dengan sebab anak kalian berdua yang mengambil al-Quran.”

Kemudian dikatakan (kepada anak tersebut): “Bacalah (al-Quran) dan naiklah darjat-darjat syurga dan ruangan-ruangannya.” Dia terus naik selama membaca al-Quran sama ada secara cepat atau perlahan. [7]

Dimaksudkan yang “mengambil al-Quran” adalah melaksanakan apa yang dituntut ke atas setiap orang Islam terhadap al-Quran, iaitu:
Beriman kepadanya.
Membacanya dengan disiplin tajwid.
Menelaahnya, yakni memerhati dan mengkaji kandungannya (tadabbur).
Mempraktikkannya dalam segala liku kehidupan.
Menyampaikannya sama ada untuk tujuan dakwah atau menegakkan hujah.
Membelanya daripada tuduhan orientalis dan penyelewengan segelintir umat Islam.

Apabila kita melaksanakan keenam tuntutan di atas sekuat mampu, maka kita dikira telah “mengambil al-Quran” dan diberi kedudukan yang mulia di Hari Akhirat kelak. Kemuliaan ini juga kemudiannya dikurniakan kepada ibu bapa kita sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis di atas. [8]

Contoh kebaikan lain yang dapat kita lakukan untuk ibu bapa ialah bersedekah, seperti mana hadis berikut daripada Abd Allah ibn Abbas ra: "Sesungguhnya datang seorang lelaki dan bertanya kepada Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ibuku meninggal dunia, apakah bermanfaat untuknya jika aku bersedekah untuknya?” Rasulullah SAW menjawab: “Ya.”

Lelaki itu lantas berkata: “Sesungguhnya aku memiliki sebuah kebun yang berbuah, maka saya persaksikan kepada engkau bahawa aku menyedekahkannya untuknya.” [9]

Meneruskan Apa Yang Baik dan Menghentikan Apa Yang Buruk:-
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang baik lalu ia diamalkan selepas itu, ditulis untuknya (pahala) seperti pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan pahala mereka (para pengamal itu) sedikit pun.

Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah yang jahat lalu ia diamalkan selepas itu ditulis untuknya (dosa) seperti dosa orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan dosa mereka (para pengamal itu) sedikit pun." [10]

Senafas dengan hadis di atas adalah:
Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. [11]

Berdasarkan kedua-dua hadis di atas, jika ibu bapa pada masa hidup pernah melakukan satu amalan yang disyariatkan kepada masyarakat, maka hendaklah kita memastikan amalan tersebut terus dilaksanakan selepas mereka meninggal dunia. Sebagai contoh, jika ayah pernah menyedekahkan sejumlah naskhah al-Quran kepada surau berhampiran untuk menjalankan kelas pengajian al-Quran, pastikan al-Quran tersebut dalam keadaan baik dan kelas pengajian diteruskan oleh ahli surau.

Jika ibu pernah membuat kelas tambahan secara percuma di rumah bagi budak-budak yang tidak berkemampuan, pastikan dicari dan dibayar seorang guru yang baru agar kelas tambahan tersebut dapat diteruskan.

Akan tetapi seandainya ibu bapa pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat dan mereka tidak sempat membetulkannya pada masa hidup, hendaklah kita memastikan ia dibetulkan setelah mereka meninggal dunia.

Sebagai contoh, seandainya ayah pernah menulis buku yang di dalamnya mengandungi kesalahan dan hal ini dikesan oleh kita, maka dalam cetakan akan datang perbetulkanlah kesalahan tersebut.

Jika ibu pernah berselisih pendapat dengan seorang jiran sehingga menyinggung perasaan dia, maka pergilah berjumpa dengan jiran tersebut dan mohonlah maaf bagi pihak ibu.

Mendoakan Ibu bapa:-
Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariahnya atau ilmunya yang dimanfaatkan atau anak salih yang mendoakannya. [12]

Dalam sebuah hadis yang lain baginda juga bersabda: "Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang lelaki yang salih di syurga, lalu dia bertanya:
“Wahai Tuhan! Kenapakah saya mendapat kelebihan ini?”
Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.” [13]
Doa keampunan kepada ibu bapa yang boleh diamalkan adalah daripada al-Quran seperti mana yang dikemukakan sebelum ini: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan; dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!” [Nuh 71:28]

Memandangkan hadis yang pertama menyebut doa seorang anak yang salih secara umum, maka dianjurkan juga mendoakan rahmat kepada ibu bapa sebagaimana berikut: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil.” [al-Isra’ 17:24]

Demikianlah dua doa yang diajarkan oleh al-Quran dan ia mencakupi dua perkara yang amat diperlukan oleh ibu bapa setelah mereka meninggal dunia: keampunan dan rahmat daripada Allah SWT. Doa-doa ini boleh kita baca di mana-mana dan pada bila-bila masa. Ia tidak terhad kepada saat menziarahi kubur ibu bapa.

Berhubung Dengan Orang Yang Dicintai Oleh Ibubapa:-
Kebaikan yang terakhir adalah setinggi-tinggi kebaikan yang dapat dilakukan oleh seorang anak kepada ibu bapanya yang telah meninggal. Hadisnya adalah seperti berikut:
"Dalam satu perjalanan ke Mekah, Abd Allah ibn Umar ra menemui seorang Arab Badui. Lantas Ibn Umar mengucapkan salam kepada beliau, menaikkan beliau ke atas keldai yang tadi ditungganginya dan kemudian memberikan beliau serban yang sedang dipakainya.

Ibn Dinar (yang menyaksikan perbuatan Ibn Umar) berkata kepadanya: "Semoga Allah memperelok keadaan kamu! Sesungguhnya mereka adalah orang Arab Badui dan sesungguhnya mereka sudah mencukupi dengan sesuatu yang sedikit.”

Maka Ibn Umar menjawab:
“Sesungguhnya ayah orang ini adalah sahabat yang amat dicintai oleh (ayahku) Umar bin al-Khathab. Sesunguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bakti terbaik seorang anak ialah menghubung silaturahim dengan orang yang dicintai ayahnya.”[14]

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah kita berbuat baik kepada ibu bapa yang sudah meninggal dunia dengan menjalinkan hubungan silaturahim dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja yang dicintai atau menjadi sahabat karib ibubapa semasa mereka masih hidup.

Demikian tujuh ruang berbuat baik kepada ibu bapa yang dibuka oleh Allah SWT kepada kita setelah ibu bapa meninggal dunia. Laksanakanlah ketujuh-tujuh perkara di atas, nescaya ia memanfaatkan ibu bapa. Janganlah ditambah atau dikurangi, melainkan memiliki dalil yang sahih lagi jelas.[15]

[1] Kitab ini memiliki dua edisi terjemahan:
Tuntutan Lengkap Mengurus Jenazah yang diterbitkan oleh Gema Insani Press, Jakarta, 1999.
Hukum & Tatacara Mengurus Jenazah Mengikut al-Quran dan as-Sunnah yang diterbitkan oleh Pustaka Imam Asy-Syafie, Bogor, 2005.

[2] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah – hadis no: 2433 (Kitab al-Ahkam, Bab membayar hutang orang yang meninggal dunia).

[3] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 1852 (Kitab al-Hajj, Bab menunaikan nazar haji untuk yang meninggal dunia).

[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2296 (Kitab al-Kafalah, Bab orang yang bertanggungjawab untuk menunaikan hutang si-mati).

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud – hadis no: 3528 (Kitab al-Buyu’, Bab berkenaan seorang yang makan daripada harta anaknya).

[6] Ini adalah satu kiasan, bererti setiap orang berbangga dengan barang yang bernilai bagi dirinya manakala seorang pemilik al-Qur’an pada Hari Kiamat akan berbangga dengan barang yang paling bernilai di atas semua barang, iaitu al-Qur’an.

[7] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 22950 (bagi edisi 6 jld., rujuk jld. 5, ms. 348) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna‘uth.

[8] Alhamdulillah, saya telah menyusun sebuah buku khas yang menjelaskan perlaksanaan tuntutan-tuntutan di atas, berjudul Marilah Berkenalan Dengan al-Qur’an terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.

[9] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 2770 (Kitab al-Wasiat, Bab jika diwakafkan tanah).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1017 (Kitab al-Zakat, Bab suruhan bersedekah sekalipun dengan setengah biji tamar)

Banyak berlaku salah faham terhadap hadis ini sehingga ia dijadikan dalil oleh sebahagian pihak untuk mencipta amalan-amalan yang baru. Untuk mengetahui maksud sebenar hadis ini, rujuk buku Bid’ah Hasanah: Istilah Yang Disalah Fahami oleh Asri Zainul Abidin, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2005.

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).

[12] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).

[13] Sanad Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya – hadis no: 10610 (jld. 2, ms. 509) dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth.

[14] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya – hadis no: 2552 (Kitab al-Birr wa al-Sholah wa al-Adab, Bab keutamaan berbuat baik kepada rakan ayah dan ibu).

[15] Sebagai contoh, menziarahi kubur ibubapa tidak termasuk dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Ini kerana menziarahi kubur kebaikannya adalah untuk penziarah dan bukan yang diziarahi. Lebih lanjut, hubungan orang Islam dengan kubur boleh dibahagikan kepada tiga:

Sunnah dan disyariatkan, iaitu apabila seseorang menziarahi kubur atas tujuan mengambil iktibar, melembutkan hati, menginsafkan diri dan mengingati kematian.

Harus, iaitu apabila seseorang sekadar melintasinya seperti orang yang dalam perjalanannya ke kerja, dia melalui tanah perkuburan.

Bidaah dan dilarang, iaitu apabila seseorang melakukan pelbagai kurafat di atas kubur seperti menuang air Yasin, menabur bunga, memacak payung, membaca al-Quran, mengambil berkat daripada ahli kubur, berdoa meminta pertolongan atau bertawasul kepada ahli kubur, menyembelih haiwan, memberi sajian makanan dan sebagainya.

Tiada ulasan: