Selasa, 23 November 2010

Ingat Salahudin Ayob ni cerdik ke? Rupanya...alahai kesiannyaaa

YB Zulkifli Nordin menulis:-

(Solat 'Eidul Adha di Masjidil Haram pada hari Selasa 10 Zulhijjah 1431 manakala, di Malaysia pada Rabu 10 Zulhijjah 1431)

Saya agak terkejut dan dan macam tak percaya pulak bila membaca laporan yang disiar oleh media pro-Anwar Malaysiakini bertarikh 08.11.2010 yang memetik kenyataan YB Salahudin Ayub bertajuk "PAS dakwa tarikh 'Eidul Adha sangat pelik".

Salehudin memilih mengecam pihak berkuasa agama yang didakwa beliau seperti tidak tahu mengurus dan mentadbir perkara sekecil ini! Alasan yang diguna beliau untuk kepelikan itu ialah tarikh Aidiladha di Malaysia yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi? Teman rasa yang kelirunya ialah Salahudin, bukannya pihak berkuasa agama Islam! Yang peliknya perkiraan Salahudin dan bukan pihak berkuasa agama!

Pertama, teman tidak pasti sama ada benar kenyataan laporan tersebut yang mendakwa ianya mewakili PAS. Kadang-kadang ada media yang suka menggunakan tajuk yang mengelirukan. Mungkin kenyataan itu adalah pandangan peribadi Salahudin, bukan PAS.

Tambahan pula bila saya bertanya dengan beberapa rakan-rakan PAS, mereka tidak tahu menahu mengenainya. Malah ada yang kata "takkanlah kami ni kurang cerdik tak tahu nak kira sampai nak buat dakwaan terhadap pihak berkuasa agama macam tu...".

Apa yang peliknya kerana laporan itu mendakwa kepelikan sehingga mengelirukan umat Islam yang berlaku kerana sambutan 'Eidul Adha di Malaysia berbeza dua hari dengan hari wuquf di Saudi!

Oleh itu ada kekeliruan kononnya dengan bila hari taysriq bermula dan berakhir. Teman ingat tak ada siapa yang keliru, apatah lagi ragu kerana ukuran perbezaan sepatutnya dikira antara 'Eidul Adha di Saudi dan di Malaysia, bukan wuquf dengan Eidul Adha! Semua orang tahu ada beza antara wuquf dengan Aidiladha. Wuquf jatuh pada 09 Zulhijjah, bila mana jemaah haji berkumpul di Arafah. Eidul Adha pula atau di Malaysia terkenal dengan panggilan Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban jatuh pada 10 Zulhijjah.

Di Arab Saudi, wuquf tahun ini jatuh pada hari Isnin iaitu 15 November 2010. Maknanya hari Isnin di Arab Saudi ialah 09 Zulhijjah 1431, manakala di Malaysia Isnin 15 Nov 2010 masih 08 Zulhijjah 1431. Manakala Eidul Adha iaitu 10 Zulhijjah 1431 di Arab Saudi jatuh pada hari Selasa 16 Nov 2010. Di Malaysia Eidul Adha iaitu 10 Zulhijjah jatuh pada hari Rabu 18 Nov 2010.

Maknanya perbezaan sambutan Eidul Adha antara Arab Saudi dengan Malaysia hanyalah satu hari, bukan dua hari. Jadi tidak timbullah isu kekeliruan atau kepelikan seperti yang didakwa Salahudin. Yang peliknya ialah perkiraan beliau. Di mana dia dapat fakta perbezaan dua hari itu, melainkan Salahudin menganggap hari wuquf itu sebagai hari raya haji?!

Berdasarkan itu, tiada kekeliruan bagi perkiraan hari tasyriq. Di Saudi ianya dari hari Rabu, Kahmis dan Jumaat. Manakala bagi Malaysia hari tasyriq ialah Khamis, Jumaat dan Sabtu. Kat mana yang pelik dan kelirunya YB? Sehingga meragukan! Teman pula menjadi ragu dengan tahap ilmu dan pengetahuan Salahudin dalam isu perkiraan falaq ini! Dan Salahudin ialah Naib Presiden PAS yop, bukan Ketua Cawangan di Ulu Tembeling nun!

Takkanlah Salahudin tidak tahu beza antara hari wuquf dan Eidul Adha? Dan hari tasyriq adalah tiga hari selepas Eidul Adha iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Di Malaysia ianya jatuh pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, sedangkan di Arab Saudi dari hari Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan mengambil kira perbezaan kita dengan Saudi adalah lima jam, maka perbezaan Eidul Adha hakikatnya kurang daripada 24 jam! Jadi kat mana peliknya sambutan Eidul Adha dan hari tasyriq di Malaysia berbanding Saudi? Apatah lagi Indonesia, Singapura dan Brunei juga menyambutnya sama dengan Malaysia. Jadi adakah mereka semua pun pelik atau perkiraan Salahudin yang pelik?

Kata beberapa sahabat teman ulamak muda PAS, laporan kenyataan Salahudin itu memberi gambaran seolah-olah PAS mengira Eidul Adha daripada hari wuquf. Di situlah keluar kenyataan mereka "takkanlah ustaz-ustaz PAS tak cerdik langsung sampai tak tahu nak kira...?" Ringkasannya mereka kata kenyataan itu tidak mungkin pendirian PAS, ianya mungkin perkiraan Salehudin sendiri. Wallahua'lam, teman pun tak pasti. Tapi yang pentingnya PAS mesti menyatakan pendirian adakah kenyataan Salahudin dan tindakan beliau nak membawa usul tergempar di Parlimen mengenai tarikh Eidul Adha itu adalah pendirian PAS atau hanya salah kira Salahudin seorang sahaja.

Ini adalah kerana membawa satu usul khas ke Parlimen untuk mempertikai sesuatu yang jelas akan memberi persepsi negatif kepada PAS sebagai sebuah parti beralaskan Islam. Teman cukup yakin ramai para ulamak dan ustaz dalam PAS yang cukup arif dengan persoalan falak dan perkiraan wuquf dan Eidul Adha itu. Dan sudah pasti mereka akan lihat kesilapan Salahudin dalam perkiraan dan tindakannya membawa usul khas itu. Untuk tujuan pengesahan, teman lampirkan di bawah kenyataan Ketua Pengarah JAKIM Ustaz Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang jelas penerangannya.

Cadangan teman kepada Salahudin supaya menarik balik kenyataan beliau itu dan meminta maaf kepada pihak berkuasa agama atas kecaman yang beliau buat terhadap mereka dan akhirnya menarik balik usul khas yang telah beliau failkan itu. Nasihat teman kepada Salahudin, di masa hadapan kalau ada permasalahan seperti itu eloklah bawa berbincang dengan pihak berkuasa atau mereka yang arif terlebih dahulu kerana bak kata orang lebih baik kita diam daripada bercakap, sebab bila kita buka je mulut orang tahu ketidakcerdikan kita nanti.

Tapi Salahudin jangan risau, sebab kata seorang kawan Salahudin, ketidakcerdikan itu bukan satu jenayah! Cuma orang kapior gelak sakanlah tengok kita yop kerana isu remeh macam ni pun nak dibawa sebagai usul khas ke Parlimen oleh Naib Presiden pulak tu! Takkan soal raya pun jadi bahan politik kepartian yop!

Wallahua'lam & wassalam.


(Petikan lapuran media pro-Anwar MalaysiaKini bertarikh 08.11.2010)

PAS DAKWA TARIKH 'AIDIL ADHA SANGAT PELIK

Ahli parlimen Kubang Kerian mengemukakan usul tergempar bagi menangguhkan sidang Dewan Rakyat yang akan bersambung Isnin depan bagi membincangkan isu tarikh Aidiladha yang berbeza dua hari dengan tarikh dan masa wukuf di Arab Saudi.

Dalam usul kepada Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Salahuddin Ayub berkata, sambutan Aidiladha di negara ini semalam sebagai "sangat pelik, menimbulkan banyak keraguan, kekeliruan dan masalah kepada umat Islam di negara ini".

"Perbezaan dua hari sambutan Aidiladha di negara ini yang diambil kira daripada tarikh dan masa wukuf di Arafah yang jatuh pada hari Isnin, 15 November adalah jelas tidak munasabah walaupun dapat kita fahami perbezaan waktu peredaran matahari yang hanya berbeza lebih kurang lima jam antara Malaysia dan Arab Saudi," katanya.

Naib Presiden PAS itu berpendapat, perbezaan tarikh itu turut mengelirukan penentuan hari Tasyrik - tiga hari selepas Aidiladha yang ditetapkan untuk menyembelih korban -di negara ini.

Salahudin juga mempersoal bagaimana pihak pengurusan agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri mengurus tadbir isu itu.

"Apakah hujah dan alasan yang diberikan kepada pihak yang bertanggungjawab sebelum pengisytiharan mengenai tarikh hari raya Aidiladha dibuat?

"Adakah tidak ada pengurusan, penyelarasan dan perbincangan dibuat untuk menyelesaikan perkara yang sekecil dan semudah ini?" soalnya.

Beliau berpandangan dalam era kecanggihan teknologi komunikasi kini tiada alasan perkara itu tidak dapat diselesaikan.

"Memandangkan perkara ini adalah satu isu yang serius, saya mengambil tanggungjawab untuk Dewan Yang Mulia ini membincangkan isu dan meminta pihak Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapan dan penjelasan agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi pada masa akan datang," katanya.


(Kenyataan Ketua Pengarah Jakim Ustadz Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz)

Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memberikan maklum balas mengenai kekeliruan tempoh masa menjalankan ibadah korban yang timbul baru-baru ini.

JAKIM ingin memaklumkan bahawa ibadah korban boleh dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh Malaysia bermula dari selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada hari tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Oleh kerana hari raya korban di Malaysia telah jatuh pada hari Rabu yang lalu iaitu 17 November 2010, maka umat Islam di Malaysia disunatkan menunaikan ibadah korban sehingga Sabtu iaitu 20 November 2010 bersamaan 13 Zulhijjah 1431H.

Adapun tempoh bagi menjalankan ibadah korbant itu disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Dari Al Bara' bin 'Azib r.a. Katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidiladha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidiladha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin".

Dari kitab Rad al-Muhtar 'ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar yang ditulis oleh Ibn 'Abidin mengatakan bahawa: "Maka diganjari ibadah korban yang dilaksanakan pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telah pun memasuki hari yang keempat belas" (Dar al-Kutub al-Ilmiyyah; Beirut, Jilid 3, halaman 364).

Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan menjalankan ibadah korban itu pada hari 10 Zulhijjah (selepas solat sunat Aidiladha) dan tiga hari berikutnya (11, 12, dan 13 Zulhijjah) sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah 1431H iaitu bersamaan dengan 20 November 2010 bagi tahun ini.

Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431H di 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada 29 Zulkaedah 1431H bersamaan 6 November 2010 (Sabtu) yang lalu, ahli falak telah mendapati anak bulan tidak kelihatan di semua tempat cerapan tersebut dan sekaligus keputusan sebulat suara menetapkan Hari Raya korban pada tahun ini jatuh pada 17 November 2010 (Rabu) yang lalu.

Hasil data cerapan tersebut didapati setelah ahli falak mendapati kedudukan hilal (anak bulan) telah tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan).

Ini bermakna, hari tasyrik bagi seluruh umat Islam di Malaysia pada tahun ini adalah pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1431H.

Untuk makluman masyarakat Malaysia, persetujuan bersama oleh empat negara anggota Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah menerima pakai kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan) yang telah diputuskan melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 29 Zulkaedah 1412H bersamaan 1 Jun 1992.

Hal ini sekaligus menafikan pandangan dan kekeliruan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa ibadah korban hanya boleh dilakukan sehingga 19 November sebagaimana menurut Arab Saudi.

Sukacita dimaklumkan juga, asas penentuan hari raya korban di Malaysia adalah selaras dengan Singapura dan Republik Indonesia dan berkebetulan pada tahun ini negara Brunei Darussalam bersama-sama merayakan hari raya korban pada 17 November 2010.

Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengakses dan merujuk info kriteria Imkanur-Rukyah di Malaysia dan data-data berkaitan melalui laman web JAKIM di laman sesawang www.islam.gov.my.

Tiada ulasan:

Kes Hafizul: Peringatan dan pengajaran