Ahad, 7 November 2010

Kalah kerana Nik Aziz

Oleh Zulkiflee Bakar
(MINGGUAN MALAYSIA 07HB NOV 2010)


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seharusnya tidak terus dengan sikap prejudisnya terhadap kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihan raya termasuklah di Galas pada Khamis lalu.

Sebaliknya sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz yang kenyataannya sering kali dianggap seolah-olah ‘satu perkara’ yang tidak boleh diingkari perlu menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku di Galas.

Ia kerana Nik Abdul Azizlah yang menjadi punca utama Pas tewas di Galas. Sebagai menteri besar, beliau telah gagal memastikan segala janji yang dibuat kepada penduduk di kawasan itu pada tahun 2008 ditunaikan, sebagai mursyidul am, beliau bertanggungjawab memilih calon parti itu, Dr. Zulkefli Mohamed, biarpun ramai ahli Pas dikhabarkan tidak bersetuju dengan pemilihan berkenaan.

Sebagai ahli politik, Nik Abdul Aziz tidak berhati-hati menjaga perilaku dalam pilihan raya apabila memberi sumbangan wang tunai yang ditakrifkan oleh Pas sebagai zakat kepada masyarakat Orang Asli.

Nik Abdul Aziz juga bertanggungjawab menyebabkan Pas kalah kerana tidak memainkan peranan sebagai ulama untuk menasihatkan pemimpin Pas supaya tidak membuat fitnah sepanjang kempen berlangsung.

Oleh itu, apabila Nik Abdul Aziz membuat kenyataan meragui kemenangan BN sebagai menunjukkan sikap sebenar pengundi, ia menunjukkan bahawa mursyidul am Pas tersebut bukan sahaja memperlecehkan kebijaksanaan pengundi tetapi juga seolah-olah tidak mahu menunjukkan peribadi seorang Islam yang reda dengan ketentuan Ilahi dan bermuhasabah bagi mengkaji di manakah silapnya sehingga Pas tewas.

Apa yang menghairankan kenapakah Nik Abdul Aziz bercakap soal dosa yang akan ditanggung oleh BN? Bagaimanakah dengan tindakan kerajaan Pas Kelantan yang memberi sijil pengiktirafan palsu kepada penduduk tertentu di Gua Musang kononnya mereka terpilih sebagai peserta Ladang Rakyat Limau Kasturi?

Dakwaan ini bukanlah satu dakwaan tetapi ia didedahkan sendiri oleh seorang penduduk miskin, Rozali Rosdin seperti mana disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 1 November lalu.

Begitu juga dengan rintihan dan tangisan penduduk masyarakat Orang Asli terutama di sekitar Pos Hendrope yang mendedahkan bagaimana kawasan sekitar dan tanah warisan mereka tergadai akibat kegelojohan kerajaan Pas Kelantan melaksanakan projek Ladang Rakyat.

Tidakkah itu dianggap satu dosa, apabila kerajaan Pas Kelantan berjanji membawa kemakmuran kepada Orang Asli melalui projek berkenaan tetapi hakikatnya hanya seorang dua sahaja daripada mereka menerima dividen RM200 sebulan manakala ratusan lagi terpaksa menderita akibat kemusnahan alam sekitar.

Bagaimana pula dengan fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin dan penyokong Pas sepanjang kempen berlangsung sehingga ia akhirnya menimbulkan perasaan muak kepada pengundi-pengundi Galas.

Dakwaan yang dianggap fitnah paling ketara ialah pada hari mengundi apabila penyokong-penyokong Pas menyebarkan gambar Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed kononnya sedang memberi rasuah kepada pengundi.

Fakta sebenar ialah gambar itu dirakamkan ketika Mustapa menghulurkan wang untuk membeli kacang kepada seorang peniaga yang berasal dari DUN Nenggiri dan dia dikenali oleh ramai penduduk Galas.

Kenapa Nik Abdul Aziz sebagai mursyidul am tidak mahu menganggap itu sebagai dosa besar? Begitu juga dengan tuduhan Penasihat Jentera Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang menuduh Tengku Razaleigh Hamzah menghilangkan dokumen penting berkaitan masyarakat Orang Asli Kelantan.

Tuduhan Wan Abdul Rahim itu adalah satu pembohongan semata-mata apabila Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Galas menegaskan, dakwaan itu adalah satu rekaan.

Dosa

Kalaulah Nik Abdul Aziz mahu bercakap soal dosa, bagaimana pula dengan tuduhan Pengarah Pilihan Raya Pas bagi DUN Galas, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bahawa dalam tempoh 12 jam terakhir sebelum pengundian dijalankan, BN akan menabur wang kepada pengundi.

Apa yang dibentangkan ini adalah sebahagian daripada perkara-perkara yang menjadi punca Pas tewas akibat daripada sikap Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.

Ia belum lagi termasuk bagaimana pengundi -pengundi melihat sikap kepura-puraan Pas dalam mentadbir Kelantan, apabila mereka hanya kelam-kabut melunaskan janji dibuat apabila pilihan raya hendak diadakan dan bagaimana Pas bersikap apa yang mereka buat ‘halal’ dan apa yang BN buat ‘haram’.

Paling jelas apabila Abdul Halim membuat pengumuman bahawa Pas akan memberi sumbangan RM200 dan RM250 kepada pengundi luar yang pulang mengundi. Biarpun perbuatan itu boleh ditafsirkan melanggar Seksyen 10 Akta Pilihan Raya namun Pas mendakwa ia bukan rasuah tetapi sekadar sumbangan.

Begitu juga apabila Nik Abdul Aziz secara terbuka menyerahkan sumbangan wang tunai kepada beberapa Orang Asli yang baru diIslamkan di Lojing, Gua Musang tiga hari sebelum pengundian dijalankan.

Alasan Pas itu adalah zakat kepada mualaf iaitu salah satu golongan yang berhak menerima zakat. Tetapi apa yang dipersoalkan kenapa ia dilakukan ketika kempen pilihan raya berlangsung? Kenapa majlis itu turut dihadiri oleh Dr. Zulkefli?

Bukankah selepas majlis ramah mesra Nik Abdul Aziz itu, pemimpin Pas mendakwa 60 peratus daripada masyarakat Orang Asli akan mengundi parti tersebut. Biarpun ia tidak diterjemahkan dalam bentuk fakta apabila hampir 90 peratus Orang Asli mengundi BN tetapi kecenderungan Pas melaksanakan pelbagai tindakan termasuk mengurniakan tanah ketika berkempen di kawasan masyarakat berkenaan boleh menyebabkan ada pihak mentafsirkan ia sebagai perbuatan cuba membeli undi.

Terdapat banyak lagi tindakan pemimpin Pas dan Nik Abdul Aziz sendiri yang menjadi faktor parti itu ditolak oleh pengundi Galas. Ia termasuklah memfitnah UMNO melalui risalah ‘Galas Kito’ menggariskan 16 perkara kenapa jangan sokong UMNO.

Antara fitnah itu ialah UMNO tidak menjadi Islam sebagai dasar, Islam hanya menjadi tunggangan UMNO, UMNO tidak membela agama dan ulama UMNO hanya subang tembaga serta UMNO mengkhianati bangsa sendiri.

Ini belum lagi termasuk doa yang dilafazkan oleh seorang pemimpin kanan parti itu selepas penamaan calon yang menggambarkan seolah-olah kalau BN yang diwakili oleh UMNO menang di Galas, Islam akan hancur.

Berdasarkan semua hujah-hujah ini yang menjadi faktor kekalahan Pas, maka tidak perlu Nik Abdul Aziz ‘bersandiwara’ lagi. Cukup-cukuplah menuding jari menyalahkan BN dan UMNO apabila mereka tewas dalam pilihan raya.

Jadilah pemimpin Islam yang baik iaitu sentiasa mahu bermuhasabah terhadap kelemahan diri sendiri. Fahamilah Pas bukanlah parti yang sempurna atau lengkap segalanya. Yang sempurna hanya Allah SWT dan paling lengkap hanyalah al-Quran.

Melalui kenyataan meragui kemenangan UMNO, Nik Abdul Aziz mungkin boleh mengabui mata penyokong-penyokong tegar Pas terhadap kelemahan kepimpinan beliau sebagai mursyidul am dan Menteri Besar tetapi ‘Allah melihat apa yang kamu buat’ – seperti mana tulisan pada poster yang dipasang oleh Pas di kawasan DUN Galas.

Dan sudah tentu Allah SWT juga mahu mengetahui siapa sebenarnya pejuang agama dan bangsa serta siapa pula yang sanggup memperalatkan agama dan menolak salam persaudaraan sesama Islam demi mengejar kuasa politik.

Tiada ulasan:

Musuh sebenar Yahudi bukan Palestin, tapi Bani Jawi.

BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...