Ahad, 2 Januari 2011

Dr Mashitah menulis

Semangat hijrah perlu dihayati

Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri



Meski pun peristiwa hijrah berlaku 1432 tahun lalu, ia meninggalkan banyak catatan dan pengajaran. Peristiwa itu penting bagi membolehkan seseorang itu menjadi lebih baik dari segi keimanan, tingkah laku dan kerjaya, di samping maksud penghijrahan itu ialah transformasi atau penambahbaikan.

Semua orang perlu melalui fasa hijrah dalam hidupnya. Malah satu kemestian dalam hidup manusia sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Namun adakah umat Islam khususnya di Malaysia ini faham mengenai inti pati pengajaran peristiwa hijrah itu atau mungkin ramai tidak begitu menghayati semangat hijrah yang disemai Rasulullah SAW. Bahkan, lebih teruk lagi ada yang memberi tafsiran salah mengenainya.

Kegagalan umat Islam di negara ini memahami falsafah hijrah kadangkala begitu teruk sekali sehingga seolah-olah mereka diserang sindrom enggan berhijrah. Ini kerana mereka sedang berada dalam zon selesa dan beranggapan jika berhijrah mereka tidak lagi dapat hidup selesa.

Dalam kehidupan seharian, memang banyak contoh menunjukkan kurangnya penghayatan semangat hijrah dalam hidup manusia. Cuba kita renungi beberapa kisah secara realiti dalam masyarakat kita.

Di sebuah, kampung di utara tanah air, tiga anak muda yang tamat persekolahan menghabiskan masa begitu sahaja. Lalu diberitahu bahawa ada tawaran pengajian percuma dari sebuah institusi yang menyediakan biasiswa. Lebih menarik lagi, setelah habis pengajian, mereka disediakan pekerjaan di sebuah syarikat swasta dengan gaji menarik.

Namun, apa menyedihkan, tiga remaja itu terpaksa menolak tawaran berkenaan hanya disebabkan kursus diadakan di Kuala Lumpur iaitu jauh dari kampung halaman. Apa yang berlaku itu, jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghayati semangat hijrah.

Sedangkan, dengan semangat itulah mereka mampu mengubah nasib diri dan keluarga di kampung. Apatah lagi, penghijrahan itu tidak begitu mencabar berbanding hijrah Rasulullah SAW atau penghijrahan datuk nenek kita terdahulu. Mereka tidak perlu mengharungi lautan luas dan ribut taufan. Cuma mengikuti kursus dengan segala kemudahan disediakan. Itu pun mereka tidak berani berhijrah.

Kurang semangat hijrah ini bukan sahaja melanda anak muda seperti tiga remaja berkenaan, tetapi juga golongan yang sudah dianggap berjaya dalam kerjayanya. Cuba renungi kisah seorang penjawat awam yang dianggap berjaya dalam kerjayanya.

Beliau telah menunjukkan prestasi baik dalam tugasnya, lalu ditawarkan kenaikan pangkat. Namun, kenaikan itu dengan syarat beliau perlu bertukar atau berhijrah ke bandar lain. Sekali lagi, syarat melibatkan penghijrahan ini menyebabkan penjawat awam itu terpaksa menolak.

Dalam konteks ini, penjawat awam ini enggan berhijrah keluar dari zon selesanya. Beliau mungkin sudah gembira dan selesa dengan kehidupannya sehingga tidak mahu keselesaan digugat akibat daripada penghijrahannya itu. Ironinya, disebabkan keengganannya berhijrah, jawatan itu telah diberikan kepada orang lain yang bukan beragama Islam.

Insiden ini menunjukkan kegagalan memahami falsafah hijrah menyebabkan kerugian bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi lebih besar lagi kepada ummah keseluruhannya. Dalam kejadian itu, penjawat awam berkenaan sepatutnya melihat falsafah hijrah itu dalam konteks lebih jauh.

Sewajarnya dia tidak memikirkan dirinya sendiri, sebaliknya melihat penghijrahan itu akan memberi kebaikan kepada ummah. Ini juga menunjukkan sebahagian daripada anggota masyarakat lebih memikirkan fardu ain, bukan fardu kifayah yang juga penting kepada masyarakat Islam.

Satu lagi kisah sindrom keengganan berhijrah yang kita boleh berkongsi bersama ialah bagaimana seorang ibu bersungguh-sungguh merayu supaya anak perempuannya tidak dihantar bertugas di Sarawak.

Kisah ini mungkin biasa kita dengar, tetapi ada sedikit kelainan. Individu paling kuat menentang penghijrahan ini ialah si ibu. Sedangkan gadisnya tidak kisah ditempatkan di mana-mana. Mungkin gadis ini memahami dia perlu berhijrah kerana bumi Allah ini luas dan rezekinya mungkin ada di tempat lain.

Biarpun penghijrahan digalakkan Islam, namun kurang dilaksanakan. Sebaliknya semangat berhijrah ini kuat dalam kalangan orang Sepanyol dan Portugis. Sejak ribuan tahun mereka adalah bangsa yang menjelajah seluruh dunia dan membuka kawasan baru termasuk benua Amerika Latin.

Dengan semangat dibawa Gereja Kristian Katolik, penjelajah dari Sepanyol dan Portugis ini membawa misi Gold, Glory and Gospel berhijrah ke banyak negara lain. Semangat ini sebenarnya ada dalam Islam melalui pendekatan tajdid. Tetapi kurang dihayati.

Secara semula jadinya setiap manusia akan berhijrah. Namun penghijrahan itu akan memberikan hasil positif atau negatif. Jika kita membuat pemerhatian, kita dapat lihat bagaimana ramai daripada umat Islam tidak berhijrah ke suatu tahap lebih baik. Berapa ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menyedari anak gadis mereka hanya berlagak alim di hadapan mereka.

Bak kata pepatah pijak semut pun tak mati, tetapi, di belakang orang tua, remaja ini melakukan pelbagai perkara yang tidak disangka.

Ada dalam kalangan mereka ketika belajar, menjaga aurat dengan baik. Selepas bekerja, semua itu tidak lagi dijaga. Mereka telah berhijrah kepada sesuatu yang negatif sehingga melanggar ajaran agama. Adakah mereka menganggap hijrah bermaksud mengikut budaya asing atas nama kemodenan.

Persoalannya adakah generasi kini menyedari hikmah dan pengajaran yang tersurat dari peristiwa hijrah. Hijrah Rasulullah SAW memberi iktibar mengenai fungsi dan peranan kita sebagai umat Islam tidak terhenti setakat ibadah khusus semata-mata. Lebih luas lagi peranan manusia adalah sebagai khalifah Allah sebagaimana huraian al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah yang menjelaskan peranan menjaga agama dan mentadbir dunia.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menarik.. tetapi dato menteri, ingin saya katakan di sini 'hijrah' bukan sekadar perpindahan berbentuk fizikal semata-mata. konsep 'hijrah' dalam islam lebih menjerumus kepada meninggalkan apa yang dilarang oleh agama. ini dikuatkan lagi oleh hadis riwayat abu dawud, 'orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan sesuatu yang dilarang oleh Allah.'tak salah seorang ibu merayu anak gadisnya agar tidak dihantar bertugas di sarawak. apatahlagi jika ibu tersebut uzur dan anak gadisnya pula satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. jika mempunyai pilihan sudah tentu priority seorang anak menjaga ibunya di rumah. menjaga kedua orang tua pun sesuatu yang diberatkan dalam islam, bukankah begitu ustazah? ustazah juga ada mengatakan ramai orang yang ditawarkan pangkat enggan berhirah dari zon selesa mereka dan ingin berada di takuk lama. saya juga berada dalam situasi yang sama di mana saya memilih untuk berada di suatu takuk yang sederhana walaupun sekarang diberikan perjawatan yang lebih tinggi. ini kerana dengan pengalaman yang kurang saya tidak yakin saya dapat melaksanakan tugas dengan baik. jadi apa salahnya jika tempat saya diisi oleh mereka yang lebih berpengalaman? bukan kerana saya takut untuk ber'hijrah' tetapi saya takut jika ditanya di akhirat kelak. pada zaman rasulullah dulu sahabat-sahabat juga cukup takut jika diberi kedudukan dan pangkat. mereka takut untuk menjadi pemimpin kerana takut amanah yang diberi tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna tetapi pada hari ini, situasinya cukup berbeza.orang ramai berebut-rebut untuk mencalonkan diri menjadi pemimpin, menjadi ahli politik walaupun tidak mempunyai ilmu dan tidak pandai memimpin. Kerana gilakan gaji dan elaun yang ditawarkan, mereka jadi lupa dan lalai dan sanggup lakukan apa sahaja. itulah realiti kehidupan hari ini. saja berkongsi pendapat. kesimpulannya, saya harap dato menteri dapat melihat dan membicarakan konsep 'hijrah' dengan lebih luas terutama sekali dari segi berhirah meninggalkan sesuatu yang dilarang Allah. terima kasih..

Tanpa Nama berkata...

anonymous, hijrah dapat diberikan pengertian dari sudut bahasa dan istilah. ianya juga membawa maksud perubahan lokasi atau kedudukan dari satu titik ke titik yang lain. perpindahan fizikal juga tidak kurang pentingnya apatahlagi jika berhadapan dengan desakan-desakan tertentu. andainya perpindahan fizikal tidak penting, maka tidak akan terjadi peristiwa hijrah nabi dari kota mekah ke kota madinah. ini kerana jika kita lihat hijrah nabi dari kota mekah ke kota madinah sarat dengan pelbagai hikmah. ia mengajar kita bahawa hijrah menuntut pengorbanan dan keberanian. untuk menaikkan taraf hidup keluarga, seorang ayah terpaksa berhadapan dengan kemungkinan meninggalkan keluarga dengan berhijrah ke ibu kota di mana peluang pekerjaan lebih tinggi. ini juga menuntut pengorbanan.. (merak kayangan)

Najib Razak ditahan

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya dekat ...