"Ahli mesti mempunyai perasaan cinta dan kasih serta sanggup berkorban untuk UMNO"
KUALA LUMPUR: Menjelang Perhimpunan Agung UMNO bermula Selasa ini, Datuk Seri Najib Razak mahu ahli mengutamakan parti melebihi kepentingan diri.
Presiden UMNO itu, berkata ahli mesti memperlihatkan iltizam untuk melakukan pengorbanan dan tidak membiarkan perasaan atau perhitungan peribadi mengatasi pertimbangan yang lebih besar iaitu kepentingan parti.
"Orang yang menganggotai parti itu ramai tapi orang yang berparti, yang tahu semangat parti, tahu matlamat dan kepentingan parti, itu yang mesti kita tanam di kalangan 3.4 juta ahli UMNO," katanya dalam wawancara khas dengan BERNAMA di sini, semalam.
Perhimpunan Agung UMNO 2011 selama lima hari itu, dilihat banyak pihak sebagai yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perdana Menteri berkata, ahli UMNO mesti mempunyai perasaan ‘cinta dan kasih’ kepada parti serta sanggup berkorban untuk parti.
“Ini satu daripada prinsip kita berparti. Kita tidak suruh orang melakukan seperti mereka kena buat pengorbanan dari segi harta mereka untuk parti atau pun kita suruh mereka mengambil risiko atas diri mereka dan sebagainya.
“Cuma kita minta dalam perhitungan mereka, jangan membiarkan soal peribadi atau pun tuntutan mana-mana kelompok mereka itu mengatasi kepentingan parti,” katanya.
Pada masa sama, Najib berkata, semua ahli UMNO tahu perkara yang boleh merugikan parti dan mengelak daripada berbuat demikian kerana ia boleh melemahkan parti.
“Semua orang UMNO tahu apakah perkara-perkara ini, tetapi tahu saja tidak bererti perkara itu terhapus sama sekali,” katanya.
Ditanya mengenai kelainan Perhimpunan Agung UMNO kali ini yang dimulakan dengan forum dan persidangan antarabangsa, Najib berkata, program itu tidak dikhususkan untuk pilihan raya, sebaliknya menjadi satu wahana untuk menonjolkan nilai keintelektualan UMNO.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk memperlihatkan peranan UMNO pada peringkat antarabangsa supaya dunia memahami matlamat perjuangan parti itu, khususnya apa yang didokongnya seperti Dasar Transformasi Nasional.
Najib juga menafikan dakwaan bahawa UMNO tidak lagi memperjuangkan kepentingan Melayu sehingga menyebabkan kaum itu berasa terpinggir kerana sejak dulu hingga kini, agenda berkenaan terus diperjuangkan parti itu.
“Itu tidak benar. Walaupun kita dengan slogan 1Malaysia, tetapi kita tidak pernah kata agenda Bumiputera itu kita sudah tiadakan. Malah ia masih lagi menjadi agenda utama (UMNO) dan sebahagian agenda nasional kita.
“Apa yang kita lakukan terhadap kaum lain ialah untuk melakukan apa yang perlu untuk menunjukkan kerajaan kita adil dan berdiri atas tonggak keadilan sosial,” katanya.
Najib berkata, agenda Bumiputera tetap diteruskan, misalnya Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), yang dilancarkan beliau pagi semalam.
“Ia adalah satu hala tuju di mana beberapa inisiatif baru sudah kita umumkan. Bererti kita tidak pernah ketepikan atau mencairkan perjuangan kita untuk Bumiputera,” katanya.
Ditanya mengenai pendirian sebilangan orang Melayu yang menyatakan mereka boleh hidup tanpa UMNO, Najib berkata, rakyat harus sedar bahawa kejayaan negara ini adalah hasil perjuangan UMNO.
Sambil memetik teori pakar psikologi Amerika, Abraham Maslow, beliau berkata, UMNO sudah berjaya menyelesaikan tuntutan asas rakyat dengan menyediakan pelbagai kemudahan.
Beliau berkata, kepelbagaian pendapat adalah satu tanda masyarakat yang semakin sofistikated dan matang.
“Saya bukan kata mereka wajib berasa terhutang budi kepada kita sebab ramai yang tak senang hati jika saya cakap sedemikian. Apa yang saya nak kata bahawa selain daripada track record (rekod kerja yang baik) kita, selain daripada jasa kita yang tidak ternilai ialah perancangan kita untuk masa depan.
“Apa yang boleh kita janjikan untuk rakyat Malaysia, bukan saja kepada ahli UMNO, tapi rakyat Malaysia adalah jaminan sebenarnya dan itu mereka boleh rasa yakin, seperti mana dulu kita boleh lakukan, seperti mana dulu kita boleh laksanakan... Insya-Allah kita boleh bukan saja janji, tapi mampu laksana dan tunaikan kepada rakyat,” katanya. – BERNAMA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan