Jumaat, 8 Jun 2012

Kalaulah Pemandu Kita Macam Ni...

SUASANA sedih menyelubungi Rumah Pengebumian di Hangzhou, China. Penduduk tempatan tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur menangis teresak-esak meratapi kematian Wu Bin yang berusia 48 tahun.

Kesedihan semakin dirasai apabila persekitaran dewan dipenuhi jambangan bunga, kain rentang dan kepingan kad ucapan yang tertera luahan ringkas seperti, 'Anda pemandu hebat' dan 'Anda akan kekal di hati saya'.

Pemergian Bin, pada Jumaat lalu benar-benar membawa seribu satu kepahitan dan kisah pilu di hati warga China. Selepas koma dan terlantar di hospital selama tiga hari, pemuda kelahiran Hangzhou, Zhejiang itu menghembuskan nafas terakhirnya. Salah seorang doktor mengesahkan bahawa Bin mengalami kecederaan serius di hati sementara tiga tulang rusuknya patah.

Kecederaan yang dialami Bin disebabkan dadanya tertusuk serpihan logam tajam yang menembusi cermin depan bas yang dipandunya pada 29 Mei lalu. Pada masa itu, Bin, bapa kepada seorang cahaya mata sedang memandu bas antara bandar Wuxi dan Hangzhou di lebuh raya Wuxi, wilayah Jiangsu.

Meskipun cedera parah di dada kanan, Bin masih mampu mengawal kelajuan bas agar tidak tersasar. Bagi memastikan keselamatan 24 orang penumpang di dalam bas, Bin menekan brek, menukar gear dan menenangkan penumpang.

Selepas beralih ke tempat pemandu, Bin meminta penumpang menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

"Pada mulanya saya tidak sedar apa yang berlaku kerana Bin tidak menjerit. Saya fikir, bunyi bising tersebut mungkin melibatkan pelanggaran kenderaan lain.

"Sebaik saja dia ke belakang dan duduk di tempat penumpang, barulah saya sedar bahawa Bin mengerang kesakitan sambil memegang dada. Dalam beberapa minit kemudian dia pengsan," terang Han Weichun, seorang penumpang yang duduk betul-betul di belakang Bin.

Pemandu yang cermat

Hasil siasatan pihak polis mendapati, serpihan logam seberat 3.5 kilogram melayang dari sebuah kereta yang bertentangan lalu menusuk ke dada Bin.

Justeru, tindakan Bin yang mengutamakan para penumpangnya dan mengabaikan kesakitan yang dialaminya telah mendorong orang ramai menjulangnya sebagai wira.

Menurut rakan sekerja Bin, Chen Yibo, sejak berkhidmat sembilan tahun lalu, rekod kerja Bin sentiasa cemerlang. Dia sudah memandu sejauh sejuta kilometer (km) tanpa terlibat dalam sebarang kemalangan.

"Dia juga tidak pernah disaman kerana selalu memandu mengikut kelajuan dan peraturan jalan raya yang ditetapkan. Para penumpang cukup berpuas hati dengan cara pemanduan dan servis Wu Bin," katanya yang sedih dengan kehilangan rakan sekerja yang dedikasi.

Di sebalik tragedi itu, Bin dijulang sebagai wira oleh penduduk di tempat kelahirannya, Hangzhou yang terletak di China timur. Mereka berkali-kali mengungkapkan bahawa Bin merupakan individu dan pekerja terbaik yang perlu dicontohi.

Sewaktu berlangsungnya upacara pengebumian Bin di Rumah Pengebumian Hangzhou, penduduk tempatan bertali arus semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir kepadanya. Sehinggakan, pihak polis terpaksa mengawal lalu lintas.

Esakan dan tangisan pula memenuhi dewan. Ternyata, kehilangan pemuda yang disifatkan murah dengan senyuman itu cukup berkesan di hati keluarga, jiran, sahabat handai dan penduduk tempatan.

Upacara pengebumian Bin turut dihadiri selebriti, golongan kenamaan dan para pemimpin negeri seperti Timbalan Menteri Pengangkutan, Feng Zhenglin, Timbalan Gabenor Wilayah Zhejiang, Wang Jianman dan Datuk Bandar Hangzhou, Zhang Jianting.

Pekerja contoh

Kerajaan wilayah Zhejiang menyifatkan Bin mati secara terhormat kerana tidak mementingkan diri sendiri manakala Kementerian Pengangkutan mengangkatnya sebagai pekerja contoh.

"Saya selalu menaiki bas yang dipandu Bin dari Wuxi dan Hangzhou. Dia seorang pemandu yang baik dan berhati-hati. Jadi, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Bin berusaha menyelamatkan nyawa penumpang meskipun dia sedang bergelut dengan kecederaan serius," luah Wu Yao yang juga jiran dengan Bin selama tiga dekad.

Dalam pada itu sahabat baik Bin, Feng Li menyatakan: "Tindakan Bin jelas menunjukkan dia seorang pemandu dan pekerja yang berwibawa. Barangkali, keperibadian Bin yang penyayang, mudah mesra dan mengambil berat tentang orang sekeliling mendorongnya bertindak seperti itu."

Sebagai memperingati jasa baik Bin, para pemimpin negara China termasuk ketua parti wilayah Zhao Hongzhu, telah menghulurkan sumbangan wang tunai sebanyak 500,000 yuan (RM249,500) kepada keluarga Bin. Sementara itu, majikan syarikat Bin berkhidmat pula menghadiahkan sebuah pangsapuri yang terletak di pusat bandar.

Tolak sumbangan

Lebih menyentuh perasaan apabila orang ramai dan pelbagai pihak turut menderma wang tunai meskipun menyedari hadiah tersebut tidak ternilai dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Bin. Namun begitu, keluarga Bin menolak secara baik segala bentuk sumbangan dalam bentuk wang tunai mahupun barangan.

Mereka cuma mengharapkan agar masyarakat terus mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan mereka sekeluarga dalam menempuhi kehidupan tanpa Bin. Sebelum ini, Bin yang menetap bersama kedua-dua ibu bapanya, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Dalam surat terbuka luahan hati keluarga Bin, mereka bersyukur dan berterima kasih kepada orang ramai yang tidak henti-henti menunjukkan kasih sayang serta bersimpati atas pemergian Wu.

"Kami tidak memerlukan sebarang bentuk bantuan daripada orang perseorangan kerana kami akan berusaha sendiri dan bekerja keras untuk kehidupan. Bagi kami, bantuan yang diterima daripada pihak kerajaan dan majikan Bin sudah memadai," tutur kakak Bin, Wu Bingxin. Bingxin turut menyatakan mereka sekeluarga sudah biasa hidup secara sederhana.

Dalam pada itu, isteri Bin, Wang Lizhen, memberitahu, pagi Selasa minggu lalu merupakan detik akhir dia bertemu mendiang suaminya. Bin mengucapkan selamat tinggal kepadanya sebelum keluar bekerja.

"Saya dapat merasakan dia belum bersedia untuk 'pergi' meninggalkan kami. Ketika Bin berada dalam keadaan tidak sedar, saya mengusap dahinya dan tangannya bergerak memberi reaksi.

"Bin seolah-olah mahu meluahkan sesuatu kepada saya. Dia bagaikan berjuang untuk terus hidup. Namun apakan daya, tuhan lebih menyayanginya," jelas Lizhen dalam nada getar menahan sebak kerana kehilangan suami yang dikahwininya sejak 18 tahun lalu.

Tindakan Bin menyelamatkan 24 penumpang di dalam bas meskipun sedang bertarung dengan kesakitan akibat tusukan besi tajam, harus dicontohi oleh kumpulan pemandu pengangkutan awam di seluruh dunia.

"Sejak beberapa hari lalu, saya sentiasa menangis kerana sebak dengan keprihatinan Bin terhadap para penumpangnya. Semoga semangat Bin menjadi ikutan setiap lapisan masyarakat," tutur Shen Wei, guru sekolah menengah yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Bin bersama empat orang pelajarnya. - KOSMO

Tiada ulasan: