KUALA LUMPUR – Mahkamah
Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah
‘Allah’ dalam sebuah akhbar mingguan Katolik ‘The Herald’ perlu
diselesaikan.
Sehubungan itu, panel tiga hakim
diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan
terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald
menggunakan kalimah ‘Allah’, didengar pada 10 September ini.
Panel hakim yang turut dianggotai
Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat
keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja
Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.
Dalam penghakimannya, Abu Samah
berkata, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah
‘Allah’ bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara.
"Oleh itu, ia tidak terpakai
dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana
masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.
Berdasarkan persetujuan bersama
pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama
Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah
berhubung kos.
Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.
Pada 16 Februari 2010, pihak
gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan
sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa
keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’
dalam The Herald adalah tidak sah.
Akhbar mingguan itu, yang dicetak
dalam empat bahasa, menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan
untuk ‘God’ bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi
keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah ‘Allah’ hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.
Pada 31 Disember 2009, Mahkamah
Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan
kalimah ‘Allah’ adalah salah, batal dan tidak sah.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
Terdahulu, peguam Porres Royan,
yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan
kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung
penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan Katolik.
Beliau berkata ini kerana
penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan
Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan
kalimah ‘Allah’ dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia
serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.
"Kami berpendapat kerajaan sudah
mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan,” katanya
sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan
kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah ‘Allah’.
Porres berkata, kesannya ialah
kalimah ‘Allah’ kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa
Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta
dicetak.
"Jika kabinet sudah memberi
kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah
semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan
Persekutuan, Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa
rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu
diputuskan.
"Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.
Beliau berkata, isu di depan
Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri
mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The
Herald, manakala penyelesaian 10 Perkara membincangkan isu kitab
Bible.
Peguam Mubashir Mansor, yang
mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman
di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7
Januari 2009.
Oleh itu, beliau berkata,
penyelesaian 10 Perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat
selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan
semakan kehakiman oleh pihak gereja.
"Surat Perdana Menteri bertarikh
11 April 2011 itu tidak menyentuh perkara dalam rayuan berkenaan. Beliau
tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah,"
kata Mubashir.
Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) berkata, arahan Kabinet
adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal, namun
tidak menyentuh kandungannya.
Beliau berkata, Hishammuddin,
dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian 10 Perkara
dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.
Hishammuddin juga berkata, Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah 'Allah'.
Hishammuddin berkata, keputusan
Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi
masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab
Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.
Lebih 300 anggota badan bukan
kerajaan (NGO) seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan
Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan