Ahad, 11 Ogos 2013

Umno pinda tarikh mesyuarat dan pemilihan parti

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah bersetuju meminda tarikh bagi mesyuarat cawangan Umno, mesyuarat bahagian Umno dan penamaan calon untuk pemilihan parti kepada tarikh yang ditetapkan.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung parti tersebut, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kenyataan tersebut telah memaklumkan bahawa mesyuarat cawangan Umno telah dilanjutkan daripada 31 Ogos kepada 15 September 2013.

Pendaftaran penamaan calon untuk pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula dilanjutkan daripada 7 September kepada 21 September 2013.

Untuk mesyuarat bagi ketiga-tiga sayap itu pula, ia telah ditetapkan pada 12 Oktober 2013.

Bagi penamaan calon untuk pemilihan majlis tertinggi umno, tarikhnya dilanjutkan daripada 7 September kepada 28 September 2013, manakala mesyuarat bahagian dan hari pemilihan Majlis Tertinggi Umno dipinda daripada 5 Oktober kepada 19 Oktober 2013.

Menurut Tengku Mansor, pindaan tersebut dibuat berikutan cadangan dan permintaan dari Umno bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan yang antaranya ialah tarikh mesyuarat cawangan sebelum ini berlangsung dalam bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dan tamat tempoh mesyuarat pada 31 Ogos 2013.

Selain itu, beliau juga memaklumkan dua pemimpin negara luar iaitu Presiden China dan Presiden Amerika Syarikat juga akan berkunjung ke negara ini pada awal Oktober 2013 dan persediaan untuk menerima kedatangan tetamu negara ini perlu dibuat.

Menurutnya lagi, Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti telah pun dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh pihak pengurusan Umno.

Pemilihan MT Umno sebelum ini telah diumumkan akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober, manakala persidangan dan pemilihan jawatan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pula pada 28 September.

Tiada ulasan: