KHAIRY JAMALUDDIN ABU BAKAR
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG
PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA 2013
1 SAFAR 1435 / 4 DISEMBER 2013
8.30 PAGI, DEWAN MERDEKA, PWTC
“BERSEDIA UNTUK ESOK”
Yang Berbahagia Dato’ Pengerusi Tetap,
Yang Berbahagia Saudara Timbalan Pengerusi Tetap,
Wakil-wakil Majlis Tertinggi:
YAB Dato’ Seri Ir. Haji Idris Haron
YB Dato’ Seri Idris Jusoh
YB Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek
Yang Berbahagia Saudara Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Ketua-ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri
Para Perwakilan dan Pemerhati
Melayu itu kalau merantau sampai ke Deli
Kalau berperang sampai ke rawan
Kalau mempertahan putih sumsum tulang
Kalau menjajah langsung jadi pahlawan
Dari Riau ke Selat Melaka
Dari Palembang ke Tanah Jawa.
Melayu baru bila berfikir jadi Dr. Maza
Bila berseni indie, jadi Wani Ardy
Bila bikin muzik jadi Yuna
Bila menyanyi dengan sopan… jadilah Siti Nurhaliza
Melayu itu halus
Bila marah menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Jangan lupa tempelak Usman Awang
Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tapi itu Melayu yang dulu
Melayu sekarang melanggar pantang
Kadang tersadung adat dan sopan
Menata merdeka menonggak wawasan
Melayu hari ini Melayu cemerlang
Gah bak helang menyongsong awan
Minda progresif menakhoda masa depan
Jadi obor menyuluh zaman
Alhamdullilah, segala puji-pujian untuk Allah S.W.T, Tuhan yang maha
pemurah lagi penyayang. Juga selawat dan salam ke atas junjungan terpuji
Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat. Kita mensyukuri rahmat Yang Maha
Esa, kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bertemu pagi ini di
Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ke 61.
Jika di perhimpunan tahun lepas, kita sibuk melurus barisan, mengatur
strategi, untuk menghadapi PRU13 – pilihan raya paling getir dalam
sejarah UMNO, tahun ini, saya mulakan dengan setulus terima kasih kepada
seluruh jentera Pemuda UMNO. Anda semua tak kenal siang malam, tak
hirau penat di badan, ketika mengharungi pilihan raya Mei lepas. Bukan
calang-calang rintangan yang kita tempuh, tanpa Pemuda di barisan
hadapan, belum tentu kita menang, silap haribulan boleh kecundang!
Di perhimpunan tahun ini juga kita membuka lembaran segar dengan
meraikan barisan kepimpinan yang baru. Saya ingin mengucapkan tahniah
kepada saudara-saudara sekalian yang telah memenangi jawatan di
peringkat pusat, bahagian dan juga cawangan masing-masing. Saya juga
amat berterima kasih dengan jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan
oleh barisan kepimpinan sebelum ini. Kalau tiada yang lama, manakan
dapat mereka yang baru. Kalau yang lama enggan menunjuk jalan, masakan
yang baru tahu haluan.
Sebelum PRU13, kita gesa Presiden kita, Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib
Tun Razak, untuk memberi peluang kepada wakil pemuda diangkat jadi
calon. Rasionalnya enteng saja, bila bercakap tentang soal suara anak
muda, ia wajib dicorongkan melalui orang muda juga. Alhamdullilah,
pucuk pimpinan mendengar cadangan kita bila 45 daripada sayap Pemuda
UMNO jadi calon ahli parlimen dan ADUN. Ini suatu pengiktirafan yang
besar kepada institusi Pemuda UMNO. Memang lumrah kehidupan, kalah
menang adat pertandingan. Walau begitu, saya bangga dengan
pengiktirafan yang diberi, bila dua dari calon Pemuda diangkat jadi
menteri dan timbalan menteri. Manakala enam lagi duduk di kerusi exco
kerajaan negeri. Kami Pemuda UMNO, insya Allah, akan melunaskan amanah
yang diberi dengan kamil.
Cuma peluang orang muda dijadikan calon itu, sebenarnya boleh
diunjur, boleh diperlebihkan lagi. Kalau kita perhatikan pihak sebelah
sana, PAS, DAP dan PKR, mereka tampak lebih bersedia menonjolkan calon
muda, jika nak dibandingkan dengan kita. Mungkin ini sesuatu yang boleh
pucuk pimpinan pertimbangkan di masa akan datang, barulah UMNO dilihat
segar dan melaksanakan peremajaan sepenuhnya.
Sidang perwakilan sekalian,
Tahun ini kita telah melakar sejarah baru untuk UMNO dengan
menggunakan sistem pemilihan baru, yang bertunjangkan suara akar umbi
dalam menentukan kepimpinan parti. Inilah bukti transformasi yang
dimaksudkan oleh Y.A.B. Presiden untuk parti UMNO. Ini adalah suatu
pengiktirafan yang ulung dari pucuk pimpinan. Walau bagaimanapun Pemuda
menggesa agar post mortem segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini
ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tapi penambahbaikan perlu untuk
memastikan keputusan pemilihan saksama, dihormati dan tiada ruang untuk
pertikaian. Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan.
Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak
dapat.
Proses pemilihan itu sendiri, misalnya, masih punya ruang untuk
diperkemas dan dimantapkan lagi. Jangan ada kertas undi yang sama warna
hingga menimbulkan ragu mengelirukan perwakilan. Bila mengumumkan siapa
menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama
dengan yang apa telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian.
Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang
bila keputusan diisytiharkan di ibu pejabat. Menyentuh tentang logistik
pula, aspek kerahsiaan hendaklah dijaga, perlu ada galang penghadang
semasa proses mengundi dijalankan. Kita mesti menyediakan tenaga kerja
yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu,
tidak bimbang. Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses
rayuan itu juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi
mana-mana pihak. Kriteria untuk pengundian semula hendaklah
diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan.
Namun demikian, kita bersyukur kerana UMNO terbukti mampu memberi
ruang yang mampan untuk ahli menentukan pucuk pimpinan parti. Fitrah
antara kita dan pembangkang tak serupa, gerombolan pembangkang hanya gah
bertempik, kononnya merekalah juara demokrasi, tapi sumbang di
gelanggang sendiri.
Lihat sahaja DAP dan PAS yang tak sudah-sudah menabrak sistem pilihan
raya negara dan SPR, sudahnya malu sendiri. Pilihan raya DAP yang ada
dua ribu lebih pemilih pun tunggang langgang, habis semua orang
disalahkan. Akhirnya terpaksa buat pemilihan semula selepas sembilan
bulan pemilihan pertama dibatalkan. Tapi biasalah… semua itu bukan
salah mereka.
PAS bulan lepas apa kurangnya? Berdalih melewatkan keputusan, konon
silap sistem yang menguruskan cuma seribu orang itu. Tiba giliran PKR,
lain plot cerita, gegak gempita memperjuang ketelusan, pemimpin wahid
sendiri kebal demokrasi. Bahkan jawatan pun langsung tak wujud dalam
perlembagaan parti.
Inilah bezanya kita dengan pembangkang. Berbanding DAP dan PAS yang
hanya memberi muka kepada dua tiga ribu pemilih di peringkat pusat, kita
pula membuka aula kepada 150 ribu ahli di peringkat akar umbi untuk
mengundi. Berbanding PKR yang berketua umum-kan jawatan khayalan,
seluruh jawatan dalam UMNO sah termaktub mengikut perlembagaan parti.
Selagi kita masih bercakap soal pemilihan parti, saya bersyukur
kepada Ilahi dan berterima kasih kepada setiap ahli Pemuda, yang telah
memberi mandat seratus peratus untuk saya. Insya-Allah, amanah dan
kepercayaan ini akan saya lunaskan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, proses demokrasi parti kita juga menyaksikan
persaingan sengit di peringkat Naib Ketua Pemuda, Exco serta
jawatan-jawatan Pemuda di peringkat bahagian, mahupun cawangan. Tapi
sidang perwakilan yang saya hormati, kita ini carik-carik bulu ayam
lama-lama bercantum kembali. Janganlah apa yang terkhilaf semasa
pemilihan UMNO dijadikan kudis di badan atau api di dalam sekam. Jalan
di hadapan masih panjang, inilah masa dan ketikanya untuk kita bersatu
kembali mengukuhkan parti.
Hakikatnya, pemilihan parti adalah persaingan kekeluargaan sesama
kita. Marilah kita hulurkan tangan, dakapkan ukhwah, eratkan perpaduan.
Sedarlah semua, musuh politik yang sebenar bukan sesama kita tapi
pembangkang di luar sana. Bak kata orang, menembak beralamat, berkata
bertujuan – sesama pemuda kita muafakat, dengan musuh kita berdepan.
Dalam keutuhan persaudaraan ini, dalam kita menyusun langkah dan
strategi, dalam kita menyahut peranan dan tuntutan organisasi, jangan
kita sesekali terleka dibuai jawatan. Kita perlu sentiasa menginsafi
bahawa apa yang kita pegang ini adalah satu amanah – bukan sahaja kepada
rakyat, parti dan negara, tetapi yang paling utamanya amanah dan
accountability kepada Yang Maha Esa. Amanah itu bukan sahaja luas dan
berat tetapi juga perlu di jaga, kerana kita tak boleh menyimpanginya,
walau tersorok di lubuk hati. Accountability kepada Allah S.W.T. bukan
sekadar kepada tindak tanduk kita tetapi juga niat yang tersirat dalam
hati kita, sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Al-Baqarah
ayat ke 284:
Yang bermaksud: “Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi
adalah kepunyaan Allah dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam
hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan
menyatakannya kepada kamu.”
Ingatlah juga, amanah yang ditanggung demi harapan rakyat dan ahli
UMNO ini hendaklah kita lunaskan dengan terbaik dan penuh keadilan.
Bahawasanya jawatan yang kita pegang ini hanyalah dipinjamkan oleh
rakyat dan ahli dengan harapan kita menengakkan keadilan untuk semua,
sepertimana pesanan Allah S.W.T. kepada kita di dalam surah An-Nisa’,
ayat 58:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan
segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila
kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu
menghukum dengan adil.”
Pada masa yang sama, selain dari melunaskan amanah sebaik mungkin,
akhlak dan budi dilupa jangan, kerana jawatan itu bukannya tiket untuk
bermegah dan sombong. Sama-samalah kita sentiasa merendah diri,
sama-samalah kita sentiasa ingat pada akar umbi. Allah S.W.T. berfirman
di dalam Surah Al-Isra’ ayat ke 37:
Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan
berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi
bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”
Atas nama saling mengingati sesama sendiri, saya berpesan untuk
mereka yang di atas pentas ini, janganlah kita sombong dan lupakan
kawan-kawan, jangan hanya bangga dengan jawatan. Jangan setelah menang
tak angkat telefon atau jawab Whatsapp dan BBM. Peringatan yang serupa
saya beritahu diri sendiri juga.
Ayam rintik di pinggir hutan
Nampak dari tepi telaga
Rapatkan saf luruskan barisan
Bersatu teguh kita bersama
Pisang kelat digonggong helang
Jatuh ke lubuk di Indragiri
Amanah rakyat kukuh dipegang
Sumpah keramat hidup dan mati
Sidang perwakilan sekalian,
Bila cerita PRU13 dan pemilihan parti kita arkibkan, kini tiba masanya kita tentukan kemudi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Kita muhasabah, kita cermin diri, kita perhalusi sekali lagi jalan
perjuangan yang sudah diteroka sekian lama. Nilai yang bagaimana ingin
kita teladankan untuk rujukan pelapis? Peranan mana paling molek untuk
kita kelek dalam menyumbang ke arah kejayaan parti? Untuk menjawab
soalan-soalan ini mungkin elok jika kita mengimbau perjalanan kita
beberapa tahun ini, agar sumbangan kita kepada parti tidak monolitik dan
tradisional. Pemuda UMNO sentiasa perlu berada dalam langgam orang
muda.
Gemala rukun Pemuda UMNO yang digariskan empat tahun lalu, masih jadi
paksi perjuangan mutakhir kita – yakni Berprinsip, Inklusif, Relevan,
Proaktif dan Bersatu. Saya percaya lima teras ini telah dirangkumkan
dalam satu pendekatan baru yang lebih progresif – satu pendekatan yang
telah membuka lembaran baru dalam perjuangan kita. Lembaran baru yang
kita selak bersama harapan untuk jadi lebih baik. Pengalaman itu guru
paling berkesan untuk insan. Dan pengalaman harus dilalui, ia tak bisa
dipinjam atau dibeli.
Progresif tidak bermakna lupa diri atau perjuangan asas, percaya
kepada pendekatan berbeza dan moden, tidak bermakna Pemuda menggadaikan
identiti dan perjuangan bangsa merdeka.
Gagasan progresif Pemuda bukan sekadar sembang kosong atas angin.
Malah, pendekatan progresif kita telah dizahirkan melalui program yang
membuahkan perubahan sebenar di akar umbi. Melalui pendekatan ini kita
telah bergerak atas dasar politik khidmat bakti sebagai kiblat
perjuangan kita.
Pelbagai isu yang membelenggu rakyat – dari pendapatan, pendidikan,
pekerjaan dan perumahan untuk orang muda – telah dibangkitkan dan
diperjuangkan oleh Pemuda UMNO. Di atas antelas yang sama, kita bukan
sekadar suara pembela rakyat, politik khidmat bakti telah menuntut kita
melangkah jauh, mendahului zaman, sebagai ejen penyelesai masalah
rakyat. Anak muda kini semakin menilai, bagi mereka retorik janji sudah
tak laku.
Alhamdulillah, kita kotakan apa yang dikata melalui program Pemuda
UMNO dan BN seperti Karnival Kerjaya Pemuda BN, Expo Perumahan Pemuda BN
(HOPE), Jelajah 1Malaysia (JOM), Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES)
dan pelbagai program lain. Pemuda UMNO telah merintis jalan, membawa
harapan untuk rakyat. Ternyata kita bukan hanya lantang bersuara tapi
juga berjaya bertindak. Di mata generasi baru, Pemuda yang hebat bukan
Pemuda yang sembang deras, cerita lebat. Pemuda yang hebat adalah
Pemuda yang membawa kesan jelas dalam kehidupan seharian rakyat.
Orang lama telah mengajar kita agar selalu beringat, jangan jadi
seperti orang hendak menepung, tiada berberas. Program-program kita ini
tidak pernah bersifat syok sendiri yang hanya diketahui dan dirasai
dalam kepompong sesama kita sahaja. Terbentang untuk rakyat hari ini,
program-program anjuran Pemuda UMNO yang terkenal seantero negara.
Kita dakap pendekatan progresif ini kerana sekadar melaungkan “Hidup
Melayu” itu lompong jika nasib anak bangsa masih di takuk lama. Walau
ada antara kita yang berasa cukup hanya dengan bersorak “Hidup Melayu,”
kita jangan ambil pendekatan yang serupa. “Hidup Melayu” itu sudah
ketentuan – tapi soalnya kita mahu Melayu hidup bagaimana? Sudah tentu
lebih mulia bila Melayu hidup bermartabat dari hidup merempat. Sudah
tentu lebih penting hasil dan keberkesanan program kita dari melaungkan
slogan semata-mata.
Nyata perlaksanaan program melalui lensa sejagat dan pendekatan
progresif telah menjadi wahana bakti kita untuk bangsa. Lihat sahaja
daripada 160 ribu yang berjaya mendapat kerja melalui Karnival Kerjaya
kita, majoritinya adalah anak Melayu. Daripada 500 ribu yang bakal
menikmati Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), majoritinya adalah anak
Melayu. Daripada pelajar yang telah ditaja melalui Biasiswa Pendidikan
Pemuda BN, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila gaji minimum
diperkenalkan dek desakan Pemuda – golongan yang meningkat pendapatan
mereka, majoritinya adalah anak Melayu. Apabila kita memperjuangkan isu
pelepasan status muflis untuk orang muda, siapa golongan yang bakal
mendapat peluang kedua? Tetap anak Melayu.
Natijahnya, usaha kita tertumpu kepada isu-isu utama yang dialami
pemuda Melayu. Melalui pendekatan dan program sejagat, agenda bangsa
jelas terlaksana, nasib bangsa tetap terpelihara.
Sidang perwakilan yang saya hormati,
Tujuan saya membangkitkan pencapaian kita, bukan untuk mendabik dada.
Kita kongsi semula pencapaian kita hari ini, agar jadi pemangkin untuk
melahirkan idea-idea baru di masa akan datang. Saya dambakan sayap
Pemuda mendahului zaman, tak gentar dengan perubahan, tetap relevan
dalam ekosistem politik yang sentiasa berubah.
Dalam konotasi yang serupa, fitrah politik Pemuda UMNO perlu sejajar
dengan tuntutan semasa. Kita tidak lagi boleh bergantung dengan formula
lama, sekadar jadi geng pendesak – membangkit semangat dan emosi semata
– tapi gagal meninggalkan kesan jangka panjang untuk agama, bangsa dan
negara. Apa guna jadi Pak Kaduk, menang sorak kampung tergadai? Apa
guna mengerah jentera mengangkat sepanduk, jika nasib dan pencapaian
bangsa tak sampai ke mana?
Pemuda UMNO bukan seperti pancang digoyang arus, bukan niat kita
memperkecilkan pendekatan lama – di mana Pemuda dilihat sebagai kumpulan
pendesak kerajaan, pasca merdeka. Pendekatan sebegitu sesuai dengan
keperluan semasa – dan ternyata telah membawa kejayaan kepada Pemuda, di
era tersebut. Tetapi zaman sudah berubah, masyarakat alaf ini sentiasa
mementingkan keberhasilan dan kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini,
rakyat tidak lagi lut dengan retorik sekiranya ia tidak membawa apa-apa
kesan progresif dalam hidup mereka.
Penjenamaan baru ini tidak bermakna kita menggadaikan prinsip.
Sepertimana saya sebut beberapa tahun dahulu, kita perlu berani mengubah
manhaj atau pendekatan, tanpa meninggalkan maqasid yakni matlamat
sesebuah perjuangan. Agenda memperkasa agama, bangsa dan negara takkan
sirna dari jati diri Pemuda, seperti mana juga tugas kita sebagai sayap
utama UMNO untuk membantu ke arah kejayaan politik parti. Dalam
mencapai matlamat ini, kayu ukur yang menilai betul atau khilaf sesuatu
pendekatan adalah melalui pilihan raya – melihat sama ada rakyat
menerima kita sebagai pembela kepentingan mereka. Jika pendekatan dan
pengisian perjuangan tak serasi dengan nadi rakyat – khususnya generasi
muda yang menjadi tumpuan kita – maka mereka tidak akan mengundi Barisan
Nasional.
Kejayaan BN dalam PRU13 menjadi bukti bahawa pendekatan progresif ini
lebih tepat. Malah, kajian Merdeka Centre mendapati 54 peratus
pengundi Melayu bawah umur 30 tahun, telah mengundi Barisan Nasional
dalam PRU baru-baru ini. Bukan mudah berdepan janji-janji manis minyak
turun, tol percuma, pendidikan percuma, PTPTN tak payah bayar semula,
dalam nirwana ciptaan pembangkang. Kendatipun cabaran menggunung,
kemampuan kita bergerak bersama zaman, mencorak pendekatan, telah
membawa pulangan politik, bila Barisan Nasional dikekalkan di tampuk
pentadbiran.
Tapi jangan lupa rakan-rakan, walaupun kita berjaya meraih sokongan
sebahagian besar golongan muda Melayu, kita masih punya banyak
kelemahan. Kita ingat fenomena tsunami politik 2008 dahulu – di mana
kedengaran ungkapan “berubah atau rebah” dari segenap pengulas dan
pemerhati. Pada waktu itu, kita bermuhasabah – menyedari bahawa UMNO
dan BN memerlukan pembaharuan hakiki untuk kembali bangkit dari belenggu
kekecewaan PRU12. Syukur, kita tidak perlu pandang jauh untuk mencari
inspirasi – kerana kita telah mengambil iktibar dari contoh perubahan
hampir serupa yang dilalui Y.A.B. Presiden kita sendiri.
Saya masih teringat ketika mana Y.A.B. Presiden telah melalui cabaran
getir di kerusi Parlimen Pekan pada tahun 1999. Namun, berkat
kebijakan mencongak strategi yang progresif dan inklusif, beliau berjaya
mengubah pendulum politik sehingga mencatat antara majoriti kemenangan
terbesar pada pilihan raya umum 2004. Inilah satu kisah kejayaan dan
peringatan yang besar untuk kita semua. Sebagaimana pepatah Arab ada
menyebut: “man jadda wa jada, wa man shabara zhafira” yang bermaksud
siapa yang bekerja keras pasti beroleh kejayaan, dan siapa yang sabar,
merekalah yang beruntung.
Saya sendiri telah belajar dan mengambil iktibar dari pengalaman
Y.A.B. Presiden. Di PRU12 dahulu, saya menang dengan majoriti kecil 5
ribu undi – turun jauh dari majoriti BN sebanyak 18 ribu lebih pada
pilihan raya sebelumnya. Saya sedar pada waktu itu, kalau salah catuan
dan tanpa pendekatan yang betul, mungkin saya di Rembau sepenggal cuma.
Lalu saya terapkan pendekatan politik progresif cara saya di sana –
kerap turun padang selesai masalah, cuba meningkat taraf hidup dan
ekonomi Rembau, tak kisah lah kawasan putih, kelabu atau hitam. Waima
kawasan Melayu, Cina, India, atau orang asli, pekan atau desa, tua atau
muda, tidak terkecuali dari tanggungjawab selaku wakil rakyat. Malah
ada yang mempersoal pendekatan saya, “kenapa KJ masih layan peti undi
bukan Melayu walhal dulu tewas semua?”
Tetapi selain daripada kegigihan, saya juga telah melihat Y.A.B.
Presiden sebagai contoh terbaik bahawa kepimpinan sejati adalah
berteraskan kebenaran dan keadilan untuk semua. Selaku pemimpin dan
wakil rakyat, kita wajib berusaha berlaku adil kepada semua; berusaha
meraih sokongan dari segenap lapisan masyarakat. Alhamdulillah, berkat
usaha serta bantuan keluarga, taulan dan Pemuda UMNO, di PRU13 tempoh
hari saya berjaya meningkatkan majoriti tiga kali ganda – mendapat undi
bukan sahaja dari pengundi Melayu, tetapi juga bukan Melayu. Maka
percayalah, usaha gigih berterusan, insya-Allah akan membuahkan hasil –
ingatlah bila berjuang biar dahi berluluk, asal tanduk mengena. Namun,
sungguhpun kerja keras itu pucuk pangkalnya, adil dan saksama kepada
semua rakyat Malaysia pula menjadi terasnya. Ini kerana, rakyat juga
nanti yang menilai, mana yang baik mahupun buruk, bak kata bicara orang
dahulu, alang berjawab, tepuk berbalas.
Saya pohon sahabat perwakilan mencontohi Y.A.B. Presiden. Kalau kena
gaya, didorong pula oleh pendekatan dan strategi yang tepat, UMNO akan
kekal jadi pemimpin dan pembela untuk semua – sejajar dengan hasrat
bapa-bapa pengasas parti UMNO sebelum ini. Tak betul jika mereka kata
UMNO disokong sesetengah kelompok sahaja. Tak betul jika mereka kata
UMNO telah “senja,” bagaimana pula kita “senja” bila kita menambah lebih
lapan kerusi pada PRU13 yang lepas? Bahkan UMNOlah parti yang
mendahului zamannya dan progresif, dengan formula kerjasama pelbagai
kaum yang meliputi semua, bukan sahaja yang di bandar mahupun di desa,
yang berharta mahupun yang berkelana. UMNOlah jua parti yang menerajui
perpaduan tanahair.
Ini sejajar dengan pendekatan wasatiyyah yang dibawa Y.A.B. Presiden –
pendekatan yang sederhana, pertengahan, seimbang dan adil. Falsafah
yang datang dari agama suci Islam kita sendiri, menjadi petunjuk kepada
satu model kepimpinan negara yang bijaksana dan berhikmah, sesuai dengan
tuntutan realiti kepimpinan dalam sebuah masyarakat majmuk. Dalam
konteks ini, konsep wasatiyyah yang diterajui Y.A.B. Presiden di negara
kita amat penting dalam menolak pendekatan ekstrim atau melampau,
sekaligus menghancurkan formula kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi
selama ini.
Malah jika kita imbas sejarah tamadun manusia pun, persoalan falsafah
kesederhanaan ini sudah lama bertapak di kalangan tokoh-tokoh pemikir
dunia. Tokoh falsafah Yunani, Aristotle, menulis lebih 2 ribu tahun
dahulu mengenai Golden Mean yang mencari titik tengah antara dua kutub,
mencari ramuan seimbang antara dua baku. Serupa juga dengan konsep
Middle Path yang diikuti oleh penganut agama Buddha, di mana mereka
percaya bahawa kunci kepada keamanan jiwa dan rohani bila seseorang itu
tidak terserong dengan godaan nafsu melampau.
Natijahnya, prinsip haluan tengah inilah yang patut kita amalkan
dalam mencorak pendekatan Pemuda hari ini. Malah, konsep dan budaya
sederhana ini bukan asing kepada kita – jauh sekali, ia jelas tercatit
dalam perjuangan awal bapa-bapa kemerdekaan.
Jangan terpadam dalam ingatan, ketika mana pemimpin UMNO Tunku Abdul
Rahman bersama-sama Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan meneroka era
baru kemerdekaan negara, mula-mula di bawah gerbang Perikatan, kini
Barisan Nasional. Kegemilangan dan kerjasama ini bukannya ditempa atas
dasar pura-pura atau sekejap cuma, tetapi termeterai demi maslahat besar
kepentingan majmuk dan nusa. Sesungguhnya, benih pendekatan progresif
ini sudah lama tertanam, jadi darah daging parti kita. Berbekal azam
dan formula baru, kita bina satu era kegemilangan yang progresif untuk
UMNO – kekal memimpin negara untuk tahun-tahun mendatang.
Sidang perwakilan sekalian,
Semua usaha yang saya gariskan tadi – menyentuh pendekatan,
kegigihan, keadilan ke arah kembali ke zaman kegemilangan – hanya mampu
tercapai sekiranya diiringi oleh proses pemantapan organisasi. Maka,
saya menyifatkan usaha dalaman ini sebagai salah satu agenda utama saya
untuk penggal mendatang. Pemantapan organisasi yang saya maksudkan
adalah tertumpu kepada modal insan Pemuda itu sendiri, mengukuhkan
kekuatan akar organisasi kita, yakni pemimpin di peringkat bawahan.
Kemampuan modal insan di peringkat pimpinan atasan sahaja tak
memadai. Sebaliknya, Pemuda di peringkat cawangan juga harus diberi
nafas dan iltizam baru melalui kursus-kursus kepimpinan dan pemantapan
organisasi. Atas semangat yang sama, Y.A.B. Presiden telah bersetuju
dengan cadangan Pemuda menubuhkan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein
(AKHI), sempena penghormatan kepada Ketua Pemuda yang pertama. AKHI
akan menjadi pusat pengkaderan pemimpin-pemimpin masa depan – sekaligus
memastikan generasi seterusnya kekal unggul dalam meneraju Pemuda dan
UMNO pada masa akan datang.
Agenda peningkatan modal insan Pemuda juga memperlihatkan beberapa
usaha baru di peringkat Exco. Saya telah melantik dua individu
profesional dalam umur 20-an dari luar struktur tradisi parti, dan buat
pertama kalinya, wakil dari mahasiswa tempatan diberikan ruang untuk
berucap di perhimpunan kita. Biro-biro juga telah disyaratkan melantik
sekurang-kurangnya seorang profesional muda berumur 20-an dan seorang
mahasiswa, di mana kaedah ini insya-Allah, akan memudahkan proses
peremajaan parti melalui pembabitan muka-muka baru. Untuk menunjang
pencapaian, setiap biro akan diukur menurut skala KPI masing-masing.
Apa yang kita mahukan adalah prestasi dan pencapaian dari
saudara-saudara yang berada atas pentas sekarang.
Semua usaha ini adalah untuk menyediakan landasan menuju
kegemilangan. Kemampuan pemimpin-pemimpin dari kilang Pemuda telah
diiktiraf parti, bahkan kita mengucap terima kasih kepada perwakilan
parti induk, kerana memilih tiga mantan Pemuda ke Majlis Tertinggi
baru-baru ini. Ia merupakan penghargaan besar kepada seluruh jentera
Pemuda. Tetapi kita perlu meningkatkan modal insan supaya kepimpinan
Pemuda masa hadapan terus dilihat sebagai sumber kekuatan kepada parti.
Kelangsungan Pemuda besok adalah amanah dan tanggungjawab kita selaku
pemimpin Pemuda hari ini. Sedarlah, kejayaan seseorang pemimpin diukur
bukan hanya melalui pencapaiannya sewaktu memegang jawatan, tetapi juga
melalui apa yang ditinggalkan kepada organisasi dan juga kewibawaan
penggantinya.
Sidang perwakilan sekalian,
Sebagaimana tradisi sanawi setiap ucapan dasar saya di Perhimpunan
Agung Pemuda UMNO, sekali lagi Pemuda membawa cadangan-cadangan bernas
untuk dipertimbang, dan kalau elok boleh dilaksanakan oleh kerajaan.
Menjunjung prakarsa sulung tahun ini, Pemuda menyambut baik Agenda
Pemerkasaan Bumiputera yang menjadi contoh afirmatif, bahawa kita tidak
pernah bersifat rasis. Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang telah
diumumkan oleh Y.A.B. Presiden September lalu, adalah pelan tindakan
menyeluruh untuk menaik taraf tahap sosioekonomi masyarakat Bumiputera,
berlandaskan prinsip keadilan sosial. Agenda ulung itu langsung tidak
mencantas hak orang lain, malah, apa yang kita usahakan adalah untuk
memastikan kek ekonomi dapat dibesar dan diagihkan dengan adil untuk
kemakmuran bersama.
Walaubagaimanapun Agenda Ekonomi Bumiputera ini tidak akan berjaya
selagi dikekang halangan-halangan yang samada sengaja atau tidak sengaja
didirikan untuk membantutkan kemajuan orang Melayu. Sebagai contoh
kajian yang dibuat oleh Dr Mohammed Abdul Hamid dari UKM dan Dr Lee Hwok
Aun dari UM, mendapati amalan pilih kasih dan diskriminasi masih
berleluasa terutama dalam syarikat bukan Bumiputera terhadap pekerja
Bumiputera. Menurut kajian tersebut, sungguhpun menepati dari segi
merit dan kelayakkan, rata-rata Bumiputera tidak menerima perhatian yang
sewajarnya. Malah ada yang dapat gaji yang kurang berbanding dengan
pekerja lain yang sama kebolehan atau kelayakan. Apa yang lebih
menyedihkan, kita sering nampak iklan-iklan pekerjaan yang terang-terang
mengutamakan satu bangsa sahaja, dan menganaktirikan bangsa lain.
Diskriminasi ini harus segera dikekang, jadi Pemuda menggesa kerajaan
untuk memastikan bahawa perkara seperti ini tidak lagi membantut usaha
Kerajaan untuk melihat lebih ramai professional Bumiputera di sektor
swasta. Kita akur mungkin ada yang berkata bahawa dalam aspek
pengambilan pekerja, kaum Bumiputera lebih diutamakan di sektor awam.
Tetapi dari segi pengurusan kanan, semakin ramai Ketua Setiausaha
Kementerian dilantik dari kaum bukan Bumiputera. Malangnya hingga kini,
kita masih susah sangat untuk melihat seorangpun Ketua Pegawai
Eksekutif Melayu, di syarikat-syarikat milik kaum yang lain.
Cadangan kedua tahun ini melibatkan aspek keusahawanan – ramai
kontraktor Bumiputera kelas G1 hingga G7, merungut tentang kekurangan
kerja. Sungguhpun macam-macam projek mega diumumkan kerajaan, mereka
masih ketinggalan dan perlu diberi peluang. Sehubungan dengan itu,
Pemuda meminta kerajaan untuk mempelbagaikan projek-projek berskala
kecil melalui inisiatif Unit Pemerkasaan Bumiputera. Pada masa yang
sama, kita cari jalan untuk menambahkan peluang kepada kontraktor kecil
dan sederhana yang berwibawa, agar mereka dapat menyertai projek
berskala besar menerusi proses pengecilan kerja dan carving out.
Beralih pula kepada cadangan yang ketiga. Pemuda meminta kerajaan
mengkaji semula pendekatan syarikat di bawah seliaan kerajaan untuk
membeli barangan pembinaan seperti simen, batu, pasir dan besi,
sebagaimana model terdahulu iaitu Pernas dan UDA Trading. Langkah ini
boleh membantu kontraktor binaan mengatasi kekangan penawaran bahan dan
harga. Namun demikian, pendekatan baru yang tuntas perlu diadakan
untuk membantu usahawan yang benar-benar mahu berjaya – bukan yang mahu
jadi broker saja. Cadangan ini sebenarnya sudah lama diperjuangkan
tetapi masih belum jadi realiti. Pemuda meminta kerajaan menyegerakan
penubuhan satu entiti yang dapat membeli bahan pembinaan dengan pukal
dan menjualnya kepada kontraktor-kontraktor kecil dan sederhana pada
harga berpatutan.
Dalam melestarikan tradisi sebagai pejuang orang muda, Pemuda juga
mendesak agar penekanan dapat ditingkatkan dalam bidang vokasional dan
kemahiran. Bagi Pemuda, inilah juga agenda bangsa yang sebenar.
Latihan kemahiran bukan sahaja dapat menempa ruang kerjaya, tetapi mampu
mengubah masa depan anak bangsa. Jangan kita lupa, tidak semua
anak-anak muda kita berkeinginan untuk melanjutkan pengajian akademik di
peringkat lebih tinggi. Untuk yang tidak sampai ke menara gading,
laluan alternatif perlu disediakan. Sebagai Menteri Belia dan Sukan
yang memayungi institusi kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia
Negara atau IKBN, saya amat mengerti masalah ini.
Saya berterima kasih kepada Y.A.B. Presiden yang telah bersetuju
untuk menambah pengambilan pelatih IKBN sebanyak lima ribu lagi.
Kualiti dan kepelbagaian latihan serta pembelajaran IKBN juga akan
ditingkatkan sewajarnya. Walaubagaimanapun, Pemuda menyarankan supaya
jumlah pengambilan pelatih kemahiran dapat digandakan lagi, memandangkan
pelajar lepasan SPM setiap tahun mencecah hampir 500 ribu orang.
Daripada jumlah ini tak sampai 40 peratus yang dapat masuk ke IPT. Apa
pula tindakan kita untuk 60 peratus yang tak dapat masuk IPT? Mestilah
kerajaan menyediakan lebih tempat di institut-institut latihan awam
supaya mereka ini juga ada masa depan yang cerah dan tidak tercicir
daripada arus perdana pembangunan.
Dan yang kelima, kerajaan telah menyediakan macam-macam peruntukan
dan kemudahan untuk golongan petani, nelayan dan penternak – yang
majoritinya adalah golongan Bumiputera. Walaubagaimanapun, objektif
untuk meningkatkan taraf sosioekonomi golongan ini tumpul dek kerenah
orang tengah yang mengaut keuntungan berlebihan. Faktor ini juga
menyebabkan harga makanan di pasaran lebih tinggi daripada sepatutnya,
yang mana mendatangkan beban besar kepada rakyat. Dalam hal ini, Pemuda
menggesa agar rantaian nilai produk pertanian dapat dikuasai oleh
golongan petani, nelayan dan penternak itu sendiri, dengan bantuan
agensi kerajaan yang berkaitan.
Pemuda menyokong usaha Menteri
Pertanian dalam memerangi gejala orang tengah, yang telah sekian lama
membantutkan usaha kerajaan memajukan petani kecil dan menghalang
penurunan harga barang-barang perlu. Selain itu, sistem AP bagi produk
pertanian perlu dilaksanakan secara telus dan terbuka, agar tidak wujud
monopoli atau kartel yang akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja.
Melalui langkah-langkah terperinci ini, Pemuda yakin rakyat akan
memperolehi manfaat dari segi harga pasaran yang lebih berpatutan.
Begitu juga apabila kita menyentuh soal rasionalisasi subsidi. Ya,
Pemuda akur bahawa demi kelangsungan dan kemampanan ekonomi, subsidi
perlu distruktur semula, supaya tidak bersifat pukal dan lebih menjurus
kepada mereka yang memerlukan. Dalam semangat yang sama, konsisten pula
dengan cadangan yang dibawa oleh Pemuda tahun lalu, kami menggesa agar
kerajaan mengkaji semula sistem kebajikan yang ada sekarang. Jika
perlu, kita rombak mekanisme sedia ada, kita tambah peruntukan bulanan,
agar ianya benar-benar membantu golongan yang memerlukan.
Bayangkan, ada satu kes di Kampong Bongek Tengah, di kawasan parlimen
saya sendiri. Seorang ibu tunggal, berumur 64 tahun, sudahlah anaknya
ramai lapan orang, yang ketujuh pula OKU dan mampu terlantar saja. Si
ibu tak bekerja demi menjaga anak, tapi tuan-tuan bayangkan, bantuan
kebajikan yang diterima hanya RM300 sebulan sahaja. Apalah yang boleh
dibeli, apa yang mampu ditampung dengan 300 itu? Nak makan pun tak
cukup, apalagi nak beli ubat atau lampin. Justeru, nilai bantuan
kebajikan perlu dikaji semula supaya dalam kes-kes tertentu apa yang
dihulurkan benar-benar dapat meringankan beban yang ditanggung.
Sekarang rakyat dan komuniti perniagaan pula mengeluh tentang tarif
elektrik yang akan naik awal tahun depan. Namun kita difahamkan bahawa
peningkatan tarif elektrik ini bukan sekadar untuk menampung peningkatan
harga bahan api, tetapi juga bagi menambahkan laba keuntungan TNB yang
sudah berbilion ringgit jumlahnya. Sebagai GLC, TNB perlu prihatin
kepada rakyat dan tidak boleh bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi
Pemuda, kenaikan tarif yang tidak setara dengan peningkatan kos bahan
api hanya menguntungkan TNB yang tampak mementingkan kantung pemegang
saham, bukan rakyat jelata. Kepada TNB dan juga GLC-GLC yang lain
Pemuda mendesak janganlah terlalu mementingkan prestasi kewangan semata,
tanggungjawab kepada rakyat jangan sesekali dilupa.
Seterusnya yang ketujuh, saban tahun kita dengar laporan Ketua Audit
Negara yang mendedahkan salah laku dan kecuaian dalam menguruskan aset
atau perbelanjaan negara. Pemuda memandang serius hal ini dan mendesak
agar tindakan tegas dapat diambil terhadap mereka yang terbukti
bersalah. Jika ada salah laku yang nyata, kita wajib dakwa, jangan
sampai rakyat tertanya-tanya. Pada masa yang sama, Pemuda mahukan agar
proses audit yang berorientasikan pemantauan dan penambahbaikan dapat
dilaksanakan dengan segera. Ini bagi membolehkan sebarang ketirisan
dapat diketengahkan untuk tindakan kementerian yang terbabit semasa
pengauditan dibuat, bukannya selepas seluruh proses itu selesai.
Isu yang kelapan ini sebenarnya tidak baru. Sebagaimana tahun lalu,
Pemuda sekali lagi menyentuh isu perumahan yang merupakan masalah ruji
anak muda hari ini. Kita sambut baik langkah Kerajaan mengadakan
Program Rumah Transit untuk pasangan muda baru berkahwin. Tapi
kerajaan mesti menambah jumlah rumah transit ini, kerana setakat 632
unit yang bakal dilancarkan tahun depan, itu tidak mencukupi berbanding
dengan keperluan yang amat mendesak. Bagi tujuan ini, Pemuda memohon
agar kerajaan dapat meningkatkan peruntukan kepada Kementerian
Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur untuk membina perumahan mampu mililk bagi
generasi muda.
Kesembilan, dalam aspek hal ehwal bandar, Pemuda mengalu-ngalukan
langkah kerajaan yang akan menubuhkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk
(JPP) di 148 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seluruh negara. Moga-moga
JPP yang dilantik akan menjadi jambatan yang menghubungkan penduduk
bandar dan pinggiran bandar bersama kerajaan – sama seperti Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk kawasan luar bandar.
Namun demikian, memandangkan ramai anak muda bermastautin di bandar,
Pemuda harap agar ada kuota khas untuk golongan muda dalam setiap JPP 20
atau 30 peratus, supaya isu dan keperluan mereka akan dapat diambilkira
oleh kerajaan.
Akhir sekali, Pemuda mengutuk sekeras-kerasnya negara-negara asing
yang dilapor mengintip Malaysia baru-baru ini. Jangan sesekali ada yang
mengambil kesempatan atas diplomasi dan semangat persahabatan yang kita
tunjukkan selama ini di peringkat antarabangsa. Ini suatu penjarahan
terhadap kedaulatan serta maruah negara kita. Lantaran itu, Pemuda
menggesa agar Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Luar Negeri dapat
menyiasat punca dan cara pengintipan ini dijalankan. Pada masa yang
sama, kita mesti tahu adakah negara punyai kapasiti untuk mengesan
hubaya mengintip di peringkat awal lagi. Jika perlu, negara harus
melaburkan wang untuk menambahbaik sistem mengesan dan memantau
pengintipan asing. Kita tidak boleh ambil pendekatan acuh tak acuh
dalam soal mempertahankan kedaulatan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
Dewasa ini, makin jelas tembelang pembangkang di mata rakyat. Kalau
dulu mereka pukul canang, Selangor paling hebat dalam mengamalkan
pentadbiran berhemah dan berjimat-cermat, kini tindakan kerajaan
Selangor menaikkan gaji Speaker, Timbalan Speaker dan Ahli Dewan
Undangan Negeri mereka sehingga ratusan peratus, apa pula ceritanya?
Takkan itu juga demi rakyat?
Matematik saya senang saja, kalau gaji Speaker Selangor RM22,500
sebulan, bermakna setahun RM270,000. DUN Selangor pula bersidang
kira-kira, kita ambil purata, 30 hari dalam setahun. Malahan tahun
lalu, persidangan DUN Selangor hanya sebanyak 21 hari sahaja. Dengan
sehari saja speaker bertugas, sudah dapat RM9,000. Gaji Menteri Besar
usah cerita, lagi banyak daripada gaji Perdana Menteri yang menjaga satu
negara. Pihak pembangkang ini macam bunga dedap, sungguh merah berbau
tidak.
Ego dan keceluparan pembangkang pula tiada batas. Semakin lama
berkuasa semakin angkuh dan bongkak. DAP apabila tak kena gaya, mereka
tak teragak-agak untuk memanggil penjawat awam atau sesiapa saja
“anjing” atau “kucing kurap”. Bila minta maaf pun nampak sangat tak
ikhlas.
Itu baru kes celupar, belum kes Karpal Singh mahu mengharamkan parti
politik berasaskan kaum dan agama di negara ini. Terus naik angin Dewan
Pemuda PAS dibuatnya. Sekarang, barulah PAS sedar dan lihat belang
sebenar DAP, sehingga tercetus semula isu untuk muzakarah dengan UMNO.
Pemuda UMNO tidak menolak apa-apa kebarangkalian, cuma harapnya
janganlah idea muzakarah itu sekadar untuk menggertak DAP, tetapi lahir
ikhlas dari hati PAS sendiri. Bagi Pemuda UMNO, ianya satu langkah yang
murni ke arah impian menyatupadukan orang Melayu, demi kelangsungan
survival ummah, bangsa dan agama.
Anak punai anak merbah
Terbang turun meredah awan
UMNO dan PAS satu ukhwah
Rapatkan jurang berpisah jangan
Saudara-saudara sekalian,
Walaupun kepincangan pembangkang semakin nyata, jangan hanya kita
bersandarkan kepada kelemahan mereka untuk menang dalam pertaruhan akan
datang. Biarkan si luncai terjun dengan labunya tetapi kita mesti mara
dan berjuang atas kekuatan kita sendiri. Kita mesti menang bukan atas
kekurangan musuh tetapi atas kehebatan kita sendiri. Tetapi jangan kita
ingat perang yang akan datang itu sesuatu yang mudah. Kita berada
dalam persekitaran politik yang amat mencabar. Betul kita menang PRU
lepas tetapi kita masih tidak dapat menebus maruah kita sepenuhnya. Di
bandar kita ketinggalan, undi bukan Bumiputera kita ketinggalan, undi
popular pula tidak memihak kepada kita. Jangan kita nafikan kelemahan
yang nyata.
Empat tahun bukanlah satu masa yang lama, dalam sekelip mata sekali
lagi kita kembali kepada rakyat untuk menentukan survival parti. Tetapi
UMNO tak pernah gentar dengan cabaran. Kita tak pernah lekang dari
diuji dan telah bangkit berkali-kali dalam sejarah. Ingatlah, peranan
Pemuda penting untuk memenangi hati dan jiwa pengundi muda di PRU14.
Saudara semua telah memberi mandat yang besar untuk saya kekal sebagai
Ketua Pemuda, tetapi saya tidak mampu melaksanakan tangggungjawab ini
sendirian. Saya pohon bantuan anda semua, saya perlukan kita semua
bersatu, hanya dengan bersatu kita mampu mengatasi cabaran mendatang.
Dalam seiras semangat juang, bangunlah anak bangsa jangan kau diam.
Kita kerah segala kudrat atas nama perjuangan, atas nama melunas amanah,
membangun nusa dan membela bangsa. Membujur lalu melintang patah,
patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, tetap cekal
walau jalan berliku.
Janganlah kau gentar wahai orang muda, walau sebesar mana badai
melanda, walau setinggi mana puncak cita-cita, walau jauh beribu batu,
walau sepanas mana lautan api – kita Pemuda UMNO tetap tidak berganjak,
sanggup menggadaikan jiwa dan raga demi agama, bangsa dan tanah merdeka.
Saudara-saudaraku sekalian,
Jika ditanya siapa kita, siapa kita?
Kitalah sayap hulubang parti,
Kitalah penabur khidmat dan bakti
Kita bangkit bila jatuh, berjalan kita dengan tegap, berlari kita dengan memecut,
Kitalah pejuang paling hadapan,
Kitalah denyut dan nadi anak watan,
Kitalah penegak kewarasan iltizam,
Kitalah nakhoda meredah zaman,
Kitalah sayap Pemuda UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
HIDUP UMNO!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
-
PENDEDAHAN yang dibuat oleh blog Captain M berkenaan hubung kait antara kumpulan yang memukul seorang pemandu lori beberapa hari yang l...
-
LAHAD DATU - Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, teta...
-
BANI Jawi adalah pengembara hebat membawa misi ke Semenanjung di Hujung dunia yang di panggil oleh Ptolemy sebagai Semenanjung Emas atau &...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan