Jumaat, 21 Februari 2014

Akhbar penyebar fitnah 'Suara Keadilan' buat ralat silap fitnah pemimpin sendiri

Pengarang akhbar Suara Keadilan menafikan ralat artikel kolumnis Hishamuddin Rais yang disiarkan pada bilangan 161 bertarikh 18 Februari 2014 ada kaitan dengan arahan daripada kepimpinan parti.
 
Sidang pengarang Suara Keadilan berkata, perkara itu tidak pernah menjadi isu dan ia tidak patut diperbesarkan, lapor The Malaysian Insider.
 
"Tidak ada kena mengena langsung dengan arahan parti, ia keputusan pihak pengarang.
 
"Ia sepatutnya tidak menjadi isu kerana sekarang ini kita fokus pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)," kata sumber yang enggan didedahkan namanya.
Terdahulu, dalam akhbar PKR isu 161 pada muka surat 22 menyiarkan ralat daripada pengarang Suara Keadilan berhubung artikel Hishamuddin.
 
"Suara Keadilan dengan ini melahirkan kekesalan dengan penyiaran rencana berkenaan di muka surat 22 yang disiarkan Suara Keadilan keluaran 160 oleh Hishamuddin Rais bertarikh 11 Februari 2014.
 
"Kami ingin menegaskan bahawa rencana itu tidak seharusnya dicetak di dalam akhbar ini. Sehubungan itu akan memastikan perkara tidak akan berulang pada masa akan datang," dipetik daripada akhbar tersebut.
 
Ralat itu juga menyiarkan permohonan maaf daripada pengarang kepada pemimpin dan ahli PKR.
 
Sebelum ini The Malaysian Insider melaporkan lidah rasmi parti itu diminta untuk memberi penjelasan ekoran penyiaran artikel kolumnis Hishamuddin bertajuk "Khalid dan Azmin" kerana dikatakan menfitnah timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.
 
Menurut satu sumber, arahan itu dikeluarkan minggu lalu secara lisan kepada pengarang Suara Keadilan, tanpa menyatakan tarikh berbuat demikian.
 
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menafikan parti itu ada mengeluarkan sebarang arahan penarikan artikel atau meminta Suara Keadilan memberi penjelasan.
 
Namun, Fahmi mengakui isu tersebut ada dibincangkan kerana wujudnya bantahan daripada beberapa pemimpin yang dikaitkan nama dalam artikel tersebut.
 
Kolumnis, Hishamuddin menegaskan artikel tersebut merupakan pndangan secara peribadi dan tidak mewakili mana-mana pihak mahupun parti.
 
Katanya, beliau mengamalkan kewartawanan Gonzo dalam tulisannya.
 
"Saya tidak kata siapa-siapa, siapa yang terberak dialah yang terbau kentut," katanya.
 
Kewartawanan Gonzo merujuk kepada gaya kewartawanan yang ditulis tanpa tuntutan objektiviti sebagaimana laporan di mana seseorang wartawan juga dimasukkan sama.
 
Artikel "Khalid dan Azmin" ditulis Hishamuddin dan disiarkan dalam ruangan kolumnis Suara Keadilan bilangan 160 pada 11 Februari lalu, dan turut disiarkan di portal berita Malaysiakini.
 
Artikel tersebut menganalisis dan menerangkan kemelut yang melanda antara Azmin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Dalam artikel itu, Hishamuddin menyifatkan Azmin masih mempunyai unsur dan ideologi Umno dan kurang disenangi parti komponen Pakatan Rakyat (PR) lain seperti PAS dan DAP.

Tiada ulasan: