Isnin, 9 Mac 2015

Agong rasmi mesyuarat penggal ketiga Parlimen ke-13

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Majlis Parlimen ke-13 di sini, hari ini.

Pembukaan penggal ketiga Parlimen ke-13 kali ini dimulakan dengan majlis perbarisan kawalan kehormat yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen.

Keberangkatan tiba Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 10 pagi disambut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Turut menyambut keberangkatan tiba baginda berdua, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah kemudian diiring masuk ke Dewan Bankuet untuk menerima sembah 'Hormat Diraja' selepas sempurna pemeriksaan kawalan kehormat yang berlangsung di dataran parlimen.

Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dari Kem Sungai Besi kemudiannya memainkan lagu 'Negaraku' diikuti tembakan meriam 21 das.

Turut sama hadir, barisan Menteri-menteri Kabinet dan perwakilan asing serta pengamal media.
Tepat 10.50 pagi, loceng istiadat dibunyikan dan Seri Paduka diiringi ke Dewan Rakyat untuk menyampaikan titah ucapan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari mulai hari ini hingga 9 April diikuti sidang Dewan Negara pada 13 April hingga 28 April.

Tiada ulasan: